Seorang anggota polis maut manakala tiga individu lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebiji tayar lori yang tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, berkata kemalangan tragis itu berlaku kira-kira jam 6 pagi membabitkan sebuah kereta dan motosikal.
"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan disyaki tercicir daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kiri jalan.
"Pada masa yang sama sebuah motosikal dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan," katanya kenyataan media hari ini.
Lim berkata impak kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan iaitu seorang anggota polis berusia 40 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu katanya, pemandu bersama dua penumpang kereta yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau memaklumkan, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HSJ mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagia kepala akibat kemalangan jalan raya.
Lim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini giat mengesan pemilik tayar lori yang menjadi punca utama kemalangan tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-404 6215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Difahamkan, jenazah anggota polis berpangkat Sarjan dikenali sebagai Norshairul Subkri Salim telah dibawa pulang ke kampung halamannya dan selamat disemadikan di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis petang tadi.

EmoticonEmoticon