Isnin, 15 April 2024

Lima lelaki ditahan ugut pelanggan ketika berkempen memboikot McDonald's


Seorang anggota tentera antara lima lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terbabit melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan sebuah restoran makanan segera dekat Sungai Isap di Kuantan, Pahang.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata empat lagi suspek bekerja sebagai sebagai pegawai bank, juru jual kereta, kontraktor dan peniaga. Lima suspek yang ditahan semalam dan kelmarin itu berusia antara 27 hingga 43 tahun.


"Siasatan mendapati, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.


"Kita juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton, sehelai bendera bersama batang pancing, satu unit telefon bimbit jenama Redmi dan motosikal Yamaha LC, topi keledar, sehelai baju berwarna putih seluar biru serta alat kawalan jauh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.


Pada Sabtu, tular satu rakaman video di laman sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki sedang berkempen memboikot McDonald's Sungai Isap, Kuantan.


Wan Mohd Zahari berkata, hasil rakaman percakapan, empat suspek mengaku berada di lokasi kejadian, namun tidak melakukan sebarang ugutan jenayah terhadap mangsa.


Jelasnya, bagaimanapun, hanya seorang suspek yang bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa pada hari kejadian.


"Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut," katanya.


Sebelum itu, beliau memberitahu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan bersama keluarga berada di premis makanan segera tersebut, jam 10.25 malam, pada Jumaat.


Katanya, peniaga air balang itu melihat beberapa lelaki tidak dikenali sedang berkempen memboikot McDonald's di situ, dan memanggilnya.


"Apabila mangsa pergi kepada kumpulan lelaki tersebut, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan melakukan provokasi.


"Mangsa cuba menghindari mereka dengan masuk kembali ke dalam premis McDonald’s namun selepas keluar untuk pulang ke rumah, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi terhadap pengadu.


"Ketika pengadu hampiri kumpulan lelaki berkenaan, salah seorang daripadanya capai topi keledar lalu diberi kepada kawannya dan lelaki itu ugut akan pukul mangsa namun, situasi itu dileraikan isteri mangsa," katanya.


Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar rakaman video tular di laman sosial pada Sabtu.


EmoticonEmoticon