Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Julai 2022

Teleskop JWST temui galaksi berusia 13.5 bilion tahun yang tertua di Alam Semesta

Teleskop JWST temui galaksi berusia 13.5 bilion tahun yang tertua di Alam Semesta


Teleskop Angkasa James Webb (JWST) yang baru sahaja dilancarkan ke angkasa tahun lepas telah menemui galaksi berusia 13.5 bilion tahun, yang kini tertua di alam semesta yang dilihat oleh manusia, lapor akhbar Daily Mail pada 20 Julai 2022.


Dikenali sebagai GLASS-z13 (GN-z13), galaksi itu merekodkan sejarah 300 juta tahun selepas peristiwa Big Bang (teori Letupan Besar yang saintis percaya menjadi titik permulaan kejadian alam semesta) yang diteorikan berlaku 13.8 bilion tahun lalu.


Kejayaan JWST ini sekaligus menewaskan rekod penemuan galaksi tertua yang dibuat oleh Teleskop Hubble. Pada 2015, teleskop berkenaan berjaya menemui galaksi yang dinamakan GN-Z11 yang dianggarkan berusia 13.4 bilion tahun.


Penemuan terbaru itu dianggarkan 100 juta tahun lebih awal daripada segala yang pernah diketahui sebelum ini, ujar Rohan Naidu, saintis dari Pusat Astrofizik Harvard.


"Kita berkemungkinan melihat cahaya bintang paling jauh yang pernah dapat disaksikan sesiapa," ujarnya kepada AFP.


Semakin jauh sesuatu objek dari kita, semakin lama tempoh cahayanya sampai kepada kita. Maka untuk mencerap sebuah semesta yang jauh jaraknya, bermakna kita 'meninjau' jauh ke lembaran sejarah yang sangat lama.


Walaupun GN-z13 telah wujud dalam era awal alam semesta, usia tepatnya masih tidak diketahui kerana ia mungkin terbentuk pada bila-bila masa dalam 300 juta tahun terawal.


GN-z13 dikesan menerusi data yang diperoleh dari pengimejan inframerah utama yang mengorbit di angkasa atau Near Infrared Camera (NIRcam), namun penemuan itu tidak didedahkan kepada umum dalam siri imej pertama yang disiarkan NASA sebelum ini.


Apabila diterjemah dari inframerah ke spektrum yang boleh dilihat, galaksi berkenaan kelihatan seperti satu tompok merah dengan warna putih di bahagian tengahnya. Naidu dan pasukan 25 ahli astronomi dari seluruh dunia telah menghantar hasil penemuan mereka ke jurnal saintifik.


"Rekod astronomi banyak yang memerlukan sokongan dan pembuktian. Saya hanya berpuas hati apabila hasilnya mendapat pengesahan rakan sepasukan. Namun, yang ini sangat menjanjikan sesuatu," ujar Ketua Saintis NASA, Thomas Zurbuchen.


Naidu berkata, seorang lagi pasukan astronomi diketuai Marco Castellano, yang memproses data yang sama, turut mencapai rumusan yang sama.


Salah satu daripada kelebihan teleskop Webb adalah kemampuannya mencari galaksi-galaksi terawal yang terbentuk selepas Big Bang, 13.8 bilion tahun lalu.


Oleh kerana galaksi itu terlalu jauh jaraknya dari Bumi, pada ketika cahayanya sampai kepada kita, ia terserak luas disebabkan sifat semesta yang tidak terbatas. Maka, cahaya itu berubah kepada bentuk inframerah dalam spektrum cahaya.


Teleskop Webb bagaimanapun, dapat mengenal pasti bentuk itu dengan kadar kejelasan tinggi. Naidu dan pasukannya meneliti data inframerah dari semesta yang jauh itu, demi mencari ciri khusus atau signatur semesta-semesta yang jaraknya sangat jauh.


"Kami memeriksa semua data awal galaksi dengan ciri yang khusus ini, dan inilah dua sistem (GN-Z11 dan GN-z13) yang kami kenal pasti mempunyai signatur paling menakjubkan. Ada bukti kukuh, namun banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya," kata Naidu. - Sumber Daily Mail.


BACA: NASA dedah imej berwarna Alam Semesta pertama paling jelas dan paling jauh.


Walaupun GN-z13 telah wujud dalam era awal alam semesta, usia tepatnya masih tidak diketahui kerana ia mungkin terbentuk pada bila-bila masa dalam 300 juta tahun terawal. - Foto Rohan Naidu.

Semasa menyiasat kawasan berhampiran GN-z13 (atas), JWST turut melihat GN-z11 (bawah). - Foto Rohan Naidu.

Ahad, 17 Julai 2022

NASA dedah imej berwarna Alam Semesta pertama paling jelas dan paling jauh

NASA dedah imej berwarna Alam Semesta pertama paling jelas dan paling jauh


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada hari Isnin mengeluarkan foto pertama dari Teleskop Angkasa James Webb NASA, menunjukkan imej paling jelas gugusan galaksi dalam sejarah.


Imej penuh warna dan resolusi tinggi ditunjukkan pada malam Isnin sebelum NASA mempamerkannya bersama foto dan data spektrografi lain pada hari Selasa, di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard di pinggir Maryland.


Teleskop Webb, dibina dengan kos AS$10 bilion (RM44 bilion ), merupakan teleskop angkasa terbesar dan paling canggih pernah dilancarkan. Webb memiliki resolusi dan kepekaan inframerah yang tinggi sehingga mampu memfokuskan sesebuah objek dalam jangka masa yang lama tanpa mengira jarak.


Imej yang ditunjukkan oleh Biden dan Pentadbir NASA Bill Nelson pada hari Isnin di Rumah Putih menunjukkan gugusan galaksi berusia 4.6 bilion tahun yang dipanggil SMACS 0723 - gugusan galaksi terjauh pernah dirakam oleh manusia.


SMACS 0723 mempunyai jisim gabungan yang bertindak sebagai 'kanta graviti', herotan angkasa untuk membesarkan cahaya dari galaksi yang lebih jauh di belakangnya.


"Sekurang-kurangnya satu cahaya samar dalam 'latar belakang' foto itu, komposisi imej dengan panjang gelombang cahaya yang berbeza bermula sejak 13 bilion tahun lalu," kata Nelson.


Beliau mendefinisikan imej yang diperoleh itu hanya satu titik kecil dari alam semesta.


"Jika anda memegang sebutir pasir di hujung jari anda separas lengan, itu adalah bahagian alam semesta yang anda lihat," kata Nelson lagi.


"Ini adalah tingkap baharu kepada sejarah alam semesta kita, dan hari ini kita akan melihat cahaya pertama yang bersinar melalui tingkap itu, cahaya dari dunia lain, bintang mengorbit sangat jauh dari tempat kita berada, ia mengagumkan saya," kata Biden sebelum imej itu ditunjukkan pada Isnin lalu.


Pada hari Jumaat, agensi angkasa NASA menyiarkan senarai lima lagi subjek astronomi yang dirakam oleh Webb, salah satunya adalah SMACS 0723.


Imej pertama telah lama ditunggu-tunggu. Enam bulan lalu NASA sibuk melaraskan komponen Webb, melaraskan cermin dan menentukur instrumen.


Cahaya yang sampai ke teleskop Webb dari galaksi paling jauh di alam semesta tidak menunjukkan keadaan semasa tetapi memberikan pandangan tentang bagaimana alam semesta berbilion tahun yang lalu.


Para saintis berkata bahawa Teleskop Angkasa James Webb boleh membuka misteri sejak 100 juta tahun selepas fenomena Big Bang.


Inframerah Balai Cerap Webb membolehkannya melihat bintang dan galaksi yang jauh di luar julat penglihatan manusia dan teleskop lain, seperti Teleskop Angkasa Hubble.


Instrumen inframerah lebih sesuai untuk mengesan bintang dan galaksi terawal alam semesta kerana panjang gelombang cahaya inframerah lebih panjang sehingga boleh menembusi habuk dan gas yang mungkin mengaburkan beberapa objek angkasa.


Teleskop Angkasa James Webb ialah kerjasama antara NASA, Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Angkasa Kanada. Dengan adanya teleskop ini, ia juga boleh membantu saintis mencari tanda-tanda kehidupan di luar Bumi.


Balai cerap bersaiz gelanggang tenis direka khas untuk mengkaji hari-hari awal selepas Letupan Besar dan membantu ahli astronomi menyatukan bagaimana alam semesta moden terbentuk. - Sumber CNBC.


BACA: Teleskop 'membongkar misteri Alam Semesta' tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari Bumi.


'Tebing Kosmik' Carina Nebula dilihat dalam imej yang dibahagikan secara mendatar dengan garis beralun antara landskap awan yang membentuk nebula di sepanjang bahagian bawah dan bahagian atas yang agak jelas, data daripada Teleskop Angkasa James Webb NASA yang dikeluarkan pada 12 Julai 2022. Berbintik-bintik di kedua-dua bahagian adalah medan bintang, menunjukkan bintang yang tidak terhitung dalam pelbagai saiz. - Foto NASA.

Sekumpulan lima galaksi yang kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit, dua di tengah, satu ke atas, satu ke kiri atas dan satu ke bawah dilihat dalam mozek atau komposit data inframerah dekat dan pertengahan daripada Teleskop Angkasa James Webb NASA, imej dikeluarkan pada 12 Julai 2022. - Foto NASA.

Dua imej bersebelahan menunjukkan pemerhatian Nebula Lingkaran Selatan dalam cahaya inframerah dekat, di sebelah kiri, dan cahaya inframerah pertengahan, di sebelah kanan, data daripada Teleskop Angkasa James Webb NASA yang dikeluarkan pada 12 Julai 2022. - Foto NASA.

Stephan’s Quintet, koleksi lima galaksi, seperti yang dilihat oleh MIRI daripada Teleskop Angkasa James Webb NASA, imej ini dikeluarkan pada 12 Julai 2022. - Foto NASA.

Imej 'medan dalam' pertama yang diambil oleh Teleskop Angkasa James Webb menunjukkan galaksi dari alam semesta terawal. - Foto NASA.
Bagaimanakah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan ini 'berjalan' ke lokasi baharu?

Bagaimanakah bangunan berusia 100 tahun seberat 3,800 tan ini 'berjalan' ke lokasi baharu?


Sebuah bangunan di bandar raya Shanghai yang berusia 100 tahun seberat 3,800 tan diangkat dan dipindahkan ke lokasi lain dengan bantuan teknologi digelar 'mesin berjalan', lapor laman berita Wion News pada 10 Julai 2022.


Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. Ia merupakan projek pe­ngangkutan binaan terbesar dan paling berat di bandar raya itu.


Selepas kiraan dan ukuran tepat diambil, rel-rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan.


Sokongan yang diletakkan bertindak seperti kaki robotik, di mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang bergerak naik dan turun secara berganti-ganti seperti kaki manusia.



Sebilangan sensor juga di­letakkan untuk membantu me­ngawal bagaimana bangunan itu bergerak ke hadapan.


"Ia seperti memberikan tongkat kepada bangunan itu supaya boleh berdiri dan berjalan," kata Lan Wuji, Ketua Penyelia Teknikal bagi projek tersebut.


Pemindahan struktur binaan itu merupakan proses mengangkat keseluruhan bangunan dari tapak asal dan memindahkannya ke lokasi lain.


Ia merupakan satu kaedah yang semakin banyak digunakan untuk memulihara bangunan bersejarah yang mungkin akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.


Teknologi itu juga digunakan untuk memindahkan bangunan ke lokasi lebih selamat berikutan ancaman banjir.


Pada tahun 2020, sebuah bangunan di kota raya Shanghai telah dipindahkan dengan menggunakan teknologi yang sama. Bangunan tersebut merupakan sebuah sekolah berusia 85 tahun dan setinggi lima tingkat di daerah Huangpu. - Sumber Wion News.


Rel gelongsor dipasang di bahagian bawah bangunan tersebut bagi menolaknya ke kedudukan yang telah dikhaskan. - Foto CGTN.

Tangkapan skrin daripada video oleh CGTN memaparkan sebuah bangunan berusia berabad-abad dipindahkan. - Sumber GGTN.

Bangunan itu dipindahkan dari kedudukan asalnya pada 8 Julai lalu sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian. - Foto GGTN.

Khamis, 14 Julai 2022

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk menempatkan reaktor nuklear mini di Bulan bagi menjana tenaga kepada koloni manusia, lapor akhbar Daily Star pada 11 Julai 2022.


Agensi itu berharap untuk menghantar manusia ke Bulan menjelang 2025, berkata ia melihat tenaga nuklear sebagai pilihan terbaik untuk menjana infrastruktur di Bulan.


Susulan itu, NASA mengambil masa 15 tahun untuk membangunkan reaktor nuklear dinamakan KRUSTY bagi tujuan tersebut. Ia memiliki saiz sebuah roket tetapi cukup berkuasa membekalkan tenaga ke sejumlah isi rumah.


KRUSTY menggunakan bahan api nuklear untuk menjana tenaga dan mampu menjana tenaga untuk kenderaan rover, makmal, perumahan dan peralatan saintifik lain.


Bagaimanapun, misi mendaratkan bahan nuklear dengan selamat di Bulan boleh menjadi satu cabaran. NASA masih belum menentukan sama ada reaktor itu boleh menahan tekanan semasa penerbangan di angkasa lepas.


Bagaimanapun, penghantaran bahan api nuklear ke Bulan dari Bumi dikatakan agak selamat kerana bahan api berkenaan mempunyai tahap radiasi yang rendah.


Walaupun roket itu meletup semasa meninggalkan atmosfera Bumi, ia tidak mungkin menyebabkan letupan nuklear yang besar.


NASA mengatakan bahawa jika reaktor nuklear berjaya ditempatkan di Bulan, ia juga akan dihantar ke Marikh untuk membekalkan kuasa kepada penempatan di planet itu. - Sumber Daily Star.


BACA: Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029.


Reaktor nuklear KRUSTY direka untuk membekalkan tenaga kepada bangunan di Bulan. - Foto NASA.

Khamis, 7 Julai 2022

Ketua NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Sebagai Haknya

Ketua NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Sebagai Haknya


Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson baru-baru ini menyatakan China mahu menuntut bulan sebagai haknya, lapor Newsweek pada 4 Julai 2022.


Nelson, yang mengangkat sumpah sebagai ketua NASA pada Mei tahun lalu, dan juga merupakan bekas senator Amerika Syarikat (AS) membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan akhbar Bild di Jerman, pada hari Sabtu lalu.


Beliau berkata bahawa penerokaan angkasa lepas China harus menjadi kebimbangan semua pihak. Ini kerana pada suatu hari nanti, Beijing didakwa akan mendarat di bulan dan menyatakan ia adalah miliknya.


Beliau juga mendakwa China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain. Namun, Nelson tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya itu.


Bagaimanapun, Zhao Lijian, jurucakap Kementerian Luar China, membalas kenyataan itu semasa sidang media kementerian pada hari Isnin.


"Ini bukan kali pertama pentadbir NASA membidas China dengan mengenepikan fakta. Sesetengah pegawai AS telah bercakap secara tidak bertanggungjawab untuk menyalahgambarkan usaha angkasa lepas biasa dan sah China.


"China tidak bercadang untuk menuntut bulan, kami dengan tegas menolak kenyataan sedemikian," kata Lijian.


Lijian terus menuduh AS telah mendefinisikan ruang angkasa sebagai domain berperang, dan telah menghalang kerjasama angkasa lepas, dengan sengaja mengenakan sekatan ke atas agensi angkasa negara lain.


Tambahnya, AS juga meluluskan undang-undang untuk melarang semua bentuk kerjasama dan pertukaran angkasa lepas dengan China.


China sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang tahun 2025 dan bertapak di sana menjelang tahun 2035 melalui kerjasama dengan Rusia. AS juga mempunyai rancangan yang sama termasuk menubuhkan pangkalan di bulan. - Sumber Newsweek.


Gambar menunjukkan kapal angkasa Chang'e-5 mendarat di Bulan pada tahun 2020 lalu. - Foto AFP/Agensi Berita Xinhua.

Selasa, 28 Jun 2022

Tanah di Planet Marikh menunjukkan keadaan boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang

Tanah di Planet Marikh menunjukkan keadaan boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang


Adakah pernah wujud kehidupan di Planet Marikh? Penyelidikan terus dijalankan untuk membongkar persoalan ini, dan kajian terbaru mendapati bahawa tanah di Marikh mempamerkan keadaan yang boleh didiami untuk kehidupan jangka panjang.


Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa satu bahagian planet itu boleh menampung kehidupan beberapa kali selama berbilion tahun.


Kesimpulan itu dicapai melalui kajian menyeluruh terhadap imej yang diambil oleh Mars Reconnaissance Orbiter, sebuah kapal angkasa pengorbit yang direka untuk mengelilingi dan meneliti kandungan tanah di Marikh dengan lebih terperinci.


Menerusi lapor Science Alert pada 26 Jun 2022, saintis mengenal pasti sedimen yang mengandungi tanah liat di utara Ladon Valles, selatan lembangan Ladon, dan dataran tinggi barat daya di sekitar lembangan Ladon di Marikh.


Kesemuanya adalah sebahagian daripada kawasan Margaritifer Terra atau kawasan Marikh purba yang banyak berkawah. Tanah liat mempamerkan kehadiran air jangka panjang kerana ia terbentuk di bawah keadaan pH neutral dengan penyejatan air yang minimum.


Tanah di Marikh mempamerkan keadaan yang boleh didiami menurut pasukan penyelidik, berdasarkan air yang mengalir di tempat itu dari kira-kira 3.8 bilion tahun hingga kira-kira 2.5 bilion tahun lalu.


"Selain itu, sedimen berbilang lapisan berwarna terang yang menunjukkan lapisan celupan dan tanah liat yang agak rendah sepanjang 200 kilometer adalah bukti bahawa sebuah tasik kemungkinan besar wujud dalam lembangan Ladon dan Ladon Valles utara, " kata Catherine Weitz, seorang saintis di Institut Sains Planet di Arizona.


Walaupun kajian mendapati bahawa tanah di Marikh boleh didiami, ia bukan bukti kehidupan, tetapi ia menunjukkan keadaan yang mungkin menyokong kehidupan.


Penyelidikan ini adalah kajian terbaru untuk mentafsir keadaan Marikh dengan apa yang boleh dilihat dari permukaan dan sedimen.


"Keadaan tasik yang rendah tenaga dan kehadiran tanah liat juga menyokong persekitaran yang baik untuk kehidupan pada masa itu," tambahnya.


Tambahan pula, penyelidik mengesyaki bahawa tanah liat pada asalnya terbentuk di sekitar kawasan yang lebih tinggi di atas lembangan Ladon, sebelum dihakis oleh saluran air dan diangkut ke hilir ke sebuah tasik di lembangan Ladon dan utara Ladon Valles. Aliran air itu kemudiannya akan berlaku di sepanjang lembangan Ladon barat daya.


Kajian baharu itu juga menyokong idea bahawa air yang mengalir pernah menjadi sebahagian besar landskap Marikh dan mungkin membawa kehidupan bersamanya. Ini kerana taburan tanah liat dan batuan lain yang ditemui adalah konsisten dengan air di sekelilingnya.


Apatah lagi, tanah liat merupakan sumber nutrien dan penstabil kepada persekitaran sekeliling supaya peluang organisma untuk terus hidup meningkat dengan ketara.


"Keadaan yang boleh dihuni mungkin berlaku berulang kali di rantau ini, sekurang-kurangnya secara berkala," tulis para penyelidik dalam laporan mereka yang diterbitkan di Icarus. - Sumber Science Alert.


Ilustrasi air di Marikh. Tanah di Marikh dikatakan mempunyai keadaan yang boleh didiami. - Foto Planetary Science Institute via Science Alert.

Isnin, 20 Jun 2022

Sebuah syarikat tawar khidmat simpan mayat untuk 'dihidupkan semula' hanya perlu bayar RM456,327

Sebuah syarikat tawar khidmat simpan mayat untuk 'dihidupkan semula' hanya perlu bayar RM456,327


Sebuah syarikat di Australia menawarkan peluang kepada orang ramai untuk 'kembali hidup selepas mati', dengan cara menyimpan mayat mereka di dalam peti sejuk beku kriogenik sehingga dihidupkan kembali oleh sains pada masa akan datang, lapor akhbar Daily Star pada 18 Jun 2022.


Menerusi perkhidmatan disediakan syarikat bernama Cryonics itu, badan peserta akan direndam di dalam cecair nitrogen dan disimpan di dalam peti keluli pada suhu sekitar -200 darjah Celsius.


Menurut akhbar Daily Mail, keadaan itu akan membuatkan otak manusia berpeluang untuk hidup sekiranya peti tersebut bocor.


Cryonics ialah pembekuan suhu rendah dan penyimpanan mayat manusia, dengan harapan bahawa kebangkitan semula manusia akan berlaku di masa hadapan.


"Sebaik sahaja kemajuan perubatan tertentu berjaya dicapai pada masa hadapan, peserta mungkin boleh dihidupkan semula," demikian kenyataan pada laman web Cryonics.


Organisasi bukan untung itu kini mempunyai 40 ruang, yang kebanyakannya telah dikhaskan untuk pengasasnya. Walau bagaimanapun, projek itu mempunyai rancangan untuk menambah 600 lagi ruang penyimpanan.


Syarikat itu adalah yang pertama seumpamanya di Australia. Kemudahan berteknologi tinggi itu dibangunkan di sebuah kawasan pedalaman di Holbrook dalam negeri New South Wales.


Individu yang berminat perlu membayar sekitar £84,793 (RM456,327) untuk mendaftar. Bagaimanapun, tiada jaminan atau bayaran balik bagi sesiapa yang cukup berani untuk mendaftar. - Sumber Daily Star.


Gambar menunjukkan ruang simpanan mayat yang disediakan oleh syarikat Cryonics di Australia. - Foto Cryonics Institute.