Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Mac 2024

Rumah dipecah masuk, pencuri larikan 200 peluru dan shotgun

Rumah dipecah masuk, pencuri larikan 200 peluru dan shotgun


Rumah seorang penoreh getah dipecah masuk dan senjata api miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Kampung Air Kuning Selatan, di Tampin pada Rabu lalu.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima jam 9.51 malam pada Rabu (27/3/2024).


Menurutnya, selaras senapang patah jenis 12 bore lesap dalam kejadian itu.


"Ketika kejadian antara jam 2.30 petang hingga 8 malam, mangsa yang merupakan pemilik senjata api iaitu lelaki berusia 60 tahun tiada di rumah dan berada di Gemas.


"Turut didapati hilang, 200 butir peluru 12 bore dan satu peti simpanan senapang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui 06-4431999 atau 06-4411222," katanya.


Rumah seorang penoreh getah dipecah masuk dan senjata api miliknya turut dilarikan dalam kejadian di Kampung Air Kuning Selatan, di Tampin pada Rabu lalu (Gambar hiasan).

Khamis, 28 Mac 2024

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati


Seorang wanita di Bronx, Amerika Syarikat tergamak mengetuk kepala ibunya dengan periuk masak hingga mati dan kemudian menelefon pihak kecemasan dengan mengakui melakukan pembunuhan kejam itu.


Bagaimanapun, suspek, Skydajah Patterson, 26, telah dibebaskan polis dan mendapat rawatan kesihatan mental selepas didakwa memukul ibunya, Selma Mclean berusia 46 tahun di apartment mereka terletak di Presiden Adams House di Bronx pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan).


Sumber berkata, Skydajah memberitahu operator kecemasan bahawa dia baharu membunuh ibunya dan semasa pihak berkuasa tiba di apartmen itu mereka mendapati Mclean sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kecederaan di muka dan kepalanya.


Malah, wanita muda itu masih memegang periuk masak berlumuran darah.


"Dia mengakui menggunakan peralatan dapur untuk memukul belakang kepala ibunya sehingga pengsan," katanya.


Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Anak perempuan mangsa telah ditahan, tetapi dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan pada lewat petang, kata polis.


Sementara anak baptis Mclean, Danaeyah Reynolds, 26, memberitahu The New York Post bahawa ibunya telah menghantar mesej kepadanya sebelum pembunuhan kejam itu dengan mengatakan dia takut kepada Skydajah yang baharu saja dibebaskan dari wad psikiatari.


"Dia berada di wad psikiatri sejak Februari hingga minggu lalu. Dia mula mendengar suara dan mula bercakap dengan suara seorang lelaki.


"Ibu baptis berkata dia takut kerana Skydajah mengatakan suara di kepalanya memberitahu bahawa ibunya sangat merbahaya," katanya.


Skydajah dikatakan mengalami gangguan mental sejak dia kehilangan bayi lelakinya pada bulan Ogos lalu. - Sumber New York Post.


Anggota polis mengawal pintu masuk apartment didiami Skydajah Patterson dan ibunya yang terletak di Bronx, New York. - Foto Robert Mecea.

Skydajah Patterson, 26, didakwa menggunakan kuali untuk membunuh ibunya. - Foto Facebook/Skydajah Patterson.

Sabtu, 23 Mac 2024

Koperal polis maut dipukul, polis giat buru suspek

Koperal polis maut dipukul, polis giat buru suspek


Seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang awal pagi hari ini.


Mangsa berpangkat koperal berusia 34 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 3 pagi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ekoran insiden berdarah tersebut, pihaknya sedang giat mengesan sekumpulan lelaki yang berada di lokasi kejadian berlaku.


Kata beliau, keberadaan kumpulan individu tersebut di lokasi dilihat mempunyai kemungkinan menjadi penyebab kematian lelaki tersebut.


"Siasatan awal mendapati anggota polis yang menjadi mangsa kejadian tersebut berkhidmat di Kontinjen Polis Kuala Lumpur.


"Kes tersebut masih dalam proses siasatan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.


"Pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat," katanya pada sidang akhbar hari ini.


Beliau berkata, proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.


Difahamkan, mayat mangsa akan diterbangkan ke kampung halaman di Kuching, Sarawak, selepas selesai bedah siasat.

Sabtu, 16 Mac 2024

Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai

Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di Johor Bahru pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri serta lebam di beberapa bahagian termasuk pipi, leher, bahu dan belakang badan.


"Susulan itu, tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan. Kejadian ini yang tular dalam media sosial dipercayai berlaku pada jam 5 petang.


"Berdasarkan rakaman, mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar di kawasan perumahan, sebelum dimasukkan ke dalam kereta Proton Satria dan dibawa ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul menggunakan kayu cota serta beberapa objek lain.


Mohd Sohaimi berkata, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau selain turut positif dadah jenis methamphetamine.


Motif kejadian katanya, masih dalam siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


"Selain itu, polis masih giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.


Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipukul beberapa individu sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dipercayai berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.

Jumaat, 15 Mac 2024

Sekumpulan mat rempit serang rumah polis

Sekumpulan mat rempit serang rumah polis


Sekumpulan penunggang motosikal bertindak menyerang rumah seorang anggota polis di Bulukumba, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Tribun Trends pada 14 Mac 2024.


Rumah itu juga dibaling batu, menyebabkan atap dan dinding kediaman anggota polis tersebut rosak.


"Geng motor serang rumah polis di Bulukumba, dua pelaku ditangkap," demikian menurut keterangan klip video tentang kejadian tersebut yang tular di media sosial.


Dalam rakaman itu, terdapat seorang penunggang motosikal berdiri di depan rumah tersebut, manakala rakan-rakannya membaling batu ke arah kediaman mangsa.


Mereka juga ketawa setelah melakukan perbuatan itu.


Pegawai kanan polis Bulukumba, Abustam menyatakan, pihaknya sedang melakukan siasatan mengenai kes tersebut.


Menurut Tribun Trends, kejadian itu terjadi di Yos Sudarso, Pantai Merepati, Bulukumba, pada Ahad (10/3/2024). Rumah polis itu milik Aiptu Ilyas.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Ujung Bulu, Aipda Eli Taufan Kardede berkata, anggota kumpulan bermotosikal itu berang selepas ditegur Aiptu Ilyas.


"Mereka telah ditegur kerana menunggang secara melulu dan membuat bunyi bising di hadapan rumahnya.


"Apabila ditegur, geng motorsikal itu berhenti dan menyerang dengan membaling batu ke arah rumah Aiptu Ilyas," kata Aipda Eli Taufan Kardede. - Sumber Tribun Trends.


Sekumpulan mat rempit menyerang rumah seorang anggota polis di Bulukumba, baru-baru ini. - Foto detiksumut.

Khamis, 14 Mac 2024

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup

Nelayan yang curi kubah masjid bersalut emas bernilai hampir RM1 juta akhirnya dicekup


Polis memberkas seorang nelayan berumur 67 tahun kerana disyaki mencuri hiasan bersalut emas pada kubah masjid yang bernilai 3 bilion rupiah (RM902,195), lapor laman berita Tribunnews pada 12 Mac 2024.


Suspek yang dikenali sebagai Amin Gay, ditahan ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea, Pulau Buru dalam wilayah Maluku.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buru, Inspektor Aditya Bambang Sundawa berkata, suspek mencuri hiasan emas itu untuk membayar hutangnya.


Tambah Aditya, warga emas itu menggunakan pelbagai alat untuk melarikan kubah tersebut termasuk dua tangga kayu dan tali.


Dia melakukan perbuatan itu berseorangan antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi (waktu tempatan).


Ujar Aditya, ketika menarik hiasan kubah tersebut menggunakan tali, ia terjatuh lalu patah.


Ia membuatkan suspek menanam sebahagian daripada kepingan hiasan itu di dalam tanah di sebuah kawasan hutan, sebelum ia ditemui penduduk pada Sabtu lalu.


Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara selama tujuh tahun.


Dalam kejadian pada 4 Mac lalu, hiasan kubah masjid diperbuat daripada emas seberat 2.6 kilogram itu hilang dari Masjid Al-Huda, Buru.


Hiasan tersebut merupakan sumbangan penduduk Kampung Kayeli dan pelombong di Gunung Botak, yang mengunjungi masjid tersebut sejak 2015. - Sumber Tribunnews.


Amin ditahan polis ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea. - Foto Tribunnews.

Rabu, 13 Mac 2024

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau


Polis merampas sebilah pisau disyaki digunakan oleh seorang wanita yang merupakan seorang model sambilan untuk menikam kekasihnya di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, senjata itu dirampas bagi membantu siasatan.


"Kita rampas pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata, wanita itu direman enam hari bermula Selasa hingga Ahad untuk siasatan lanjut.


Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan dalam kejadian tersebut.


Difahamkan, punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan itu didakwa curang.


Suspek berusia 26 tahun yang juga bekas pelajar perubatan itu berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas dipercayai membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Laporan sebelum itu, dibuat pada jam 9.41 pagi oleh doktor yang menerima mangsa di hospital.


Doktor berkenaan mendapati mangsa dibawa dari sebuah klinik swasta. Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.


Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa maut ditikam kekasihnya dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin. - Gambar hiasan.