Selasa, 7 Julai 2026

Teori Brazil tersingkir angkara 'sumpahan kucing' tular di media sosial


Kekalahan mengejut Brazil pada kempen Piala Dunia 2026 menghidupkan semula teori konspirasi yang pernah tular empat tahun lalu apabila ramai penyokong mengaitkan penyingkiran Selecao dengan apa yang digelar sebagai 'Sumpahan Kucing'.


Brazil yang memburu gelaran dunia keenam terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan selepas tewas 2-1 kepada Norway pada aksi pusingan 16 terbaik.


Ketika Neymar tidak dapat menahan air mata sejurus wisel penamat dibunyikan, media sosial pula dibanjiri pelbagai komen yang mengaitkan kekalahan itu dengan insiden seekor kucing pada Piala Dunia 2022 di Qatar.


Teori berkenaan bermula ketika sidang media Brazil pada Disember 2022 apabila seekor kucing jalanan melompat ke atas meja ketika Vinicius Junior sedang ditemu bual.


Namun, suasana bertukar kecoh apabila seorang pegawai media Brazil mengangkat kucing itu dengan memegang bahagian belakang badannya sebelum mencampakkannya ke lantai.


Walaupun insiden itu pada awalnya dianggap sekadar detik lucu, tindakan pegawai berkenaan menerima kecaman ramai kerana disifatkan tidak menghormati haiwan.


Beberapa hari kemudian, Brazil tersingkir secara mengejut kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir Piala Dunia 2022, sekali gus mencetuskan dakwaan kononnya pasukan itu terkena "Sumpahan Kucing".


Selepas kekalahan kepada Norway, teori sama kembali menjadi bualan hangat apabila ramai penyokong berkongsi semula rakaman insiden berkenaan di media sosial.


Seorang pengguna media sosial berseloroh bahawa sumpahan itu hanya akan berakhir jika Brazil menemui semula kucing terbabit dan meletakkannya kembali di atas meja sidang media.


Seorang lagi pengguna pula menulis bahawa kucing itu membawa sumpahan paling besar pernah disaksikannya, manakala seorang lagi mengingatkan bahawa haiwan perlu dilayan dengan penuh hormat dan bukan secara kasar.


Malah, ada juga netizen yang mendakwa kucing yang muncul dalam beberapa gambar tular baru baru ini mempunyai rupa yang hampir sama dengan kucing pada Piala Dunia 2022, sekali gus menyemarakkan lagi teori tersebut.


Walaupun teori itu tidak mempunyai sebarang asas atau bukti, ramai melihat ia sekadar gurauan penyokong yang kecewa dengan kemerosotan prestasi Brazil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Realitinya, Brazil terus bergelut untuk mengembalikan sentuhan Joga Bonito yang pernah menjadikan mereka pasukan paling digeruni dunia, apabila generasi pemain sekarang masih gagal menyamai kehebatan skuad legenda terdahulu.


Dengan impian memburu gelaran dunia keenam sekali lagi berkecai dan Neymar meninggalkan padang dalam tangisan, 'Sumpahan Kucing' dijangka terus menjadi antara kisah paling tular yang dikaitkan dengan kejatuhan Brazil di pentas Piala Dunia.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon