Rabu, 1 Julai 2026

5 'tahi judi' didenda RM3,000 bertaruh judi bola World Cup


Lima lelaki termasuk dua beradik masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 menerusi laman judi dalam talian, bulan lalu.


Tertuduh, Ooi Wooi Loon, 41, Weeson Lim, 30, Lau Chee Boon, 30, Lau Chee Ewe, 28, dan Lee Boon Luun, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.


Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki terbabit didapati melakukan kesalahan bertaruh dalam permainan judi bola sepak Piala Dunia 2026 dengan menggunakan komputer dan melayari laman web perjudian laman web perjudian dikenali sebagai GO2WIN.BET dan NOVA88.


Kesemua mereka didapati melakukan perbuatan itu di sebuah Pangsapuri Marminton Homes, Lorong Cantik Permai 1, Butterworth yang terletak dalam Daerah Seberang Perai Utara pada kira-kira jam 10.30 malam, 27 Jun lalu.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Catherine Joysce Matthews Sandra.


Semasa prosiding Siti Nur Farihin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada semua tertuduh.


Bagaimanapun, Catherine memohon hukuman denda minimum dan memaklumkan empat daripada tertuduh adalah penganggur kecuali Lee Boon Luun bekerja sebagai jurujual dengan gaji RM2,600 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa.


Menurutnya, Ooi Wooi Loon adalah seorang duda yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah dan tidak bekerja manakala dua beradik iaitu Lau Chee Boon dan Lau Chee Ewe baru dibuang kerja.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap setiap tertuduh dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Kesemua mereka membayar denda itu.


Media pada 28 Jun lalu melaporkan kelima-lima tertuduh adalah antara 28 individu yang ditahan di Pulau Pinang menerusi Op Soga XI selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian bersempena Piala Dunia FIFA 2026 bermula 11 Jun lalu hingga 19 Julai ini.


Setakat ini, sebanyak 21 serbuan dijalankan di seluruh negeri ini bagi membanteras kegiatan pertaruhan bola sepak dan berjaya melumpuhkan dua pusat panggilan yang menjalankan operasi pertaruhan bola sepak.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon