Isnin, 25 Disember 2023

Lelaki maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran


Perkhemahan 14 rakan yang melakukan aktiviti sukan permotoran berhampiran Felda Tenang, Hutan Simpan Jalan Temayong, Labis, Segamat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat disengat tebuan tanah di kawasan perkhemahan berkenaan.


Menurut Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 2.24 petang, semalam.


"Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa terbaring dipercayai disengat tebuan tanah. Mangsa diserang tebuan tanah tersebut ketika melakukan aktiviti sukan permotoran di hutan simpan berkenaan.


"Mangsa dikenali sebagai Halmi Tahrin, 42 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Kesihatan Labis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Hafifie, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung perkara berkenaan sekitar 3 petang Ahad.


"Hasil siasatan mendapati mangsa seorang lelaki telah ke Hutan Simpan Labis bersama 14 rakannya untuk berkhemah di kawasan air terjun Dinding sekitar 1.30 tengahari.


Katanya, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun ke kaki bukit sekitar jam 6.21 petang, namun pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.


"Ketika sedang membersihkan kawasan perkhemahan mangsa menyatakan telah disengat tebuan tanah dan tidak sedarkan diri sebelum cuba dibawa turun oleh rakan-rakannya.


"Sebaik menerima maklumat tentang kejadian, pihak polis dan bomba Labis telah memberikan bantuan ke atas mangsa," katanya.


Tambah Ahmad Zamry, ketika bantuan diberikan mangsa masih bernafas,namun denyutan nadi menjadi semakin lemah.


"Mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Sebenarnya, Hutan Simpan Labis merupakan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh Jabatan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan ia berada di bawah Akta Perhutanan Negara," katanya.


Seorang lelaki maut di sengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran berhampiran Felda Tenang, Hutan Simpan Jalan Tempayong, Labis, Segamat. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon