Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Rabu, 2 Februari 2022

Lelaki terkejut melihat 'malaikat maut' tunggu depan rumah

Lelaki terkejut melihat 'malaikat maut' tunggu depan rumah


Seorang lelaki Kanada sangat ketakutan apabila dia melihat sepasang arca ais yang menyeramkan dalam bentuk malaikat maut atau Grim Reaper di halaman depan rumahnya, lapor akhbar Daily Mail pada 30 Januari 2022.


Arca ais menyeramkan itu berbentuk sosok kerangka yang membawa sabit besar dan berjubah serta lengkap berkerudung.


Ben Tucci, 65 dari wilayah Ontario, Kanada melihat dua arca ais menyeramkan pada 20 Januari lalu dan dia memanggilnya Grim Reaper dan satu watak kartun terkenal, Jack Frost.


"Reaksi awal saya adalah kagum. Saya tidak percaya dengan mata sendiri. Awalnya saya fikir is Jack Frost, Old Man Winter, Father Christmas atau mungkin Grim Reaper," katanya.


Tucci percaya bahawa arca-arca ais tersebut telah terbentuk apabila air di Tasik Erie membeku pada tiang lampu di hadapan rumah jirannya sehingga membentuk sosok tersebut.


Setelah melihat gambar arca tersebut, Tucci berkata anak perempuannya pernah bermimpi didatangi dua sosok tersebut ketika tinggal di kotej lama di tepi tasik itu.


"Anak perempuan bongsu saya sebelum ini memberitahu kami bahawa dia akan mengalami mimpi ngeri apabila tidur di bilik tidurnya di tepi tasik di kotej lama - sehingga dia akan tidur di sofa pada masa-masa tertentu.


"Apabila saya menunjukkan kepadanya gambar pembentukan ais dia terpegun. Dia memberitahu saya bahawa sosok yang kelihatan sedih dengan kepala tertunduk adalah imej yang menyeksanya dalam mimpi," kata Tucci.


Arca ais itu dilihat menyerupai Grim Reaper. - Foto Ben Tucci.

Jumaat, 24 Disember 2021

'Penyewa dari neraka' tinggalkan timbunan sampah, najis sebelum pindah keluar

'Penyewa dari neraka' tinggalkan timbunan sampah, najis sebelum pindah keluar


Seorang pemilik rumah tidak menyangka rumah yang disewakan kepada seorang penyewa dipenuhi dengan timbunan sampah dan najis, lapor laman berita Mirror UK pada 22 Disember 2021.


Danny Hernon, 54, mula curiga apabila penyewa tersebut kelihatan keberatan untuk menyerahkan semula kunci rumah teres tiga bilik itu, walaupun sudah berpindah sejak lebih sebulan lalu.


Disebabkan itu, Hernon pergi ke rumah sewa tersebut yang terletak di Oldham, Greater Manchester, dan mendapati setiap sudut kediaman itu dipenuhi dengan sampah-sarap serta najis manusia dan najis haiwan peliharaan.


Dalam video yang dirakam Hernon, dapat dilihat sampah-sarap yang reput, termasuk timbunan kertas tandas terpakai dan kelihatan seperti najis menutupi lantai bilik mandi, manakala dinding bertukar warna hitam berkulat dan makanan yang membusuk.


Lebih mengecewakan, bekas penyewa rumah itu turut mencadangkan kepada Hernon supaya menggunakan duit deposit berjumlah 500 pound (RM2,807) untuk membersihkan rumah tersebut.



Jelas Hernon, jumlah itu terlalu sedikit untuk membersihkan keseluruhan rumah dan menggantikan bahagian yang kotor. Dia memaklumkan perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya 15,000 pound (RM84,215) bagi tujuan berkenaan.


Dia kemudian menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu sebagai kerosakan jenayah, dengan harapan dapat meminta bekas penyewa tersebut membayar sekurang-kurangnya sebahagian daripada ganti rugi.


"Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan keadaan di rumah saya ketika ini. Situasinya amat teruk dengan sampah di sana sini. Bagaimana dia boleh hidup dalam keadaan kotor dan jijik seperti ini? Soalnya.


Menurut Hernon, wanita yang disebutnya 'penyewa dari neraka' itu telah menyewa rumah tersebut selama 18 tahun dengan bantuan Universal Credit, dan dipercayai tinggal bersama dengan pasangannya serta anak mereka.


Sebelum ini, Hernon ada memberikan notis kepada wanita itu untuk berpindah kerana rumah tersebut hendak dijual, dan pembeli sudah bersetuju dengan harga sebelum mendapati keadaan rumah itu.


Hernon bersama rakan niaganya (ejen) kini terpaksa menangguhkan penjualan, dan menanggung kos yang tinggi untuk membersihkan sampah dan menggantikan lantai, bilik mandi, dapur dan pintu dalaman yang kotor.


"Walau apa pun kosnya kami akan bawa dia ke mahkamah. Saya tahu dia tidak mempunyai banyak wang tetapi ia perlu menunjukkan bahawa anda tidak boleh meninggalkan kepada tuan rumah dalam situasi ini," katanya.


Tidak dapat dipastikan bila kali terakhir Hernon datang melawat rumah tersebut, namun keadaan yang dilihatnya amat mengejutkan. Polis Greater Manchester mengesahkan bahawa kejadian itu dilaporkan pada 15 Disember dan sedang disiasat.


"Adalah penting bagi tuan rumah menjalankan pemeriksaan ke atas penyewa mereka sebelum menyewakan hartanah, dan perlu menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan penyewa mematuhi perjanjian dan rumah itu dalam keadaan baik," kata jurucakap Oldham Council.


Keadaan di dalam rumah sewa milik Danny Hernon di Manchester, Britain. - Foto Kennedy News and Media.

Khamis, 2 Disember 2021

Penyanyi Wanita Dakwa Bakal Berkahwin Dengan 'Hantu' Selepas Dilamar Dengan Cincin Berlian

Penyanyi Wanita Dakwa Bakal Berkahwin Dengan 'Hantu' Selepas Dilamar Dengan Cincin Berlian


Seorang wanita di London membuat pendedahan dilamun cinta dengan 'hantu' dan bakal berkahwin dengan makhluk halus tersebut dalam masa terdekat. Hantu itu melamarnya dengan cincin berlian yang muncul secara misteri di bantalnya, lapor Daily Star pada 30 November 2021.


Brocarde, 38, merupakan seorang penyanyi dan komposer dari Oxfordshire jatuh cinta dengan 'Edwardo' yang merupakan hantu tentera Victoria. Dia mula jatuh hati dengan hantu tersebut selepas makhluk halus itu dipercayai memunculkan dirinya di rumah wanita itu.


Edwardo difahamkan mati ketika berusia 35 tahun selepas terjatuh ke dalam perigi. Lelaki itu dikatakan memperkenalkan dirinya pada suatu malam dan sejak itu mereka berdua mula menjalinkan hubungan percintaan.


Hantu itu kemudian menghukum wanita tersebut dan enggan berhubung dengan dirinya, kerana mendedahkan kisah percintaan mereka kepada khalayak ramai ketika wanita itu tampil di ITV's This Morning.


Tetapi Brocarde telah berjaya memenangi kembali cintanya dengan menulis lagu cinta untuk kekasihnya itu pada hari Halloween, dan Edwardo mengejutkannya dengan lamaran romantik awal bulan ini.



"Pada suatu malam ketika saya bangun, bahagian wajah saya terasa seperti disengat lebah, tetapi apabila saya menyentuh muka saya, saya merasakan ada batu dan cincin.


"Saya fikir saya bermimpi dan tertidur semula, apabila saya tersedar, cincin itu hilang. Saya pergi mandi, minum kopi dan teruskan hari itu sambil memikirkan tentang kejadian tersebut.


"Malam berikutnya perkara yang sama berlaku, tetapi kali ini saya terjaga mendapati cincin itu masih ada. Sekali lagi, tanda tanya muncul dalam fikiran saya. Pada masa itulah saya sedar Edwardo sedang melamar.


"Rasanya seperti keputusan yang bukan milik saya, seperti saya telah dipilih dalam beberapa cara dan saya masih sangat ingin tahu apa yang 'hantu' ini mahukan daripada saya.


"Saya meletakkan cincin pada jari saya untuk menunjukkan penerimaan saya, sebaik sahaja saya melakukan ini, saya merasakan hangat di sekeliling badan saya, jadi saya tahu Edwardo telah merasakan jawapan saya," kata Brocarde.


Brocarde berkata, dia suka era Victoria, ia memberi inspirasi kepada pakaian yang direkanya, dan dia tidak sabar untuk memulakan kerja mencipta gaun pengantin impiannya. Perkahwinan itu nanti akan menjadi seperti kisah dongeng yang romantik, katanya.


Brocarde bakal berkahwin dengan makhluk halus. - Foto Jam Press.Sera

Jumaat, 26 November 2021

Lelaki Terkejut Jumpa 'Makhluk Mistik' Ketika Bersihkan Pantai

Lelaki Terkejut Jumpa 'Makhluk Mistik' Ketika Bersihkan Pantai


Seorang lelaki yang sedang membersihkan kawasan pantai dikejutkan dengan penemuan benda berupa jenglot iaitu makhluk mistik yang dibawa ke alam manusia, lapor laman berita Suara.com pada 25 November 2021.


Kejadian itu menjadi tular di media sosial. Antara rakaman tersebut adalah yang dimuat naik menerusi akaun Tiktok bernama @alfaa_boy pada Rabu (25/11/2021).


Pada mulanya lelaki itu sedang membersihkan sampah di pantai Kunjir, Kalianda, Lampung. Dia terkejut apabila melihat objek dibalut dengan kain putih mengandungi 'benda mistik' yang menakutkan.


"Hello guys, saya di Pantai Kunjir sedang membersihkan sampah di pantai ini. Saya terjumpa jenglot. Niat saya ingin membersihkan sampah tetapi saya melihat bungkusan plastik.


"Apabila saya membuka bungkusan itu, rupa-rupanya isinya begini. Tengok, benda ini asli (jenglot) bukan rekaan. Ini ditemui di Pantai Kunjir Kalianda, Lampung," jelas lelaki itu dalam klip video tersebut.


Dalam video berkenaan, lelaki itu turut menjelaskan bahawa dia bersama rakan-rakannya melakukan perjalanan dari Bandar Lampung menuju ke pantai Kunjir.


Mereka datang dengan misi untuk berkhidmat kepada masyarakat. Tindakan sebenar yang akan mereka lakukan ialah membina tong sampah dan membersihkan sampah-sarap yang bertaburan di pantai.


Ketika membersihkan sampah di pantai, lelaki itu mendakwa menemui beberapa bungkusan. Kerana ingin tahu, dia membuka salah satu bungkusan tersebut sebelum terkejut apabila menemui objek dipercayai jenglot.


Melihat video tersebut, netizen mula membanjiri ruangan komen di akaun tersebut. Kebanyakan dari mereka mengetengahkan mengenai penemuan objek jenglot yang didakwa.


"Balut balik, pulangkan ke tempatnya, orang buang, kenapa ambil," kata seorang netizen. "Lebih baik dibakar saja bro.. jangan pegang lama-lama," tulis seorang lagi netizen.


Seorang lelaki temukan benda menyeramkan ketika bersihkan sampah di pantai. - Foto Tiktok.

Rabu, 24 November 2021

Lelaki Ubah Keadaan fizikal Dan Kerat Dua Jari Demi Menjadi 'Makhluk Asing Hitam'

Lelaki Ubah Keadaan fizikal Dan Kerat Dua Jari Demi Menjadi 'Makhluk Asing Hitam'


Seorang lelaki Perancis yang tular kerana mengubah suai keadaan fizikalnya untuk menjadi seperti 'makhluk asing hitam' dilaporkan mengerat dua batang jarinya bagi mendapatkan tangan yang kelihatan seperti bentuk cakar 'alien'.


Menerusi laporan The Sun pada 23 November 2021, Anthony Loffredo, 33, membuat pembedahan terbaharu itu pada tangan kirinya bagi melengkapkan prosedur membentuk dirinya menjadi makhluk asing berkenaan.


Sebelum ini, dia telah melakukan beberapa pengubahsuaian termasuk membuang hidung dan bahagian atas bibir, membelah lidah, mencacah tatu pada seluruh badan dan anak matanya serta membuang telinga untuk kelihatan seperti makhluk asing.


Dia juga sering berkongsi keadaan rupa fizikalnya di laman Instagram menggunakan akaun Black Alien Project dengan memaparkan imej-imej baharu setiap kali dia melakukan pembedahan.



Meskipun telah melakukan pelbagai pengubahsuaian, Loffredo berkata, semua itu sebenarnya hanya 34 peratus daripada misi keseluruhannya untuk mengubah diri menjadi makhluk asing.


"Saya berasa tenang (dengan mengubah suai rupa fizikal)," katanya pada keterangan gambar yang memaparkan keadaan tangannya selepas jarinya dikerat.


Pada 2017, Loffredo memberitahu akhbar Perancis Midi Libre, bahawa sejak usia muda, dia sememangnya mempunyai minat mendalam mengenai mutasi dan pengubahsuaian tubuh badan manusia.


"Saya gemar 'melakonkan' watak menyeramkan. Saya sering duduk di mana-mana lokasi dan menjiwai karakter tersebut terutamanya ketika waktu malam di jalan yang gelap," ujarnya. - Sumber The Sun.


Loffredo sering berkongsi gambar-gambarnya di laman Instagram terutamanya selepas dia menjalani pembedahan untuk mengubah suai keadaan fizikalnya. - Foto Black Alien Project.

Isnin, 15 November 2021

Orang Ramai Dikejutkan Kehadiran Tetamu 'Syaitan' Datang Majlis Kahwin

Orang Ramai Dikejutkan Kehadiran Tetamu 'Syaitan' Datang Majlis Kahwin


Sebuah video memaparkan tetamu-tetamu berpakaian kostum seperti seekor makhluk yang hodoh dan ganas, di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia telah tular di media sosial baru-baru ini.


Menerusi perkongsian oleh @Sanggarriasmehrunisa di laman aplikasi TikTok pada 11 November 2021, kelihatan lebih daripada 10 tetamu mengenakan kostum seperti itu sambil mengiringi pengantin lelaki masuk ke dalam majlis.


Berdasarkan video berdurasi dua minit 20 saat di TikTok itu, dapat dilihat orang ramai yang hadir ke majlis itu turut terkejut dan ada juga mengambil peluang bergambar bersama 'makhluk' tersebut.


Ketika kejadian, kelihatan salah seorang dari mereka memegang replika seperti kepala bintang dan menghidupkan suar berwarna kuning sebelum pengantin berarak memasuki dewan.



Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 23,200 tontonan dan 1,509 tanda suka di akaun TikTok. Orang ramai turut memberikan pelbagai reaksi dan ada juga berasa seram dengan kostum dipamerkan oleh tetamu yang hadir ke majlis tersebut.


"Ini baru dinamakan 'wedding of the year' bukan manusia sahaja yang datang majlis tapi dengan jin-jin sekali hadir bagi memeriahkan majlis buat pengantin," tulis seorang netizen.


"Tema yang sangat kreatif, ini kalau jumpa tengah-tengah malam memang aku 'taekwando' kan sahaja benda ini, dengan lidah terjlir macam itu siapa tak seram kalau jumpa tengah malam, tapi apa-apa pun kostum itu terbaik," kata seorang lagi netizen.


Tangkap layar video memaparkan tetamu-tetamu berpakaian seperti seekor makhluk yang hodoh di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia.

Jumaat, 5 November 2021

Toyol Semakin 'Bermaharajalela', Letak Duit Dalam Coli Pun Hilang

Toyol Semakin 'Bermaharajalela', Letak Duit Dalam Coli Pun Hilang


KOTA BHARU - Masyarakat negara ini pasti tidak menganggap kisah mistik dan makhluk halus sebagai sesuatu yang pelik. Bahkan tidak janggal sekiranya kisah-kisah sedemikian diperkatakan dalam kehidupan realiti.


Baru-baru ini heboh diperkatakan gangguan mistik oleh makhluk halus toyol 'bermaharajalela' sebuah mukim di Kelantan. Difahamkan kejadian itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.


Kejadian terbaharu dilaporkan pada minggu lalu, apabila seorang penduduk berusia 36 tahun yang enggan dikenali mendakwa, duit RM50 miliknya dan RM100 milik ibunya lesap dipercayai dilarikan makhluk halus tersebut semasa mereka berada di rumah.


"Lebih mengejutkan, ibu saya menyimpan wang tersebut (RM100) di dalam poket baju dalam (coli) yang berzip, namun ia tetap hilang. Jadi kami membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini," katanya.


Selain mangsa, empat lagi penduduk membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kubang Kerian, kelmarin. Difahamkan, seorang penduduk turut kehilangan wang RM2,000 yang disimpan dalam rumahnya.


Mengulas lanjut, lelaki itu memberitahu, bagi mengelak kejadian sama berulang, dia dan penduduk yang lain mengambil keputusan untuk menyimpan wang di bank dan akan mengeluarkannya sekiranya mempunyai keperluan.


Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali memberitahu, kesemua mangsa yang membuat laporan tersebut berusia dalam lingkungan 30-an hingga 70-an dan merupakan penduduk Kampung Pulau dan Kampung Pulong.


Media tempatan sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian tidak dapat tidur lena sejak akhir-akhir ini apabila semakin kerap berlaku kejadian wang tunai yang mereka simpan di dalam rumah tiba-tiba lesap.


Penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulau dan Kampung Pulong mendakwa, kehilangan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang menyelusup masuk ke rumah mereka pada waktu malam.


Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 buah keluarga di tiga kampung terbabit mendakwa sudah menjadi mangsa apabila duit mereka hilang dalam sekelip mata dengan nilai tertinggi yang pernah lesap mencecah sehingga RM10,000.


Baca juga: Misteri Duit Hilang Di Empat Kampung Sejak 10 Tahun Lalu Mungkin Angkara Toyol.

Anggota polis (kiri) menjalankan siasatan ke atas penduduk yang membuat laporan berhubung kehilangan wang mereka dipercayai angkara toyol di Kubang Kerian, kelmarin.