Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Khamis, 24 Jun 2021

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah


Seorang dukun di Indonesia yang baru bertaubat dari dunia perdukunan mendedahkan bahawa dia mengikat 22 jin berusia 100 tahun di dalam rumahnya, lapor Suara.com pada 23 Jun 2021, semalam.


Ki Joko Bodo dari Pondok Gede, Jakarta Timur berkata, jin-jin yang diikat itu adalah daripada spesies 'nakal' dan sering menimbulkan masalah. Tindakan itu dilakukan sebagai bentuk hukuman atas tindakan jahat makhluk tersebut.


Menurut Joko, dia mengikat makhluk halus tersebut di rumah kerana boleh mengawalnya agar tidak terlepas lalu mengganggu penduduk kampung.


Joko, turut mengatakan bahawa lampu di rumahnya hanya dinyalakan seketika, kerana bimbang beberapa perkara, salah satunya adalah untuk mengelak berlaku litar pintas yang disebabkan oleh roh, dan sebagainya.


"Saya selalu mematikan lampu, litar pintas mungkin berlaku kerana mereka tidak menyukai lampu. Saya hanya menyalakan lampu di beberapa tempat untuk seketika sebelum mematikannya.


"Kawasan rumah saya memang menjadi lokasi hantu, makhluk halus dan jin berkumpul. Malah pontianak juga sering singgah di pokok-pokok sekitar rumah," jelasnya.


Tambah Joko, walaupun dirinya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, dia masih meneruskan pekerjaannya sebagai penghalau hantu dan berinteraksi dengan dunia spiritual.


"Ini adalah pekerjaan dan sumber rezeki saya jadi sukar untuk ditinggalkan terus. Jika ada pelanggan yang datang meminta pertolongan halau hantu, saya masih cuba bantu," ujarnya.


Joko Bodo ikat 22 ekor jin dalam rumah kerana bersikap nakal dan suka mengganggu orang. - Foto Suara.com.

Sabtu, 12 Jun 2021

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik


Seorang pengguna aplikasi peta Google Earth menjadi tular apabila berkongsi rakaman menunjukkan sekumpulan individu berkelubung putih di sebuah bandar tidak berpenghuni di Nevada, Amerika Syarikat (AS).


Menurut lapor akhbar Daily Star 06 Jun 2021 lalu, seorang pengguna TikTok dikenali Jason Cline, menyedari penemuan pelik itu ketika sedang menggunakan aplikasi itu di beberapa negeri di AS.


Jason Cline berkata, ketika dia menukar mod peta menjadi pemandangan jalan, dia melihat sebuah rumah terbengkalai di sebelah ladang dengan tanda bulat di tanah.


Di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah tersebut, kelihatan seorang 'lelaki menyeramkan serba putih' sedang memegang basikal. Dia juga mengatakan beberapa lagi 'makhluk' putih berada dalam lingkaran seakan melakukan upacara pelik.



"Kamu pernah melihat padang pasir, seperti ini? Cuba anda perhatikan klip ini dan anda akan menyedari satu lingkaran objek yang kelihatan seperti cap jari.


"Apabila saya menukar mod menjadi pemandangan jalan, saya ternampak sekumpulan manusia berkelubung putih sedang mengerumuni lingkaran cap jari itu," tulis Jason Cline.


Klip rakaman itu mendapat lebih 17 juta tontonan sebelum misteri itu akhirnya dirungkai. Salah seorang pengguna Google Earth memberitahu bahawa imej tersebut merupakan satu pameran seni di sebuah bandar tidak berpenghuni, Rhyolite di Death Valley.


Kumpulan individu berkelubung putih menyeramkan itu dikenali sebagai 'Jamuan Terakhir' yang dicipta oleh artis Belgium, Albert Szukalski. "Saya pernah ke sana. Ini adalah Muzium Udara Terbuka Goldwell," komen seorang pengguna media sosial.



Khamis, 10 Jun 2021

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi


Seorang lelaki berasal dari bandar Iguatemi Brazil, membuat tatu di hampir keseluruhan badannya, serta mengubah dirinya menjadi penampilan 'Orc' dengan memasang dua taring palsu gergasi yang diletakkan di barisan gigi bawah.


Dia membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang sepasang taring besar di gigi bawahnya untuk membuat dirinya kelihatan seperti Orc, makhluk yang menakutkan.


Dia mengatakan pertama kali membuat tatu pada usia 15 tahun dan sejak itu dia ingin menambah lebih banyak tatu dan mengubah bentuk tubuhnya, menjalani beberapa prosedur yang membuatnya kelihatan agak unik.


Lelaki berusia 41 tahun ini turut memiliki sepasang bola mata bertatu hitam, sekitar 80 peratus tubuhnya ditutup dengan tatu, lidah terbelah, beberapa implan subdermal dan telinga yang dihiris. Namun, pengubahsuaian di mulut inilah yang menarik perhatian kebanyakan orang.


"Saya cuba menjadi diri sendiri, ini adalah idea saya sendiri, inspirasi saya datang dari hati, saya tidak diilhamkan oleh sesiapa pun," kata lelaki orc itu.


Peminat pengubahsuaian badan dari Brazil ini mengakui bahawa dia gembira dengan penampilannya yang unik, tetapi dia mengakui bahawa dia tidak begitu disukai oleh rakan dan keluarganya.


"Ibu saya tidak menyukainya, ayah saya tidak bertolak ansur dan rakan-rakan saya merasa pelik. Namun itu sama sekali tidak mengubah minat saya," ujarnya.


Mengenai gading di barisan gigi bawah, dia tidak menyatakan apakah itu kekal atau sementara. Dia mempunyai seorang isteri yang mempunyai minat yang sama dalam tatu dan pengubahsuaian badan, sehingga mereka nampak bahagia.


Orc adalah makhluk mitologi yang muncul dalam cerita fiksyen cerita rakyat dan fantasi sebagai binatang dengan tubuh yang menyerupai manusia, kadang-kadang seperti raksasa, biasanya berwarna hijau, dengan wajah yang menyerupai babi, kera dan raksasa dengan taring panjang, sifatnya garang dan buas. Sumber: Alahna Kindred/The Sun (3/11/2020).


Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Selasa, 1 Jun 2021

Gempar Biri-Biri Mati Dengan Luka Seperti gigitan Puntianak, Darah Kering

Gempar Biri-Biri Mati Dengan Luka Seperti gigitan Puntianak, Darah Kering


Penduduk Desa Kedungsari di Kecamatan Tegaldlimo dalam wilayah Jawa Barat gempar berikutan misteri kematian lima ekor biri-biri, mereka mendakwa kematian ternakan itu dibunuh oleh makhluk penghisap darah pada hari Ahad lalu (30/5/2021).


Menurut penduduk kampung, ketika haiwan itu ditemui mati terdapat luka gigitan di leher. Masing-masing ditemukan ada kesan lubang taring menyerupai gigitan drakula atau puntianak, makhluk penghisap darah yang pernah kita lihat dalam filem.


Pemilik biri-biri itu yang dikenali sebagai Yusuf berkata, ini kali pertama dia melihat kesan gigitan seperti itu pada bangkai ternakannya.


"Saya tidak pasti punca kematian biri-biri ini kecuali boleh mengesahkan ada kesan taring pada leher haiwan itu," katanya.


Kejadian tersebut semakin aneh kerana tiada serakan atau kesan darah ditemui berhampiran bangkai biri-biri, manakala kawasan kandang juga kelihatan seperti biasa tanpa tanda-tanda diceroboh.


Ketua Polis Tegaldlimo, Asisten Komisioner Bambang Suprapto mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa kandang haiwan ditutup rapat semasa insiden berlaku. Polis mempercayai kejadian itu berlaku antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi (waktu tempatan).


Oleh kerana lokasi kandang terletak berdekatan dengan hutan, polis mengesyaki bahawa kejadian itu dilakukan oleh binatang buas.


"Kandang ini sangat dekat dengan hutan. Jaraknya hanya sekitar 100 meter. Jadi suspek utama kejadian ini adalah haiwan liar dari dalam hutan," kata Bambang. Sumber: suara.com


Kesan gigitan yang ditemui pada bangkai biri-biri milik penduduk di Jawa Barat menyerupai taring drakula. - Foto Agung Sedana/TIMES Indonesia.

Jumaat, 7 Mei 2021

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu


Di era moden ini, ada lagi kah yang mempercayai benda-benda mistik? Mungkin rata-rata ada di antara anda yang tidak mempercayai objek seperti ini, lagi-lagi ketika zaman semakin moden. Tapi ada segelintir masyarakat yang masih percaya seperti yang berlaku di negara jiran kita.

 

Gara-gara mempercayai sebatang pokok betik dirasuki roh jahat, seorang lelaki di Singapura dihukum penjara tiga minggu kerana mengancam keselamatan seorang wanita menggunakan pisau pemotong, menurut laporan laman berita Mothership hari ini.


Ang Say Chee, 60, pada Ogos 2019 bertindak menebang bahagian atas sebatang pokok betik milik Majlis Perbandaran Boshan-Toa Payoh kerana mendakwa pokok itu telah dirasuki oleh roh jahat.


Tindakannya disedari oleh seorang wanita berusia 70 tahun yang terdengar bunyi pokok tumbang berhampiran lokasinya. Ketika kejadian dia sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing.


Say Chee yang menyedari kehadiran wanita tersebut cuba merampas bekas yang mengandungi makanan kucing dari tangan mangsa dan bertindak mengacukan senjata tersebut pada kepala wanita itu.


Menurut Channel News Asia (CNA), Say Chee dikatakan tidak menyukai tindakan wanita itu memberi makanan kepada kucing. Wanita itu kemudian bertindak menghubungi polis, Say Chee ketika itu duduk di atas sebuah bangku sambil bercakap dengan diri sendiri sebelum melemparkan senjata yang digunakan.


Dia mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan senjata berbahaya ke arah wanita tersebut dan dijatuhi hukuman penjara tiga minggu.


Menurut CNA, Say Chee mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sejak tahun 1979 termasuk pecah rumah, membawa minuman memabukan ke hospital awam, penghinaan, rogol dan tindakan ganas yang membahayakan keselamatan. Sumber: KosmoMotherShip

Ahad, 18 April 2021

Sumpahan Pulau Anak Patung seakan berbisik pada pengunjung

Sumpahan Pulau Anak Patung seakan berbisik pada pengunjung


Mexico terkenal dengan banyak bangunan bersejarah dan terusan menghubungkan beberapa penempatan menarik. Antaranya Pulau Anak Patung yang terletak di antara terusan Xochimico sebuah daerah yang terletak 17 kilometer dari Mexico City.


Pada 1987, Xochimilco diisytiharkan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke daerah itu. Namun, keterujaan pelancong mungkin bertukar menjadi perasaan seram sekiranya mereka melawat sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Anak Patung.


Pulau terpencil 'Isla de las Munecas' atau lebih dikenali dengan nama Pulau Anak Patung terletak di satu kawasan berpaya ini dianggap berhantu, pasti membuatkan pengunjung berasa seram sejuk apabila melihat ribuan anak patung digantung pada pokok, diikat dan dipaku pada dinding pondok buruk.


Seakan berlakunya satu sumpahan atau sihir apabila anak-anak patung ini terbiar begitu sahaja dengan dibasahi hujan dan terik cahaya matahari. Dahulunya tempat ini adalah sebuah pulau dikelilingi terusan yang dipenuhi pokok teratai yang berwarna-warni.


Setiap sudut di pulau ini kelihatan anak-anak patung digantung pada pokok. Keadaannya yang menyeramkan, menyaksikannya satu kawasan yang tidak mahu dikunjungi orang ramai, tetapi kini selepas kematian pemiliknya, Don Julian Santana Barrera mula menjadi salah satu kemestian lokasi untuk dilawati.



Kisah Kewujudan Ratusan Anak Patung


Menurut lagenda tempatan, Barrera menemui seorang gadis kecil tenggelam dalam keadaan misteri di celah-celah pokok teratai, dan dia amat kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Tidak lama selepas itu, beliau menemui anak patung terapung berhampiran terusan yang pada pendapatnya berkemungkinan milik gadis itu.


Sejak peristiwa itu, Barrera mendakwa dia sering diganggu oleh suara jeritan dan bayangan kanak-kanak itu. Oleh kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut, dia kemudiannya mengambil keputusan menggantung anak patung tersebut di dahan pokok bagi menghormati semangat kanak-kanak itu.


Barrera mula mengumpul anak patung yang dibeli dan dikutipnya dari pekan berhampiran meletakkan di pulau tersebut. Dia menghabiskan masa selama 50 tahun sehingga akhir hayatnya dengan menggantung, mengikat dan memaku kira-kira 1,500 anak patung termasuk ada beberapa bahagian tubuh yang sudah hilang dipercayai dapat menenangkan semangat gadis yang lemas berkenaan.




Tangan mereka yang terputus, kepala yang dipenggal, dan mata kosong menghiasi pokok. Selepas 50 tahun mengumpul anak patung dan menggantungnya di pulau itu, Barrera ditemui mati lemas pada tahun 2001 di tempat yang sama di mana dia menemui gadis malang itu.


Ramai orang di pulau itu percaya bahawa Barrera menyertai roh lain di pulau itu. Tempat itu menjadi popular selepas produser filem Mexico, Emilio Fernández menjadikannya lokasi filem María Candelaria yang dibintangi Dolores del Río dan Pedro Armendáriz.


Sejak itu, banyak artikel mengenai Pulau Anak Patung disiarkan di akhbar dan media. Jurugambar profesional Cindy Vasko yang melawat pulau itu pada 2015, menyifatkannya sebagai 'tempat yang paling dahsyat yang pernah dikunjungi'.


Begitu juga, penduduk setempat menggambarkannya sebagai 'terpesona dan berhantu', seakan-akan boneka yang tergantung berbisik dengan pengunjung. Ditambah pula, apabila kita melihat anak-anak patung berkenaan seolah-olah matanya memandang tepat ke arah pengunjung. Ada mengatakan anak patung menggerakkan kepala dan lengan mereka, bahkan membuka mata mereka.


Sesetengah saksi mendakwa mereka seperti mendengar anak-anak patung berbisik antara satu sama lain, manakala mereka yang berada di dalam bot memberitahu anak patung itu menarik mereka untuk turun ke pulau berkenaan.


Kini, tempat ini menjadi tarikan pelancong, sebagai tanda sokongan pengunjung membawa banyak anak patung untuk digantung di situ. Pulau ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot. Rujukan: BH Onlinemstar.







Isnin, 22 Mac 2021

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir


Sebut saja Dubai pasti kita terbayang sebuah bandar raya canggih yang penuh dengan kemewahan, disebalik semua itu ia juga mempunyai sisi lain yang menarik untuk diterokai, salah satunya adalah desa Al-Ghuraifah yang digelar 'kota hantu' oleh penduduk berdekatan.


Sebuah desa yang terkubur oleh pasir dan telah ditinggalkan ini terletak di tengah padang pasir yang dikenali sebagai Desa Al-Ghuraifah. Ia terletak 2 kilometer sebelah Barat Daya daerah Al-Madam di Sharjah laluan antara Dubai dan Hatta.


Kampung ini disebut 'kota hantu' kerana menurut ceritanya, penduduk kampung berhijrah dari kampung tersebut dikaitkan dengan gangguan mistik. Kisah ini semakin dipercayai kerana penduduk kampung yang berdekatan juga mengatakan perkara yang sama, iaitu ada jin jahat yang menghantui kampung tersebut.


Namun, secara ilmiah alasan kampung itu ditinggalkan adalah kerana lokasinya di padang pasir dan sering dilanda ribut pasir. Kini, kampung ini hanya menunggu untuk ditenggelamkan oleh pasir.




Menurut laporan oleh Insider, Al-Ghuraifah adalah sebuah desa yang telah wujud sejak tahun 1970. Desa kecil ini terdiri atas dua barisan rumah yang berbentuk hampir sama dan terdapat sebuah masjid di hujung jalan. Berada di tengah-tengah padang pasir terletak kira-kira 59 kilometer dari pusat bandar Dubai.

Walaupun tidak diketahui berapa orang yang tinggal di sana, seorang penduduk bernama Ayub Al Kaabi mengatakan bahawa kampung itu adalah kediaman suku Al Kutbi.

 "Apa yang kami tahu adalah tempat ini dibangun untuk Suku Al Kutbi, tetapi mereka meninggalkannya setelah tinggal di sini untuk beberapa waktu," kata Kaabi.

Pada mulanya, kewujudan kampung ini dirahsiakan. Tetapi ketika seorang blogger Britain, Vanessa Ball, secara tidak sengaja menjumpainya dalam perjalanan luar jalan raya pada tahun 2019, kampung ini menjadi terkenal dan semakin popular.

Kini menjadi salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi bagi pelancong yang sukakan pengembaraan. Populariti Al-Madam juga meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana banyak pelancong mula mengenali dan mengunjungi kawasan itu.



Ahad, 3 Januari 2021

Serigala jadian tunggang kapcai dicekup polis pada malam tahun baru

Serigala jadian tunggang kapcai dicekup polis pada malam tahun baru


Dalam cerita rakyat, serigala jadian adalah manusia yang berkebolehan menukar rupa diri menjadi serigala. Di Islamabad baru-baru ini seorang lelaki dicekup polis selepas didapati berpakaian seperti serigala jadian sambil menakutkan orang ramai di bandar Peshawar, lapor akhbar The Sun UK.


Menurut jurucakap polis, lelaki itu ditahan selepas keluar bersiar-siar dengan menunggang motosikal di sekitar kejiranan Moti di bandar tersebut pada malam ambang Tahun Baru 2021.


"Lelaki itu didapati menunggang motosikal sambil membuat bunyi seakan-akan serigala untuk menakutkan orang awam khususnya wanita dan kanak-kanak.


"Polis telah memfailkan dakwaan terhadap lelaki berkenaan dan siasatan mengenai motif dia bertindak sedemikian sedang dijalankan," katanya.


Sementara itu, beberapa ke­ping gambar tular di media sosial menunjukkan lelaki bertopeng serigala itu digari sambil diapit dua anggota polis. Sekeping foto lain menunjukkan suspek yang memakai topeng serigala duduk di atas motosikal di hadapan deretan kedai.


Koleksi gambar itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Twitter dengan sebilangan mereka mempersoalkan tindakan polis menahan lelaki terbabit yang patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memakai 'pelitup muka' ketika penularan wabak Covid-19.


Seorang pengguna berkata, tindakan lelaki itu disifatkan tepat bagi menghalang orang ramai daripada keluar rumah dan berkumpul beramai-ramai untuk menyambut tahun baru.


"Orang ramai berasa takut dengan lelaki itu. Mereka takut keluar rumah untuk sambut tahun baru ketika pandemik Covid-19.


"Ini membantu menjadikan semua orang selamat. Bukankah tindakan itu satu perkara yang cukup baik?" tulisnya.


Seorang lagi pengguna berkata, dia menyokong tindakan lelaki berkenaan yang membantu mengurangkan risiko daripada dijangkiti Covid-19.


"Topeng yang dipakai adalah lebih baik daripada PPE. Ia mampu menjauhkan orang ramai daripadanya dan menyelamat diri daripada terkena Covid-19," ujarnya.


Gambar lelaki dengan gaya serigala jadian duduk di atas sebuah motosikal tular di media sosial di Pakistan.

Sabtu, 28 November 2020

Misteri ketukan pintu belum berakhir.. Orang tengah masak pun kena kacau..

Misteri ketukan pintu belum berakhir.. Orang tengah masak pun kena kacau..


Sabak Bernam: Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di daerah ini sejak hampir dua minggu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan. Lebih membimbangkan apabila kejadian misteri ini dikatakan semakin menghantui penduduk-penduduk tempatan.


Shafie, 67, berkata, isterinya, Siti Zabedah Fazaldin, 52, dikejutkan dengan gangguan menakutkan pada 1.30 pagi, hari ini. Bunyi ketukan pintu sebanyak tiga kali mengejutkan isterinya yang sedang menyediakan bahan masakan untuk berniaga, di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tebuk Pulai, di sini. 


"Menjadi kebiasaan bagi isteri bangun di awal pagi untuk menyediakan bahan masakan sebelum pergi berniaga di kedai makan di Kampung Baharu, di sini.


"Ketika kejadian, isteri sedang menggoreng ayam di dapur sebelum terdengar bunyi ketukan sebanyak tiga kali di pintu hadapan.


"Apabila dia intai di tingkap untuk memastikan siapa ketuk pintu, tiada sesiapa pun berada di situ menyebabkan dia terkejut dan kelu," katanya ketika ditemui, hari ini.


Shafie berkata, dia berharap gangguan terbabit tidak berulang hingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada penduduk di kawasan itu.


Dalam pada itu, penduduk di Taman Air Manis, di sini, turut diselubungi ketakutan apabila gangguan ketukan pintu misteri yang reda sejak dua hari lalu, kembali menghantui mereka.


Penduduk, Siti Noraini Ngah, 36, berkata, bunyi ketukan pada 12.53 tengah malam kelmarin berlaku dua kali ketika dia dan anak sulungnya berusia tujuh tahun menonton televisyen di ruang tamu.


"Ketika kejadian, suami, Abd Halil Yatimi, 40, dan anak bongsu kami berusia tujuh bulan sedang tidur di bilik. Ketika leka menonton televisyen, saya terdengar bunyi ketukan kali pertama di pintu dapur dan menyangka ia bunyi cicak.


"Namun, ketukan kali kedua menyebabkan saya segera mengejutkan suami dan menghubungi Setiausaha Taman Air Manis (Zulkifli Ijoh) untuk datang ke rumah," katanya.


Siti Noraini berkata, dia yang mengintai di tingkap mendapati tiada sesiapa di luar dan menyalakan lampu di luar di bahagian dapur semasa kejadian. Sejak gangguan ketukan pintu berlaku di taman perumahan ini, kehidupan mereka sekeluarga tidak tenteram dan berharap perkara itu berakhir dengan segera.


Sementara itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, sebanyak 11 aduan mengenai gangguan ketukan pintu direkodkan di taman perumahan itu sejak 19 November lalu.


Beliau berkata, sebuah rumah berhampiran pusat kawalan Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) turut menjadi mangsa gangguan ketukan pintu itu pada 10.44 malam tadi. Selepas gangguan ketukan pintu itu berlaku, ada penduduk mengadu tidak boleh tidur pada waktu malam dan ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian mereka.


Katanya, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk, pihaknya akan tingkatkan lagi rondaan dan dalam masa sama, bekerjasama dengan pihak polis bagi memudahkan urusan.


Baca: 4 kampung diselubungi misteri, diganggu bunyi ketukan pintu yang kuat

Selasa, 24 November 2020

Penampakan lembaga putih, ketukan pintu merebak sampai Kuala Selangor

Penampakan lembaga putih, ketukan pintu merebak sampai Kuala Selangor


Kuala Selangor: Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di Sabak Bernam sejak seminggu lalu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan hingga menakutkan penduduk. Difahamkan, ia mula 'merebak' ke Tanjong Karang dan Kuala Selangor hingga menimbulkan ketakutan.


Seorang pekerja Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang menetap di Kampung Parit 3 Sungai Burong di sini diganggu dengan bunyi ketukan di hadapan pintu utama rumahnya kira-kira jam 1 pagi kelmarin.


"Belum sempat melelapkan mata, saya dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah. 


"Saya kemudian terus mengintai dari celah bawah pintu dan langsir tingkap, namun tidak nampak bayang sesiapa di depan rumah.


"Dalam hati ada juga terlintas adakah yang ketuk rumah saya pocong seperti yang kecoh di Sabak Bernam? Semasa kejadian, isteri dan tiga anak saya sudah lena tidur dan perkara itu hanya diceritakan keesokannya." katanya kepada di sini, hari ini.


Sementara itu, tular di saluran YouTube mendakwa kejadian penduduk ternampak lembaga berpakaian putih berdiri di jalan di Kampung Kuantan awal pagi tadi. Video berdurasi 0.45 saat itu dimuat naik seorang pengguna Youtuber pagi tadi.


Menerusi deskripsi yang dimuat naik di platform itu menyatakan jiran yang ternampak makhluk menakutkan di atas jalan kemudian menghubungi jiran sebelah rumah.


"Jiran sebelah kemudian keluar dari rumah dan nampak kelibat sama sebelum masuk ke dalam rumah.


"Sejurus (jiran sebelah) masuk (semula) ke dalam rumah, pintu (rumah) kena ketuk pula," katanya.


Hingga kini, misteri bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah sekitar Sabak Bernam sejak beberapa hari lalu, kini merebak ke Kuala Selangor masih menjadi teka-teki. Adakah ia berkaitan dengan unsur mistik ataupun perbuatan orang tidak bertanggungjawab menakut-nakutkan penduduk.


Berita Berkiatan

Misteri pemuda sesat jumpa Dinosaur di hutan Gombak

Misteri pemuda sesat jumpa Dinosaur di hutan Gombak

 

Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas apabila 3 orang pemuda warga asing, pekerja buruh binaan berjalan kaki ke tempat kerja melalui sebuah hutan di Gombak. Selepas beberapa minit berjalan kaki, salah seorang pemuda tadi sesat di dalam hutan tersebut.


Pemuda yang baru sebulan datang di Malaysia itu pada asalnya masuk ke belukar, kerana tidak tahan hendak membuang air kecil. Sebaik saja dia keluar dari belukar, rakan-rakannya tadi sudah tidak kelihatan. Dia meneruskan perjalanan itu seorang diri ke tapak pembinaan, tempat mereka berkerja. Tanpa disedari pemuda itu telah pun tersesat selama 1 jam, dia mula rasa gelisah.


Oleh kerana dia berada di dalam hutan seorang diri dan belum mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi rakannya, pemuda itu menjadi cemas, risau dan semakin ketakutan. Namun, dia tetap meneruskan perjalanan mencari jalan keluar. Ketika itu, pemuda berkenaan ternampak seakan ada orang lain di situ, dia berasa lega kerana boleh bertanya dan mendapatkan pertolongan.


Semakin pemuda ini menghampiri dan cuba memanggil, benda yang dilihatnya tadi tetap berada ditempat yang sama dan tidak bergerak. Lebih pelik apabila objek yang dilihatnya itu agak besar dari manusia biasa. Apabila telah berada lebih dekat, alangkah terkejutnya dia apabila melihat rupanya sosok yang disangka orang itu sebenarnya seekor Dinosaur besar yang amat mengerunkan.


Kakinya menjadi lemah, jantungnya berdegup laju dan dia tidak dapat berjalan dengan betul. Pemuda itu berupaya cuba berlari meninggalkan makhluk tersebut. Oleh kerana terkejut yang amat sangat, pemuda itu yang terjatuh terus merangkak berlari sejauh 1 kilometer dari tempat kejadian sambil menjerit meminta pertolongan.



Bukan itu saja, pemuda itu juga melihat beberapa lagi Dinosaur gergasi di hutan itu ketika melarikan diri. Dengan muka yang agak pucat dan kepenatan, pemuda ini bertanya dengan dirinya sendiri, "Adakah itu hantu... tidak mungkin ada Dinosaur di zaman moden ini?" sahutnya.


Pemuda itu akhirnya bertemu semula dengan rakan-rakan yang kebetulan tengah mencarinya. Selepas bertenang dan pulih dari rasa terkejutnya, dia menceritakan kejadian itu, namun tidak seorang pun di antara mereka tahu berkaitan makhluk penunggu berkenaan. Dengan perasaan takut dan cemas mereka cepat-cepat meninggalkan kawasan itu terus ke tempat kerja.


Apabila tiba di tempat kerja, mereka menceritakan kejadian tadi pada rakan-rakan sekerja yang lain. Kebetulan ada seorang warga tempatan mengetahui misteri disebalik hutan itu, dan menceritakan kisah tentang kewujudan Dinosaur tersebut. Sangkaan mereka melesat apabila mengetahui rupanya kumpulan Dinosaur gergasi itu adalah replika yang dibuat khas sekitar 25 tahun lalu.



Ia sangat cantik, unik seakan benar-benar hidup. Ternyata imaginasi, kemahiran dan ketelitian cara penghasilan replika Dinosaur itu sangat halus dan mengagumkan, menampilkan pelbagai spesies replika Dinosaur dan diletakkan di hutan ini. Berpuluh tahun lalu, hutan ini adalah kawasan Mimaland iaitu sebuah teman tema terbesar di Malaysia ketika itu. Replika Dinosaur ini adalah salah satu tarikan pelancong berkunjung di taman tema tersebut satu masa lalu.


Mimaland adalah sebuah taman tema yang menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971, sebelum wujudnya taman tema moden seperti Sunway Lagoon dan Wetworld Water Park Shah Alam. Mimaland mula dibuka pada 1971 di Ulu Gombak dan ditutup sepenuhnya pada 1994 selepas tragedi demi tragedi yang menimpa. Ramai yang percayai kejadian tragedi itu ada unsur mistik yang belum terjawap.


Mimaland terkenal dengan replika Dinasour dan gelungsur air gergasi yang tiada di tempat lain. Taman tema ini juga bercirikan idea moden dilengkapi kolam renang terbesar di Asia Tenggara ketika itu, chalet dan restoran terapung, tasik untuk aktiviti bersampan, memancing dan banyak lagi menarik di Mimaland. Sehingga kini, replika Dinasour ini masih kelihatan di sini.


Mimaland yang terbiar sejak 1994 dan ditumbuhi hutan tebal menjadikan kawasan ini tersenarai tempat paling seram di Malaysia. Taman tema Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar berhantu.


Baca: Misteri Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar hantu

Isnin, 23 November 2020

Ketukan kini disusuli tangisan, polis akan ambil tindakan tegas terhadap pelakunya

Ketukan kini disusuli tangisan, polis akan ambil tindakan tegas terhadap pelakunya


Sabak Bernam: Penduduk di beberapa kampung di daerah ini terus dihantui misteri diganggu dengan bunyi pintu rumah mereka diketuk tanpa salam, sejak 18 November sehingga malam tadi.


Malah, ada penduduk terdengar bunyi suara menangis merintih seolah-olah minta pertolongan. Tangisan itu didengari selang beberapa minit pintu rumah diketuk, suara itu mendayu-dayu dekat tepi tingkap, dakwa seorang penduduk.


Polis menerima satu laporan daripada seorang pemimpin peringkat kampung yang mendakwa rumahnya diganggu sebanyak dua kali termasuk 24 rumah penduduk di kampung terbabit. Laporan diterima pada jam 4.30 petang semalam dan siasatan sedang dijalankan.


Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menakut-nakutkan penduduk berikutan kejadian tular ketukan pintu yang mengganggu penduduk beberapa kampung di daerah ini pada waktu malam.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pesalah yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.


"Individu atau pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya hari ini (23/11/2020).


"Mangsa mendakwa ketukan pintu berlaku dari 18 November lalu hingga semalam bermula dari jam 11 malam dan berlarutan sehingga jam 6 pagi," katanya.


Berita Berkaitan

Jumaat, 29 Jun 2018

Pulau 'Berhantu' Dipenuhi Tengkorak Dan Cebisan Tulang, Lebih 160 Ribu Orang Mati Disini

Pulau 'Berhantu' Dipenuhi Tengkorak Dan Cebisan Tulang, Lebih 160 Ribu Orang Mati Disini


Pulau Poveglia yang terletak di Venice, Itali ini menyimpan satu kisah silam yang amat mengerikan. Sehingga kini, pulau ini diselubungi misteri menyebabkan tiada siapa yang berani untuk menghampirinya. Suara menjerit meminta bantuan, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sekitar tahun 1347-1351 apabila benua Eropah diserang satu pandemik 'Black Death', merupakan wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia setakat ini. Menurut kisah pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak berjangkit itu.

Black Death merupakan wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus dan mudah berjangkit melalui udara. Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 75 juta orang diseluruh dunia, dan separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah. Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas tersebut.

Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia, mayat dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar. Masa itu juga, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom dijangkiti penyakit berkenaan akan dihantar ke pulau ini. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput.

Tidak kira Lelaki, wanita mahupun kanak-kanak kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan. Dianggarkan lebih kurang 160 ribu mayat telah 'dikebumikan' di sana ketika itu. Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat kuat. Mayat yang dibakar bercampur dengan tanah menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal.



Selepas wabak berakhir, Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni beratus tahun lamanya. Pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar di pulau itu. Ketika inilah misteri bermula apabila pesakit yang dimasukkan ke hospital itu mula mengadu, mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu.

Setiap malam, para pesakit telah diganggu dengan bunyi jeritan dan tangisan roh yang meminta bantuan. Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pihak pengurusan hospital. Tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Belum cukup dengan misteri yang melanda hospital tersebut, seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan eksperimennya sendiri dengan menyeksa pesakit-pesakit berkenaan.



Saban malam, suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan itu. Menurut catatan sejarah, doktor gila itu menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari penawar bagi penyakit gila yang dihadapi pesakit di sana. Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Gangguan demi gangguan makhluk halus terus dirasai oleh pesakit di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan dari eksperimen doktor itu. Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor itu dikatakan mula diganggu dengan bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka.

Akhirnya doktor tersebut menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, iaitu tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu. Menurut seorang jururawat yang merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang berbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati.

Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari setiap hari. Hospital berkenaan ditutup dan ditinggalkan tanpa penghuni sejak tahun 1968. Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Itali. Nelayan tempatan juga mengelak daripada berlayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring jala mereka.