Selasa, 21 Jun 2022

Bandar purba berusia 3,400 tahun ditemui di dasar Sungai Tigris yang semakin kering


Sekumpulan ahli arkeologi dari Jerman dan Iraq telah menemui bandar purba yang berusia 3,400 tahun dipercayai peninggalan Empayar Mittani yang terletak di sekitar Sungai Tigris, lapor laman berita Science Alert pada 31 Mei 2022.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Tubingen, bandar lama tersebut ditemui setelah paras air di empangan Mosul di Iraq menurun secara mendadak. Penurunan paras air itu disebabkan oleh kemarau melampau yang melanda Iraq.


Di tapak itu, ahli arkeologi menemui runtuhan istana dan bangunan besar lain. Mereka mengesyaki bandar itu bernama Zakhiku yang merupakan pusat Empayar Mittani sekitar tahun 1550-1350 sebelum masihi.


"Proses cari gali menunjukkan bahawa tapak ini adalah pusat penting Empayar Mittani," kata Hasan Qasim dari Pertubuhan Arkeologi Kurdistan.



Ahli-ahli arkeologi segera melakukan cari gali selepas paras air empangan Mosul yang amat dalam sebelum ini surut kerana kemarau. Proses penemuan bandar purba di dasar empangan itu telah dilakukan sekitar Januari dan Februari lalu.


Pakar arkeologi dari Universiti Freiburg, Ivana Puljiz yang terlibat dalam penemuan bandar purba itu berkata, proses cari gali berlangsung beberapa hari sahaja.


"Penemuan beberapa bahagian binaan tinggi diyakini memainkan peranan penting bagi Empayar Mittani. Bahagian besar bangunan itu pula sangat penting kerana menyimpan kuantiti makanan yang banyak dan mungkin untuk bekalan seluruh wilayah," jelasnya.


Seorang daripada ahli arkeologi itu bernama Dr. Peter Pfälzner dari Universiti Tübingen menyatakan, dengan penemuan bandar purba itu mereka berharap akan dapat memahami lebih lagi tentang pengakhiran era Mittani, dan permulaan kepada pemerintahan orang Assyria di rantau itu.


Sungai Tigris merupakan salah satu sungai terpenting selain dari sungai Furat yang menjadi sumber air kepada pertanian, tenaga hidro dan juga laluan kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.


Bandar purba berusia 3,400 tahun yang ditemui di Iraq baru-baru ini dipercayai bernama Zakhiku yang merupakan pusat Empayar Mittani. - Foto Universiti Freiburg.

Salah satu bekas seramik yang mengandungi tablet cuneiform. - Foto Universiti Freiburg.

Dinding bangunan penyimpanan makanan yang banyak. - Foto Universiti Freiburg.

Antara barangan purba yang ditemui di tapak lokasi bandar tersebut. - Foto Universiti Freiburg.


EmoticonEmoticon