Rabu, 7 September 2022

Gempar! Pakar temui rangka mayat 'puntianak' di Poland


Sekumpulan pakar arkeologi di Poland menemui rangka mayat perempuan dalam keadaan menyeramkan yang dipercayai merupakan 'puntianak', lapor akhbar Daily Mail pada 2 September 2022.


Penemuan tersebut dibuat semasa proses penggalian di sebuah tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien dalam wilayah Mielec. Penyelidik juga mendapati sisa rangka itu mempunyai topi sutera di kepalanya, menunjukkan dia mempunyai status sosial yang tinggi.


Rangka tersebut dipercayai adalah puntianak kerana keadaan mayat semasa ditemui mempunyai sebilah sabit yang mengelilingi bahagian kerongkongnya. Ibu jari kaki kiri rangka tersebut turut dikunci, dipercayai menyerupai satu upacara yang kononnya akan menghalang mayat daripada hidup semula.



Ketua pasukan penyelidik tersebut, Profesor Dariusz Polinski dari Universiti Nicholas Copernicus berkata, bentuk pengebumian tersebut adalah luar biasa.


"Cara untuk melindungi diri daripada 'si mati yang hidup semula' adalah termasuk memenggal kepala atau memotong kaki, meletakkan si mati ke bawah dengan keadaannya menggigit tanah, membakar dan menghancurkannya dengan batu.


"Sabit itu diletakkan di leher sebagai amaran sekiranya si mati cuba untuk 'bangun', kemungkinan besar kepalanya akan dipotong atau cedera," kata Polinski.


Tambahnya, ibu jari kaki kiri yang dikunci mengukuhkan teori bahawa rangka mayat itu dianggap sebagai puntianak pada masa kematiannya.


"Individu yang didakwa merupakan puntianak sekitar abad ke-17 telah dibunuh secara ganas di seluruh Eropah Timur pada zaman tersebut," kata Polinski.


Ia bukan sesuatu yang luar biasa di rantau ini untuk mencari tapak pengebumian di mana batang logam atau pancang telah dipalu melalui tengkorak si mati. Orang ramai pada masa itu percaya ini adalah satu cara untuk memastikan orang itu terus mati.


Di beberapa bahagian benua terutamanya di kalangan orang Slavia, kepercayaan yang sangat meluas terhadap legenda puntianak menyebabkan histeria besar-besaran, malah membawa kepada hukuman mati terhadap orang yang dianggap sebagai puntianak.


Orang yang mati secara tidak sengaja seperti melalui bunuh diri juga sering disyaki puntianak, dan mayat mereka akan dicacatkan untuk menghalang mereka daripada bangkit daripada kematian. - Sumber Daily Mail.


Penyelidik menemui mayat semasa kerja arkeologi di tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien. - Foto Beata Zielinska-golembiewska.

Terdapat sabit yang diletak mengelilingi leher rangka ini, dipercayai untuk menghalang daripada hidup semula. - Foto Miroslav Blicharski/Aleksander Poznan.


EmoticonEmoticon