Tindakan seorang penghantar barang dipercayai mencuri wang tunai daripada dompet yang ditemukan di sebuah pasar raya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Dalam rakaman video tular itu, seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet yang mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.
Wanita berkenaan bertemu seorang lelaki yang mendakwa menemukan dompet terbabit dan memulangkannya, namun lelaki berkenaan menafikan mengambil wang tunai yang dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 malam kelmarin.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang di sebuah pasar raya di Semenyih sebelum rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat berkaitan insiden itu dikesan tular di TikTok.
"Susulan siasatan dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada jam 1 pagi semalam.
"Suspek yang bekerja sebagai penghantar barang direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243.












