Sabtu, 11 Jun 2022

Manusia mungkin perlu menunggu 400,000 tahun untuk berhubung dengan makhluk asing


Pakar-pakar angkasa lepas percaya bahawa proses menghubungi makhluk asing di cakerawala berkemungkinan mengambil masa sehingga 400,000 tahun. Tempoh itu diperlukan sebelum manusia menerima maklum balas daripada makhluk asing, lapor akhbar Daily Star.


Pada bulan lalu, pasukan saintis antarabangsa NASA berkata, mereka merancang untuk menghantar pesanan ke bintang-bintang jauh di angkasa lepas menerusi gelombang radio. Ia dilakukan sebagai percubaan untuk menghubungi makhluk asing.


Bagaimanapun, laporan terbaharu oleh penyelidik Universiti Normal Beijing menyatakan bahawa pasukan saintis NASA itu, mungkin tidak akan mendapat respons daripada makhluk asing sepanjang hayat mereka.


Ini kerana, untuk menerima respons daripada makhluk yang perlu memahami mesej yang dihantar, ia mungkin memakan masa selama beratus-ratus ribu tahun.


Penyelidik-penyelidik universiti berkenaan berkata, pada kadar terbaik, proses itu diramal mengambil masa selama 2,000 tahun.


"Sebagai satu-satunya tamadun pintar yang maju di Bumi, satu daripada persoalan yang semakin membingungkan adalah sama ada kewujudan manusia itu unik.


"Alasan mengapa kita masih belum menerima sebarang isyarat daripada makhluk di luar angkasa lepas adalah jangka hayat komunikasi manusia mungkin tidak cukup lama," kata penulis kajian, Wenjie Song.


Laporan yang diterbitkan dalam The Astrophysical Journal itu turut menyatakan bahawa manusia mungkin tidak akan menerima sebarang isyarat daripada makhluk asing sebelum pupus dari muka Bumi ini.


Sementara itu, mesej Beacon in the Galaxy (BITG) yang dicadangkan difahamkan sebagai versi terkini mesej Arecibo yang terkenal, yang disiarkan ke angkasa pada tahun 1974.


Profesor super-genius Stephen Hawking memberi amaran sebelum kematiannya bahawa manusia harus berhati-hati, berhubung berkomunikasi dengan makhluk luar bumi kerana mereka mungkin mahu memusnahkan kita.


"Jika anda melihat sejarah, hubungan antara manusia dan organisma yang kurang pintar sering mendatangkan malapetaka dari sudut pandangan mereka, dan pertemuan antara tamadun dengan teknologi maju berbanding primitif telah menjadi buruk bagi yang kurang maju," katanya. - Sumber Daily Star.


Saintis mungkin tidak akan mendapat respons daripada makhluk asing untuk sepanjang kehidupan mereka. – Getty Images.


EmoticonEmoticon