Khamis, 3 September 2026

 19 PATI warga Thailand dihantar pulang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam

19 PATI warga Thailand dihantar pulang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam


Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dipindahkan dan dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, PATI yang dipindahkan terdiri daripada 14 lelaki dan lima wanita itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik.


Mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sebelum proses pemindahan dilaksanakan.


"Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI berkenaan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem imigresen bagi menghalang sebarang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang.


"Program pemindahan ini adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan JIM Kedah dalam usaha membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini," kata kenyataan itu.


Berikutan itu, JIM Kedah akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara.

123 tukang masak, tukang urut, pelayan warga asing ditahan Imigresen

123 tukang masak, tukang urut, pelayan warga asing ditahan Imigresen


Seramai 123 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan 48 jam di Johor bermula Selasa lalu.


Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata, turut ditahan enam rakyat Malaysia yang dipercayai pengurus premis kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).


Beliau berkata, warga asing berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan, pas dan permit kerja yang sah, manakala rakyat Malaysia dipercayai melakukan kesalahan melindungi PATI.


Katanya, operasi dua hari itu menyasarkan pelbagai premis yang dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi berlaku pelanggaran peraturan imigresen, termasuk restoran, pusat servis kenderaan, kedai dobi, kedai aksesori kereta dan pusat refleksologi.



Beliau berkata, enam rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pengurus premis ditahan dalam serbuan berkenaan dan 29 saman turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.


"Kesemua mereka terdiri daripada 53 lelaki dan 70 wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.


"Mereka membabitkan 47 lelaki dan 27 wanita Myanmar, 24 warga Indonesia termasuk 14 wanita, enam lelaki Nepal, lima lelaki Bangladesh, lima lelaki Pakistan, lapan wanita dan seorang lelaki China serta seorang wanita Vietnam," katanya.


Mohd Rusdi berkata, warga asing terbabit dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan, manakala sebahagian lagi adalah pelanggan di premis berkenaan.


Beliau berkata, kesemua 123 warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Katanya, mereka ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi membantu siasatan.

Polis kesan pemandu biar budak keluar badan di 'sunroof' MPV sedang bergerak

Polis kesan pemandu biar budak keluar badan di 'sunroof' MPV sedang bergerak


Polis menyiasat kejadian tular membabitkan dua kanak-kanak duduk di bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang bergerak di jalan raya mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti pemilik kenderaan itu yang mendakwa menjadikan MPV jenis Toyota Alphard terbabit sebagai kenderaan sewa.


Katanya, usaha mengesan pemandu ketika kejadian berlaku sedang dijalankan.


"Tindakan boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak. Sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, dan mereka yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Zurainie Syamira Mohd Zainudin di talian 017-955 8984.


Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, katanya.


Terdahulu tular sebuah video yang memaparkan dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV mewah jenis Toyota Alphard.


Kanak-kanak tersebut dipercayai naik melalui 'sunroof' (bumbung tembus cahaya) dalam keadaan kereta sedang bergerak di jalan raya.


Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai berlaku bermula susur keluar Meru ke Jalan Jelapang-Simpang Pulai, bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan.


Rakaman tersebut mendapat kecaman daripada netizen kerana ia boleh membahayakan kanak-kanak berkenaan.

Warga asing didakwa bina rumah secara haram di tepi sungai di Selayang

Warga asing didakwa bina rumah secara haram di tepi sungai di Selayang


Sebuah penempatan terpencil di Sungai Batu, Selayang dipercayai diduduki warga asing termasuk etnik Rohingya didakwa membina beberapa rumah secara tidak sah dengan turut membela anjing sebagai 'loceng' amaran kehadiran individu tidak dikenali.


Perkara itu didedahkan sekumpulan individu yang dikongsikan di media sosial yang turut ke lokasi sebelum perkongsian itu tular dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang berharap penempatan itu dipantau serta diambil tindakan oleh pihak berkuasa berkaitan.


Berdasarkan perkongsian video daripada penstriman langsung pihak berkenaan, situasi lokasi dilihat seperti di kawasan belukar dengan beberapa binaan dipercayai penempatan yang dibina secara tidak sah namun 'penduduk' sudah 'lesap' dipercayai melarikan diri.


Berkongsi perkara itu, Zarif Syarafuddin Sufi, 24, berkata, dia bersama kumpulannya dan badan bukan kerajaan (NGO), Surplus ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat berhubung perkara itu daripada seorang penduduk setempat pada Isnin lalu.


Dakwanya, kawasan berkenaan dipercayai rezab sungai dijadikan penempatan warga Bangladesh dan etnik pelarian Rohingya dengan mereka membina kira-kira tiga rumah untuk diduduki selain reban ayam dan membela puluhan anjing di kawasan berkenaan.


"Ketika kami masuk anjing di situ menyalak kuat dan mungkin itu menjadi petanda buat warga asing di situ melarikan diri. Di dinding rumah mereka ada contengan disyaki bahasa etnik Rohingya.


"Saya percaya penempatan itu memang diduduki warga asing cuma apabila kami sampai mereka semua sudah tiada namun ada 'jejak' ditinggalkan iaitu nasi dan lauk yang masih panas," dakwanya ketika dihubungi, hari ini.


Dia mendakwa warga asing itu turut membuat bot sendiri dengan menggunakan tong selain mempunyai tanaman pisang dan keladi serta disyaki menjala ikan di sungai untuk dijual di pasar serta menemui kira-kira 50 kilogram (kg) ikan talapia disimpan dalam tong.


"Kami juga jumpa sambungan paip air haram cuma tidak tahu dari mana ia disambungkan dan di bawah jambatan berhampiran ada kira-kira sembilan rumah diduduki disyaki warga Bangladesh," dakwanya.


Zarif berkata, dia berkongsi pendedahan itu untuk membuka mata rakyat negara ini supaya tidak terus membiarkan warga asing membuat sewenang-wenangnya terutama menceroboh kawasan rezab untuk penempatan haram, seolah-olah negara tiada undang-undang.


"Sebagai rakyat negara ini saya tak mahu warga asing termasuk pelarian membina penempatan haram walaupun mereka mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).


"Saya buat penstriman langsung itu juga sebagai bukti pendedahan berkenaan dan sebelum ini aduan berhubung perkara itu juga sudah pernah dibuat," dakwanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi berkata, penempatan haram adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.


Bagaimanapun katanya, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan berbincang dengan agensi penguat kuasa lain bagi tindakan lanjut terutama membabitkan pemeriksaan dokumen berhubung isu berkenaan.


"Kita akan bincang dengan agensi penguatkuasa lain yang diterajui pihak berkuasa tempatan," katanya.

Akibat terlupa tempat parkir, wanita lapor polis motosikal dicuri

Akibat terlupa tempat parkir, wanita lapor polis motosikal dicuri


Disangka dicuri rupanya terlupa tempat parkir. Itu yang berlaku kepada seorang wanita yang menyangka motosikalnya dicuri namun masih berada di parkir.


Dalam kejadian di Lamongan baru-baru ini, mangsa membuat laporan polis selepas tiga hari menyangka motosikalnya hilang.


Nasib wanita itu baik apabila pekerja kedai runcit di mana motosikal itu diletakkan menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan selepas merasakan ada sesuatu yang tidak kena.


Pihak berkuasa kemudiannya bergegas ke lokasi dinyatakan dan membawa motosikal itu ke balai berdekatan.


Pegawai Perhubungan Awam Polis Lamongan, M Hamzah berkata, semakan rekod mendapati, ia sepadan dengan laporan diterima mengenai kehilangan motosikal itu.


"Mangsa sebelum ini membuat laporan kerana panik apabila mendapati motosikalnya tiada di kawasan tempat letak kenderaan rumah sewa.


"Selepas polis membuat pengesahan, pemiliknya baru teringat dia ada menunggang motosikal berkenaan ke kedai runcit berkenaan.


"Bagaimanapun, semasa mahu pulang ke rumah sewa, dia hanya berjalan kaki dan terlupa motosikalnya masih ditinggalkan di tempat hadapan kedai," katanya.


Wanita berkenaan kemudian hadir ke balai polis untuk menuntut motosikalnya itu.


Selain itu, polis turut memberikan penghargaan yang tinggi kepada pekerja kedai runcit yang prihatin serta mengambil tindakan tepat dengan menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan.

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan


Polis Hong Kong menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri mata wang asing bernilai hampir HK$6,000 (kira-kira RM3114.50) ketika dalam penerbangan dari Thailand.


Kejadian disaksikan seorang penumpang yang didakwa merakam dan melaporkannya kepada kru.


Polis berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan atas dakwaan mencuri selepas penerbangan HK Express mendarat di bandar raya berkenaan sejurus sebelum tengah malam pada Rabu.


Polis menganggarkan mata wang itu bernilai kira-kira HK$6,000, namun satu sumber menyatakan jumlah tersebut adalah 25,000 baht, yang bersamaan dengan HK$5,885 (kira-kira RM3,035.56).


Sumber dalaman itu berkata suspek didakwa berjalan dari bahagian belakang pesawat untuk membuka ruang penyimpanan barang di hadapan kabin.


"Dia menyelongkar sebuah beg hitam, lalu mengambil wang tunai daripada beg tersebut dan memasukkannya ke dalam poketnya," kata sumber itu.


South China Morning Post difahamkan seorang lagi penumpang dipercayai menyaksikan kecurian itu, merakamnya menggunakan telefon pintar dan memaklumkannya kepada petugas.


Sumber dalaman itu menambah pramugari kemudiannya mengenal pasti pemilik beg tersebut dan memaklumkan kakitangan lapangan terbang untuk membuat laporan polis.


Pasukan siasatan jenayah daerah polis lapangan terbang kini sedang menyiasat kes berkenaan.

Rabu, 2 September 2026

Ganggu dan ugut isteri berulang kali, lelaki 39 tahun ditahan

Ganggu dan ugut isteri berulang kali, lelaki 39 tahun ditahan


Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mengganggu dan mengugut isterinya secara berulang kali sehingga mangsa bimbang terhadap keselamatan dirinya.


Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya di sebuah hospital di daerah ini.


Menurutnya, suspek yang juga suami mangsa dipercayai datang ke lokasi berkenaan sebelum mengugut untuk mencederakan mangsa selepas wanita itu didakwa tidak mengikut arahannya.


"Selain itu, suspek turut menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.


“Mangsa yang berasa takut dan bimbang susulan gangguan serta ancaman yang berlaku berulang kali kemudian membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan usaha mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, Tawau.


Wilynton berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna putih bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri.


Katanya, mangsa atau individu yang berdepan situasi sedemikian dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Pukul guna tukul besi kerana ganggu 'awek' - bapa tiga anak dijel 16 bulan

Pukul guna tukul besi kerana ganggu 'awek' - bapa tiga anak dijel 16 bulan


Pekerja kebun dipenjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan tukul besi selepas menuduh mangsa mengganggu teman wanitanya.


Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhi hukuman itu terhadap Saifol Bahar Saidun, 47, yang juga bapa kepada tiga anak selepas mengambil kira pengakuan dibuat serta rayuan dikemukakan.


Mengikut pertuduhan, Saifol Bahar didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa berusia 37 tahun dengan memukulnya menggunakan tukul besi yang boleh menyebabkan kematian.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Saidi, Senggarang, jam 11.45 malam, 27 Ogos lalu, dan dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.


Berdasarkan fakta kes, mangsa datang ke rumah tertuduh dan ketika berada di kediaman terbabit, tertuduh mencederakan mangsa dengan memukul kepala dan badan menggunakan tukul besi sepanjang 14 sentimeter.


Mangsa dapat melepaskan diri sebelum membuat laporan polis dengan tertuduh berjaya ditahan keesokan harinya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Lelaki pukul isteri kerana enggan beri wang main judi online direman

Lelaki pukul isteri kerana enggan beri wang main judi online direman


Seorang lelaki direman tiga hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya gara-gara wanita itu enggan beri wang kepadanya untuk bermain judi dalam talian.


Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga Jumaat nanti.


Ia membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.


Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 4 pagi 31 Ogos lalu di sebuah rumah di Rengit selepas lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap mangsa.


Lelaki itu bertindak memukul kepala mangsa beberapa kali hingga menyebabkannya cedera.


Akibat tidak tahan dengan perbuatan lelaki yang panas baran dan kerap memukulnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rengit pada hari kejadian.


Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya menahan lelaki itu pada 1.30 tengah hari semalam di rumahnya bagi membantu siasatan.