Khamis, 10 September 2026

Pembantu kedai alat ganti didakwa cederakan isteri hingga parah

Pembantu kedai alat ganti didakwa cederakan isteri hingga parah


Seorang pembantu kedai alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya sehingga parah dalam kejadian di Jalan Gong Badak, Sabtu lalu.


Tertuduh, Wan Noorazmilrullah Wan Noorabiddin, 36, memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya di sebuah kediaman di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak kira-kira jam 7 malam pada 5 September lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan bawah seksyen berkenaan.


Dalam prosiding itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Jawahir Mohd Zulmajdi yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pembantu kedai sparepart pendapatan RM3,000 sebulan.


Tertuduh juga menanggung empat anak yang masih kecil dengan anak pertama serta kedua merupakan pasangan kembar pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, manakala anak ketiga berusia tiga tahun dan bongsu berumur setahun sebulan.


Selain itu, pihak pembelaan memaklumkan bahawa kakak tertuduh hadir di mahkamah serta bersedia menjadi penjamin, di samping mengemukakan maklumat mengenai satu laporan polis yang telah ditarik balik oleh pengadu pada Rabu.


Walau bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin. Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.


Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Jawahir Mohd Zulmajdi.

Pelayan restoran didakwa cuba bunuh, rempuh lelaki dengan kereta ketika pergaduhan bersenjata

Pelayan restoran didakwa cuba bunuh, rempuh lelaki dengan kereta ketika pergaduhan bersenjata


Pelayan restoran berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam, atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan merempuh mangsa menggunakan kereta ketika insiden pergaduhan bersenjata di Air Itam, bulan lalu.


Lim Boon Sik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.


Ditanya sama ada dia memahami bahasa Melayu, tertuduh menjawab hanya memahaminya sedikit dan memilih pertuduhan dibacakan dalam bahasa Cina.


Mengikut pertuduhan, Boon Sik didakwa merempuh Yeap Jhun Ee, 25, menggunakan Perodua Axia dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatannya boleh menyebabkan kematian mangsa.


Kejadian itu didakwa berlaku jam 12.30 tengah malam pada 29 Ogos lalu di Jalan Paya Terubong 3, Blok B, Bandar Baru, Georgetown.


Boon Sik didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu, hukuman boleh diperluaskan kepada penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun.


Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, memohon jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.


Bagaimanapun, peguam bela tertuduh yang hanya mahu dikenali sebagai Tan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda, mempunyai alamat tetap di negeri ini dan tidak berisiko melarikan diri.


"Anak guam saya memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan. Ibu bapanya juga hadir di mahkamah," katanya sambil memaklumkan tertuduh bersedia melapor diri kepada pihak berkuasa serta tidak akan mengganggu saksi pendakwaan.


Peguam itu turut memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan jaminan, selain merujuk beberapa kes terdahulu membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Juraidah kemudian membenarkan Boon Sik diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat Malaysia.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai serta melarangnya daripada mengganggu saksi pendakwaan.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.


Pada Selasa lalu dilaporkan 11 lelaki didakwa semalam berhubung rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Gang 04 di Air Itam pada 29 Ogos lalu, termasuk pertembungan antara dua kumpulan berkenaan di luar SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua.


Seorang lelaki berusia 19 tahun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

Wanita Indonesia bayar hingga RM250 dapatkan MyKad palsu demi cari kerja

Wanita Indonesia bayar hingga RM250 dapatkan MyKad palsu demi cari kerja


Dua wanita warga Indonesia mendakwa membayar antara RM200 hingga RM250 untuk mendapatkan salinan MyKad palsu bagi memudahkan mereka memperoleh pekerjaan selepas memasuki negara ini secara haram.


Kedua-dua wanita berusia 37 tahun itu adalah antara tiga warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau dokumen milik individu lain dalam 'Ops Layar' di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman, Port Klang semalam.


Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Lifa dari Sulawesi, mendakwa membayar RM200 bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri berkenaan selepas memasuki Malaysia menerusi laluan tidak sah pada Jun lalu.


"Saya datang ke sini hanya untuk mencari rezeki. Saya tidak tahu perbuatan ini adalah satu kesalahan," katanya.


Lifa yang menerima upah secara tunai berkata, beliau menyerahkan gambarnya kepada individu yang menyediakan dokumen terbabit.


"Saya serahkan gambar saya kepada individu yang membuat dokumen itu, lalu mereka menggantikan gambar pada kad pengenalan berkenaan dengan gambar saya.


"Saya hanya dapatkan salinan kad pengenalan ini untuk mencari kerja. Saya cuma mahu cari wang dan tidak tahu apa yang saya buat ini melanggar undang-undang," katanya selepas operasi berkenaan.


Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Rini dari Jawa Barat, mendakwa membayar kira-kira RM250 kepada kenalan yang diperkenalkan oleh rakan Indonesia untuk mendapatkan salinan kad pengenalan palsu.


Rini berkata, beliau menetap di Malaysia sejak 2022 selepas memasuki negara ini secara haram. Beliau sebelum ini bekerja di sebuah kedai runcit sebelum bertukar kerja ke kilang percetakan terbabit dengan dibayar upah kira-kira RM95 sehari.


"Saya pernah diusir dari Malaysia sebelum ini dan pasport saya disenaraihitamkan, tetapi saya masuk semula menerusi laluan haram selepas membayar kira-kira enam juta rupiah," katanya.


Beliau memberitahu pegawai bertugas bahawa salinan kad pengenalan palsu itu digunakan bagi memudahkan urusan mendapatkan pekerjaan.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz, berkata Ops Layar dijalankan susulan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki menyalahgunakan dokumen pengenalan diri.


Beliau berkata, seramai 67 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu, merangkumi 52 pegawai JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya serta lima pegawai Jabatan Tenaga Kerja Selangor.


"Seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 warga tempatan yang mempunyai kad pengenalan sah.


"Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk bekerja," katanya.


Mazhad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).


Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Mazhad berkata, JPN menjalankan 738 operasi penguatkuasaan antara Januari hingga 31 Ogos lalu, yang membawa kepada 365 kes tangkapan dan pendakwaan.


Daripada jumlah itu, 286 kes membabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 berkaitan penggunaan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.


Sebanyak 79 kes lagi membabitkan sijil kelahiran palsu di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).


Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut memeriksa 129 individu dan menahan enam daripadanya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.


"Operasi hari ini menunjukkan keberkesanan tindakan kita. Kami agak lega apabila mendapati kadar kesalahan yang dikesan hari ini adalah rendah," katanya.


Ops Layar dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Rabu, 9 September 2026

JIM tahan 1,155 pekerja PATI dalam Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi

JIM tahan 1,155 pekerja PATI dalam Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi


Seramai 1,155 pekerja warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan Ops Sasar yang dijalankan di 40 lokasi seluruh negara, hari ini.


Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya Datuk Basri Othman berkata, 2,254 individu termasuk warga tempatan diperiksa menerusi operasi besar-besaran itu dalam usaha membanteras isu pekerja PATI.


"Mereka yang ditahan terdiri daripada 907 lelaki dan 248 wanita berumur 21 hingga 58 tahun.


"Bagi JIM Putrajaya sahaja, kita melaksanakan pemeriksaan di sekitar Shah Alam dan Telok Panglima Garang, Klang pagi tadi.


"Di Shah Alam, kami memeriksa 227 individu dengan 117 daripadanya ditahan. Di Telok Panglima Garang pula 35 daripada 37 yang diperiksa ditahan," katanya pada sidang media di Shah Alam.


Mengulas serbuan di Telok Panglima Garang, beliau berkata, pihaknya menyerbu sebuah kilang dimiliki seorang individu warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).


Secara keseluruhan, Ops Sasar hari ini menahan 42 lelaki dan 42 wanita Indonesia, lelaki Bangladesh (400), wanita Bangladesh (seorang), lelaki India (121), wanita India (20), lelaki Myanmar (257), wanita Myanmar (178), lelaki Nepal (54), wanita Nepal (3), lelaki Pakistan (8) dan 29 lagi membabitkan lain-lain warganegara.


"Antara kesalahan dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa.


"Kesemua tahanan akan ditempatkan di depot tahanan berkaitan di seluruh negara dengan tangkapan oleh JIM Putrajaya dibawa ke Depoh Imigresen KLIA dan Semenyih.


"Ops Sasar pada kali ini memberi fokus kepada Ops Mahir iaitu lokasi-lokasi perindustrian atau komersial yang kerap menggajikan pekerja warga asing," katanya.


Menurut beliau, pihaknya menjalankan Ops Sasar sekali atau dua kali sebulan.


"Bagi warga asing, masih ada ruang untuk pulang ke negara asal dengan mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM), mereka boleh pulang secara sukarela dan PRM ini dibuka sehingga tahun hadapan," katanya.

Dituduh malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga termasuk kanak-kanak 2 tahun

Dituduh malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga termasuk kanak-kanak 2 tahun


Gara-gara berdendam selepas sering dituduh malas bekerja, seorang lelaki dipercayai membunuh rakan sekerjanya bersama isteri dan anak mereka yang baru berusia dua tahun di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.


Kejadian berlaku di sebuah premis pemotongan ayam di Jalan PDAM, Kelurahan Duyu, Kecamatan Tatanga pada malam 26 Julai lalu.


Mangsa, Jamil, 32, bersama anaknya, Rizki, 2, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Nurhanisa, 32, dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.


Bagaimanapun, Nurhanisa meninggal dunia pada 5 Ogos selepas 10 hari menerima rawatan susulan kecederaan parah dialaminya.


Menurut keluarganya, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa organ dalaman serta pendarahan serius.


Polis mengenal pasti suspek sebagai Aan Kurniawan, 31, yang bekerja bersama Jamil di premis pemotongan ayam berkenaan.


Sebelum kejadian, jiran dilaporkan terdengar bunyi pertengkaran sekitar jam 10 malam selain ancaman yang dipercayai ditujukan kepada Nurhanisa.


Jamil maut akibat kecederaan tikaman, manakala polis mengesyaki anaknya meninggal dunia selepas dipercayai dibekap atau dihentak dengan objek.


Nurhanisa yang turut ditikam sempat meminta pertolongan daripada jiran sebelum dibawa ke hospital.


Selepas kejadian, Aan melarikan diri dan bersembunyi selama kira-kira sebulan di sebuah pondok sekitar kawasan likuefaksi Balaroa.


Dia akhirnya ditahan tanpa perlawanan di kediaman keluarganya di Kecamatan Palu Barat pada 26 Ogos selepas meminta keluarganya menghubungi polis kerana mahu menyerah diri.


Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Palu, Ismail Boby, siasatan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan sakit hati suspek terhadap Jamil.


Suspek mendakwa mangsa sering mengatakan dia malas bekerja selain dia turut diberhentikan daripada pekerjaannya.


Aan kemudian menjalani lakon semula di lokasi kejadian sehari selepas ditahan bagi membantu penyiasat mendapatkan gambaran mengenai kronologi serangan.


Suspek kini ditahan dan berdepan beberapa pertuduhan mengikut undang-undang Indonesia berhubung kematian tiga mangsa berkenaan.

Enam kali gagal hadir mahkamah, ikat jamin pemandu mabuk dinaikkan dari RM3,000 ke RM30,000

Enam kali gagal hadir mahkamah, ikat jamin pemandu mabuk dinaikkan dari RM3,000 ke RM30,000


Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, menaikkan jumlah ikat jamin daripada RM3,000 kepada RM30,000 terhadap seorang lelaki yang dituduh memandu secara mabuk.


Ia berikutan tertuduh, Tan Bing Lee, 44, gagal hadir bagi prosiding sebutan kes terhadapnya sebanyak enam kali.


Selain itu, tertuduh turut dikenakan waran tangkap sebanyak dua kali berikutan kegagalannya mengemukakan alasan tidak muncul di mahkamah pada hari sebutan kes.


Majistret Mustaqim Sukarno membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu tidak menawarkan ikat jamin memandangkan tertuduh kerap tidak hadir setiap kali sebutan kes terhadapnya.


"Sebelum ini mahkamah benarkan ikat jamin RM3,000. Tujuh kali prosiding tapi kamu hanya datang sekali. Kemudiannya mahkamah terpaksa keluarkan waran tangkap dua kali terhadap kamu.


"Mahkamah mendapati kamu seolah-olah memandang ringan terhadap ikat jamin dikenakan sebelum ini. Kamu juga gagal memberi alasan kenapa tidak hadir setiap kali prosiding kes kamu.


"Jadi, mahkamah memutuskan ikat jamin dinaikkan kepada RM30,000 dengan dua penjamin," katanya.


Mengikut pertuduhan, tertuduh bekerja sebagai penari mengaku tidak bersalah memandu kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan mabuk.


Perbuatan itu dilakukan di Jalan Taman Kota, Yong Peng, Batu Pahat, pada jam 1.15 pagi, 11 Mei 2025.


Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.


Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar ikat jamin terbaru itu sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh


Kes kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai bulan lalu memasuki perkembangan mengejutkan apabila seorang suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh, manakala dua lagi atas kesalahan cubaan membunuh.


Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 21 suspek ditahan, terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 31 tahun, dalam beberapa operasi di Johor Bahru, Kulai dan Selangor.


Katanya, kesemua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.


"Seorang suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 atas kesalahan cubaan membunuh dan empat lagi mengikut Seksyen 426 atas kesalahan khianat.


"Seramai 14 suspek yang lain akan menjadi saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya, hari ini.


Rahaman berkata, seramai 14 daripada 21 suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing awal terhadap kesemua suspek didapati negatif.


Katanya, polis melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor Isnin lalu, sebelum arahan untuk pertuduhan dikeluarkan semalam.


Dalam kejadian jam 12.38 tengah malam pada 25 Ogos lalu, mangsa berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah maut dalam kemalangan di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.


Mangsa ketika itu menaiki sebuah Perodua Myvi bersama empat rakannya selepas makan malam apabila beberapa kenderaan dipercayai mula mengekori mereka.


Polis sebelum ini memaklumkan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai merempuh Perodua Myvi di bulatan terbabit, menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan.


Mangsa dipercayai dilanggar oleh Vellfire berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Kes itu pada mulanya disiasat sebagai kemalangan jalan raya sebelum diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan siasatan polis serta keterangan yang diperoleh daripada suspek.


Dalam siasatan berkenaan, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Kia Forte, Toyota Hilux, 12 telefon bimbit dan dua batang besi, termasuk baton serta kayu besbol.


Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru.

Pemuda Harapan Bangi lapor polis terhadap individu dakwa tak dengar azan Subuh

Pemuda Harapan Bangi lapor polis terhadap individu dakwa tak dengar azan Subuh


Pemuda Harapan Bangi membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa azan Subuh tidak lagi kedengaran dari masjid dan surau di sekitar kawasan tersebut.


Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Selasa.


"Saya berharap laporan polis ini sekali gus mampu menoktahkan fitnah politik," katanya ringkas menerusi hantaran di Threads.


Syahredzan terdahulu membidas dakwaan sedemikian sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai amat jahat dan bermotifkan politik.


Beliau sempat bertanyakan tentang lokasi spesifik masjid mahupun surau di Bangi yang dimaksudkan individu berkenaan.


Sebelum ini, seorang pengguna TikTok mendakwa sudah tiga hari azan Subuh di kawasan sekitar Bangi tidak kedengaran dari surau atau masjid berdekatan.


Dakwaan semakin panas apabila ruangan komen mengaitkan kejadian tersebut dengan isu politik memandangkan Syahredzan ialah Ahli Parlimen DAP bagi kawasan berkenaan.


Walaupun hantaran asal telah hilang daripada akaun individu berkenaan, namun tangkap layar masih tersebar luas di media sosial.


Pelaku menerusi ruangan komen di hantaran video seterusnya memberi alasan bahawa TikTok yang memadamkannya.

Selasa, 8 September 2026

Gagal bayar hutang along, lelaki buat 77 khianat simbah cat dan bakar rumah mangsa lain

Gagal bayar hutang along, lelaki buat 77 khianat simbah cat dan bakar rumah mangsa lain


Tidak mampu melunaskan hutang kepada sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along), seorang lelaki bukan sahaja menjadi mangsa, malah dipaksa melakukan khianat terhadap peminjam lain yang gagal membayar hutang.


Lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai diarahkan sindiket terbabit untuk menyimbah cat serta membakar rumah dan kenderaan mangsa sebelum mengunci kediaman menggunakan mangga dan meninggalkan nota ugutan.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek ditahan dalam Op Simbah pada 7 Julai lalu selepas polis menyerbu sebuah kereta Proton Saga.


Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menerima bayaran antara RM100 hingga RM400 bagi setiap perbuatan khianat yang dilakukannya.


“Suspek pada awalnya merupakan mangsa pinjaman sindiket along tetapi tidak mampu membayar hutang tersebut sebelum sindiket mengarahkannya melakukan khianat dan ugutan terhadap mangsa lain.


“Berdasarkan pengakuan suspek, dia terlibat dalam 77 kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat serta membakar kenderaan dan rumah mangsa," katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian hari ini.


Mohd. Alwi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 57 kes berlaku di Perak, diikuti 15 kes di Kedah dan lima kes di Pulau Pinang.


Menurut beliau, bayaran kepada suspek dibuat menggunakan akaun Touch ‘n Go eWallet, manakala sindiket berkenaan dipercayai beroperasi dari Singapura.


Katanya, suspek berhubung dengan sindiket terbabit menerusi telefon dan Facebook, manakala usaha mengesan serta menangkap anggota sindiket yang terlibat sedang giat dijalankan.


"Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan turut dikehendaki berkaitan satu kes penipuan di Sabah," katanya.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah Proton Saga BLM, satu tin cat, botol dan tong berisi petrol, pemetik api, nota kertas A4, plastik lut sinar, pelitup muka, beg sandang, topi besbol, seluar serta dua telefon bimbit.


Mohd. Alwi berkata, suspek telah didakwa di Mahkamah Parit Buntar pada 7 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Lelaki cabul anak saudara rayu kurang hukuman, mahkamah tambah kepada 20 tahun penjara

Lelaki cabul anak saudara rayu kurang hukuman, mahkamah tambah kepada 20 tahun penjara


Rayuan seorang lelaki supaya tempoh penjara kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia empat tahun diringankan tidak berjaya selepas Mahkamah Rayuan, hari ini menambah hukuman itu menjadi 20 tahun.


Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, berkata mahkamah menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman yang dikenakan terhadap lelaki berusia 45 tahun itu.


Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azman berkata, peningkatan hukuman itu sebagai amaran kepada perayu dan masyarakat awam supaya tidak memandang ringan sebarang kesalahan, terutamanya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.


Bagi kesalahan amang seksual, panel terbabit menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun.


Mahkamah juga menaikkan hukuman penjara dua tahun terhadap lelaki itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kepada 5 tahun.


Azman memerintahkan supaya dua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara lelaki itu kepada 20 tahun.


Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy juga mengekalkan hukuman lima sebatan terhadap perayu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.


Mahkamah turut mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya lelaki itu menjalani sesi kaunseling dalam tempoh di penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.


Sebelum ini, lelaki itu dihukum penjara 12 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 22 Disember 2022 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 18 November tahun lalu.


Pada prosiding hari ini, peguam KA Ramu, memberitahu mahkamah anak guamnya meneruskan rayuan terhadap hukuman tetapi menarik balik rayuan terhadap sabitan.


Katanya, beliau sudah menasihatkan anak guamnya supaya tidak meneruskan rayuan itu, namun lelaki terbabit berkeras untuk berbuat demikian. Ramu memohon mahkamah untuk mengurangkan hukuman itu kepada antara tujuh dan lapan tahun.


Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail, menggambarkan kes itu seperti peribahasa "harapkan pegar, pegar makan padi" dan menyatakan perayu mengajak mangsa bermain permainan "jadi-jadi" di tempat letak kereta.


Beliau berkata, keputusan lelaki itu untuk meneruskan rayuan menunjukkan dia tidak kesal dengan perbuatannya dan memohon mahkamah menggunakan Seksyen 60 untuk meningkatkan hukuman terbabit.