Pelayan restoran berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam, atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan merempuh mangsa menggunakan kereta ketika insiden pergaduhan bersenjata di Air Itam, bulan lalu.
Lim Boon Sik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Ditanya sama ada dia memahami bahasa Melayu, tertuduh menjawab hanya memahaminya sedikit dan memilih pertuduhan dibacakan dalam bahasa Cina.
Mengikut pertuduhan, Boon Sik didakwa merempuh Yeap Jhun Ee, 25, menggunakan Perodua Axia dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatannya boleh menyebabkan kematian mangsa.
Kejadian itu didakwa berlaku jam 12.30 tengah malam pada 29 Ogos lalu di Jalan Paya Terubong 3, Blok B, Bandar Baru, Georgetown.
Boon Sik didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu, hukuman boleh diperluaskan kepada penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, memohon jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh yang hanya mahu dikenali sebagai Tan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda, mempunyai alamat tetap di negeri ini dan tidak berisiko melarikan diri.
"Anak guam saya memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan. Ibu bapanya juga hadir di mahkamah," katanya sambil memaklumkan tertuduh bersedia melapor diri kepada pihak berkuasa serta tidak akan mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam itu turut memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan jaminan, selain merujuk beberapa kes terdahulu membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Juraidah kemudian membenarkan Boon Sik diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat Malaysia.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai serta melarangnya daripada mengganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.
Pada Selasa lalu dilaporkan 11 lelaki didakwa semalam berhubung rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Gang 04 di Air Itam pada 29 Ogos lalu, termasuk pertembungan antara dua kumpulan berkenaan di luar SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua.
Seorang lelaki berusia 19 tahun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

EmoticonEmoticon