Sabtu, 17 Januari 2026

'Kalau Ketua Menteri suruh letak jawatan, saya letak jawatan' - Exco DAP Melaka

'Kalau Ketua Menteri suruh letak jawatan, saya letak jawatan' - Exco DAP Melaka


"Kalau Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh suruh saya letak jawatan, saya akan letak jawatan." Demikian ujar Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah daripada DAP.


Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan yang akan diambil susulan pengumuman Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang melepaskan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan selepas mendapat desakan beberapa pihak.


Menurut Allex, jawatan yang disandangnya ketika ini adalah hasil pelawaan Ketua Menteri Melaka atas semangat memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta mendapat restu pucuk pimpinan DAP, termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.


Tegas beliau, jawatan tersebut tidak akan dilepaskan hanya kerana desakan mana-mana pihak sama ada daripada pembangkang atau pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.


"Dalam mana-mana kerajaan negeri, sekiranya seseorang Exco itu tidak lagi mendapat kepercayaan Ketua Menteri, Menteri Besar atau parti sendiri, jawatan tersebut akan digugurkan secara automatik.


"Jadi, selagi tiada permintaan daripada pucuk pimpinan parti dan Ketua Menteri, isu ini tidak timbul walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen politik," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Porsche di Dataran Sejarah Ayer Keroh hari ini, sebagai menjawab pertanyaan media mengenai pendirian DAP sekiranya diminta melepaskan jawatan oleh Ketua Menteri.


Terdahulu, media melaporkan Pas Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan Eco dan Timbalan Speaker DUN Melaka.


Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, ia selari tindakan berprinsip Dr Akmal yang meletak jawatan Exco Melaka secara sukarela.


Allex berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka.


"Apa yang penting ialah kita menumpukan kerja untuk masyarakat, mengurangkan sentimen politik dan terus memperkukuh perpaduan supaya kerajaan ini kekal stabil," katanya.


Pada Khamis, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, peletakan jawatan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP.

Jumaat, 16 Januari 2026

Menteri Indonesia dakwa Singapura tidak senang lihat ekonomi negaranya maju

Menteri Indonesia dakwa Singapura tidak senang lihat ekonomi negaranya maju


Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto, mendakwa terdapat negara jiran yang tidak senang melihat kemajuan ekonomi Indonesia, dengan Singapura disebut sebagai contoh utama.


Kenyataan itu disampaikan semasa acara road to Jakarta Food Security Summit (JFSS) 2026 di Jakarta Selatan, pada 13 Januari 2026.


Menurut beliau, semakin aktif Indonesia menyertai perjanjian perdagangan bebas dan blok dagang antarabangsa, semakin jelas ketidakselesaan pihak-pihak tertentu di negara jiran.


"Singapura tidak suka jika Indonesia terlibat dalam semua perjanjian perdagangan bebas.


"Malah, terdapat usaha-usaha untuk menghalang kemajuan kita," kata Airlangga, walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci bentuk gangguan yang dimaksudkan.


Beliau menekankan bahawa langkah Indonesia membuka akses pasaran ke pelbagai negara akan diteruskan, selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto.


Berdasarkan kajian firma Switzerland, Indonesia mencatat antara pembukaan pasaran terbesar di dunia pada 2025.


Airlangga menyorot kejayaan Indonesia memeterai perjanjian Comprehensive Economic Partnership Agreement (CEPA) bersama Kesatuan Eropah dan Kanada, selain perjanjian perdagangan bebas dengan pihak Ekonomi Eurasia (Free Trade Agreement).


Indonesia juga sedang mempersiapkan memorandum of understanding untuk CEPA bersama United Kingdom.


Indonesia kini merupakan anggota blok perdagangan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang melibatkan 10 negara ASEAN serta lima rakan strategik: China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.


Di peringkat antarabangsa, Indonesia sedang melalui proses 'technical review' untuk menjadi anggota Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) - organisasi yang kini dianggotai 38 negara, mewakili 46 peratus KDNK dunia dan 70 peratus perdagangan global.


Thailand disebut sedang mengikuti jejak langkah Indonesia dalam usaha bergabung.


Selain itu, Indonesia turut menyertai The Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP), walaupun masih ketinggalan berbanding Singapura, Malaysia, dan Vietnam.


"Maka, Indonesia kini berada di posisi terdepan berbanding negara ASEAN lain dalam perlumbaan perdagangan bebas global," jelas Airlangga.


Langkah-langkah ini memperkukuh kedudukan ekonomi Indonesia di pentas global, sambil mengekalkan momentum pertumbuhan dan integrasi perdagangan antarabangsa, walaupun menghadapi persaingan dan ketidakselesaan dari negara jiran.

Monyet ceroboh stadium, najis burung atas gelanggang, udara kotor cemari Terbuka India

Monyet ceroboh stadium, najis burung atas gelanggang, udara kotor cemari Terbuka India

 

India sejak sekian lama dianggap sebagai salah satu negara kuasa besar badminton dunia. Namun kini, kejadian najis burung di gelanggang serta kehadiran monyet di tempat duduk penonton semasa kejohanan Super Siri Terbuka India menimbulkan keraguan sama ada India negara yang sesuai untuk menganjurkan Kejohanan Dunia pada Ogos ini.


Seekor monyet dilihat berada di tempat duduk penonton di Stadium Tertutup Indira Gandhi semasa kejohanan Terbuka India yang sedang berlangsung kelmarin, sekali gus menyebabkan penganjur menerima kritikan memalukan.


Dalam tiga hantaran Instagram Story yang dimuat naik oleh jurugambar Azlynna Dewi, seekor monyet kelihatan berada di tempat duduk penonton tidak jauh dari gelanggang yang digunakan oleh beberapa pemain badminton terbaik dunia.


"Ya, seekor monyet memasuki kawasan penonton dan duduk di tempat duduk emas. Ia berada di situ selama 10 minit, dan sebaik sahaja kami menerima aduan, kami segera mengalihkannya," kata seorang pegawai.


"Monyet itu tidak mencederakan sesiapa. Keadaan agak gelap, jadi tiada siapa menyedarinya. Apabila ia dikesan, kami segera mengeluarkannya," kata jurucakap kejohanan kepada India Express.


Tetamu tidak diundang di Stadium Tertutup Indira Gandhi itu bukan satu-satunya masalah yang dihadapi penganjur kejohanan.


Pemain Denmark, Mia Blichfeldt, mengkritik tahap kebersihan di venue tersebut pada hari pembukaan, dengan najis burung turut dikesan di arena latihan dan juga arena utama.


Pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen, turut memuat naik di media sosial bahawa pencemaran udara yang teruk di New Delhi memaksanya menarik diri daripada pertandingan, dan beliau kemudiannya dikenakan denda sebanyak AS$5,000 oleh BWF (Persekutuan Badminton Dunia).


Masalah yang timbul menunjukkan ketidakcekapan pihak penganjur sekali gus menyebabkan peminat sukan di negara itu berasa kecewa.


India selaku negara tuan rumah pada asalnya dijadualkan menganjurkan Piala Sudirman pada 2023.


Namun, akibat semua acara di China dibatalkan pada tahun 2021, Piala Sudirman dipindahkan ke Vantaa, Finland, manakala edisi 2023 diberikan kepada Suzhou, China.


India dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia 2026 berikutan pemindahan hak penganjuran Piala Sudirman 2023 tersebut.


Namun, susulan masalah tak sepatutnya timbul di Terbuka India , persoalannya kini ialah sama ada BWF sanggup mengambil risiko berdepan dengan satu lagi kemungkinan memalukan dengan menganjurkan Kejohanan Dunia di New Delhi.


Seekor monyet berada di tempat duduk penonton di Kompleks Sukan Indira Gandhi yang menjadi venue Badminton Terbuka India Super750. - Foto Instagram.
Dua beradik wanita dicekup isi petrol berulang

Dua beradik wanita dicekup isi petrol berulang


Tindakan dua beradik wanita melakukan pengisian minyak petrol secara berulang di sebuah stesen minyak di Tumpat membawa padah apabila mereka dicekup pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam Ops Gempur Barang Kawalan kira-kira jam 1.57 tengah hari pada Rabu.


Timbalan Pengarah KPDN negeri, Aswadi Jaafar berkata, kegiatan mencurigakan itu dikesan hasil risikan pasukan yang mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira membuat pengisian petrol secara berulang sebelum bertindak mengekori kenderaan berkenaan.


Menurut beliau, kenderaan tersebut diekori sehingga ke Kampung Jubakar Darat, Tumpat sebelum pemeriksaan dijalankan dan mendapati ia dipandu oleh seorang wanita berusia 33 tahun bersama adiknya, 23, yang bertindak sebagai pembantu.


"Hasil pemeriksaan menemui lima tong jerikin disyaki berisi minyak petrol di dalam but kenderaan berkenaan.


"Kami turut menemui sebuah tangki minyak yang dipercayai telah diubah suai dan diperbesarkan bagi tujuan penyimpanan petrol," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Menurut Aswadi, pihaknya menyita kenderaan terbabit berserta kunci, kira-kira 125 liter petrol dalam lima tong jerikin serta tambahan 125 liter petrol daripada tangki ubah suai, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 250 liter.


Beliau berkata, kedua-dua wanita terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah ditangkap mengikut peruntukan akta yang sama.


"KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.


Hasil pemeriksaan menemui lima tong jerikin berisi minyak petrol di dalam but kereta, selain tangki minyak telah diubah suai. - Foto KPDN.

Khamis, 15 Januari 2026

Suami ditangkap, diam-diam jual barang milik isteri

Suami ditangkap, diam-diam jual barang milik isteri


Seorang lelaki di Sumbawa, wilayah Nusa Tenggara Barat diberkas selepas menjual motosikal dan komputer riba milik isterinya tanpa pengetahuan wanita itu, lapor laman berita Kompas.


Suspek yang dikenali sebagai SB, 45, menjual barangan tersebut yang sebelumnya digadaikan oleh seorang individu lain kepada isterinya.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sumbawa, Inspektor Pertama Andy Nur Rosihan Alfajri berkata, kejadian bermula apabila seorang rakan sekerja bernama Deni Pamika menggadaikan sebuah motosikal Honda Supra dan sebuah komputer riba jenama Acer kepada mangsa pada harga 3 juta rupiah (RM720) pada Disember 2025. 


"Namun, tanpa pengetahuan mangsa, suspek menjual motosikal dan komputer riba itu kepada pihak lain dengan harga 500,000 rupiah (RM120). 


"Seterusnya pada 5 Januari lalu, pelaku menjual motosikal Honda Scoopy milik isterinya pada harga 2 juta rupiah (RM480)


"Akibat kejadian ini, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak 12 juta rupiah (RM2,880) dan akhirnya memilih untuk melaporkan suaminya ke Ibu Pejabat Polis Sumbawa untuk prosiding undang-undang," kata Andy.

Rabu, 14 Januari 2026

Buruh dan nelayan dituduh rogol remaja 15 tahun

Buruh dan nelayan dituduh rogol remaja 15 tahun


Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, awal Januari lalu.


Tertuduh, Amirul Hakimi Hashim, 25, yang juga buruh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, manakala, Abdin Syakirin Hassan, 31, yang bekerja sebagai nelayan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan dalam prosiding berasingan, mereka didakwa merogol mangsa yang sama iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di RPT Batu Mengkebang dan di tepi jalan RPT Batu Mengkebang, Kuala Krai.


Amirul Hakimi didakwa merogol mangsa jam 3.30 petang pada 4 Januari 2026, manakala Abdin Syakirin didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 3.30 petang, pada 3 Januari 2026.


Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala Amirul Hakimi tidak diwakili peguam dan Abdin Syakirin diwakili peguam Wan Amani Wan Azimin.


Terdahulu, pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh, namun Wan Amani memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tiada risiko melarikan diri dan hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu serta menjaga ibu bapa yang uzur.


Mahkamah membenarkan Abdin Syakirin diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari untuk serahan dokumen, manakala 28 Januari ini untuk fakta dan jatuh hukum bagi pengakuan Amirul Hakimi.


Abdin Syakirin (dua dari kiri) dan Amirul Hakimi (tengah) didakwa di Mahkamah Seskyen Kota Bharu pada Rabu atas pertuduhan berasingan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokasi berbeza di Kuala Krai pada awal Januari lalu. - Foto Sinar Harian.
SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi

SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggariskan hala tuju strategik baharu bagi tempoh lima tahun akan datang dengan meletakkan keutamaan tertinggi terhadap pemulihan aset negara serta pembanterasan jenayah kewangan berskala besar.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi ini diambil memandangkan negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lalu akibat kecurian, ketirisan dana awam dan jenayah kewangan.


Menurutnya, fokus SPRM kini terarah kepada kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kehilangan aset negara demi memastikan pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.


"Isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk 'SPRM 2026: Ke Mana Halatuju?' di Ibu Pejabat SPRM, di Kuala Lumpur hari ini.


Mengulas mengenai cabaran tugas, Azam memuji dedikasi warga SPRM yang kekal komited menjalankan siasatan walaupun berdepan tekanan hebat serta serangan persepsi di media sosial.


Katanya, walaupun persepsi negatif di dunia maya tidak boleh dihalang sepenuhnya, ia perlu diuruskan dengan pantas dan strategik.


Sehubungan itu, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM telah diarahkan untuk sentiasa peka memantau sentimen dan komen di platform media sosial bagi memastikan tindak balas berkesan dapat diambil.


Menyentuh mengenai permulaan tahun 2026 yang menyaksikan pendedahan kes besar hasil maklumat awam, Azam menegaskan bahawa SPRM sebenarnya bertindak lebih awal dan mendahului dalam menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum ia tular.


Selain aspek penguatkuasaan, Azam turut menekankan kepentingan sektor pencegahan dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, bagi menangkis maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi persepsi awam.


Dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat, beliau turut menyuarakan hasrat untuk merangka satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad pada tahun ini.


"Langkah ini bertujuan memastikan laporan berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan mempunyai kesinambungan yang jelas.


"Seluruh warga SPRM juga diingatkan agar terus mengekalkan tahap disiplin dan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas demi menjayakan perjuangan membanteras rasuah di negara ini," katanya.

UMNO tidak akan keluar kerajaan - Tok Mat

UMNO tidak akan keluar kerajaan - Tok Mat


UMNO menegaskan parti itu tidak akan keluar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak akan membiarkan negara ini dalam keadaan huru-hara.


"Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan. Bak kata orang tua-tua, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak," katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.


Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan 'menebuk atap' sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.


Beliau bagaimanapun mahu dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang selain menegaskan jika tindakan itu diambil UMNO tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian jelas, yang lahir bukanlah kebebasan tetapi kekosongan kuasa.


"Kita telah menyaksikan di beberapa negara, bagaimana pertelingkahan politik yang tidak terkawal telah melumpuhkan institusi negara. Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam, pelabur melarikan diri.


"Dan akhirnya, rakyat yang menanggung derita paling besar. Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.


"Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula," katanya.


Beliau turut mengingatkan ahli parti itu, bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan merupakan jawapan untuk UMNO pulih.


"Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita. Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek," katanya.


Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohamad berkata, parti itu dihukum oleh rakyat negeri itu disebabkan mereka gagal membaca persekitaran yang berubah.


Katanya, UMNO juga terlalu terbawa dengan isu nasional, tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah bagi orang Sabah.


"Orang Sabah memilih untuk menolak kita. Mereka memilih perikatan lokal yang lebih serasi dengan sentimen tempatan. Ini menunjukkan masih banyak isu yang belum berjaya kita uruskan dengan berkesan.


"Parti belum pulih. Banyak yang harus kita tambah baik dan kemaskan. Yang jelas, semua itu mesti dilakukan dengan menerima secara terbuka dan berlapang dada," katanya.


Selasa, 13 Januari 2026

Cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau, ahli politik dipenjara 43 bulan, denda RM14,000

Cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau, ahli politik dipenjara 43 bulan, denda RM14,000


Seorang ahli politik yang mencabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau 2021 dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 43 bulan dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam.


Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu ke atas Phillip Among, 53, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan mencabul mangsa terbabit pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang hingga 10 malam.


Mahkamah turut memutuskan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap Among yang juga penyelaras Parlimen parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bagi Bahagian Putatan, tetapi kini digantung jawatannya susulan dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.


Among yang ketika kejadian adalah ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021 itu, disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.


Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM3,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.


Bagi pertuduhan ketiga, Among dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 43 bulan.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula tarikh sabitan hari ini, menjadikan Among perlu dipenjara selama 16 bulan dan membayar denda keseluruhan RM14,000.


Mahkamah juga membenarkan permohonan Among menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi semua denda dibayarnya semalam.


Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021, dengan perbicaraan bermula pada 12 April 2022.


Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi.


Untuk rekod, pada 19 Disember 2025, Among dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, dalam satu kes berasingan kerana mencabul seorang remaja perempuan lain.


Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mendapati Among bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada 17 April 2021, kira-kira jam 11 malam, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.


Beliau diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Yousof Tahir Mahmood.

Bapa tiri rakam video isteri dan dua anak tirinya dalam tandas

Bapa tiri rakam video isteri dan dua anak tirinya dalam tandas


Seorang bapa tiri diberkas polis selepas disyaki merakam video secara sembunyi terhadap ahli keluarganya sendiri di bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di Tawau kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 39 tahun itu ditahan jam 8.07 malam, kurang dua jam selepas pihaknya menerima laporan pada jam 6.27 petang hari sama.


Menurutnya, perbuatan menjijikkan itu terbongkar apabila kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui telefon bimbit dipercayai milik bapa tirinya disorokkan di dalam tandas rumah dalam keadaan sedang merakam, sebelum menyerahkan kepada ibunya.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video yang mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.


"Suspek yang bekerja sebagai buruh serta tinggal serumah dengan mangsa akhirnya mengakui perbuatan itu selepas disoal oleh ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas menemukan sebanyak 10 klip video membabitkan mangsa serta dua anak.


Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.


Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan tidak bermoral dan mencabul privasi, apatah lagi membabitkan ahli keluarga sendiri.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang termasuk perbuatan mencemar maruah ahli keluarga atau orang lain" katanya.