Rabu, 1 Julai 2026

RM2.10 seliter, rakyat Malaysia yang layak terus menikmati antara harga diesel terendah di dunia


Rakyat Malaysia yang layak kini boleh menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI MADANI Diesel yang bermula hari ini.


Harga itu meletakkan Malaysia antara negara yang menawarkan diesel antara terendah kepada rakyat, pada ketika harga diesel global kekal tinggi dan tidak menentu.


Untuk tempoh 1 hingga 8 Julai 2026, harga pasaran diesel ditetapkan pada RM3.97 seliter. Namun melalui BUDI MADANI Diesel, rakyat yang layak hanya perlu membayar RM2.10 seliter, dengan perbezaan harga tersebut ditanggung kerajaan melalui subsidi bersasar.


Pelaksanaan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, sambil memastikan subsidi negara tidak lagi tiris kepada pihak yang tidak sepatutnya menikmatinya.


Melalui penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan, bantuan subsidi diesel dapat disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak secara lebih tepat dan terkawal.


Langkah ini juga penting bagi memastikan subsidi tidak lagi dinikmati secara pukal oleh bukan warganegara atau pihak yang menyalahgunakan diesel bersubsidi untuk tujuan penyeludupan dan aktiviti tidak sah.


Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa penyasaran subsidi bukan bertujuan menarik balik bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan bantuan yang sama dapat diberikan dengan lebih adil kepada mereka yang benar-benar berhak.


BUDI MADANI Diesel juga dijangka membantu kerajaan mengurus tekanan fiskal negara secara lebih berhemah, tanpa mengabaikan perlindungan sosial rakyat dalam suasana ekonomi global yang mencabar.


Dari sudut pasaran, penganalisis melihat pelaksanaan subsidi bersasar ini sebagai selari dengan agenda konsolidasi fiskal kerajaan, dengan beberapa firma penyelidikan menyifatkannya sebagai langkah positif kepada kedudukan kewangan negara.


Dengan harga RM2.10 seliter, rakyat Malaysia yang layak terus menikmati antara harga diesel paling kompetitif di dunia, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara dalam menghadapi tekanan kos tenaga global.


EmoticonEmoticon