Sabtu, 27 Ogos 2022

Awan ungu misteri muncul di langit bandar Chile, cetuskan kerisauan penduduk


Awan ungu misteri di langit sebuah bandar di Chile telah membingungkan penduduk tempatan dan pegawai negara itu baru-baru ini, lapor akhbar The Sun pada 26 Ogos 2022.


Fenomena ungu itu dilihat berlegar rendah di atas bandar Pozo Almonte pada pagi Ahad lalu oleh penduduk yang hairan. Imej yang luar biasa menunjukkan warna ganas merentangi latar langit pada waktu siang.


Pegawai melancarkan siasatan ke atas fenomena itu selepas menerima banyak laporan daripada penduduk tempatan yang gempar dengan kehadiran awan tersebut.


Awan itu dipercayai terdiri daripada wap iodin dan berada berhampiran dengan lombong Cala Cala yang dimiliki oleh sebuah syarikat.



Timbalan Ketua Wilayah Tarapaca, Christian Ibanez berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan dan mendapati kejadian itu disebabkan oleh kegagalan motor pam pendesak.


Seorang pegawai alam sekitar, Emanuel Ibarra pula menyatakan kegagalan pam itu telah menyebabkan iodin di loji itu berubah daripada pepejal kepada keadaan gas.


"Apabila dipanaskan, unsur tersebut membentuk wap ungu. Iodin tulen juga berwarna ungu," katanya.


Wakil Wilayah Tarapaca, Daniel Quinteros memberi jaminan kepada penduduk berkata, sehingga kini tiada kesan akibat daripada situasi yang berlaku itu.


"Kami juga berhubung dengan pegawai Alam Sekitar supaya kami boleh menilai pemfailan aduan kerana ketidakpatuhan peraturan dan komitmen yang dibuat oleh syarikat dalam hal alam sekitar," jelasnya.


Pegawai kekal di tapak di kilang itu selama 48 jam untuk memantau keadaan selepas awan kemudiannya pudar. - Sumber The Sun.


Awan berwarna ungu muncul di langit bandar Pozo Almonte baru-baru ini. - Foto JeannetteQuim/CEN.

Wap violet itu dipercayai berpunca daripada kerosakan di loji berhampiran. - Foto JeannetteQuim/CEN.


EmoticonEmoticon