Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Ahad, 26 Disember 2021

Letup kereta Tesla berharga RM398,563 gara-gara kecewa kos tukar bateri mahal

Letup kereta Tesla berharga RM398,563 gara-gara kecewa kos tukar bateri mahal


Seorang lelaki di Finland meletupkan kereta jenama Tesla Model S miliknya yang berharga kira-kira AS$95,000 (RM398,563) setelah kenderaan tersebut rosak, manakala kos baik pulihnya amat tinggi, lapor akhbar New York Post pada 24 Disember 2021.


Tuomas Katainen membeli kereta itu pada 2013 dan mengatakan 'ia adalah kereta yang sangat baik' sebelum rosak setelah jarak pemanduannya mencecah 1496.7 kilometer.


Setelah sebulan berada di bengkel, mekanik memberitahu bahawa dia perlu menggantikan 'keseluruhan sel bateri' pada harga 20,000 euro atau kira-kira RM95,004.83.


"Jadi saya beritahu mereka saya akan mengambilnya tanpa dibaiki. Namun, saya akan meletupkannya," kata Tuomas kepada pesohor YouTube daripada saluran Pommijätkät.


Tuomas bertindak mendapatkan bantuan pasukan lagak ngeri yang menjalankan rancangan realiti di saluran itu untuk meletupkan keretanya. Kru lagak ngeri itu meletupkan kereta itu di sebuah bekas tapak kuari di kawasan bersalji Jaala.


Mereka meletakkan kira-kira 33 kilogram bahan letupan pada badan kereta tersebut. Patung manusia yang dipakaikan topi keledar dan topeng mirip wajah pengasas Tesla, Elon Musk dijatuhkan dari sebuah helikopter sebelum diletakkan di tempat duduk pemandu.


Rakaman menunjukkan Tuomas bersama kru tersebut bersorak setelah kereta diletupkan. Lelaki itu menganggap bahawa letupan tersebut lebih bermakna daripada menyimpan kereta Tesla yang tidak berfungsi.


Tuomas Katainen memutuskan untuk meletupkan kereta Tesla miliknya kerana memerlukan kos baik pulih yang tinggi.

Tuomas Katainen bersama kru bersorak setelah kereta Tesla Model S 2013 miliknya diletupkan.

Pakar mengikat 30kg bahan letupan hanya pada satu sisi kereta supaya arah serpihan dapat ditentukan.

Jumaat, 24 Disember 2021

'Penyewa dari neraka' tinggalkan timbunan sampah, najis sebelum pindah keluar

'Penyewa dari neraka' tinggalkan timbunan sampah, najis sebelum pindah keluar


Seorang pemilik rumah tidak menyangka rumah yang disewakan kepada seorang penyewa dipenuhi dengan timbunan sampah dan najis, lapor laman berita Mirror UK pada 22 Disember 2021.


Danny Hernon, 54, mula curiga apabila penyewa tersebut kelihatan keberatan untuk menyerahkan semula kunci rumah teres tiga bilik itu, walaupun sudah berpindah sejak lebih sebulan lalu.


Disebabkan itu, Hernon pergi ke rumah sewa tersebut yang terletak di Oldham, Greater Manchester, dan mendapati setiap sudut kediaman itu dipenuhi dengan sampah-sarap serta najis manusia dan najis haiwan peliharaan.


Dalam video yang dirakam Hernon, dapat dilihat sampah-sarap yang reput, termasuk timbunan kertas tandas terpakai dan kelihatan seperti najis menutupi lantai bilik mandi, manakala dinding bertukar warna hitam berkulat dan makanan yang membusuk.


Lebih mengecewakan, bekas penyewa rumah itu turut mencadangkan kepada Hernon supaya menggunakan duit deposit berjumlah 500 pound (RM2,807) untuk membersihkan rumah tersebut.



Jelas Hernon, jumlah itu terlalu sedikit untuk membersihkan keseluruhan rumah dan menggantikan bahagian yang kotor. Dia memaklumkan perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya 15,000 pound (RM84,215) bagi tujuan berkenaan.


Dia kemudian menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu sebagai kerosakan jenayah, dengan harapan dapat meminta bekas penyewa tersebut membayar sekurang-kurangnya sebahagian daripada ganti rugi.


"Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan keadaan di rumah saya ketika ini. Situasinya amat teruk dengan sampah di sana sini. Bagaimana dia boleh hidup dalam keadaan kotor dan jijik seperti ini? Soalnya.


Menurut Hernon, wanita yang disebutnya 'penyewa dari neraka' itu telah menyewa rumah tersebut selama 18 tahun dengan bantuan Universal Credit, dan dipercayai tinggal bersama dengan pasangannya serta anak mereka.


Sebelum ini, Hernon ada memberikan notis kepada wanita itu untuk berpindah kerana rumah tersebut hendak dijual, dan pembeli sudah bersetuju dengan harga sebelum mendapati keadaan rumah itu.


Hernon bersama rakan niaganya (ejen) kini terpaksa menangguhkan penjualan, dan menanggung kos yang tinggi untuk membersihkan sampah dan menggantikan lantai, bilik mandi, dapur dan pintu dalaman yang kotor.


"Walau apa pun kosnya kami akan bawa dia ke mahkamah. Saya tahu dia tidak mempunyai banyak wang tetapi ia perlu menunjukkan bahawa anda tidak boleh meninggalkan kepada tuan rumah dalam situasi ini," katanya.


Tidak dapat dipastikan bila kali terakhir Hernon datang melawat rumah tersebut, namun keadaan yang dilihatnya amat mengejutkan. Polis Greater Manchester mengesahkan bahawa kejadian itu dilaporkan pada 15 Disember dan sedang disiasat.


"Adalah penting bagi tuan rumah menjalankan pemeriksaan ke atas penyewa mereka sebelum menyewakan hartanah, dan perlu menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan penyewa mematuhi perjanjian dan rumah itu dalam keadaan baik," kata jurucakap Oldham Council.


Keadaan di dalam rumah sewa milik Danny Hernon di Manchester, Britain. - Foto Kennedy News and Media.

Selasa, 21 Disember 2021

Pekerja terlelap di ruang kargo ketika pesawat berlepas ditemukan selamat

Pekerja terlelap di ruang kargo ketika pesawat berlepas ditemukan selamat


Akibat keletihan, seorang pekerja kargo IndiGo yang sedang memunggah barangan ke ruangan penyimpan pesawat tertidur, dan hanya tersedar dari tidurnya selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Mumbai, lapor India Today pada 14 Disember 2021.


Lelaki itu ditugaskan memasukkan bagasi untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Mumbai ke Abu Dhabi, pada 12 Disember lalu. Namun, petugas itu dipercayai tertidur di dalam ruangan kargo pesawat berkenaan.


Sejurus pesawat tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan lelaki itu ditemukan selamat. Dia dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan didapati berada dalam keadaan sihat, kemudian dihantar pulang ke negara asal.


Pengarah Besar Penerbangan Awam (DGCA), Arun Kumar dalam satu kenyataan pada Selasa lalu berkata, pihaknya mengarahkan siasatan ke atas insiden berkenaan.


"Pesawat IndiGo A320 dijadualkan memulakan penerbangan dari Mumbai Ke Abu Dhabi, pada Ahad lalu. Selepas memasukkan bagasi dalam pesawat, seorang pekerja yang menaiki pesawat berehat di ruang bagasi satu dan tertidur di belakang bagasi.


"Pintu kargo ditutup selepas seorang petugas menghitung jumlah bilangan pekerja. Pekerja terbabit terjaga ketika pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Mumbai.


"Dia dikesan di Abu Dhabi dan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi. Hasil pemeriksaan mendapati keadaan fizikalnya stabil dan normal.


"Selepas mendapat kebenaran diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan di Abu Dhabi, dia dihantar semula sebagai penumpang ke Mumbai dengan satu penerbangan lain," katanya.


Sementara itu, syarikat penerbangan IndiGo berkata, mereka mengambil maklum kejadian itu dan perkara itu sedang dalam siasatan.


Seorang pekerja pemunggah barangan pesawat IndiGo tertidur ketika pesawat berlepas. - Foto IndiGo.

Isnin, 20 Disember 2021

[Video] Ahli politik selesai isu dengan bertinju dalam gelanggang

[Video] Ahli politik selesai isu dengan bertinju dalam gelanggang


Dua ahli politik Brazil yang bertelagah mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan perbezaan pendapat mereka apabila bersetuju untuk bertinju di dalam gelanggang, lapor laman berita The Guardian pada 13 Disember 2021.


Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto sebelum itu dicabar bertinju secara terbuka oleh bekas ahli majlis, Erineu da Silva, pada September lalu. Silva, yang menggunakan nama panggilan Mirico dilaporkan marah dengan dakwaan datuk bandar gagal memulihara taman air berhampiran sungai Madeira.


Beliau menuntut diadakan perlawanan tinju dengan ahli politik berkenaan yang digelarnya sebagai 'hampas' dan 'penyangak'. Peixoto kemudian menerbitkan video dalam talian yang menunjukkan kesediaannya untuk membelasah antagonisnya, dengan memukul tapak tangannya dengan penumbuknya sambil berkata, 'tunjuk muka anda!'.



"Saya bukan pejuang jalanan, saya datuk bandar perbandaran Borba, tetapi jika dia benar-benar mahu bertarung, kami bersedia untuk bertarung, saya sentiasa menjadi pemenang," kata ahli politik itu di laman Facebook rasminya pada awal November lalu.


Sebulan kemudian iaitu pada satu pagi Ahad, perlawanan antara kedua-duanya diadakan di gimnasium di sekolah tempatan. Ia turut disaksikan oleh ratusan penonton. Perlawanan itu turut disiarkan dalam internet.


Peixoto masuk ke gelanggang kira-kira jam 2.30 pagi, dikelilingi pembantu dan membawa tuala hitam. Silva pula muncul dengan membuat provokasi dengan menconteng platform dan pergi ke kawasan lawannya. Dia kemudian menunjukkan isyarat seperti memotong leher, lapor laman web BNC Amazonas.


Saksi yang melihat perlawanan selama 13 minit itu berkata, Peixoto mengalami serangan menyakitkan. Walaupun pada mulanya Peixoto berjaya menjatuhkan Mirico, namun lawannya itu bertindak balas.


Selepas tiga pusingan, Peixoto hampir tidak dapat berjalan kerana jumlah tendangan yang diterimanya. Walaupun begitu, Peixoto diumumkan sebagai pemenang dan keputusan itu tidak disenangi penonton.


"Peliknya, Mirico tewas dengan satu mata," kata Fato Amazônico seperti dilaporkan The Guardian.


Video dua ahli politik Brazil bertinju dalam gelanggang.
Wanita kahwini pokok 3 tahun lalu mengakui hidupnya menjadi lebih baik dan bahagia

Wanita kahwini pokok 3 tahun lalu mengakui hidupnya menjadi lebih baik dan bahagia


Seorang wanita Britain yang mengahwini sebatang pokok dalam satu upacara unik, menyatakan bahawa hidupnya menjadi lebih baik selepas berkahwin dengan 'suaminya' itu sejak tiga tahun lalu, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Disember 2021.


Kate Cunningham, 37, yang menetap di Merseyside, England, turut menukar nama keluarganya kepada Elder sempena nama pokok tersebut dan kini dikenali sebagai Kate Elder. Wanita itu berkahwin dengan pokok Elder pada September 2019.


Wanita itu berkata, walaupun perkahwinan mereka sudah memasuki usia tiga tahun, cinta dia dan suaminya masih teguh dan semakin kukuh menjelang sambutan Krismas pada bulan ini.


"Orang ramai masih bertanya sama ada perkahwinan ini berjaya mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik. Ya, semestinya! Adakah saya masih mencintai pokok itu? Jawapannya adalah Ya, saya mencintainya," kata Kate.



Wanita yang merupakan seorang bekas guru itu melawat 'suaminya' sehingga lima kali dalam tempoh seminggu. Dia juga menghiasinya dengan dekorasi Krismas.


"Ini adalah sambutan Krismas ketiga untuk kami, jadi saya berada seperti satu tradisi untuk menghiasinya. Saya membuat kalung bunga daripada buah Berry musim sejuk holly yang saya cari semasa berjalan-jalan pada hujung minggu.


"Selain itu saya menambah sedikit semburan kilauan perayaan. Saya sungguh tertarik dengan pokok ini terutamanya ketika sinaran matahari pada bulan Disember," katanya.


Bagi Kate, pokok adalah seperti manusia - mereka mempunyai tenaga dan keupayaan untuk membentuk ikatan dengan benda di sekeliling mereka. Keluarga dan rakan Kate menyokong penuh perkahwinannya kerana dia telah lama mempunyai hubungan yang mendalam dengan alam.


Kate, bagaimanapun dikatakan berlaku curang terhadap 'suaminya' apabila dia mempunyai seorang teman lelaki yang juga seorang manusia. Menurutnya, suaminya reda tidak marah dengan hubungan tersebut.


Menurut laporan Mirror UK, perkahwinan aneh itu adalah sebahagian daripada kempen untuk menyelamatkan Taman Desa Lembah Rimrose daripada diubah menjadi pintasan oleh Lebuhraya Nasional.


Penduduk tempatan berkempen untuk menghentikan pintasan baru sepanjang 4.8 kilometer itu. Pembinaan itu difahamkan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, melalui Lembah Rimrose ke Pelabuhan Liverpool.


Mereka berhujah bahawa jalan raya berkembar itu akan menghapuskan sebidang ruang hijau yang besar serta menyebabkan pencemaran. - Sumber Mirror UK.


Kate tetap bahagia selepas tiga tahun berkahwin dengan pokok Elder. - Foto Andy Kelvin/Triangle News

Keluarga dan rakan Kate menyokong penuh perkahwinannya. - Foto John Hegarty/Triangle News.

Selasa, 14 Disember 2021

Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga

Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga


Seorang wanita menemui satu objek dipercayai muntah ikan paus seberat lebih 5 kilogram ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, baru-baru ini.


Aida Zurina Long, 41, berkata, objek yang pada awalnya disangka sampah itu ditemukan terapung kira-kira pukul 11 malam, pada akhir bulan lalu.


"Saya menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus yang terapung kira-kira jam 11 malam itu ketika sedang memancing bersama keluarga pada akhir bulan lalu.


"Saya ingat sampah dan menarik objek itu menggunakan kayu ke tepi tebing. Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu dan mendapati benda itu masih ada sebelum mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah," katanya.


Aida Zurina berkata, sebaik menunjukkan objek itu kepada bapanya yang juga nelayan, dia terkejut apabila diberitahu ia adalah muntah ikan paus, dan mempunyai nilai yang tinggi.


"Apabila ayah cakap ini adalah muntah paus, memang saya tergamam dan terkejut. Saya segera membuat carian di internet mengenai ciri-ciri muntah ikan paus atau ambergris.


"Ayah cuba bakar objek itu dan memang benar ia cair seperti lilin, malah turut mengeluarkan bau yang sangat harum," katanya yang juga pengusaha sebuah kedai makan di Kemasik.


Tambahnya, dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk melakukan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap objek yang ditemuinya itu.


"Saya juga tidak tahu muntah ikan paus ini adalah 'bahan' yang dicari dalam perusahaan minyak wangi, dan difahamkan ia amat jarang ditemui di negara kita," katanya.


Muntah ikan paus atau nama saintifiknya ambergris ditemui kali terakhir oleh seorang nelayan berusia 20 tahun di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand, Februari lalu. Difahamkan ambergris tersebut dijual dengan harga 210,000 Pound (RM1.16 juta).


Aida Zurina Long menunjukkan ketulan yang dipercayai muntah ikan paus ketika ditemui pemberita di Kemasik, Kemaman, Terengganu, hari ini. - Foto Utusan Malaysia.

Ahad, 12 Disember 2021

Adik-beradik kembar kongsi tunang sama mahu hamil serentak

Adik-beradik kembar kongsi tunang sama mahu hamil serentak


Sepasang adik-beradik kembar di Australia telah mendedahkan bahawa mereka mahu hamil serentak dan mendapatkan anak berbapakan tunang yang sama, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2021.


Anna dan Lucy DeCinque, 35, sebelum ini menjadi perhatian dan mendapat julukan sebagai 'kembar paling seiras di dunia' kerana mempunyai wajah amat seiras serta menjalani gaya hidup serupa termasuk berkongsi tunang yang sama.


Kisah hidup kedua-dua wanita itu kini dikongsi menerusi siri realiti televisyen saluran TLC di Amerika Syarikat yang bertajuk 'Extreme Sisters' menerusi episod yang ditayangkan pada minggu ini.


Program itu mendokumentasikan kehidupan dan hubungan mereka. Anna dan Lucy mengaku mereka sedang cuba untuk hamil serentak dengan melakukan rutin bagi mencetuskan kehamilan pada waktu yang sama.



Mereka mengambil suhu pada waktu sama setiap pagi bagi melihat sama ada mereka berada dalam fasa ovulasi. Kedua-duanya turut gembira apabila mengetahui bahawa mereka subur pada waktu yang sama setiap bulan.


"Kami belajar dari internet bahawa apabila suhu anda meningkat, ia bermaksud anda sedang mengalami ovulasi. Suhu kami meningkat 3 darjah Celcius. Kami mengalami ovulasi pada waktu yang sama," kata Lucy dalam satu klip video di YouTube.


Anna dan Lucy sebelum ini pernah mendedahkan bahawa mereka menjalani rutin diet dan senaman yang sama termasuk mengira jumlah makanan bagi memastikan mereka makan dalam kuantiti yang sama.


Kedua-dua wanita itu turut membelanjakan kira-kira £177,000 (RM984,205) bagi menjalani rawatan kosmetik termasuk memasang payudara palsu.


Anna dan Lucy DeCinque bersama tunang mereka, Ben Byrne.