Jumaat, 26 Ogos 2022

NASA teruja temui Bulan paling kecil berdiameter 5 kilometer di hujung sistem suria


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa saintis-saintisnya menemui 'bulan mini' yang dikesan mengorbit sebuah asteroid di pinggir sistem suria, lapor akhbar Daily Star pada 25 Ogos 2022.


Batu satelit berdiameter kira-kira lima kilometer itu ditemui mengorbit sebuah asteroid kecil berhampiran planet Musytari bernama Polymele.


Saiz Polymele adalah sekitar 27 kilometer dan jika objek yang mengorbitnya itu disahkan sebagai satelit, ia akan menjadi salah satu Bulan paling kecil pernah ditemui.


Bulan itu ditemui oleh pasukan NASA yang menjalankan misi Lucy dengan menghantar sebuah kapal angkasa penjelajah ke pinggir sistem suria, untuk mengumpul data mengenai beberapa asteroid Trojan yang merupakan dua gugusan batu besar terletak di orbit Musytari.


"Pada 27 Mac lalu, pasukan sains Lucy mendapati bahawa sasaran asteroid Trojan terkecil, Polymele, mempunyai satelitnya sendiri," kata NASA dalam satu kenyataan.


Ketika ditemui, asteroid berkenaan berada di hadapan bintang jauh yang membolehkan penyelidik mengkaji dengan tepat saiz batu angkasa terbabit.


Mereka memerhati sejauh mana cahaya bintang itu disekat oleh asteroid tersebut, bagaimanapun, ketika berbuat demikian, mereka melihat kelibat yang lebih kecil melepasi Polymele. Batu satelit dan asteroid pusatnya itu terletak sejauh kira-kira 200 kilometer.


"Kami sangat teruja bahawa 14 pasukan melaporkan memerhatikan bintang berkelip ketika ia melintas di belakang asteroid, tetapi semasa kami menganalisis data, kami melihat bahawa dua daripada pemerhatian itu tidak seperti yang lain.


"Kedua-dua pemerhati itu mengesan objek sekitar 200 kilometer dari Polymele. Ia mestilah satelit," kata Marc Buie, ketua sains ghaib Lucy di Institut Penyelidikan Southwest. - Sumber Daily Star UK.


Batu angkasa itu akan menjadi bulan paling kecil yang pernah ditemui. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon