Rabu, 5 Ogos 2026

Penjual minyak wangi warga Pakistan didakwa mencabul wanita dalam kenderaan

Penjual minyak wangi warga Pakistan didakwa mencabul wanita dalam kenderaan


Penjual minyak wangi warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita baru dikenali dalam kenderaan awal bulan ini.


Umair Iqbal Sheikh, 33, yang juga bapa kepada tiga anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan terhadap wanita berusia 26 tahun dalam kereta di parkir di Taman Sri Jaya, Batu Pahat pada 4.30 petang, 1 Ogos lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau pun mana-mana dua daripada hukuman itu.


Berdasarkan laporan, tertuduh mengenali pengadu yang juga mangsa melalui media sosial sebelum mengajaknya berjumpa.


Ketika mangsa mahu keluar dari kenderaan, tertuduh bertindak melakukan perbuatan itu menyebabkan mangsa terkejut dan ketakutan.


Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat, sekali gus membolehkan tertuduh ditahan pada jam 7 petang hari sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan kes disebut semula 25 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM Tahan Reman Pengarah Syarikat, Kes Rasuah Bernilai RM300,000

Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM Tahan Reman Pengarah Syarikat, Kes Rasuah Bernilai RM300,000


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat reka bentuk kerana disyaki memberi rasuah bernilai kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun.


Suapan berkenaan dipercayai diberikan sebagai balasan bagi mmbantu syarikat suspek mendapatkan projek ubah suai di badan berkanun terbabit. Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama dua hari.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


Menurut sumber, suspek ditahan pada jam 7.30 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.


Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan rasuah berkenaan antara tahun 2014 hingga 2018.


"Suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk kerja-kerja pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang bernilai keseluruhan kira-kira RM300,000," katanya.


Tahanan reman ini adalah susulan siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.


Laporan itu didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0


Sebanyak 222 motosikal yang disita sepanjang program RXZ Members 8.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas proses saman dan dokumentasi selesai.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan dilakukan secara berperingkat pada Ahad serta Isnin. 


Beliau berkata, kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dalam sebarang kejadian jenayah, sebaliknya tindakan itu dibuat atas kesalahan serta pelanggaran undang-undang jalan raya seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, perlindungan insurans dan brek belakang.


"Pemilik motosikal telah mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan. Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada penganjuran himpunan RXZ Members akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 


Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menghormati minat serta aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.


Bagaimanapun, JPJ Terengganu menegaskan aspek keselamatan serta kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam setiap penganjuran aktiviti permotoran berskala besar.


Menurut agensi itu, pengukuhan budaya keselamatan membabitkan peserta, penganjur dan agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memastikan kelancaran setiap program.


"JPJ Terengganu mengambil serius kenyataan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli berhubung aduan masyarakat terhadap segelintir peserta RXZ Members 8.0 yang menunggang secara tidak selamat, sekali gus menyebabkan kesesakan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.


"Oleh itu, JPJ Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko, khususnya terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta tindakan menunggang secara berbahaya bagi memastikan setiap aktiviti berlangsung dengan selamat," katanya.

Selasa, 4 Ogos 2026

Pegawai Bomba didakwa terima rasuah sebagai dorongan keluarkan surat sokongan

Pegawai Bomba didakwa terima rasuah sebagai dorongan keluarkan surat sokongan


Seorang pegawai bomba didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,500 pada 2024 dan tahun lalu.


Tertuduh Johari Bar Azwar, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penguasa Bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sungai Petani didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada pemilik syarikat Kejuruteraan Union Langkawi Sdn Bhd, Khaw Kon Aun, 66, sebagai dorongan mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang Restoran Yasmeen, Amanjaya Mall, Sungai Petani pada 4 April 2024, jam 12.30 tengah hari.


Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah.


Tertuduh turut didakwa meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat Jin Hua Tong Sdn Bhd, Lim Zhan Xian, 27, sebagai dorongan mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM bertarikh 3 Februari 2025 bagi syarikat Jin Hua Tong Sdn Bhd dan Megamaju Sdn Bhd.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan syarikat Jin Hua Tong Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, Sungai Petani, pada 4 Februari 2025, jam 3 petang.


Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai rasuah.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Ahmad dan Nur Azimul Azami.


Peguam tertuduh dalam mitigasinya kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan minimum berikutan anak guamnya masih menanggung isteri dan empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bersama dua penjamin dan menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula.


Tertuduh membayar ikat jamin berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Lagi warga Malaysia ditahan seludup dadah di lapangan terbang Indonesia

Lagi warga Malaysia ditahan seludup dadah di lapangan terbang Indonesia


Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun selepas didakwa menemui hampir satu kilogram (kg) methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo.


Jakarta Globe.ID melaporkan, suspek yang dikenal pasti dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, kata pihak berkuasa pada Isnin.


Menurut pihak berkuasa, pegawai menemui empat bungkusan yang mengandungi gabungan 990 gram methamphetamine dan empat bungkusan yang mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dibalut pada badannya.


DI didakwa memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia bersetuju bekerja sebagai penghantar untuk rangkaian dadah antarabangsa kerana dia sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mempunyai hutang.


"Suspek cuba menyembunyikan narkotik itu di bawah korset yang dipakainya untuk mengelakkan pemeriksaan. Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan," kata Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan, pada sidang media pada Isnin.


Pihak berkuasa menganggarkan dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran sekitar Rp2.79 bilion (RM715,000). Mereka berkata, rampasan itu berpotensi menghalang dadah itu daripada sampai kepada kira-kira 6,584 pengguna.



DI dan narkotik yang dirampas itu diserahkan kepada penyiasat di polis perbandaran Sidoarjo untuk tindakan undang-undang selanjutnya dan membantu membongkar rangkaian lebih besar yang didakwa terbabit dalam perdagangan dadah antarabangsa.


Dia berdepan hukuman penjara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.


Rampasan di Juanda itu menyusuli satu kes berasingan yang membabitkan seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.


Juruterbang itu, yang dikenal pasti dengan inisial MS, ditahan pada 28 Julai selepas pegawai kastam menandakan beg pakaiannya untuk diperiksa susulan imbasan sinar-X di terminal ketibaan antarabangsa.


Pemeriksaan itu dilaporkan menemukan 14 bungkusan yang mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan berat 25.19 kilogram. Pegawai turut menemukan 2.7 gram methamphetamine dalam sebuah beg galas hitam.


Pihak berkuasa berkata, MS memberitahu penyiasat bahawa seorang individu mengarahkannya untuk membawa dadah itu ke Jakarta dengan upah RM50,000. Dia didakwa dijangka menerima arahan lanjut daripada seorang kenalan di Malaysia sebelum menyerahkan dadah itu kepada seorang penerima di sebuah hotel di Jakarta.


Polis turut berkata, MS mendakwa sudah menjalankan dua operasi penyeludupan dadah sebelum ini, termasuk membawa methamphetamine ke Sabah dan kemudian membawa kira-kira 7 kilogram syabu ke Jakarta.

Tiga warga Bangladesh maut, seorang parah bergaduh sesama sendiri di Port Dickson

Tiga warga Bangladesh maut, seorang parah bergaduh sesama sendiri di Port Dickson


Tiga warga Bangladesh maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terbabit pergaduhan dengan rakan senegara di Taman Linggi, Port Dickson semalam.


Difahamkan, dua daripada mangsa ditemui maut di kawasan Ladang Sua Manggis, Linggi.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang dengan mangsa parah kini dirawat di Hospital Rembau.


"Polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan pergaduhan membabitkan beberapa warga Bangladesh di sebuah rumah di Taman Linggi dan pasukan dari Balai Polis Linggi bergegas ke lokasi.


"Pasukan berjaya menahan lelaki warga Bangladesh berusia 40-an di lokasi yang dipercayai terbabit dengan kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, turut ditemui di rumah itu adalah dua mangsa dengan seorang maut dan seorang lagi parah.


Katanya, hasil siasatan awal, polis kemudian dibawa ke kawasan Ladang Sua Manggis di Linggi dan menemui dua lagi mangsa sudah meninggal dunia.


Menurutnya, mangsa dan suspek adalah rakan sekerja yang tinggal di kediaman sama.


"Pergaduhan dipercayai berlaku di beberapa lokasi. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan kronologi kejadian.


"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini untuk permohonan reman," katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau mana-mana polis berhampiran.

Janda, lelaki bujang ditangkap khalwat, mengaku sudah bertunang

Janda, lelaki bujang ditangkap khalwat, mengaku sudah bertunang


Lelaki bujang dan wanita berstatus janda yang mendakwa sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini ditahan ketika ditemui berdua-duaan dalam sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru, semalam.


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan berkata, pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas penguat kuasa jabatan itu membuat serbuan sebaik menerima aduan daripada orang awam.


Menurutnya, penguat kuasa JAINJ tiba di rumah itu pada 12.05 tengah malam sebelum mengetuk pintu dan dibuka oleh seorang wanita yang memakai baju tidur kira-kira lapan minit kemudian.


"Penguat kuasa kemudiannya memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan.


"Tiada orang lain ditemui di ruang tamu dan penguat kuasa bertanya kepada wanita berkenaan siapa lagi yang berada dalam rumah.


"Wanita itu beritahu dia bersama tunangnya sedang makan di dapur dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang berseluar panjang, namun tidak berbaju," katanya.


Menurut JAINJ, hasil soal siasat didapati pasangan itu bukan suami isteri. lelaki itu masih bujang dan wanita pula berstatus janda tiada anak dan mereka bekerja di daerah ini.


"Rumah itu adalah rumah sewa wanita yang tinggal seorang diri. Lelaki itu datang ke rumah dengan menaiki motosikal pada 10 malam sebelum penguat kuasa menerima aduan khalwat berkenaan.


"Menurut pengadu, lelaki itu kerap datang ke rumah berkenaan dan berada lama di dalam rumah," katanya.


Pasangan itu kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

Op Crack: Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan SPRM

Op Crack: Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) menerusi Op Crack.


Sumber berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan pada 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.


"Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) tanpa mengikut prosedur yang sah.


"Susulan tangkapan itu, SPRM menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek," katanya.


Setakat ini, sumber berkata, 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.


Katanya, SPRM juga sudah mengambil tindakan membekukan sembilan akaun perbankan, empat milik individu dan dua milik syarikat membabitkan nilai kira-kira RM300,000.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.


Katanya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.


Terdahulu media melaporkan, JIM akan membatalkan semua 1,306 PLKS yang diluluskan secara tidak sah susulan penggodaman MyIMMs.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah itu tidak memberi hasil kepada kerajaan dan tindakan pembatalan akan dilaksanakan serta-merta.


Sebelum ini, SPRM menahan reman 12 individu termasuk enam pegawai JIM kerana disyaki bersubahat menggodam MyIMMs bagi mendapatkan kelulusan PLKS secara tidak sah.

Isnin, 3 Ogos 2026

Remaja 15 tahun mengaku salah buang bayi di kawasan semak

Remaja 15 tahun mengaku salah buang bayi di kawasan semak


Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya di kawasan semak di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, Tawau bulan lalu.


Remaja yang tidak lagi bersekolah itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa meninggalkan seorang bayi yang baru dilahirkannya dengan niat hendak membuang bayi berkenaan di kawasan itu kira-kira jam 4.30 pagi pada 21 Julai lalu.


Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang merupakan ibu kepada bayi berkenaan.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah bagaimanapun menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan kimia tertuduh.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.


Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7 pagi pada 21 Julai lalu mengenai penemuan seorang bayi perempuan di lokasi berkenaan.


Susulan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan tertuduh kira-kira jam 11.10 pagi pada hari sama.


Siasatan lanjut mendapati tertuduh dipercayai melahirkan bayi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan semak itu sebelum meninggalkannya dengan niat membuang bayi terbabit.


Kes ini mendapat perhatian apabila seorang bayi perempuan seberat 3.1 kilogram ditemui ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa kira-kira jam 6 pagi sebelum diselamatkan orang awam dan dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan serta rawatan.


Susulan penemuan itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Penagih dadah diburu cuba bunuh dua anggota polis maut ditembak

Penagih dadah diburu cuba bunuh dua anggota polis maut ditembak


Seorang penagih dadah yang diburu susulan cubaan membunuh dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada Jun lalu, mati ditembak, pagi semalam.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata hasil maklumat orang awam suspek ditemui bersembunyi di sebuah pondok dusun buah di Kampung Klian Gunung Ijok, Batu Kurau, kira-kita jam 8.20 pagi.


"Sebaik tiba lokasi, pihak polis melihat suspek berada di bawah pondok.


"Anggota polis cuba menghampiri, namun suspek terus bangun dan mengambil sebilah parang berhampirannya lalu menyerang dan cuba menetak pegawai dan anggota yang melakukan serbuan.


"Bagi mempertahankan diri daripada ancaman itu, anggota polis melepaskan satu das tembakan di bahagian kaki menyebabkan peha kanan dan kiri suspek cedera." katanya pada sidang media di IPD Selama, hari ini.


Pihak perubatan mengesahkan suspek meninggal dunia pada 9.20 pagi.


Mohd Alwi berkata, suspek yang bekerja kampung mempunyai 10 rekod lalu dengan tiga daripadanya berkaitan jenayah dan tujuh lagi kes dadah.


"Bedah siasat masih dijalankan di Hospital Taiping," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, dua anggota IPD Selama parah selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang lelaki dipercayai penagih dadah di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama, pada 23 Jun lalu kira-kira jam 12.10 tengah hari sebelum melarikan diri.


Susulan insiden itu, seorang anggota polis berusia 44 tahun ditikam dan ditoreh hingga menyebabkan kecederaan di kepala, perut dan tangan.


Seorang lagi berusia 27 tahun turut cedera di bahagian dahi, mata kiri hingga pipi dan tangan serta siku.


Kedua-dua anggota itu mendapatkan rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari dan mula bekerja seminggu yang lalu.


Artikel berkaitan: Dua anggota polis parah diserang penagih dadah ganas di Kampung Sungai Jernih, Ijok.