Keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ditangguh pada 13 Julai nanti.
Perkara itu dimaklumkan hakim, Datuk Seri Abu Bakar Jais susulan seorang panel hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Razali sedang cuti sakit pada hari ini dan esok.
Menurutnya, ketiadaan Che Mohd Ruzima dilihat tidak sesuai untuk menyampaikan keputusan berkenaan pada hari ini.
"Saya ingin menerangkan keadaan, saya dengan Yang Arif (Datuk) Collin (Lawrence Sequerah) hadir di mahkamah (Persekutuan), hari ini.
"Namun, Yang Arif Ruzima tidak bersama kami kerana kami diberitahu beliau tidak sihat dan bercuti rehat pada hari ini dan esok.
"Memandangkan keadaan sedemikian, kami tidak dapat memberi keputusan hari ini kerana tidak betul rasanya (menyampaikan keputusan) tanpa kehadiran seorang panel hakim," katanya.
Dalam prosiding bermula jam 9.30 pagi tadi, beliau yang juga Presiden Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa keputusan itu sedia untuk disampaikan pada 13 Julai nanti.
"Saya mengetahui perkara ini (cuti sakit) pada lewat petang, semalam dan lambat untuk memaklumkan pada semua," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Syed Saddiq akan mengetahui nasibnya sama ada kekal bebas atau kembali berdepan hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang didakwa hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

EmoticonEmoticon