Isnin, 2 Mei 2022

Dua lelaki cedera digigit anjing peliharaan mereka sendiri


Dua lelaki termasuk seorang parah selepas dipercayai digigit anjing peliharaan mereka sendiri di Taman Putera Pogun, di Penampang, hari ini.


Kejadian yang berlaku di sebuah taman perumahan itu membabitkan mangsa berusia 20 tahun yang parah di bahagian tangan, manakala seorang lagi berusia 25 tahun cedera ringan di bahagian paha.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 3.49 petang.


Katanya, sepasukan lapan bomba bersama sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.


"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua lelaki digigit anjing peliharaan dan seorang mangsa parah di bahagian tangan manakala seorang lagi cedera ringan di paha.


"Kedua mereka kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya dihantar ke klinik oleh ibunya untuk mendapat rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, dalam masa sama, pasukan bomba menenangkan anjing berkenaan sebelum menangkapnya.


"Selepas berjaya ditangkap, anjing itu diserahkan semula kepada pemiliknya dan operasi ditamatkan pada 4.42 petang tadi," katanya.


Anggota bomba menangkap anjing yang menggigit mangsa. - Foto Ihsan Bomba.


EmoticonEmoticon