Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Ahad, 7 Januari 2024

Pintu tengah kabin tercabut di udara, pesawat buat pendaratan cemas

Pintu tengah kabin tercabut di udara, pesawat buat pendaratan cemas


Pesawat Alaska Airlines yang membawa 177 penumpang termasuk anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) pada petang Sabtu, 6 Januari 2024 (waktu tempatan).


Menurut syarikat penerbangan itu, ia selepas ada penumpang yang mengadu panel tingkap pesawat berkenaan tercabut selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang.


Terdahulu, penerbangan 1282 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland sekitar jam 5 petang, sebelum ia mendarat semula dalam keadaan selamat.


Ia selepas anak kapal melaporkan pintu tengah kabin tercabut, yang mengakibatkan penyahmampatan pesat (tekanan) membabitkan pesawat berkenaan, demikian penjelasan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di platform media sosial X.


Terdapat imej yang dikongsikan di media sosial memaparkan panel tingkap pesawat diterbangkan, dengan topeng oksigen kecemasan tergantung di siling pesawat itu.


Seorang penumpang, Kyle Rinker, ketika ditemubual CNN berkata tingkap pesawat itu tercabut tidak lama selepas berlepas.


Seorang lagi penumpang, Vi Nguyen, memberitahu The New York Times, dia terkejut mendengar bunyi kuat semasa penerbangan.


"Saya buka mata dan benda pertama saya lihat adalah topeng oksigen betul-betul di hadapan saya.


"Saya lihat kiri dan kanan, dinding sebelah pesawat telah hilang. Perkara pertama saya fikir ialah, saya akan mati," katanya.


Sehubungan itu, FAA dan syarikat Alaska Airlines memaklumkan mereka sedang menyiasat kejadian itu.


Menurut kenyataan Alaska Airlines, pesawat itu selamat mendarat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dengan 171 penumpang dan enam anak kapal.


"Walaupun kejadian ini jarang berlaku, namun kru penerbangan kami terlatih dan bersedia menguruskan keadaan dengan selamat," kata syarikat berkenaan.


Mengikut laman web pengesanan penerbangan FlightAware, pesawat Boeing 737 Max 9 itu berlepas pada 5.07 petang, menuju ke Ontario, California, sebelum terpaksa kembali semula ke lapangan terbang sama kira-kira 20 minit kemudian.


Menurut laman web pendaftaran FAA, pesawat itu disahkan layak terbang pada Oktober.


Menerusi catatan di platform X, syarikat Boeing berkata pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat, malah pasukan teknikalnya bersedia untuk membantu siasatan. - Sumber NBC News.


Bahagian panel tingkap pesawat yang tercabut. - Foto Reuters.

Selasa, 2 Januari 2024

Pesawat 'mega' bawa 379 penumpang terbakar di lapangan terbang Jepun

Pesawat 'mega' bawa 379 penumpang terbakar di lapangan terbang Jepun


Sebuah pesawat yang membawa 379 penumpang dan anak kapal terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini selepas berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai.


Portal berita Daily Mail melaporkan, rakaman video menunjukkan pesawat Japan Airlines terbakar ketika ia berada di landasan dengan api marak dilihat keluar dari tingkap penumpang.


Pesawat itu bertembung dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai ketika ia melalui landasan, lapor stesen penyiaran TV Japan, dengan perlanggaran itu menyebabkan pesawat terbakar.


Beberapa pasukan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan rakaman dari stesen penyiar Jepun, NHK menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan api.



Jurucakap Japan Airlines memberitahu penyiar NHK bahawa kesemua 367 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat JAL 516 Airbus A-350 pada masa letupan telah berjaya dipindahkan dari pesawat itu.


Belum ada pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan, tetapi pemindahan semua penumpang dan anak kapal yang berjaya akan menjadi satu kejayaan yang benar-benar ajaib memandangkan kebakaran itu memusnahkan pesawat itu sepenuhnya.


Penerbangan Japan Airlines itu telah terbang keluar dari lapangan terbang Shin Chitose di Jepun dan sedang mendarat di lapangan terbang Haneda sebelum berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai.


Sementara itu, seorang pegawai pengawal pantai mengesahkan sebuah pesawat Pengawal Pantai terlibat dalam kejadian itu, dengan NHK melaporkan seorang anak kapal telah melarikan diri dari pesawat itu tetapi lima yang lain masih tidak diketahui.


Agensi berita Jiji melaporkan pesawat Pengawal Pantai itu bersedia untuk berlepas bagi membantu usaha menyelamat susulan gempa bumi besar di tengah Jepun pada Hari Tahun Baru. - Sumber Daily Mail.


Tangkap layar menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran pesawat Japan Airlines. - Foto AP.

Pesawat Japan Airlines Penerbangan JAL 516 terbakar di Lapangan Terbang Haneda pada 2 Januari 2024 di Tokyo, Jepun. - Foto Daily Mail.

Isnin, 25 Disember 2023

Lelaki maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran

Lelaki maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran


Perkhemahan 14 rakan yang melakukan aktiviti sukan permotoran berhampiran Felda Tenang, Hutan Simpan Jalan Temayong, Labis, Segamat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat disengat tebuan tanah di kawasan perkhemahan berkenaan.


Menurut Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 2.24 petang, semalam.


"Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa terbaring dipercayai disengat tebuan tanah. Mangsa diserang tebuan tanah tersebut ketika melakukan aktiviti sukan permotoran di hutan simpan berkenaan.


"Mangsa dikenali sebagai Halmi Tahrin, 42 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Kesihatan Labis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Hafifie, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung perkara berkenaan sekitar 3 petang Ahad.


"Hasil siasatan mendapati mangsa seorang lelaki telah ke Hutan Simpan Labis bersama 14 rakannya untuk berkhemah di kawasan air terjun Dinding sekitar 1.30 tengahari.


Katanya, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun ke kaki bukit sekitar jam 6.21 petang, namun pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.


"Ketika sedang membersihkan kawasan perkhemahan mangsa menyatakan telah disengat tebuan tanah dan tidak sedarkan diri sebelum cuba dibawa turun oleh rakan-rakannya.


"Sebaik menerima maklumat tentang kejadian, pihak polis dan bomba Labis telah memberikan bantuan ke atas mangsa," katanya.


Tambah Ahmad Zamry, ketika bantuan diberikan mangsa masih bernafas,namun denyutan nadi menjadi semakin lemah.


"Mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Sebenarnya, Hutan Simpan Labis merupakan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh Jabatan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan ia berada di bawah Akta Perhutanan Negara," katanya.


Seorang lelaki maut di sengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran berhampiran Felda Tenang, Hutan Simpan Jalan Tempayong, Labis, Segamat. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 27 November 2023

Gadis ditemukan maut dalam kereta dipercayai keracunan gas karbon monoksida

Gadis ditemukan maut dalam kereta dipercayai keracunan gas karbon monoksida


Seorang wanita maut selepas mengalami keracunan gas monoksida semasa berada di dalam sebuah kereta bersama rakan lelakinya di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.17 malam.


Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki berusia 20-an dan wanita berusia 20 tahun berada dalam keadaan terbaring di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.


"Mangsa wanita disyaki sudah meninggal dunia di dalam kereta tersebut manakala rakannya tidak sedarkan diri.


"Hasil bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati, kematian wanita tersebut berpunca daripada keracunan gas monoksida," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa lelaki ketika ini masih menerima rawatan di HRPZ II.


"Pihak polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati keluarga mangsa," ujarnya.


Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Keadaan kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa di kawasan tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi. - Foto Ihsan Polis.

Selasa, 14 November 2023

Lori tanah terkena renjatan elektrik pemandu maut

Lori tanah terkena renjatan elektrik pemandu maut


Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas lori dinaiki terkena renjata elektrik lalu terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Samparita, Kota Marudu, hari ini.


Mangsa John Adam Baudi, 56, iaitu pemandu jentera berat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.35 pagi.


Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi sejauh 28 kilometer.


"Kebakaran berlaku di bahagian belakang lori 10 tan yang terbakar 70 peratus akibat dari terkena kabel elektrik ketika menurunkan tanah.


"Kejadian menyebabkan dua mangsa lelaki yang berada di dalam kenderaan terbabit terkena renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba menggunakan satu aliran dari jentera bomba. Operasi terkawal 12.35 tengah hari dan tamat 20 minit kemudian.


"Mangsa yang parah sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi.


"Pemandu jentera berat disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas lori dinaiki terkena renjata elektrik lalu terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Samparita, Kota Marudu, hari ini. Foto Ihsan Bomba.

Khamis, 26 Oktober 2023

Kabus tebal yang luar biasa 'muncul' di jalan raya punca nahas 158 kenderaan

Kabus tebal yang luar biasa 'muncul' di jalan raya punca nahas 158 kenderaan

 

Super fog atau kabus tebal dilaporkan menjadi punca nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya di utara New Orleans, lapor laman berita BBC News pada 24 Oktober 2023.


Menurut pegawai tempatan, nahas itu berlaku daripada kabus tebal yang mengehadkan penglihatan pemandu kenderaan dan ia diburukkan lagi dengan kebakaran hutan paya berhampiran.


Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam nahas berlaku di laluan arah utara dan selatan sepanjang Interstate 55 Louisiana pada Isnin lalu, dan angka kematian mungkin meningkat, kata polis.


Lapisan kabus tebal yang luar biasa menjadi antara punca nahas jalan raya itu berlaku sehingga menyebabkan kenderaan remuk selepas merempuh satu sama lain dan sebahagiannya terbakar.


Menurut polis, kebakaran berlaku apabila salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah sebuah lori tangki yang membawa 'cecair berbahaya'.


Clarencia Patterson Reed, 46, yang memandu ke Hammond, memberitahu media tempatan dia dapat mengelak daripada melanggar kereta di hadapannya, tetapi kenderaan di belakangnya mula merempuh keretanya.


Menurut Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kabus tebal boleh mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada 3.04 meter, dengan keadaan paling teruk mengakibatkan sifar penglihatan.


"Dalam keadaan tiupan angin yang ringan, kabus tebal melanda kawasan tanah rendah seperti dasar anak sungai atau parit saliran," katanya.


Jelas agensi itu, situasi boleh menjadi amat berbahaya apabila kabus tebal melitupi jalan raya. Walaupun super fog jarang berlaku, ia bukan fenomena yang tidak pernah didengari.


Malah, pada kebiasaannya, New Orleans mengalami super fog dua kali setahun. - Sumber BBC News.


Beberapa bangkai kereta yang terbakar susulan nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya Interstate 55. - Foto AFP.

Isnin, 16 Oktober 2023

Kereta terbabas rempuh kedai jual nombor ekor lelaki warga emas cedera

Kereta terbabas rempuh kedai jual nombor ekor lelaki warga emas cedera


Gara-gara dipercayai tersilap menekan pedal minyak, seorang lelaki warga emas nyaris cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas sehingga merempuh sebuah premis yang menjual nombor ramalan atau nombor ekor, di Taman Molek, Bagan Ajam, Butterworth, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 65 tahun dilaporkan tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu selepas kereta jenis Proton Saga BLM berwarna merah itu merempuh bahagian kuanter premis berkenaan.


Menurut pegawai operasi bomba, Noorhisham Md. Noor, sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.06 petang, pihaknya bergegas ke lokasi dengan kekuatan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth.


Beliau berkata, walaupun rempuhan itu agak kuat, pemandu berbangsa India itu hanya mengalami cedera ringan iaitu rasa sakit pada bahagian belakang badan.


"Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa dalam tempoh kurang 10 minit.


"Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan susulan," katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 4.29 petang.


Anggota bomba mengalihkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kedai menjual nombor ekor di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan.

Sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kedai menjual nombor ekor di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan.