Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Disember 2022

Beberapa objek misteri bercahaya 'muncul' di langit Dubai

Beberapa objek misteri bercahaya 'muncul' di langit Dubai


Satu klip video memaparkan beberapa objek terbang misteri di langit Dubai mengejutkan penduduk dengan ramai orang yang cuba membuat tekaan, lapor laman berita The National pada 7 Disember 2022.


Video yang tular di laman sosial itu menunjukkan beberapa UFO bercahaya terang terbang dalam satu formasi di langit.


Penyampai radio, Kris Fade memuat naik video itu di laman Instagram dan bertanya: "Adakah ini hujan meteor atau objek lain?"


Salah seorang peminatnya kemudian memberitahu bahawa ia adalah sekumpulan penerjun udara.


"Maaf semua, ia adalah kumpulan penerjun udara dengan suar yang dipasang. Kami melihat mereka terjun dari sebuah pesawat. Rakan suami saya ialah salah seorang daripada mereka. Mereka amat hebat," kata peminat tersebut.


"Ia bukan hujan meteor. Ia adalah penerjun udara yang memakai sut sayap pyro," komen netizen lain.


Beberapa pengguna media sosial turut meneka bahawa ia adalah sampah angkasa lepas seperti serpihan satelit yang terbakar di atmosfera Bumi. - Sumber The National News.


Beberapa objek bercahaya terang terbang dalam satu formasi di langit. - Foto Kris Fade/Instagram.

Rabu, 7 Disember 2022

Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia

Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia


Kira-kira 2,500 ekor anjing laut mati ditemui di luar pantai Russia di Laut Caspian, lapor akhbar New York Post pada 4 Disember 2022.


Pihak berkuasa di wilayah Dagestan berkata, punca kematian itu tidak jelas tetapi berkemungkinan disebabkan oleh fenomena alam semula jadi.


Menurut laporan awal pada Sabtu lalu, 700 anjing laut ditemui mati di luar pantai sebelum jumlah itu kemudian meningkat kepada 2,500, demikian menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Russia.


Dalam satu kenyataan, ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Caspian (CEIC), Zaur Gapizov berkata, anjing-anjing laut itu mungkin sudah mati sejak beberapa minggu lalu. Tiada tanda-tanda ia dibunuh atau terjerat dalam pukat, katanya.



Pakar dan pendakwa raya dari Agensi Perikanan Persekutuan telah memeriksa pantai itu dan mengumpulkan data untuk penyelidikan dalam makmal kerana bahan pencemaran tidak segera dikesan.


Kematian besar-besaran membabitkan anjing laut yang disebabkan oleh alam semula jadi tidak pernah didengari sebelum ini.


Kazakhstan yang mempunyai pantai Caspian yang panjang, melaporkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kejadian serupa tahun ini.


Menurut CEIC, bilangan anjing laut di rantau Caspian dianggarkan kira-kira 70,000 hingga 300,000 ekor. - Sumber New York Post.


Anjing laut mati dihanyutkan ke darat. - Foto Kementerian Alam Sekitar Dagestan.

Ahad, 20 November 2022

Saintis masih gagal rungkai misteri fenomena beribu-ribu burung jatuh dari langit berlaku setiap tahun

Saintis masih gagal rungkai misteri fenomena beribu-ribu burung jatuh dari langit berlaku setiap tahun


Sejenis fenomena burung jatuh dari langit digelar Sindrom Lumpuh Lorikeet (LPS) mencetuskan tanda tanya dalam kalangan saintis kerana punca situasi tahunan yang berlaku antara Oktober hingga Jun itu sehingga kini masih gagal ditemui, lapor laman berita Oddity Central pada 2 November 2022.


Doktor-doktor haiwan dan pakar ornitologi telah lama mengetahui mengenai sindrom tersebut namun, meskipun telah melakukan pelbagai usaha, punca penyakit itu kekal misteri.


Penyakit tersebut menjejaskan ribuan burung setiap tahun dengan banyak daripadanya mati akibat tidak dapat mencari makanan atau melarikan diri daripada pemangsa.


Kes-kes LPS telah mula dilaporkan di Australia sejak 1970, dan meskipun saintis-saintis berjaya menghapuskan beberapa kebarangkalian, mereka tidak tahu sebab sebenar keadaan itu berlaku.


"Kami menolak beberapa kemungkinan yang menjadi punca simptom tersebut termasuk toksin yang terhasil daripada pencemaran atau toksin daripada racun perosak.


"Kami juga tahu bahawa ia bukan sejenis penyakit berjangkit," kata Profesor David Phalen daripada Fakulti Sains Veterinar Universiti Sydney di Australia.



Dalam tempoh beberapa tahun lalu, banyak teori diutarakan untuk cuba menyelesaikan misteri LPS namun, tiada satu pun yang berjaya disahkan.


Teori yang paling diterima ramai adalah LPS berpunca daripada sejenis tumbuhan yang dimakan burung nuri lorikeet ketika bulan Oktober hingga Jun.


Faktor penyakit bermusim dan keadaannya yang berlaku di beberapa wilayah di Australia menjadi penguat teori tersebut, namun setakat ini, tiada seorang pun yang dapat mengenal pasti jenis tumbuhan berkenaan.


Antara gejala LPS termasuk kegagalan untuk terbang, lumpuh semua anggota badan dan leher, lumpuh pada lidah, tidak dapat menelan dan mata gagal berkedip.


Sesetengah burung mati akibat gejala-gejala seperti tidak dapat makan, manakala ada yang mati dilanggar kenderaan mahupun dimakan pemangsa atau semut ketika jatuh dan tidak dapat bergerak di atas tanah. - Sumber Oddity Central.


Beberapa ekor burung lorikeet ditemui mati di bawah sebatang pokok di Brisbane tahun lalu. - Foto Daily Mail.

Rabu, 28 September 2022

Angkasawan merakam gambar 'malaikat' yang menakutkan semasa mengorbit Bumi di stesen angkasa

Angkasawan merakam gambar 'malaikat' yang menakutkan semasa mengorbit Bumi di stesen angkasa


Seorang angkasawan merakam gambar yang memaparkan kelibat kelihatan seperti 'malaikat angkasa' semasa mengorbit Bumi, lapor akhbar Mirror UK pada 26 September 2022.


Angkasawan Agensi Angkasa Eropah (ESA), Samantha Cristoforetti merakam pelancaran Roket Soyuz Russia pada Rabu, 21 September lalu.


Dari sudut pandangannya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), laluan yang ditinggalkan oleh penerbangan itu mencetuskan imaginasi beberapa pemerhati.


Pakar teknologi untuk laman web CNET, Amanda Kooser, menyamakannya dengan figura malaikat dengan sayap terbentang sedang naik ke orbit. Manakala blog IFLScience menyifatkan ia sebagai malaikat angkasa yang hebat.


"Wah, hampir kelihatan seperti adegan dari filem angkasa tahun 1960-an. Tidak kelihatan nyata. Cantik tetapi kelihatan tidak nyata," tulis seorang pengguna media sosial.


Cristoforetti yang akan mengambil alih peranan komander ISS berkata, ia adalah salah satu rakaman pemandangan menakjubkan dari angkasa lepas.


Cristoforetti secara rasmi akan mengambil alih daripada rakan anak kapal Ekspedisi 67, Angkasawan Rusia, Oleg Artemyev.


Satu upacara penyerahan tugas dengan majlis simbolik penyampaian kunci daripada komander terdahulu akan berlangsung pada 28 September 2022.


Roket Soyuz Russia itu membawa angkasawan NASA Frank Rubio ke ISS bersama angkasawan Rusia Sergey Prokopyev dan Dmitri Petelin.


Kapal itu terbang dengan roket Soyuz-2.1a dari Tapak 31 di Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan. Soyuz ialah siri kapal angkasa yang telah beroperasi sejak 1960-an, telah membuat lebih daripada 140 penerbangan. - Sumber Mirror UK.


Jejak itu telah digambarkan sebagai 'figura malaikat, sayap terbentang, naik ke orbit'. - Foto Samantha Cristoforetti/ESA/SWNS.

Cristoforetti secara rasmi akan mengambil alih peranan komander ISS pada 28 September 2022. - Foto NASA/SWNS.

Selasa, 13 September 2022

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'


Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) didakwa menyekat pelepasan sebilangan klip video memaparkan kemunculan objek terbang tidak dikenali (UFO) kerana dianggap 'memudaratkan keselamatan negara', lapor akhbar Daily Star pada 11 September 2022.


Ketua-ketua tentera dikatakan memegang sekurang-kurangnya 24 video UFO yang tidak dapat dijelaskan yang belum pernah dilihat oleh orang ramai sebelum ini. Ia berkaitan dengan 19 penampakan berasingan pada separuh kedua tahun 2019.


Sebuah laman web yang menumpukan penyiasatan UFO membuat permintaan untuk menyiarkan video itu kepada orang awam.


"Pengeluaran maklumat ini akan membahayakan keselamatan negara kerana mungkin membekalkan maklumat berharga mengenai operasi Jabatan Pertahanan, Tentera Laut kepada musuh mengenai kelemahan dan keupayaan.


"Tiada bahagian video yang boleh diasingkan untuk dikeluarkan," kata timbalan pengarah Akta Kebebasan Maklumat Tentera Laut, Gregory Cason.


Menurut Cason, pihaknya telah menyahklasifikasikan tiga video yang memaparkan pertemuan antara juruterbang dan Tentera Laut Top Gun, serta fenomena udara yang tidak dapat dikenal pasti yang didedahkan kepada orang awam dua tahun lalu.


Beliau berkata, ketua-ketua tentera menganggap tindakan itu tidak boleh dilakukan 'tanpa merisikokan keselamatan negara'. Bagaimanapun, ketua laman web The Black Vault merancang untuk membuat rayuan mengenai video tersebut.


Perbalahan itu berlaku ketika Kerajaan AS menyiasat 144 laporan pertembungan antara juruterbang tentera dan objek terbang misteri.


Marik von Rennenkampff, bekas penganalisis dengan Biro Keselamatan Antarabangsa dan Nonproliferasi Jabatan Negara AS, berkata video itu harus dikeluarkan.


"Pentagon mempunyai sekurang-kurangnya dua dozen, dan mungkin lebih banyak lagi video UFO dalam simpanan. Walaupun ada komitmen awam terhadap  ketelusan pegawai, namun mereka enggan mengeluarkan sebarang rakaman itu.


"Penyiaran awam video UFO tidak sensitif boleh menyelesaikan beberapa kes dengan cepat. Pentagon mesti mematuhi komitmen tegasnya terhadap ketelusan dan mengeluarkan semua rakaman UFO itu," katanya kepada laman web politik The Hill. - Sumber Daily Star.


BACA: Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya.


Sebanyak 24 video penampakan UFO yang disembunyikan daripada orang awam. - Foto Getty Images.

Rabu, 7 September 2022

Gempar! Pakar temui rangka mayat 'puntianak' di Poland

Gempar! Pakar temui rangka mayat 'puntianak' di Poland


Sekumpulan pakar arkeologi di Poland menemui rangka mayat perempuan dalam keadaan menyeramkan yang dipercayai merupakan 'puntianak', lapor akhbar Daily Mail pada 2 September 2022.


Penemuan tersebut dibuat semasa proses penggalian di sebuah tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien dalam wilayah Mielec. Penyelidik juga mendapati sisa rangka itu mempunyai topi sutera di kepalanya, menunjukkan dia mempunyai status sosial yang tinggi.


Rangka tersebut dipercayai adalah puntianak kerana keadaan mayat semasa ditemui mempunyai sebilah sabit yang mengelilingi bahagian kerongkongnya. Ibu jari kaki kiri rangka tersebut turut dikunci, dipercayai menyerupai satu upacara yang kononnya akan menghalang mayat daripada hidup semula.



Ketua pasukan penyelidik tersebut, Profesor Dariusz Polinski dari Universiti Nicholas Copernicus berkata, bentuk pengebumian tersebut adalah luar biasa.


"Cara untuk melindungi diri daripada 'si mati yang hidup semula' adalah termasuk memenggal kepala atau memotong kaki, meletakkan si mati ke bawah dengan keadaannya menggigit tanah, membakar dan menghancurkannya dengan batu.


"Sabit itu diletakkan di leher sebagai amaran sekiranya si mati cuba untuk 'bangun', kemungkinan besar kepalanya akan dipotong atau cedera," kata Polinski.


Tambahnya, ibu jari kaki kiri yang dikunci mengukuhkan teori bahawa rangka mayat itu dianggap sebagai puntianak pada masa kematiannya.


"Individu yang didakwa merupakan puntianak sekitar abad ke-17 telah dibunuh secara ganas di seluruh Eropah Timur pada zaman tersebut," kata Polinski.


Ia bukan sesuatu yang luar biasa di rantau ini untuk mencari tapak pengebumian di mana batang logam atau pancang telah dipalu melalui tengkorak si mati. Orang ramai pada masa itu percaya ini adalah satu cara untuk memastikan orang itu terus mati.


Di beberapa bahagian benua terutamanya di kalangan orang Slavia, kepercayaan yang sangat meluas terhadap legenda puntianak menyebabkan histeria besar-besaran, malah membawa kepada hukuman mati terhadap orang yang dianggap sebagai puntianak.


Orang yang mati secara tidak sengaja seperti melalui bunuh diri juga sering disyaki puntianak, dan mayat mereka akan dicacatkan untuk menghalang mereka daripada bangkit daripada kematian. - Sumber Daily Mail.


Penyelidik menemui mayat semasa kerja arkeologi di tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien. - Foto Beata Zielinska-golembiewska.

Terdapat sabit yang diletak mengelilingi leher rangka ini, dipercayai untuk menghalang daripada hidup semula. - Foto Miroslav Blicharski/Aleksander Poznan.

Sabtu, 27 Ogos 2022

Awan ungu misteri muncul di langit bandar Chile, cetuskan kerisauan penduduk

Awan ungu misteri muncul di langit bandar Chile, cetuskan kerisauan penduduk


Awan ungu misteri di langit sebuah bandar di Chile telah membingungkan penduduk tempatan dan pegawai negara itu baru-baru ini, lapor akhbar The Sun pada 26 Ogos 2022.


Fenomena ungu itu dilihat berlegar rendah di atas bandar Pozo Almonte pada pagi Ahad lalu oleh penduduk yang hairan. Imej yang luar biasa menunjukkan warna ganas merentangi latar langit pada waktu siang.


Pegawai melancarkan siasatan ke atas fenomena itu selepas menerima banyak laporan daripada penduduk tempatan yang gempar dengan kehadiran awan tersebut.


Awan itu dipercayai terdiri daripada wap iodin dan berada berhampiran dengan lombong Cala Cala yang dimiliki oleh sebuah syarikat.



Timbalan Ketua Wilayah Tarapaca, Christian Ibanez berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan dan mendapati kejadian itu disebabkan oleh kegagalan motor pam pendesak.


Seorang pegawai alam sekitar, Emanuel Ibarra pula menyatakan kegagalan pam itu telah menyebabkan iodin di loji itu berubah daripada pepejal kepada keadaan gas.


"Apabila dipanaskan, unsur tersebut membentuk wap ungu. Iodin tulen juga berwarna ungu," katanya.


Wakil Wilayah Tarapaca, Daniel Quinteros memberi jaminan kepada penduduk berkata, sehingga kini tiada kesan akibat daripada situasi yang berlaku itu.


"Kami juga berhubung dengan pegawai Alam Sekitar supaya kami boleh menilai pemfailan aduan kerana ketidakpatuhan peraturan dan komitmen yang dibuat oleh syarikat dalam hal alam sekitar," jelasnya.


Pegawai kekal di tapak di kilang itu selama 48 jam untuk memantau keadaan selepas awan kemudiannya pudar. - Sumber The Sun.


Awan berwarna ungu muncul di langit bandar Pozo Almonte baru-baru ini. - Foto JeannetteQuim/CEN.

Wap violet itu dipercayai berpunca daripada kerosakan di loji berhampiran. - Foto JeannetteQuim/CEN.