Polis Kedah mengesahkan anggota polis dipercayai didalangi 'Mr A' yang disyaki terbabit dengan satu rangkaian pengedaran dadah di sekitar Langkawi sudah pun ditukar serta-merta ke bahagian lain atas kepentingan awam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata pertukaran itu bukan bertujuan melindungi anggota terbabit, sebaliknya kerana siasatan dan tindakan lanjut masih diteruskan.
"Kita akan ambil tindakan walaupun suspek adalah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada Isnin.
Adzli berkata, siasatan kes berkaitan narkotik memerlukan penelitian terperinci termasuk bukti dan saksi yang mempunyai kredibiliti sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam perkembangan berkaitan, Adzli berkata polis sudah mengambil tindakan terhadap seorang individu dikenali sebagai 'Bagok' berusia 47 tahun yang turut dikaitkan dalam carta tular berhubung isu berkenaan.
Katanya, lelaki itu sudah ditahan sebanyak dua kali tahun ini dan terbaru pada 16 Mei lalu.
Menurutnya, 'Bagok' berasal dari Kampung Kelibung, Langkawi, Kedah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penularan isu berkaitan kegiatan dadah 'Pablo Escobar 2.0' di daerah Langkawi.
"Tangkapan pertama dilakukan pada 11 April lalu, namun tiada dadah ditemukan ketika itu dan kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya selepas ujian air kencing didapati positif.
"Terbaru, tiga hari lalu, kita tangkap dia sekali lagi dan ujian saringan air kencing juga positif methamphetamine," katanya.
Adzli turut mendedahkan seramai 54 pegawai dan anggota polis di Kedah ditahan kerana terbabit dalam penagihan dadah sejak 2023 hingga April lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, 38 individu sudah dituduh di mahkamah dan digantung tugas, manakala tiga lagi masih dalam tindakan.
Beliau berkata, tahun lalu, seorang anggota polis di Kedah turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) tahun lalu kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.











