Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Selasa, 14 November 2023

Seorang lelaki p€nggl k€pala jiran dalam ritual ilmu hitam k©rban manusia

Seorang lelaki p€nggl k€pala jiran dalam ritual ilmu hitam k©rban manusia


Polis menahan seorang lelaki di wilayah Surat Thani, Thailand kerana didakwa memenggal kepala jirannya dalam satu ritual korban manusia, lapor laman berita Thaiger pada 13 November 2023.


Mayat tanpa kepala lelaki bernama Sangiam Penrum, 53, ditemui di sebuah rumah di kawasan ladang getah di daerah Kanchanadit, wilayah Surat Thani. Mangsa ditemui melutut di hadapan rumah dalam keadaan badan tersandar ke lantai.


Pegawai Balai Polis Kanchanadit turut menemui sebilah pisau 12 inci yang digunakan dalam pembunuhan tersebut berhampiran mayat mangsa. Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengesan keberadaan kepala Sangiam.


Rumah itu dimiliki oleh ibu mertua Sangiam yang tidak berada di lokasi kejadian selama beberapa hari sebelum pembunuhan berlaku kerana dirawat di hospital.


Sangiam telah bercerai dan hanya tinggal bersama ibu mertuanya. Akibatnya, tiada sesiapa yang menyaksikan pembunuhan itu atau sebarang aktiviti mencurigakan.


Bekas isteri Sangiam, Panthip Onprom, 51, memaklumkan bahawa dia mempunyai seorang anak lelaki kini berusia 18 tahun dengan mangsa. Mereka bercerai tiga tahun lalu kerana mangsa seorang pemabuk dan didakwa menyebabkan dia didera secara fizikal.


Menurut Panthip, Sangiam kerap mengambil alkohol, tetapi dia tidak pernah menimbulkan gangguan di khalayak ramai, dan dia tidak menyedari sebarang konflik dengan ahli masyarakat.


Panthip mendedahkan bahawa baldi hitam yang digunakan untuk menyimpan air telah hilang dari rumah ibunya, dan dia mengesyaki bahawa pembunuh itu mungkin menggunakannya untuk menyimpan kepala Sangiam.


Polis menyoal sebilangan penduduk di kawasan itu. Beberapa penduduk percaya bahawa pembunuhan Sangiam adalah sebahagian daripada ritual korban manusia.


Penduduk tempatan menggesa polis untuk menyiasat seorang lelaki bernama Kung yang telah melakukan penggalian di beberapa kawasan untuk mencari harta karun selepas melakukan ritual aneh.


Polis menahan Kung semalam dan menyoal siasat suspek mengenai kes itu dan kepercayaan karutnya.


Polis juga menyiasat sebuah rumah terbiar di mana Kung melakukan ritualnya tetapi tidak menemui kepala Sangiam. Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan. - Sumber The Thaiger.


Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun tidak menemui kepala mangsa. - Foto Facebook.

Rabu, 19 Julai 2023

Misteri silinder gergasi terdampar di pantai Australia dipercayai 'jatuh' dari angkasa

Misteri silinder gergasi terdampar di pantai Australia dipercayai 'jatuh' dari angkasa


Sebuah silinder logam gergasi ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia Barat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan polis, lapor The Guardian pada 17 Julai 2023.


Menurut polis, objek misteri berwarna tembaga itu ditemukan oleh penduduk tempatan pada Ahad lalu setelah terdampar di pantai berhampiran Jurien Bay.


Silinder logam itu kelihatan rosak teruk dan ditemukan dalam keadaan bersandar pada sisinya.



Pada awalnya polis Australia Barat mengesahkan objek itu berasal dari pesawat komersial. Namun, mereka tidak dapat pastikan apa objek itu sebenarnya dan menganggapnya berbahaya.


Bagaimanapun, polis menerusi kenyataan memaklumkan analisis dilakukan oleh pusat kimia jabatan bomba mendapati 'objek itu selamat dan buat masa ini tidak mengundang risiko kepada penduduk'.


Jelasnya, silinder gergasi itu akan dipindahkan sebaik sahaja proses mengenal pasti objek selesai.


Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti maklumat mengenai silinder gergasi itu dan meminta orang ramai untuk menjauhkan diri daripada objek tersebut.



"Langkah ini diambil untuk memastikan bukti yang diperoleh dipelihara secara baik, selain memudahkan pemeriksaan selanjutnya," jelasnya.


Polis juga menolak dakwaan objek itu berasal dari pesawat MH370 yang hilang pada Mac 2014.


Menerusi sebuah video dimuat naik dalam media sosial, silinder gergasi itu yang sebahagiannya rosak, tidak kelihatan berasal dari pesawat biasa.


Ahli teori berpendapat penemuan yang mengejutkan itu sebenarnya 'objek dari langit'. Dipercayai silinder bahan api yang pernah dipasang pada Kenderaan Pelancar Satelit Kutub India.


Agensi Angkasa Lepas Australia, yang turut menyiasat penemuan itu, nampaknya menyokong idea itu mengatakan ia berkemungkinan daripada 'kenderaan pelancar angkasa lepas'.


Menurut news.com.au, ahli arkeologi angkasa lepas Dr Alice Gorman turut menyokong teori tersebut. - Sumber The Guardian.


Objek misteri itu ditemukan terdampar di pantai berhampiran Green Head di Australia Barat. - Foto The Sun.

Khamis, 2 Mac 2023

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari


Saintis-saintis kebingungan setelah menemui dua isyarat misteri seperti bunyi 'degupan' yang dikesan berasal dari Matahari, lapor akhbar Daily Mail pada 27 Februari 2023.


Isyarat itu berulang-ulang dalam beberapa saat. Pasukan itu, yang diketuai oleh Institut Teknologi New Jersey (NJIT) berpendapat ia boleh membantu manusia untuk memahami dengan lebih baik mengenai letupan paling kuat sistem suria.


Isyarat yang direkodkan di atmosfera Matahari itu dilaporkan berulang setiap 10 dan 20 saat. Saintis percaya ia datang dari suar suria kelas C yang meletus lebih 5,000 kilometer di atas permukaan Matahari.


Suar suria merupakan letupan tenaga yang paling kuat. Letupan besar suar suria didakwa cukup untuk mengecilkan saiz Bumi.


Sijie Yu, ahli astronomi yang bergabung dengan NJIT, berkata dalam satu kenyataan menyifatkan penemuan itu sebagai 'tidak dijangka'.


"Corak degupan ini penting untuk memahami bagaimana tenaga dibebaskan dan dihamburkan dalam atmosfera Matahari semasa letupan yang sangat kuat.


"Bagaimanapun, asal usul isyarat berulang yang juga dipanggil denyutan kuasi-berkala ini telah lama menjadi misteri dan menjadi sumber perdebatan dalam kalangan ahli fizik," jelasnya.


Dengan menggunakan Expanded Owens Valley Solar Array (EOVSA) iaitu kemudahan Amerika Syarikat yang menjejaki frekuensi radio gelombang mikro, saintis dapat mengesan lokasi sebenar isyarat pertama.


Kajian mengenai dua isyarat itu masih diteruskan. - Sumber Daily Mail.


Saintis menemui dua denyutan berbeza yang terpancar dari Matahari. - Foto Daily Mail.

Ahad, 26 Februari 2023

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit

Bola besi misteri terdampar di pantai Jepun didakwa UFO jatuh dari langit


Penduduk dan pihak berkuasa di Jepun bingung dengan kemunculan bebola logam besar misteri yang terdampar di kawasan pantai beberapa hari lalu.


Bola besi yang berukuran kira-kira 1.5 meter lebar itu muncul di pantai di Hamamatsu, sebuah bandar di Pulau Honshu.


Lapor media tempatan, Objek misteri itu menjadi bahan bualan dan mencetus spekulasi hangat sejak dihanyutkan di pantai Pasifik negara itu.


Kebimbangan tentang bom sesat disangkal selepas pakar yang menggunakan teknologi X-ray untuk memeriksa bahagian dalamnya mendapati objek itu berongga dan tidak akan meletup.



Sehingga kini tiada sebarang petanda untuk mengaitkan objek misteri itu dengan misi pengintipan oleh Korea Utara atau China.


Lapor Asahi TV, polis mula memeriksa bola berwarna coklat jingga dengan tompokan karat itu selepas seorang wanita tempatan ternampak objek berkenaan di atas pasir hanya beberapa meter dari pantai semasa dia keluar untuk bersiar-siar awal minggu ini.


"Pegawai mengepung kawasan itu dan memanggil pakar bahan letupan yang memakai pakaian pelindung untuk menyiasat lebih lanjut, tetapi laporan mengatakan pihak berkuasa masih tidak tahu apakah fungsi sfera itu atau dari mana ia datang.


"Gambar telah dihantar kepada pasukan pertahanan Jepun dan pengawal pantai untuk pemeriksaan lanjut," jelas laporan itu.



Ramai berpendapat bola besi itu menyerupai sesuatu daripada siri manga popular Dragon Ball, manakala yang lain percaya objek misteri itu adalah UFO yang jatuh dari langit.


Rakaman tentang objek itu mencetuskan spekulasi di media sosial, sejurus selepas Jepun mengesyaki beberapa belon pengintip China dikesan di wilayahnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Pada Rabu, Jepun menyatakan kebimbangannya mengenai belon pengawasan yang disyaki dikesan di ruang udaranya sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2019. Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.


Penemuan sfera itu juga berlaku selepas Amerika Syarikat menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip pada awal Februari. - Sumber The Guardian.


BACA: Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China.


Bola besi misteri dengan diameter 1. 5 meter terdampar di pantai Enshu di bandar Hamamatsu, Jepun. - Foto Twitter.

Sabtu, 7 Januari 2023

UFO bercahaya di langit meletup ditembak peluru berpandu Russia

UFO bercahaya di langit meletup ditembak peluru berpandu Russia

Gambar hiasan.

Peluru berpandu anti pesawat Russia di bandar Rostov telah menembak jatuh sesuatu yang digambarkan dalam laporan berita tempatan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star pada 5 Januari 2023.


Gabenor wilayah, Vasily Golubev menulis dalam aplikasi Telegram bahawa sebuah 'objek bersaiz kecil dalam bentuk bola' dikesan terbang di atas kampung Sultan Sala di daerah Myasnikovsky pada ketinggian kira-kira 2,400 meter, Selasa lalu.


Objek itu segera disasarkan oleh anggota pertahanan udara tempatan selepas ditemui.


Saluran berita tempatan, Pivyet Rostov melaporkan bahawa sebuah UFO dalam bentuk bola telah ditembak jatuh di langit.


Ketika menjelaskan bahawa keputusan telah diambil untuk menghapuskan objek itu, Golubev menggesa orang ramai untuk bertenang.


Beliau meyakinkan penduduk tempatan bahawa 'langit telah dilindungi dengan pertahanan anti-pesawat' dan tidak ada bahaya.


Saluran berita tempatan Ostorozhna, Novosti kemudian menyiarkan video sebuah objek bersinar berbentuk bola yang meletup di langit. - Sumber Daily Star.


Objek 'berbentuk bola' yang tidak dapat dijelaskan itu disasarkan oleh peluru berpandu anti pesawat. - Foto Telegram.

Khamis, 15 Disember 2022

Bangkai haiwan misteri terdampar di tepi pantai didakwa anak raksasa 'Loch Ness'

Bangkai haiwan misteri terdampar di tepi pantai didakwa anak raksasa 'Loch Ness'


Misteri bangkai haiwan laut yang sebelum ini tidak dikenali dan digelar sebagai 'anak Loch Ness' mungkin berjaya diselesaikan, lapor portal berita Daily Star pada 14 Disember 2022.


Ia terdampar di tepi sebuah pantai di Poole, Dorset, United Kingdom (UK) menyebabkan penduduk tempatan 'menggaru' kepala mereka mengenai identiti sebenar binatang itu.


Kemunculan di tepi pantai menyebabkan ia diberikan gelaran anak Loch Ness iaitu seekor raksasa misteri yang didakwa masih hidup di sebuah tasik di tanah tinggi Scotland.


Seorang wanita, Lindsay Freeman membuat penemuan itu dan berkata: "Saya sedang berjalan di pantai pada masa itu. Ia menarik perhatian saya kerana ia kelihatan luar biasa dan besar.


"Saya tidak dapat memikirkan haiwan yang mempunyai ekor seperti jerung tetapi juga kaki seperti penyu. Ia juga kelihatan seperti mempunyai 'lengan' kecil dan kepala yang sangat pelik. Ia kelihatan seperti raksasa laut."


Walaupun menemui bangkai haiwan itu pada bulan November lalu, Freeman memutuskan untuk menyiarkan imej tersebut secara online minggu lalu dan menyebabkan netizen membuat pelbagai spekulasi tentangnya.


Ada netizen menganggap ia ialah anak Loch Ness, manakala yang lain berpendapat bangkai haiwan tersebut mungkin sejenis ikan pari.


Namun, seorang pengurus projek di Program Penyiasatan Cetacean Strandings, UK, Rob Deaville menganggap ia adalah sejenis elasmobrankia iaitu keluarga hidupan laut yang merangkumi ikan pari dan jerung.


"Saya bukan pakar dalam pengecaman elasmobrankia tetapi ia kelihatan seperti tinggalan (bangkai) ikan pari," katanya. - Sumber Daily Star.

 

Misteri bangkai haiwan laut di tepi pantai Poole, Dorset dipercayai sebagai ikan pari. - Foto Lindsay Freeman/Pen News.

Rabu, 14 Disember 2022

Dua mineral 'asing' yang belum pernah dilihat di Bumi ditemui dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas di Somalia dua tahun lalu

Dua mineral 'asing' yang belum pernah dilihat di Bumi ditemui dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas di Somalia dua tahun lalu


Saintis dilaporkan telah menemui dua mineral yang belum pernah dilihat di Bumi sebelum ini dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas dua tahun lalu di Somalia, lapor akhbar Daily Mail pada 29 November 2022.


Batu angkasa itu dianggarkan mempunyai kepadatan dua kali ganda daripada batu biasa di Bumi. Ia kemudiannya telah dibawa ke Universiti Alberta untuk penelitian lanjut.


Profesor di Jabatan Sains Bumi & Atmosfera serta kurator Koleksi Meteorit Universiti Alberta, Chris Herd dalam satu kenyataan berkata, bahawa penemuan batu tersebut merupakan penemuan baharu.


Sewaktu menganalisis batu angkasa itu, Herd telah menemukan sesuatu dan telah menghubungi Ketua U of A’s Electron Microprobe Laboratory, Andrew Locock yang mengkaji mineral Heamanite-(Ce).


"Ia adalah kepakaran saya dalam mengkaji proses geologi dan sejarah asteroid yang pernah menjadi sebahagian daripada batu ini. Sekurang-kurangnya batu ini mempunyai dua mineral baharu," kata Herd.


Susulan itu, Locock telah meneliti batu mineral berkenaan untuk memastikan keasliannya.


Kedua-dua mineral tersebut telah dinamakan sebagai elalit dan elkinstantonit selepas penemuan. Pengkaji mendakwa batu tersebut mempunyai potensi penemuan mineral ketiga.


Difahamkan nama meteorit pertama diberikan sempena penghormatan kepada nama kawasan dijumpai manakala batu mineral kedua pula dinamakan sempena nama Pengarah Pengurusan Antara Planet di Universiti Arizona, Lindy Elkins-Tanton.


Sehubungan itu, Herd komited bahawa terdapat lebih banyak mineral baharu sekiranya penyelidik mengambil lebih banyak sampel daripada meteorit itu.


Terdahulu, meteorit terbabit dilaporkan terhempas di kawasan luar bandar selepas ditemui oleh seorang pengembala unta yang memberitahu kepada pakar. - Sumber Daily Mail.


Dua mineral baharu yang tidak pernah dilihat di Bumi telah dikenal pasti dalam meteorit yang terhempas di Somalia dua tahun lalu. - Foto University of Alberta.

Para penyelidik optimis bahawa lebih banyak mineral baru boleh ditemui jika mereka mengambil lebih banyak sampel daripada meteorit tersebut. - Foto University of Alberta.

Meteorit seberat 14 tan (gambar) terhempas di Somalia pada tahun 2020. Ia adalah yang kesembilan terbesar pernah ditemui di Bumi. - Foto Global Resources.