Selasa, 15 Jun 2021

Ini Sebab Kenapa Nelayan India Pakai Topeng, Tapi Diletakkan Belakang Kepala

Ini Sebab Kenapa Nelayan India Pakai Topeng, Tapi Diletakkan Belakang Kepala


Taman Negara Sundarban di wilayah Ganges Delta di India, adalah 'rumah' kepada lebih 500 ekor harimau. Ia juga merupakan habitat bagi pelbagai jenis burung, reptilia dan buaya air masin.


Taman Negara tersebut diisytiharkan sebagai kawasan 'Tiger Reserve' pada tahun 1973 dan tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1977. Pada 1987, ia diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.


Ketika taman negara Tiger Reserve dibentuk, sekitar 60 orang dilaporkan diserang harimau setiap tahun. Oleh sebab itu, penyelidik dan pekerja perhutanan berusaha mencari cara terbaik untuk menghalang harimau yang tinggal di hutan itu daripada menganggap manusia sebagai mangsa.


Seorang pelajar yang tidak dinyatakan namanya dari Science Club of Calcutta kemudian mencadangkan idea untuk menggunakan topeng manusia. Peter Jackson, ketua kumpulan pakar pemuliharaan harimau dari World Conservation Union, menjelaskan bahawa banyak spesies haiwan menggunakan teknik yang sama untuk menipu pemangsa.



"Rama-rama, kumbang dan ulat akan mengembangkan corak yang kelihatan seperti mata besar pada sayap atau badan mereka," kata Jackson, seperti yang dilaporkan oleh The New York Times.


Katanya, topeng yang dipakai di belakang kepala memang kelihatan agak pelik kerana kelihatan seperti manusia bermuka dua. Namun, pekerja di hutan bakau mula memakai topeng muka di belakang kepala mereka, alasannya kerana pemangsa hanya menyerang orang dari belakang.


Tambahnya lagi, setakat ini helah pemakaian topeng di belakang kepala nampaknya berjaya. Jambatan perhutanan India telah mengeluarkan lebih dari 2,500 topeng yang diberikan kepada pekerja hutan Tiger Reserve dan penduduk tempatan.


"Selama tiga tahun terakhir, tidak ada laporan mengenai orang yang memakai topeng terbunuh disebabkan serang haiwan itu. Harimau hanya di lihat mengikuti orang yang memakai topeng, tetapi tidak menyerangnya.


"Sebaliknya 29 orang yang tidak memakai topeng telah mati di kawasan hutan itu dalam tempoh 18 bulan terakhir ini, seperti yang dilapor oleh pegawai tempatan," kata Jackson.


Tiada bukti saintifik namun ia berjaya menurunkan kes serangan harimau keatas manusia di India. Bagaimanapun, sebilangan penduduk tempatan seperti pencari madu hutan dan kayu bakar kelihatan ragu-ragu dan berpendapat bahawa harimau terlalu pintar untuk ditipu.


Lelaki Nyaris Maut Ditelan Ikan Paus Selama 30 Saat, Dapat 'Nyawa Kedua' Selepas Ikan Itu Muntahkannya Semula

Lelaki Nyaris Maut Ditelan Ikan Paus Selama 30 Saat, Dapat 'Nyawa Kedua' Selepas Ikan Itu Muntahkannya Semula


Seorang nelayan pencari udang galah mendakwa ditelan seekor ikan paus baru-baru ini. Kisah itu dikongsi nelayan terbabit, menerusi Facebook beberapa jam selepas kejadian malang yang menimpanya.


"Saya dapat rasakan berada di dalam perut dan paus sedang menelan saya." Berikut merupakan luahan detik cemas dialami oleh Michael Packard yang berusia 56 tahun seorang nelayan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).


Menurutnya, sebelum kejadian beliau sedang mengutip udang galah yang dipancingnya di perairan Provincetown, AS. Secara tiba-tiba pandangannya menjadi gelap, tanpa mengambil masa yang lama beliau menyedari bahawa dirinya telah ditelan seekor ikan besar.


Pada mulanya, Packard menyangka ditelan ikan jerung putih, tetapi berasa pelik kerana tidak merasai kesakitan digigit gigi tajam. Rupa-rupanya beliau ditelan humpback whale atau paus kelasa.


"Saya dapat merasakan paus terbabit sedang menelan dan saya bergerak ke dalam perut secara perlahan-lahan. Sepanjang tempoh itu, saya hanya memikirkan isteri dan anak-anak serta beranggapan sudah tiba masanya saya mati," katanya.


Pun begitu, bak peribahasa lama 'berpantang maut sebelum ajal' umur Packard masih panjang walaupun berdepan detik yang hampir meragut nyawanya. Dia ditelan kira-kira 30 hingga 40 saat sebelum paus tersebut memuntahkannya semula.


"Paus berkenaan memuntahkan saya ke udara, lalu saya jatuh ke dalam laut dan terapung. Tak sangka insiden ini benar-benar berlaku," ceritanya.


Pengalaman pahit menimpa lelaki tersebut disaksikan oleh rakannya, Josiah Mayo yang berada di atas bot. Beliau segera menarik Packard yang terapung di atas air sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat Provincetown dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.


Hasil pemeriksaan mendapati Packard mengalami kerosakan tisu lembut pada bahagian kaki. Namun begitu, beliau tidak mengalami patah tulang atau kecederaan serius yang lain.


Pengarah kajian ikan paus humpback di Pusat Kajian Pesisir di Provincetown, Massachusetts, Jooke Robbins berkata, apa yang diceritakan nelayan itu adalah benar. Dia tidak pernah mendengar insiden sedemikian namun beranggapan Packard berada di tempat dan waktu yang tidak tepat. Sumber: CBS Boston (11/6/2021).


Packard menunjukkan antara udang galah yang ditangkapnya.
Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu


Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan tempatan di negeri masing-masing dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi, bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19.


Bulan lalu, penduduk di Amerika Syarikat ditawarkan sepaket ganja secara percuma kepada orang ramai yang mengambil suntikan vaskin di bandar Washington, dalam usaha membendung penularan wabak itu, lapor CNN.


Di Filipina pula, hadiah lumayan diberikan kepada penduduk yang sudah divaksin di bandar San Luis di Pampanga berdekatan Manila, kerajaan perbandaran akan menghadiahkan seekor lembu bernilai AS$628 (RM2,600).


Pegawai Pengurusan Bencana, Ardee Taruc berkata, haiwan itu disumbangkan oleh penderma tempatan dan sangat bermakna kerana San Luis merupakan kawasan pertanian.


"Hadiah lembu mungkin tidak bermakna di tempat lain, tetapi tidak di sini. Seekor lembu mampu mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan. Sekiranya lembu betina, petani dapat menjual susunya," katanya.


Filipina merekodkan bilangan penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin sebanyak empat peratus iaitu bersamaan 110 juta penduduk dan 1.4 peratus sudah menerima dos kedua.


Ramai penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin selepas mendengar berita mengenai penduduk negara lain yang pengsan, terkena serangan jantung serta mati selepas dicucuk.


Dalam perkembangan sama, bermula Julai depan di Las Pinas, seramai 10 penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin akan berpeluang memenangi pakej barangan keperluan bernilai lebih AS$100 (RM411).

Isnin, 14 Jun 2021

Bintang Baru Ditemui Seratus Kali Lebih Besar Dari Matahari 'Berkedip' Dekat Bima Sakti

Bintang Baru Ditemui Seratus Kali Lebih Besar Dari Matahari 'Berkedip' Dekat Bima Sakti


Sebuah bintang gergasi dikesan melintas berhampiran pusat galaksi Bima Sakti baru-baru ini. Hasil pemerhatian terbaru para astronomi mengatakan, bintang itu terletak lebih dari 25,000 tahun cahaya dari Bumi.


Dikenali sebagai VVV-WIT-08, bintang itu begitu malap sehingga hampir hilang dari pandangan ketika para astronomi memerhatikannya. Bukan satu perkara pelik jika kecerahan bintang berubah-ubah, kerana beberapa bintang sering malap, atau cahayanya dikalahkan oleh bintang lain.


Tetapi sangat jarang bintang malap menjadi cerah kembali. Fenomena itu dalam astronomi disebut 'berkelip'. Pengamatan bintang ini menyebabkan para penyelidik percaya bahawa bintang itu mungkin diklasifikasikan satu penemuan terbaru.


Yakini sistem bintang binari, di mana dua bintang mengorbit pusat jisim yang sama sehingga terhasil 'kedipan raksasa'. Namun, penemuan ini merangkumi bintang gergasi yang ukurannya dianggarkan seratus kali lebih besar daripada matahari.


Corak kedipan ini kemungkinan disebabkan oleh cakera bahan yang mengelilingi bintang gergasi. Kajian mengenai bintang ini diterbitkan pada pada Jumaat (11/06/2021) dalam Notices of the Royal Astronomical Society.


Menurut para penyelidik, pusat galaksi adalah wilayah yang padat yang merangkumi lohong hitam supermasif, bintang super bintang, aliran gas, dan filamen magnetik. Penemuan bintang gergasi ini adalah perkara yang sangat mengujakan.


"Sungguh mengagumkan bahawa kami baru saja melihat objek gelap, besar dan memanjang yang melintas di antara kami dan bintang yang jauh. Kami hanya dapat membuat spekulasi dari mana asalnya," kata pengarang bersama dari Studio Astronomy, University of Edinburgh.

China Didakwa Giat Hasilkan Senjata Biologi Untuk Persediaan Perang Dunia Ketiga

China Didakwa Giat Hasilkan Senjata Biologi Untuk Persediaan Perang Dunia Ketiga


Senjata biologi adalah senjata atau kemudahan pertempuran yang menggunakan unsur biologi (biasanya patogen) yang digunakan dalam peperangan. Secara umum, patogen yang digunakan dalam senjata biologi adalah virus, bakteria, atau parasit yang menyebabkan penyakit berjangkit.


Para saintis Amerika Syarikat (AS) mendakwa China menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk menjalankan penyelidikan mengenai senjata biologi secara bersembunyi di puluhan makmal rahsia di seluruh negara itu.


Negara yang mempunyai keluasan sekitar 9.6 juta kilometer persegi itu didakwa mempunyai 50 makmal rahsia, mereka disyaki aktif dalam menghasilkan 'bom bakteria' yang boleh menyebabkan maut skala besar-besaran.


Kebimbangan mengenai kewujudan makmal rahsia China muncul ketika teka-teki tentang asal usul virus Covid-19 terus menjadi persoalan, dengan kebanyakannya mendakwa ia dicipta dalam makmal di Wuhan.


Jabatan Negara AS mendakwa memperoleh sejumlah dokumen yang menunjukkan komandan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) percaya akan berlaku Perang Dunia Ketiga pada masa akan datang.


Dokumen yang dieroleh itu secara tidak langsung menunjukkan senjata biologi dan genetik akan digunakan sebagai senjata utama untuk meraih kemenangan dalam peperangan itu.


Laporan pertama mengenai senjata biologi tersebut didedahkan pada April lalu yang menunjukkan hubungan rapat antara tentera China dengan makmal rahsia di negara itu, sekaligus meningkatkan perkembangan penyelidikan biologi.


Selain itu, laporan tersebut memaklumkan China dipercayai mempunyai sejarah program senjata biologi seperti senjata yang mengandungi risin, botulinum dan juga ejen pencetus anthrax, kolera dan tularemia.


Menurut laporan itu, maklumat yang diperoleh menunjukkan China terlibat dalam kegiatan yang menimbulkan kebimbangan. Jabatan Negara AS turut mempersoalkan jika China mematuhi Konvensyen Senjata Biologi (BWC) yang ditandatangani negara itu pada 1984.


Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh para saintis AS pada 2002, terdapat beberapa makmal di China terlibat dalam kajian racun serta patogen yang boleh membawa maut. Satu daripadanya adalah makmal di Yan’an yang didakwa menghasilkan empat jenis senjata biologi termasuk bom bakteria.


Beberapa bandar lain termasuk Changchun, Kunming, Shenyang dan Wuhan pula didakwa terlibat dalam kajian dan membangunkan pelbagai ejen perang biologi.


Terdapat dua pusat kemudahan di China didakwa mempunyai kaitan dengan pembangunan senjata biologi untuk perang iaitu Akademi Mikrobiologi dan Epidemiologi di Sains Perubatan Tentera, Kementerian Pertahanan di Beijing dan Institut Produk Biologi Lanzhou. Sumber: Jon Lockett/The Sun (11/6/2021).

Pelitup Muka Emas RM17,000 Jadi Pilihan Seorang Ahli Perniagaan

Pelitup Muka Emas RM17,000 Jadi Pilihan Seorang Ahli Perniagaan


Sejak wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup memang digalakkan bagi mencegah dan mengawal penularan pandemik itu.


Disebabkan itu, permintaan terhadap pelitup muka tak kira pakai buang atau pelitup muka kain kini mempunyai permintaan tinggi. Pelbagai jenis dan warna pelitup muka yang ada di pasaran, dari yang murah hingga yang paling mahal.


Orang ramai mula turut menjadi kreatif untuk membuat pelitup muka sendiri. Tahun lepas tular seorang lelaki di India sanggup menghabiskan AS$4,000 atau kira-kira RM17,000 untuk membuat pelitup muka khas bagi melindunginya daripada Covid-19.


Menurut ahli perniagaan, Shankar Kurhada, 50, dari bandar Pune, pelitup muka bersalut 60 gram emas itu mengambil masa selama lapan hari untuk dihasilkan.



"Ia ialah topeng muka yang nipis dan mempunyai liang kecil yang membolehkan saya bernafas. Saya tidak pasti sama ada ia boleh melindungi saya daripada jangkitan Covid-19, namun saya ada juga mengambil langkah berjaga-jaga yang lain," katanya.


Jelas Kurhada, dia mendapat idea itu selepas membaca laporan media tentang seorang lelaki memakai pelitup muka diperbuat daripada perak. Dia suka memakai perhiasan emas termasuk gelang tangan dan rantai yang beratnya mencecah sehingga satu kilogram.


"Orang ramai turut meminta untuk mengambil swafoto bersama saya. Mereka kagum melihat saya memakai topeng muka bersalut emas di pasar," katanya. Sumber: Tiffany Lo/Daily Star (7/6/2020).


Orang ramai meminta untuk mengambil swafoto bersama Kurhada kerana kagum melihat pelitup muka bersalut emas tersebut. - Foto AFP

Ahad, 13 Jun 2021

10 Tahun Dilapor Hilang, Rupanya Sembunyi Di Rumah Kekasih Hanya 500 Meter Dari rumah keluarga

10 Tahun Dilapor Hilang, Rupanya Sembunyi Di Rumah Kekasih Hanya 500 Meter Dari rumah keluarga


Rahsia kehilangan seorang gadis terungkai selepas dia sebenarnya tinggal bersama teman lelaki sejak 10 tahun lalu. Lebih mengejutkan apabila gadis yang berasal dari sebuah kampung di Kerala, India ini bersembunyi di rumah yang hanya 500 meter dari rumah keluarganya.


Wanita bernama Sajitha itu berusia 18 tahun ketika kehilangannya dilaporkan pada Februari 2010. Dia tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk bertemu saudara. Pencarian keluarga dan laporan polis tidak menunjukkan sebarang perkembangan sehingga keluarganya buntu.


Namun, seorang saudara terserempak dengan Rahman yang dikatakan teman lelaki wanita itu sebelum mengekorinya baru-baru ini. Rahsia itu terbongkar selepas Rahman ditahan polis dan mengakui dia tinggal bersama seorang wanita di rumahnya.


Selepas pemeriksaan dijalankan, polis menemui Sajitha gadis yang dilaporkan hilang 10 tahun lalu di rumah lelaki terbabit. Rahman mengakui memasang pagar elektrik di kawasan biliknya bagi mengelak keluarganya mengetahui dia tinggal bersama kekasihnya.


Malah sejak 10 tahun lalu Rahman tidak makan bersama keluarga dan hanya terperap di dalam bilik sehingga dia disangka tidak siuman. Setiap hari, bilik Rahman dikunci dan ahli keluarga yang lain tidak dibenarkan masuk.


Rahman juga dikenali mudah marah oleh keluarganya. Dia akan marah sekiranya seseorang cuba memasuki biliknya. Sajitha pula hanya keluar ke tandas pada waktu malam menerusi ruang tingkap bilik berkenaan bagi mengelak keberadaannya diketahui keluarga kekasihnya.


"Kadang-kadang dia bertindak seperti orang yang mengalami masalah mental, menjadi kasar jika ada yang ingin memasuki biliknya. Dia malah membawa makanannya ke biliknya," jelas kakak Rahman.


Selama 10 tahun, Sajitha hanya menghabiskan masa di bilik Rahman dengan menonton TV dengan menggunaksn fon telinga. Kerana risau diketahui, dia juga mencuci pakaian di bilik tersebut.


Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan. Pasangan itu mengakui bertindak sedemikian kerana khuatir hubungan mereka tidak direstui keluarga. Rujukan: Times Of India (11/6/2021), The News Minute (11/6/2021).


Sajitha (kiri) menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu untuk tinggal bersama Rahman (kanan).
Wanita bertindak kejam bunuh, potong dan goreng zakar suami

Wanita bertindak kejam bunuh, potong dan goreng zakar suami


Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki telah membunuh dan memotong kemaluan suaminya sehingga putus lalu menggorengnya menggunakan minyak soya dalam kuali.


Suspek dikenalpasti sebagai Dayane Cristina Rodrigues Machado, 33, telah ditahan di San Goncalo, Brazil pada 7 Jun, Isnin lalu. Jiran suspek yang menyedari insiden itu segera menghubungi polis di kawasan kejiranan Santa Catarina.


Polis yang bergegas ke tempat kejadian terkejut selepas menemui mayat lelaki bernama Andre yang terlantar di atas lantai rumahnya dalam keadaan bogel. Isterinya yang merupakan suspek didakwa membunuh serta memotong zakar mangsa dalam kejadian jam 4 pagi itu.


Dia telah didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh dan polis juga berjaya menemui pisau yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu di dapur rumah pasangan tersebut.


Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun lalu sebelum hidup berasingan bersama dua anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan lima tahun.


Media tempatan melaporkan pasangan itu telah keluar pada waktu malam untuk membeli makanan ringan sebelum berlaku pertengkaran mulut.


Peguambela yang mewakili Carla Policarpo berkata, mangsa telah mengugut anak guamnya sebelum suspek membunuh suaminya bagi mempertahankan diri.


Namun adik perempuan mangsa, Adriana Santos mendakwa suspek sengaja membunuh abangnya kerana mahu membalas dendam kerana ditipu. Machado pernah membuat laporan polis ke atas suaminya sebelum ini.


"Dia (mangsa) tidak bersetuju untuk berpisah dan terus terlibat dalam pertengkaran sehingga berlaku insiden tersebut," katanya. Sumber: Chris Jewers/Mail Oline (9/6/2021).


Dayane Cristina Rodrigues Machado membunuh suami sendiri di Brazil.
Gara-Gara Tak Puas Hati Isu Tanaman Dan Parkir Kenderaan Jiran Bergaduh

Gara-Gara Tak Puas Hati Isu Tanaman Dan Parkir Kenderaan Jiran Bergaduh


SHAH ALAM - Satu video tular memaparkan pertengkaran dan pergaduhan sekumpulan jiran di kawasan perumahan dipercayai gara-gara tidak berpuas hati dengan kawasan tanaman dan masalah parkir kenderaan.


Insiden itu berlaku kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lalu di taman perumahan Seksyen 24, Shah Alam. Kejadian berkenaan dirakam seorang daripada jiran tersebut sehingga tular di media sosial, semalam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis menerima dua laporan daripada kedua-dua pihak dan merakam percakapan kesemua individu yang terlibat dalam pergaduhan itu.


"Siasatan lanjut telah dijalankan setelah kita menerima dua laporan polis berkaitan video tular pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita yang juga merupakan jiran," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.


Baharudin berkata, perkembangan hasil siasatan mendapati kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berdamai dan menarik semula laporan polis yang dibuat. Polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan secara adil dan saksama meskipun kedua-dua pihak telah menarik semula laporan polis.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269, 148, 427 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.


Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera untuk tindakan lanjut. Baharudin turut menasihati masyarakat supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.


Terdahulu, video berdurasi empat minit empat saat itu menunjukkan berlaku perselisihan faham melibatkan tiga indivudu berkaitan beberapa pasu diletakkan di kawasan rumah seorang daripada mereka, sebelum berlaku kekasaran melibatkan beberapa individu.


Tangkap layar video memaparkan dua keluarga jiran bergaduh di Shah Alam, Selangor, gara-gara tidak berpuas hati dengan kawasan tanaman dan masalah parkir kenderaan.

Sabtu, 12 Jun 2021

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk


KOTA KINABALU - Kehadiran seekor buaya disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.


Reptilia itu dianggarkan sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya. Bagaimanapun buaya itu berjaya ditangkap penduduk kampung petang tadi.


Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di kampung itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.


Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.


"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang. Kami kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap reptilia berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.


"Tujuan kami menangkap buaya berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak. Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.


Buaya yang berjaya ditangkap penduduk di Kampung Lobong, Pulau Gaya.