Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Rabu, 24 April 2024

Isteri tua tetap setia, izinkan suami kahwin sampai 28 kali, sanggup tidur sebilik dengan isteri muda

Isteri tua tetap setia, izinkan suami kahwin sampai 28 kali, sanggup tidur sebilik dengan isteri muda


Isteri seorang ahli perniagaan di Indonesia membenarkan suaminya berkahwin lain selepas lelaki itu pernah bernikah sebanyak 28 kali, lapor laman berita TribunTrends pada 23 April 2024.


Menurut ahli perniagaan tersebut, Isep Dadang Sukmana, 60, isteri pertamanya sering mengizinkan dia berkahwin lain.


"Ramai orang berfikiran negatif. Namun, jika mahu tahu siapa saya dan kenapa saya sering berkahwin, tanyalah isteri pertama saya.


"Isteri pertama saya selalu mengizinkan saya bernikah lagi," katanya.


Menurut Isep, dia berkahwin lain kerana mahu membantu wanita-wanita berkenaan, namun dirinya sering dikecewakan selepas menjadi suami mereka.


Namun, kata Isep, dia kini hanya memiliki dua isteri iaitu Dedah Haryati dan isteri keduanya, Eva Novianti.


Alhamdulillah, setelah pergi ke Tanah Suci, saya berniat untuk tidak bernikah lagi. Sekarang cukup dua saja (isteri).


"Dua-dua ni (isteri) tak ada masalah, selalu baik. Satu rumah, satu bilik. Saya pun bawa berdua ke Tanah Suci," kata Isep.


Isep berkata, sokongan daripada dua isterinya itu menambahkan lagi semangatnya untuk sentiasa menabur kebaikan.


Kedua-dua isterinya tidak pernah membantah apabila Isep membazir wang membantu orang yang tidak berkemampuan.


"Mereka sentiasa menyokong saya dalam beramal. Tiada siapa yang pernah menghalang saya daripada membelanjakan wang untuk beramal," jelasnya. - Sumber Tribun Trends.


Isep bersama dua isterinya iaitu Dedah Haryati dan isteri keduanya, Eva Novianti. - Foto TribunTrends.
Warga emas tiada masalah hidup 'berteman' 2 tan sampah, tapi jiran pula tidak selesa

Warga emas tiada masalah hidup 'berteman' 2 tan sampah, tapi jiran pula tidak selesa


Seorang warga emas tinggal dalam keadaan rumahnya menjadi 'gudang' sampah sarap sehingga menyebabkan gangguan, ketidakselesaan kepada kejiranan, mencemarkan pemandangan dan bau busuk.


Itulah yang terpaksa dilalui oleh penduduk di Permas Jaya, Johor Bahru disebabkan sikap seorang warga emas yang suka mengumpul sampah termasuk sisa makanan, timbunan plastik, kotak dan tin.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, lelaki itu yang hidup sebatang kara mengumpul sampah di dalam dan luar rumahnya tetapi bukan untuk dijual.


Katanya, sikap 'hoarder' itu menyebabkan jiran tetangganya tidak selesa apabila terpaksa sentiasa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk yang banyak.


Menurutnya, bau busuk yang datangnya dari timbunan sampah yang dikumpul warga emas itu boleh dihidu dalam jarak 200 meter, hingga menjejaskan sambutan perayaan Aidilfitri baru-baru ini.


"Keadaan bertambah rumit apabila lelaki itu berkeras untuk membersihkan rumahnya walaupun Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahupun SWCorp menawarkan bantuan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.


Menurut A Habib, selepas itu pihaknya memberikan tempoh untuk berbuat demikian namun masih gagal memberi kerjasama sebelum SWM Environment menjalankan kerja-kerja pembersihan.


"Pada 18 April lalu, SWM Environment melakukan satu operasi melibatkan lima pekerja menggunakan jentolak dan sebuah lori roll-on roll-off (RORO) 16 tan membersihkan 2,200 kilogram sisa atau 2.2 tan dari kediaman itu," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor, Mohd Khairul Azlan Sulong berkata, masyarakat perlu ada kesedaran terhadap kebersihan.


Keadaan rumah seorang warga emas yang dipenuhi sampah sarap menimbulkan rasa kurang senang jiran di Permas Jaya, Johor Bahru. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 21 April 2024

Lelaki Malaysia tak lagi selamat, bilangan kes gangguan seksual terus meningkat

Lelaki Malaysia tak lagi selamat, bilangan kes gangguan seksual terus meningkat


Lelaki Malaysia tidak lagi 'selamat' apabila aduan berkaitan mangsa gangguan seksual terhadap mereka semakin meningkat di negara ini. Kecenderungan golongan wanita 'mengganggu' lelaki berpunca kurangnya lelaki tulen sekali gus memaksa kaum hawa memulakan langkah drastik sehingga wujud gangguan seksual.


Difahamkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima lebih 1,000 aduan berkenaan gangguan seksual terhadap lelaki sejak setahun lalu dan bilangan kes terus meningkat.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya melalui Jerayawara Kasih KPWKM @ Antigangguan Seksual menerima lebih 1,000 aduan gangguan seksual terhadap lelaki membabitkan pelbagai peringkat usia sejak program itu dilancarkan tahun lalu.


"Pada permulaan program ini, hanya berbelas (aduan gangguan seksual terhadap lelaki) kami terima. Mungkin mereka tidak mahu melaporkannya kepada pihak polis, tetapi mereka berani buka cerita kepada kaunselor kita.


"Ada lebih 1,000 pengadu (lelaki) datang melaporkan kepada kaunselor (KPWKM) dan minta nasihat daripada KPWKM (berkaitan gangguan seksual dialami mereka)," katanya selepas merasmikan Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @ Antigangguan Seksual serta pelancaran Kempen Zero Sexual Harassment on Campus anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam.


Pada Disember tahun lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu turut memaklumkan sebanyak 411 kes atau 27.7 peratus daripada 1,486 aduan berkaitan gangguan seksual direkodkan membabitkan mangsa lelaki.


Katanya, pihaknya menerima 1,486 keseluruhan aduan berkaitan gangguan seksual menerusi data daripada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) antara Mac hingga Disember 2023.


Katanya, aduan itu dikemukakan semasa Program Jerayawara KASIH KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri.


Beliau memaklumkan, KPWKM menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] sebagai suatu Akta khusus untuk menangani kesalahan gangguan seksual.


Mengenai Tribunal bagi Antigangguan Seksual (Tags), Nancy berkata, tribunal berkenaan mula beroperasi pada 11 Mac lalu dan sedang meneliti serta mengkaji setiap aduan diterima bagi tindakan susulan.


"Penting kita dengar dulu kes-kes sama ada bersesuaian untuk ambil tindakan (daripada segi undang-undang) dan mereka akan beri nasihat. Jadi sebab itu dari segi statistik ketika ini agak belum tinggi sangat, namun sudah ramai yang bertanya (mengenai Tags)," katanya.


Tags ditubuhkan untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024 dan menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mengendalikan aduan dengan cepat, mudah dan kos minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku bagi mendapatkan hak tebus rugi akibat gangguan yang dialami.


Pakar kaunseling keluarga, Hushim Salleh berkata, trend peningkatan kes gangguan wanita terhadap lelaki atau diklasifikasikan sebagai 'gangguan seksual' ini sudah berlaku sejak tiga hingga lima tahun yang lalu.


"Hari ini bukan sesuatu yang pelik jika wanita mengajak lelaki melakukan hubungan seksual kerana mereka terangsang dengan kepelbagaian maklumat yang tersedia di depan mata.


"Berdasarkan pengalaman saya dalam melakukan kaunseling, kebanyakan wanita ini didorong untuk melakukan tindakan sedemikian kerana kekurangan lelaki tulen atau pasangan yang 'boleh harap'.


"Lelaki memang ramai, namun sebahagian besar daripada mereka sudah berkahwin, sudah ada teman wanita malah wujud segelintir lelaki yang cenderung dengan lelaki saja atau kita panggil sebagai gay," katanya. - Harian Metro.


Kebanyakan wanita didorong untuk melakukan gangguan seksual kerana kekurangan lelaki tulen atau pasangan yang 'boleh harap'.

Sabtu, 20 April 2024

Lelaki warga emas dibunuh, dibakar ahli keluarganya sendiri dalam hutan

Lelaki warga emas dibunuh, dibakar ahli keluarganya sendiri dalam hutan


Seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh dan dibakar oleh saudaranya sendiri sebelum serpihan tulang ditemui di kawasan hutan belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, Ranau, pada Khamis lalu.


Serpihan tulang mangsa berusia 68 tahun itu ditemui oleh keluarganya berdasarkan penemuan kawasan yang dibakar terletak di belakang rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek pada pukul 9.43 malam.


"Pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki tulang manusia yang telah dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa. Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April lalu.


"Bagaimanapun, semua serpihan tulang yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan DNA," katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengulas lanjut, Simiun menyatakan hasil siasatan menahan seorang lelaki yang juga anak saudara kepada mangsa.


Menurut beliau, suspek berusia 50 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.


"Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Sementara itu, Simiun berkata, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat ketenteraman awam.


Lokasi serpihan tulang mangsa ditemui di kawasan hutan belakang rumah mangsa di Kampung Kipaliu, Ranau, Sabah. - Foto PDRM.

Rabu, 17 April 2024

Polis kesan lelaki kes rakam video, gambar dalam tandas wanita

Polis kesan lelaki kes rakam video, gambar dalam tandas wanita


Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan membabitkan kes merakam gambar atau mengambil video seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa, 6 April lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mengaibkan kehormatan daripada seorang pengadu pada Rabu.


"Kami menerima laporan daripada mangsa wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun, jam 3.34 petang, pada 7 April lalu.


"Kejadian berlaku pada 8.40 malam di mana pengadu menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas dan disyaki sedang merakam gambar atau video.


"Susulan kejadian itu, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, berbaju hitam, berseluar coklat, bermisai serta berjanggut nipis selain memakai selipar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan lelaki dalam rakaman CCTV tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.


Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan di tandas wanita di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu pada Selasa, 6 April lalu.

Isnin, 15 April 2024

Lima lelaki ditahan ugut pelanggan ketika berkempen memboikot McDonald's

Lima lelaki ditahan ugut pelanggan ketika berkempen memboikot McDonald's


Seorang anggota tentera antara lima lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terbabit melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan sebuah restoran makanan segera dekat Sungai Isap di Kuantan, Pahang.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata empat lagi suspek bekerja sebagai sebagai pegawai bank, juru jual kereta, kontraktor dan peniaga. Lima suspek yang ditahan semalam dan kelmarin itu berusia antara 27 hingga 43 tahun.


"Siasatan mendapati, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.


"Kita juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton, sehelai bendera bersama batang pancing, satu unit telefon bimbit jenama Redmi dan motosikal Yamaha LC, topi keledar, sehelai baju berwarna putih seluar biru serta alat kawalan jauh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.


Pada Sabtu, tular satu rakaman video di laman sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki sedang berkempen memboikot McDonald's Sungai Isap, Kuantan.


Wan Mohd Zahari berkata, hasil rakaman percakapan, empat suspek mengaku berada di lokasi kejadian, namun tidak melakukan sebarang ugutan jenayah terhadap mangsa.


Jelasnya, bagaimanapun, hanya seorang suspek yang bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa pada hari kejadian.


"Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut," katanya.


Sebelum itu, beliau memberitahu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan bersama keluarga berada di premis makanan segera tersebut, jam 10.25 malam, pada Jumaat.


Katanya, peniaga air balang itu melihat beberapa lelaki tidak dikenali sedang berkempen memboikot McDonald's di situ, dan memanggilnya.


"Apabila mangsa pergi kepada kumpulan lelaki tersebut, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan melakukan provokasi.


"Mangsa cuba menghindari mereka dengan masuk kembali ke dalam premis McDonald’s namun selepas keluar untuk pulang ke rumah, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi terhadap pengadu.


"Ketika pengadu hampiri kumpulan lelaki berkenaan, salah seorang daripadanya capai topi keledar lalu diberi kepada kawannya dan lelaki itu ugut akan pukul mangsa namun, situasi itu dileraikan isteri mangsa," katanya.


Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar rakaman video tular di laman sosial pada Sabtu.

Sabtu, 13 April 2024

Cawan teh emas berharga RMRM311,499 dicuri di gedung beli-belah

Cawan teh emas berharga RMRM311,499 dicuri di gedung beli-belah


Sebuah Cawan teh emas tulen berharga sekitar 10 juta yen (RM311,499) dicuri dari sebuah gedung membeli-belah di Tokyo pada Jumaat dan polis tempatan kini sedang memburu seorang lelaki yang dirakam kamera mengambil barangan tersebut.


Cawan diperbuat daripada emas 24 karat itu hilang daripada ruang pameran sebuah cawangan Takashimaya iaitu pusat pameran pelbagai produk emas untuk dijual.


Menurut Xinhua yang memetik laporan media tempatan, seorang petugas menyedari mangkuk itu hilang dari ruang pameran pada sekitar waktu tengah hari sempena pameran emas di gedung Beli-Belah Nihombashi Takashimaya.


Kyodo News melaporkan lelaki itu memaklumkan kes kecurian kepada polis kira-kira 15 minit kemudian.


Kamera litar tertutup (CCTV) merakam seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an tahun mengalihkan mangkuk itu dan memasukkan ke dalam beg galasnya pada sekitar 11.40 pagi (waktu tempatan).


Menurut polis lagi, lelaki tu memakai cermin mata dan jaket sejuk.


The Guardian melaporkan cawan teh terbabit adalah barang paling mahal di antara lebih 1,000 set minum petang, pinggan mangkuk dan artifak yang dipamerkan, kata jurucakap peruncit itu.


"Ia disimpan dalam kotak lutsinar yang tidak berkunci pada masa itu. Jadi ia boleh dibawa keluar untuk memudahkan pelanggan melihatnya dengan teliti," tambah jurucakap itu.


Menurut jurucakap, pameran tetap diteruskan walau berlaku insiden itu, namun kawalan keselamatan gedung yang dipertingkatkan. - Sumber The Guardian.


Gedung Takashiyama di Tokyo. - Foto The Guardian.