KOTA TINGGI - Seorang pengurus wanita bersama dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dan memecah masuk premis pajak gadai sehingga menyebabkan kerugian RM28.4 juta.
Ketiga-tiga tertuduh, Nor Zeelyza Mohd Mohely, 41, Norzai Asman Ahmad Saru, 39, dan Nasaruddin Mahabod, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.
Mengikut pertuduhan, Nor Zeelyza didakwa bersubahat dengan dua lagi tertuduh melakukan pecah rumah di premis Ar-Rahnu Koperasi Perbadanan Melayu Negeri Johor (KPMNJ), cawangan Kota Tinggi, Jalan Tun Sri Lanang, dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai pada 5 November lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 457 kanun sama.
Sementara itu, Norzai Asman dan Nasaruddin masing-masing didakwa memecah masuk premis berkenaan dengan niat mencuri barang kemas serta wang tunai kira-kira jam 1.20 pagi, 6 November lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan Nor Zeelyza diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, manakala dua lagi tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin.
Kesemua tertuduh turut diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Disember depan.
Terdahulu, kes pecah masuk itu dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah membabitkan pemajakan barang kemas palsu oleh pekerja premis berkenaan.
Susulan laporan polis pada 6 November lalu, tujuh individu berusia antara 29 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru. Polis turut merampas 2,891 barang kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371 serta beberapa barangan lain yang dipercayai berkaitan kes berkenaan.

EmoticonEmoticon