Rabu, 13 Mac 2024

Lelaki didakwa curang maut ditikam kekasih, polis rampas pisau


Polis merampas sebilah pisau disyaki digunakan oleh seorang wanita yang merupakan seorang model sambilan untuk menikam kekasihnya di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, senjata itu dirampas bagi membantu siasatan.


"Kita rampas pisau yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata, wanita itu direman enam hari bermula Selasa hingga Ahad untuk siasatan lanjut.


Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam kekasihnya yang merupakan seorang model sambilan dalam kejadian tersebut.


Difahamkan, punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan itu didakwa curang.


Suspek berusia 26 tahun yang juga bekas pelajar perubatan itu berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya pada jam 12.30 tengah hari, selepas dipercayai membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Laporan sebelum itu, dibuat pada jam 9.41 pagi oleh doktor yang menerima mangsa di hospital.


Doktor berkenaan mendapati mangsa dibawa dari sebuah klinik swasta. Doktor itu kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun tiada sebarang tindak balas.


Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa maut ditikam kekasihnya dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Kota Kemuning, Kuala Langat, pada Isnin. - Gambar hiasan.


EmoticonEmoticon