Lelaki Ubah Keadaan fizikal Dan Kerat Dua Jari Demi Menjadi 'Makhluk Asing Hitam'




Seorang lelaki Perancis yang tular kerana mengubah suai keadaan fizikalnya untuk menjadi seperti 'makhluk asing hitam' dilaporkan mengerat dua batang jarinya bagi mendapatkan tangan yang kelihatan seperti bentuk cakar 'alien'.


Menerusi laporan The Sun pada 23 November 2021, Anthony Loffredo, 33, membuat pembedahan terbaharu itu pada tangan kirinya bagi melengkapkan prosedur membentuk dirinya menjadi makhluk asing berkenaan.


Sebelum ini, dia telah melakukan beberapa pengubahsuaian termasuk membuang hidung dan bahagian atas bibir, membelah lidah, mencacah tatu pada seluruh badan dan anak matanya serta membuang telinga untuk kelihatan seperti makhluk asing.


Dia juga sering berkongsi keadaan rupa fizikalnya di laman Instagram menggunakan akaun Black Alien Project dengan memaparkan imej-imej baharu setiap kali dia melakukan pembedahan.



Meskipun telah melakukan pelbagai pengubahsuaian, Loffredo berkata, semua itu sebenarnya hanya 34 peratus daripada misi keseluruhannya untuk mengubah diri menjadi makhluk asing.


"Saya berasa tenang (dengan mengubah suai rupa fizikal)," katanya pada keterangan gambar yang memaparkan keadaan tangannya selepas jarinya dikerat.


Pada 2017, Loffredo memberitahu akhbar Perancis Midi Libre, bahawa sejak usia muda, dia sememangnya mempunyai minat mendalam mengenai mutasi dan pengubahsuaian tubuh badan manusia.


"Saya gemar 'melakonkan' watak menyeramkan. Saya sering duduk di mana-mana lokasi dan menjiwai karakter tersebut terutamanya ketika waktu malam di jalan yang gelap," ujarnya. - Sumber The Sun.


Loffredo sering berkongsi gambar-gambarnya di laman Instagram terutamanya selepas dia menjalani pembedahan untuk mengubah suai keadaan fizikalnya. - Foto Black Alien Project.


EmoticonEmoticon