Selasa, 7 Julai 2026

Segelintir nelayan tempatan jadi tali barut sindiket penyeludupan migran etnik Rohingya - APMM

(Foto dijana AI)

Nelayan tempatan dikesan menjadi tali barut penyeludupan migran etnik Rohingya dengan membocorkan maklumat penting mengenai pergerakan aset dan rondaan pihak berkuasa.


Rangkaian tonto dalam kalangan komuniti maritim tempatan itu dikatakan mampu meraih bayaran sehingga ribuan ringgit daripada sindiket penyeludupan migran.


Mereka kini sedang 'bersiap-sedia' susulan peralihan Monsun Barat Daya bermula September ini yang dijangka membawa kemasukan pelarian etnik Rohingya ke perairan negara.


Ketidakstabilan politik berterusan di Myanmar turut menyumbang kepada peningkatan risiko migrasi pelarian ke Malaysia yang menjadi destinasi sasaran utama sindiket.


Berdasarkan pemantauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kawasan perairan Langkawi di Kedah dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan berisiko tinggi.


Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Rosli Abdullah mendedahkan pihaknya mengenal pasti tiga laluan pergerakan utama sindiket membabitkan pergerakan dari Laut Andaman ke Selat Melaka yang menjadikan kepulauan di Thailand seperti Ko Ra Wi, Ko Adang, dan Ko Tarutao sebagai lokasi persinggahan transit.


Menurutnya, kumpulan itu juga dikesan menjadikan kawasan sekitar Pulau Rebak Besar dan Teluk Yu di Langkawi melalui Selat Chincin sebagai titik pendaratan, selalunya dengan menggunakan bot yang sarat membawa muatan antara 100 hingga 400 orang pelarian.


"Selain laluan Selat Melaka, sindiket turut mempunyai pilihan alternatif melalui pergerakan dari Laut Andaman ke perairan Acheh, Indonesia sekiranya mereka mendapati perairan Langkawi sukar ditembusi.


"Melalui laluan ini, pelarian akan cuba menyelinap masuk ke Malaysia dengan menggunakan bot nelayan atau bot pancung hasil bayaran tertentu kepada pihak sindiket," katanya.


Sementara itu, Mohd Rosli berkata, sindiket turut mengeksploitasi laluan darat sebagai pilihan utama dengan menggunakan lorong tikus di sepanjang sempadan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan yang memanfaatkan keadaan bentuk muka bumi kawasan hutan, ladang serta laluan kampung terpencil yang sukar dipantau secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.


"Pergerakan darat ini juga antara pilihan utama bagi melancarkan kemasukan ke Malaysia melalui pelbagai laluan lorong tikus.


"Dalam setiap fasa modus operandi ini, sindiket tempatan dan antarabangsa ini dikesan bertindak proaktif sebagai pengendali utama yang mengurus sepenuhnya pergerakan rentas sempadan," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon