Selasa, 30 Jun 2026

Sorok lebih 1kg syabu pada seluar dalam, warga Indonesia dipenjara seumur hidup, 12 sebatan


Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 12 sebatan di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini atau kesalahan menyeludup keluar lebih sekilogram syabu dengan menyembunyikannya termasuk pada seluar dalam.


Hukuman diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos terhadap Amriadi, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.


Melalui penghakimannya, beliau berkata mahkamah mengambil kira fakta bahawa tertuduh ditangkap ketika cuba meninggalkan Malaysia, sekali gus menunjukkan keberanian dan tekadnya untuk melanggar undang-undang negara ini walaupun menyedari risiko ditahan ketika melalui pemeriksaan keselamatan di Terminal Feri Tawau.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak perempuan yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan itu didakwa mengedar 1,078.9 gram methamphetamine di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau pada jam 9.45 pagi, 11 Oktober 2024.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.


Sepanjang prosiding bermula 10 Mac lalu, pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.


Dalam rayuan mitigasi, peguam Jhesseny P Kang memaklumkan anak guamnya pesalah kali pertama yang sebelum ditahan bekerja sebagai petani, namun kini tidak lagi mempunyai pekerjaan.


Beliau berkata, tertuduh telah insaf dan kesal atas kesalahan dilakukan serta memohon hukuman lebih ringan selaras Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberi budi bicara kepada mahkamah sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.


"Trend semasa juga menunjukkan mahkamah lebih cenderung menjatuhkan hukuman penjara," katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berhujah bahawa berat dadah dirampas kekal menjadi faktor utama perlu dipertimbangkan dalam penjatuhan hukuman.


Justeru, hukuman berat bersifat pencegahan wajar dikenakan kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi tertuduh.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.


Pemeriksaan badan mendapati dia memakai bengkung hitam, dengan lima bungkusan syabu disembunyikan pada seluar dalam wanita yang dipakainya, selain sejumlah lagi pada tapak kasutnya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon