Rabu, 4 Jun 2025

Lelaki ditangkap kerana kencing merata cuba rasuah polis RM30

Lelaki ditangkap kerana kencing merata cuba rasuah polis RM30


Seorang lelaki warga Thailand dipenjara selama 10 hari selepas cuba memberikan rasuah sebanyak SG$9 (RM30) kepada polis tempatan untuk mengelak daripada disaman akibat membuang air kecil di dalam longkang di Singapura, lapor portal berita Thaiger pada 3 Jun 2025.


Kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) di kejiranan Choa Chu Kang berhampiran Sungei Tengah Lodge pada 17 Disember tahun lepas.


Nanjaijumpa Kham-Ai, 54, datang ke sebuah kedai untuk membaiki telefon bimbitnya yang rosak.


Dia bagaimanapun terpaksa pulang ke ladang (tempat kerja) untuk mengambil wang selepas menyedari wang sedia ada tidak mencukupi.


Sebelum memulakan perjalanan, Nanjaijumpa membuang air kecil ke dalam longkang dan perbuatan itu disaksikan oleh dua anggota polis bantuan yang sedang membuat rondaan.


Mereka memberitahu Nanjaijumpa bahawa tindakan tersebut adalah satu kesalahan dan dia akan dikenakan denda.


Nanjaijumpa merayu secara berulang kali dan menawarkan wang suapan sebanyak S$9 kepada anggota-anggota polis terbabit untuk mengelak daripada disaman tetapi ditolak.


Semasa perbicaraan di mahkamah, tertuduh memohon maaf sambil berjanji bahawa dia tidak akan membuang air kecil di tempat awam. - Sumber The Thaiger.


Nanjaijumpa Kham-Ai diberkas selepas menawarkan rasuah kepada dua pegawai polis untuk elak disaman. - Foto The Nation.

Selasa, 3 Jun 2025

Lelaki terkejut temukan ular warna pelangi di sebuah kawasan belukar

Lelaki terkejut temukan ular warna pelangi di sebuah kawasan belukar


Seorang pakar hidupan liar di Singapura menemukan seekor ular daripada spesies amat terancam yang mempunyai sisik berwarna-warni, lapor laman berita MS News pada 2 Jun 2025.


John Lee menemukan ular paip ekor merah atau nama saintifiknya, Cylindrophis ruffus di sebuah kawasan belukar pada hari Jumaat (30 Mei) kira-kira jam 9.40 malam.


Menurut John, ketika mencari ular dan hidupan liar untuk sebahagian daripada kajiannya, dia pada awalnya melihat objek seperti batang kayu yang berpintal.


Ketika menghampiri objek itu, ia mula mempamerkan warna sebenar dengan sisik bercahaya seperti pelangi.


John kemudian mengenal pasti reptilia itu sebagai Cylindrophis ruffus.


Merupakan spesies asli dan nokturnal, ular itu disenaraikan sebagai 'amat diancam kepupusan' di Singapura oleh Lembaga Taman Negara.


John berkata, ular itu tetap tenang dan melingkar semasa dia merakamnya, berbeza dengan kebanyakan spesies yang akan menyusur apabila mengesan kehadiran manusia. - Sumber MS News.


Ular ini mempunyai sisik berwarna pelangi yang bercahaya. - Foto John Lee.

Ahad, 1 Jun 2025

Wanita jumpa 'king cobra' bersembunyi dalam bantal peluknya

Wanita jumpa 'king cobra' bersembunyi dalam bantal peluknya


Seorang wanita terperanjat apabila menemui seekor ular tedung selar bersembunyi di dalam bantal peluknya, lapor portal berita DNA India pada 30 Mei 2025.


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @reenagarg_hr06_ menunjukkan wanita itu cuba mengeluarkan reptilia berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.


Situasi bertukar cemas apabila ular itu tiba-tiba mendesis, menunjukkan ia marah kerana diganggu.


Masih belum jelas bagaimana keadaan ular dan wanita tersebut. Rakaman itu mencatatkan lebih 468,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Ini adalah ketakutan terbesar saya! Kalau saya, saya akan lari dari rumah itu!" kata seorang netizen.


"Saya mungkin terkena serangan jantung jikalau berada dalam situasi seperti ini," kata pengguna media sosial lain. - Sumber DNA India.


Tangkap layar menunjukkan ular itu bersembunyi di dalam bantal. - Foto DNA India.

Sabtu, 31 Mei 2025

Pelancong warga China berenang dalam tangki air kondominium

Pelancong warga China berenang dalam tangki air kondominium


Seorang pelancong China yang memakai baju tidur terjun ke dalam tangki air di atas bumbung sebuah bangunan kondominium di Pattaya, lapor portal berita The Pattaya News pada 30 Mei 2025.


Pusat Radio Yayasan Sawang Boriboon di Pattaya menerima laporan tentang kejadian itu dan bekerjasama dengan polis serta agensi berkaitan yang melakukan siasatan.


Kejadian berlaku di sebuah kondominium 8 tingkat. Di atas bumbung, terdapat tangki air kira-kira 2 meter panjang dan 2 meter tinggi.

 


Pelancong dikenali sebagai Mr. Q itu merupakan warga China berusia 26 tahun. Dia ditemukan anggota-anggota penyelamat terapung di dalam tangki dengan memakai baju tidur.


Pekerja penyelamat menghadapi operasi yang mencabar, kerana mereka terpaksa membawa peralatan ke atas bumbung dan menggunakan tangga serta tali untuk menarik pelancong keluar. 


Penyelamatan mengambil masa lebih 30 minit kerana halangan bahasa dan kesukaran mengeluarkannya dari tangki setinggi dua tingkat itu.



Pada hari kejadian, dia naik ke tangki air dan terjun seolah-olah mahu berenang.


Pekerja kondominium menyedari keadaan itu dan memaklumkan kepada rakannya yang kemudian meminta bantuan.


Pada mulanya, polis mengumpul bukti dan menyemak rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti bagaimana pelancong itu boleh pergi ke lokasi kejadian.


Pelancong itu dihantar ke hospital untuk rawatan psikiatri dan pihak berkuasa akan menyiasat punca kejadian. - Sumber The Pattaya News.


Seorang pelancong China dibawa turun dari tangki air. - Foto The Pattaya News.

Khamis, 29 Mei 2025

Orang ramai terkejut, wanita misteri merangkak keluar dari lubang di tengah jalan

Orang ramai terkejut, wanita misteri merangkak keluar dari lubang di tengah jalan


Pengguna sebatang jalan di Bandar Makati, Filipina terkejut apabila seorang wanita misteri merangkak keluar secara tiba-tiba dari lubang saluran air di tepi jalan, lapor laman berita Tribunnews semalam.


Kejadian berlaku Isnin lalu (26/5/2025) di Jalan Rufino dan Adelentado, Kampung Legazpi, Bandar Makati.


Dalam satu video tular, wanita tersebut muncul dari dalam lubang di tepi lintasan pejalan kaki dalam keadaan rambut panjang mengurai tidak terurus, baju dipenuhi kekotoran serta tanah dan daun kering.


Ketika dia keluar dari lubang tersebut, kepalanya menoleh ke arah lelaki yang merakam gambarnya.


Setelah merangkak keluar, dia tersenyum lalu berlari ke arah lelaki berkenaan, namun dihalang oleh seorang lelaki lain yang berpakaian askar.


"Dia berlari ke arah saya, namun dikejar seorang lelaki memakai uniform askar.


"Beberapa pejalan kaki, penunggang motosikal dan pengawal lalu lintas hanya berdiri melihatnya dalam keadaan terkejut, bingung dan mungkin terhibur," kata William yang memuat naik video tersebut di laman Instagram.


Sementara itu, saluran berita Filipina, GMA News Online ketika memetik Polis Bandar Makati sebagai berkata, wanita tersebut mungkin tinggal di dalam lubang itu dalam tempoh lama.


Polis berkata, mereka menemui beberapa barangan peribadi di dalam saluran itu serta percaya bahawa wanita itu memerlukan rawatan perubatan.


Pihak berkuasa kini sedang mencari wanita tersebut. - Sumber Tribunnews.


Seorang wanita muncul secara tiba-tiba dari saluran air atau longkang bertutup di tepi jalan. - Foto Instagram.

Rabu, 28 Mei 2025

Puluhan ribu orang sanggup bersesak cari kerja

Puluhan ribu orang sanggup bersesak cari kerja


Berpuluh-puluh ribu orang sanggup berkumpul dan beratur pada awal pagi untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah ekspo di Bekasi, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita NTV News.


Ekspo Bekasi Pasti Kerja itu diadakan di Pusat Konvensyen Universiti Presiden dekat daerah Cikarang Utama, semalam.


Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bekasi.terkini menunjukkan pekarangan universiti itu dibanjiri berpuluh-puluh ribu individu yang cuba menyerahkan resume mereka.


Mereka tetap sabar menunggu sehingga tidak mempedulikan kesihatan dan keadaan diri.


Kesesakan melampau itu juga menyebabkan sejumlah pencari kerja yang kebanyakannya wanita, rebah ke tanah.


"Sejumlah pencari kerja rebah dan kami segera membantu mereka bersama pasukan kecemasan," kata Ketua Sumber Manusia Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Endang Longla.


Rakaman itu mencatatkan lebih 55,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.


"Mereka yang di 'atas' sibuk kaut duit, yang di bawah sibuk cari duit," kata seorang netizen. 


"Zaman sekarang sudah canggih. Kenapa tak gunakan online?" kata pengguna media sosial lain.


Berpuluh ribu orang berkumpul untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah expo di Bekasi. - Foto Instagram.

Selasa, 27 Mei 2025

Lelaki mengamuk ibu tidak beri wang beli iPhone idamannya

Lelaki mengamuk ibu tidak beri wang beli iPhone idamannya


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang lelaki di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan mengamuk di warung milik ibunya kerana tidak diberikan wang untuk membeli telefon pintar iPhone, lapor laman berita TribunNews semalam.


Dalam video tersebut, lelaki tidak berbaju itu dilihat melempar barang dalam keadaan marah-marah sebelum dia mencapai sebatang kayu dan menghampiri ibunya.


Dia kemudian memukul benda-benda yang berada di sekelilingnya dengan batang kayu tersebut.


Kotak paparan kaca tempat makanan diletakkan tidak terlepas daripada hentakan lelaki itu.


Benda-benda seperti jag gelen, pinggan, meja, dan juga topi keledar dilihat bertaburan di atas lantai.


Seorang penduduk dengan pantas menghampirinya dan merampas kayu yang dipegang sebelum lelaki tersebut berlalu dari situ.


Selepas amukan berakhir, restoran itu dilihat berada dalam keadaan bersepah dengan barang-barangan berselerak di serata tempat.


Tidak dinyatakan keadaan lelaki tersebut dan ibunya selepas kejadian itu. - Sumber Tribun News.


Seorang lelaki marah kepada ibunya kerana tidak memberikan wang untuk dia membeli iPhone. - Foto Lambe Turah.

Ahad, 25 Mei 2025

Kereta terbabas dikejar penduduk kampung, dua askar curi lembu serah diri ke balai polis

Kereta terbabas dikejar penduduk kampung, dua askar curi lembu serah diri ke balai polis


Dua anggota tentera tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin selepas cubaan mencuri lembu berjaya dihidu penduduk kampung di Simpang Bekoh, di Jasin semalam.


Suspek yang masing-masing berusia 26 tahun itu hadir ke IPD kira-kira pukul 2.30 petang sebelum ditahan dan direman selama sehari bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, sebelum kejadian satu laporan turut dibuat pemilik ternakan terlibat di Balai Polis Simpang Bekoh pada pukul 3.25 pagi.


"Pengadu seorang lelaki berusia 41 tahun mendakwa dia telah menerima panggilan daripada rakannya mengatakan terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona telah menceroboh kawasan kandang.


"Kawan pengadu juga memberitahu telah ternampak dua lelaki, salah seorang daripadanya sempat masuk ke dalam kandang lembu, manakala rakannya menunggu di dalam kereta," katanya kepada pemberita, hari ini.


Mengulas lanjut beliau berkata, penduduk kampung kemudian cuba mengejar suspek, namun anggota tersebut melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum kenderaan dipandu terbabas melanggar penghadang sungai.


"Mereka terus meninggalkan kenderaan tersebut dan lolos. Bagaimanapun pada pukul 2.30 petang hari sama, suspek datang serah diri ke IPD dan salah seorang mengaku kenderaan yang ditinggalkan di lokasi adalah miliknya," ujarnya.


Katanya, suspek juga mengakui telah melakukan kegiatan itu sebelum ini dan berjaya mencuri seekor lembu di kawasan sama yang dipercayai untuk dijual sempena perayaan Aidiladha.


Ujarnya lagi, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Jasin esok bagi permohonan sambung reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 kerana mencuri.


Kereta milik suspek yang ditinggalkan ketika cuba mencuri lembu di Simpang Bekoh, Jasin, Melaka. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 24 Mei 2025

Lelaki parah ditetak bekas suami teman wanitanya akibat cemburu

Lelaki parah ditetak bekas suami teman wanitanya akibat cemburu


Angkara cemburu, seorang lelaki parah ditetak tiga individu termasuk bekas suami teman wanitanya di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong Intan, pagi tadi.


Mangsa yang berusia 47 tahun cedera di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan kini dilaporkan stabil.


Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka.


"Bekas suami wanita terbabit datang bersama dua rakannya ke lokasi sebelum memukul dan menetak mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau serta batang besi.


"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga serta perasaan cemburu," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Mohd Fairus, ketiga-tiga suspek sudah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.


"Kita masih lagi memburu mereka," ujarnya lagi.


Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Mohd Fairus memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 pagi Sabtu daripada seorang wanita yang memaklumkan teman lelakinya diserang di kediaman mereka. - Foto IPD Subang Jaya.

Jumaat, 23 Mei 2025

Wanita disiasat bela anjing terbiar untuk dimasak sebagai makanan

Wanita disiasat bela anjing terbiar untuk dimasak sebagai makanan


Seorang wanita warga China kini sedang disiasat selepas didakwa mengambil anjing terbiar dari beberapa rumah perlindungan untuk disembelih dan dijadikan hidangan makanan.


Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) kegiatan tersebut terbongkar selepas wanita yang dikenali dengan nama samaran Zhixuan memuat naik beberapa hantaran dan video di media sosial yang menunjukkan dia sedang memasak haiwan berkenaan.


Difahamkan, wanita itu menghubungi kakitangan pusat perlindungan haiwan di wilayah Liaoning menerusi aplikasi pesanan, kononnya ingin mengambil anjing secara percuma untuk dijaga.


Zhixuan berjanji akan membela haiwan-haiwan itu dengan baik dan bersetuju untuk menerima lawatan susulan daripada pihak rumah perlindungan.


Namun, beliau sebaliknya didakwa menyembelih anjing-anjing tersebut dan menjadikannya sebagai hidangan, malah memuat naik video memasak daging anjing di media sosial.


Susulan itu, kakitangan pusat perlindungan menemui hantaran tersebut dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.


Pengarah kumpulan penyelamat haiwan, Tan berkata, Zhixuan enggan memohon maaf walaupun telah ditegur secara peribadi.


Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk menyaring latar belakang individu yang ingin memelihara haiwan liar atau terbiar bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.


Sementara itu, pihak Biro Penyeliaan Pasaran memaklumkan bahawa daging anjing yang dirampas dalam kes berkenaan sedang disiasat. - Sumber SCMP.


Seorang wanita warga China kini sedang disiasat setelah didakwa mengambil anjing terbiar daripada beberapa rumah perlindungan untuk dibunuh dan dijadikan hidangan makanan. - Foto AFP.