Isnin, 10 Ogos 2026

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU


Polis menyerbu sebuah penempatan warga asing di Bakau Tinggi, Chukai, awal pagi tadi dalam operasi khas memburu suspek kes rogol membabitkan seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).


Operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bersepadu itu memfokuskan usaha mengesan dan menahan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


Beliau berkata, seramai 33 individu diperiksa membabitkan enam warga tempatan dan 27 warga asing.


"Daripada jumlah itu, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Operasi itu turut dipantau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu bersama Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.



Mohd Khairi berkata, polis bersama JIM akan terus mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing susulan kes berkenaan kerana perbuatan sedemikian boleh mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan siasatan.


Katanya, masyarakat juga diminta menggunakan media sosial secara berhemah serta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan.


"Sebarang penyalahgunaan media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone (VSP)," katanya.

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali


Selepas 40 hari melarikan diri, seorang pengarah dan penerbit filem berusia 73 tahun akhirnya ditahan polis di sebuah rumah ladang di Mahabaleshwar pada Sabtu selepas didakwa merogol seorang pelakon berulang kali sejak empat tahun lalu.


Menurut laporan Times of India, pengarah dan penerbit filem India, Shakeel Noorani ditahan selepas polis mengesan lokasinya di Medha, daerah Satara.


Dia kemudian dibawa ke mahkamah oleh polis Malwani dan direman sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.


Polis menggunakan Seksyen 64(2)(M) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan rogol, Seksyen 123 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun, Seksyen 351(2) berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 88 kerana menyebabkan keguguran.


Berdasarkan laporan, wanita terbabit membuat laporan polis dengan mendakwa Noorani mengundangnya ke kediamannya di Malwani kira-kira empat tahun lalu atas alasan mahu membincangkan skrip filem.


Wanita itu mendakwa, minumannya kemudian dicampur bahan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum Noorani didakwa merogolnya.


Menurutnya, selepas sedar, Noorani didakwa menunjukkan rakaman serangan seksual itu menerusi telefon bimbit sebelum mengugut untuk menyebarkannya sekiranya dia membuat laporan polis atau memberitahu keluarganya.


Wanita berkenaan turut mendakwa, rakaman tersebut kemudiannya digunakan untuk mengugutnya dan memaksanya melakukan hubungan seksual berulang kali.


Dia juga mendakwa, Noorani beberapa kali memberikan pil perancang selepas kejadian terbabit dan mendakwa mengalami keguguran.


Menurut pegawai polis Malwani, pihaknya menjalankan siasatan sejak laporan dibuat dan mengesan Noorani selepas menggunakan bantuan teknikal.


"Pasukan polis turut melakukan pemeriksaan di rumah anaknya di Lokhandwala, Andheri namun dia tidak ditemui.


"Dengan bantuan teknikal, kami mengesan lokasinya di sebuah rumah ladang di Medha, daerah Satara. Pasukan polis Medha kemudian menahannya sebelum kami mengambil alih tahanan," katanya.


Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zon 2, Sandip Ghuge berkata, pihaknya mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan sejak laporan dibuat.


Bagaimanapun, peguam Noorani, Vikas Singh Goar menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa anak guamnya telah dikenakan tuduhan secara palsu.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada dalam prosiding mahkamah.


Noorani pernah mengarahkan beberapa filem Bollywood termasuk Vishnu Devaa (1991), Shreeman Aashique (1993), Bade Dilwala (1999) dan Joru Ka Ghulam (2000).


Shakeel Noorani didakwa merogol seorang pelakon wanita berulang kali. - Foto kredit Times Of India.
Kenderaan guna logo JIM dipandu warga asing bukan aset jabatan

Kenderaan guna logo JIM dipandu warga asing bukan aset jabatan


Kenderaan didakwa milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipandu seorang individu warga asing seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, disahkan bukan aset rasmi jabatan berkenaan.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular memaparkan kenderaan berkenaan menggunakan logo JIM.


"Hasil semakan awal mendapati kenderaan berkenaan bukan milik atau aset rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.


"JIM memandang serius penggunaan logo jabatan pada kenderaan tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan semalam.


Sebelum ini, tular hantaran menerusi platform Threads yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM dan didakwa dipandu oleh seorang individu warga asing.


Hantaran itu mendapat perhatian ramai apabila pengguna media sosial mempersoalkan penggunaan logo serta identiti jabatan tersebut oleh individu terbabit.


Zakaria berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan.


Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.


"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan.


"JIM menghargai keprihatinan orang ramai berhubung perkara ini dan akan memastikan siasatan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.

Ahad, 9 Ogos 2026

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU


Polis menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, Kemaman.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tangkapan itu dibuat pada Sabtu susulan aduan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat.


Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan telah direman bagi tindakan lanjut.


"Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah dibenarkan bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Siasatan masih lagi terbuka untuk mengenalpasti suspek lain yang mungkin sebenarnya terlibat.


"Pihak polis juga perlu memperhalusi kes ini dan mangsa juga mesti diberi ruang masa secukupnya sebelum siasatan dilengkapkan memandangkan mangsa adalah seorang wanita OKU (Intelektual) berumur 23 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Mengulas mengenai gambar dan video tular di media sosial melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat berkenaan pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.


Jelas beliau, orang ramai diminta berhati-hati ketika menggunakan platform media sosial supaya tidak mencetuskan situasi panik, tidak harmoni, atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.


"Segala maklumat yang diperoleh mestilah disahkan dahulu dan diyakini kebenarannya.


"Polis juga menasihati orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang terburu-buru ke atas mereka yang berketurunan Rohingya dan secara tidak langsung menjuruskan diri mereka dalam jenayah," katanya.


Tambah beliau, pihak polis sentiasa bersedia memberikan penjelasan berhubung kes berkenaan pada bila-bila masa. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.


Tangkap layar video tular menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan sebuah hadapan flat di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, pada Sabtu.
Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah

Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah


Tidak puas hati dan gagal mengawal kemarahan kerana ditegur tandas rumah sewa kotor menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh menetak rakan senegaranya di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur, semalam.


Difahamkan suspek dan mangsa yang sudah tinggal bersama sejak lima tahun lalu, bertengkar apabila rakannya itu selalu menegurnya kerana tandas selalu kotor selepas suspek menggunakannya.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, susulan kejadian itu, pihak polis mengesan dan menahan suspek kes mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur.


Beliau berkata, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor.


"Mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Ampang dalam keadaan stabil.


"Bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di hadapan sebuah poliklinik di Jalan 16, Kampung Cheras Baru," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, suspek seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja dan rakan serumah mangsa.


"Pihak Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


"Hasil siasatan awal mendedahkan motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan kegagalan mengawal kemarahan berikutan perselisihan faham berturut-turut antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama selama lima tahun," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata yang boleh mendatangkan maut.


"Permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di hadapan majistret pada hari ini untuk membantu siasatan," katanya.



26 pertuduhan Nicky Liow ditarik balik selepas bayar kompaun RM10 juta - AGC

26 pertuduhan Nicky Liow ditarik balik selepas bayar kompaun RM10 juta - AGC


Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa keputusan menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) terhadap Nicky Liow dibuat selepas ahli perniagaan itu bersetuju membayar kompaun RM10 juta.


Menerusi kenyataan media, AGC berkata, jumlah tersebut telah dipersetujui oleh Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, serta dibayar pada 29 Mei 2023.


Selain pembayaran tersebut, AGC berkata, penyelesaian juga merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan pelucuthakan harta-harta yang disita.


"Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan dan bukan dipengaruhi sebarang tekanan luar atau sentimen awam.


"Susulan pembayaran kompaun itu, selaras dengan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), AGC menarik balik pertuduhan terhadap Nicky.


"Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan supaya ahli perniagaan itu dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan," menurut kenyataan itu.


AGC menegaskan bahawa Nicky tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang.


Jelasnya, ahli perniagaan itu sebelum ini didakwa atas 26 pertuduhan AMLA di bawah Seksyen 4 AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022.


AGC berkata, kes berkenaan pada asalnya ditetapkan untuk perbicaraan bermula Julai hingga September 2023.


Bagaimanapun, sebelum perbicaraan berlangsung, Nicky menerusi firma guamannya, Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan dua representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya semua pertuduhan dikompaunkan di bawah Seksyen 92 akta itu.


Menurut AGC, selepas penelitian terperinci terhadap representasi itu serta semua keterangan sedia ada, pihak pendakwaan bersetuju menawarkan kompaun tersebut.


AGC turut menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.


"Ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah," menurut kenyataan itu.


Pada Khamis minggu lalu, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Nicky berkata, Nicky dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan lebih RM36 juta, selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan empat tahun lalu.


Mengikut semua pertuduhan, dia dan tiga syarikat itu didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan memiliki wang hasil sama berjumlah lebih RM36 juta.


Perbuatan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang pada 2016 hingga 2021.


Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.


Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

JSJ gempur kegiatan persundalan warga asing, 59 ditahan dalam serbuan enam premis

JSJ gempur kegiatan persundalan warga asing, 59 ditahan dalam serbuan enam premis


Seramai 59 individu termasuk 42 wanita warga asing ditahan dalam serbuan Ops Noda di enam premis hiburan dan refleksologi yang dipercayai menawarkan khidmat persundalan di Lembah Klang, Khamis lalu. 


Menurut sumber, serbuan dilakukan selepas keenam-enam premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan hiburan dan persundalan dengan menawarkan wanita warga asing kepada pelanggan.


"Pemeriksaan mendapati tangkapan membabitkan dua warga tempatan, 39 warga Myanmar, Thailand (12), Vietnam(5) dan seorang Indonesia.


"Pelbagai barangan turut dirampas antaranya telefon bimbit, kondom, tisu basah, peralatan audio serta wang tunai.


"Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai penglibatan warga asing dalam menjalankan aktiviti hiburan dan persundalan," katanya dalam kenyatan semalam.


Operasi Op Noda yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Klang, Petaling Jaya, Kajang dan Kuala Langat.


Sementara itu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, operasi bersepadu itu turut membabitkan tindakan penguatkuasaan oleh PBT dan TNB terhadap premis terbabit.


Menurutnya, PBT menyita premis yang terlibat, manakala TNB bertindak memotong bekalan elektrik di kesemua premis berkenaan.


"Beberapa kertas siasatan telah dibuka antaranya di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat persundalan.


"Ia turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah," katanya.


Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, IPD Kajang, IPD Klang Utara serta IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut.


"JSJ menegaskan pihaknya akan terus bersikap proaktif dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat, termasuk kegiatan persundalan.


"Orang ramai diminta bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat diambil dengan kadar segera," katanya.


Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Noda pada Khamis. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 8 Ogos 2026

Tinggal kanak-kanak dua tahun di kolam dewasa hingga lemas, pembantu rumah dipenjara 4 tahun

Tinggal kanak-kanak dua tahun di kolam dewasa hingga lemas, pembantu rumah dipenjara 4 tahun


Tindakan seorang pembantu rumah warga Indonesia meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan, di kolam renang dewasa tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mangsa lemas, mengundang padah apabila dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.


Wahyuni Tanjung, 44, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Suhaila Haron.


Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu telah melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian mangsa, di kolam renang dewasa sebuah residensi di Sentul, antara jam 6 hingga 7 petang pada 28 Julai lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa meminta tertuduh membawa kanak-kanak itu bersama abangnya yang berusia lima tahun mandi di kolam renang residensi berkenaan.


Bagaimanapun, kira-kira jam 7 malam, Wahyuni menghubungi majikannya memaklumkan mangsa lemas sebelum orang awam memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).


Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi keesokan harinya.


Laporan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.


Siasatan turut mendapati tertuduh yang baru sebulan bekerja sebagai pembantu rumah, membawa kedua-dua kanak-kanak itu ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung.


Lebih memburukkan keadaan, dia meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu tanpa pengawasan apabila pergi ke bilik air, sehingga mengakibatkan tragedi yang meragut nyawa mangsa.


Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.


Menurutnya, tertuduh yang diamanahkan menjaga kanak-kanak, tidak sepatutnya membiarkan mangsa bersama abangnya yang masih kecil bersendirian tanpa pemantauan.


"Mahkamah wajar mengambil kira keseriusan kesalahan ini kerana kecuaian tertuduh telah meragut nyawa seorang kanak-kanak yang sepatutnya masih mempunyai masa depan yang panjang," katanya.


Sementara itu, Wahyuni yang tidak diwakili peguam, kelihatan sebak ketika ditunjukkan gambar laporan bedah siasat mangsa.


Dia yang juga ibu tunggal kemudian diberi peluang untuk merayu bagi mengurangkan hukuman.


"Suami saya telah meninggal dunia 14 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang berada di negara asal.


"Boleh ke saya nak jalani hukuman di Indonesia," soalnya tanpa membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman.


Suhaila kemudian memberitahu tertuduh perlu ditempatkan di penjara kerana melakukan kesalahan di negara ini.

Polis kesan pemandu Aruz disyaki pukul pemandu Ferrari di tengah lebuh raya

Polis kesan pemandu Aruz disyaki pukul pemandu Ferrari di tengah lebuh raya


Polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki memukul pemandu Ferrari dalam insiden pergaduhan di tengah Lebuhraya Utara-Selatan yang tular di media sosial, hari ini.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.40 petang tadi daripada salah seorang pemandu yang terbabit kejadian.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 11 pagi di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Seremban dekat Nilai.


"Ia dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan pemanduan antara dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.


"Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memukul mangsa sehingga terjatuh serta mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap mangsa. Kejadian kemudian dileraikan oleh orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Johari berkata, identiti suspek dan kenderaan yang terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.


Terdahulu, video tular di media sosial memaparkan sebuah Ferrari dan Perodua Aruz berhenti di lorong paling kanan lebuh raya terbabit.


Rakaman itu juga menunjukkan dua individu dipercayai pemandu kedua-dua kenderaan bergelut dan bertumbuk sehingga salah seorang daripadanya terjatuh.


Tangkap layar video tular insiden pergaduhan membabitkan pemandu Perodua Aruz dan Ferrari.
Agong titah siasat Laporan RCI Tabung Haji 'sehingga ke lubang cacing'

Agong titah siasat Laporan RCI Tabung Haji 'sehingga ke lubang cacing'


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah supaya siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan 'sehingga ke lubang cacing'.


Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.


Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh, tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.


"Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang," titah Seri Paduka Baginda.


Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pertemuan berlangsung lebih sejam di Istana Bukit Tunku, hari ini.


Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai kandungan Laporan RCI TH, selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).


Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.


Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan berkenaan.