Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Isnin, 12 Disember 2022

Anggota BIGBANG, T.O.P tepilih pergi ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan

Anggota BIGBANG, T.O.P tepilih pergi ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan


Anggota kumpulan K-pop BIGBANG, T.O.P bakal menjadi artis dan orang awam pertama dari Korea Selatan ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan secara lebih dekat.


Dia terpilih menyertai projek dearMoon Crew yang dimulakan usahawan Jepun, Yusaku Maezawa bersama tujuh lagi individu terdiri daripada artis pelbagai bidang.


Berita gembira itu dikongsi T.O.P menerusi sebuah hantaran video di Instagram di mana dia sangat bangga dengan pencapaian itu. Menurutnya, dia berazam menjadi inspirasi kepada orang ramai.


"Saya sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada projek dearMoon Crew. Saya sentiasa berfantasi mengenai angkasa lepas dan Bulan sejak kecil.


"Apabila diberitahu dapat terpilih sebagai krunya, saya sangat gembira. Sebagai artis dan rakyat Korea Selatan, saya sangat bangga dan pegang tanggungjawab besar untuk pergi ke Bulan," katanya.


T.O.P berharap kunjungannya ke angkasa lepas akan memberikan perspektif meluas kepadanya secara peribadi. Dia juga berharap menjadi sumber harapan buat ramai lagi orang lain.


"Saya ingin melihat kematangan peribadi saya berkembang dan kembali ke Bumi sebagai artis dengan inspirasi baharu. Saya tak takut langsung nak pergi ke Bulan dan pengalaman baharu ini.


"Sebaliknya, ia satu penghormatan buat saya dan merendah diri dengan pengalaman ini. Saya mahu Bulan itu jadi inspirasi dan beri harapan kepada orang supaya ia jadikan orang fikir bahawa segalanya tidak mustahil," katanya.


Projek diusahakan SpaceX itu bakal dilaksanakan tahun depan. Ia menyasarkan membawa orang awam menaiki penerbangan ke angkasa lepas dan Bulan.


Ia juga sebahagian daripada projek seni yang dirancang Yusaku Maezawa. Kunjungan itu akan mengambil masa seminggu mengelilingi orbit Bulan dalam kapal angkasa yang dihasilkan SpaceX.


Selain T.O.P, antara individu ternama yang terpilih adalah pemuzik Amerika-Jepun; Steve Aoki, pelakon India, Dev Joshi; penari Jepun, Miyu dan atlit papan luncur Olimpik, Kaitlyn Farrington.


T.O.P bakal menjadi artis dan orang awam pertama dari Korea Selatan ke angkasa lepas.

Selasa, 6 Disember 2022

Tak jadi kahwin, bakal isteri minta geran rumah sebagai mas kahwin, lelaki bersanding olok-olok dengan 'pengantin palsu'

Tak jadi kahwin, bakal isteri minta geran rumah sebagai mas kahwin, lelaki bersanding olok-olok dengan 'pengantin palsu'


Seorang lelaki di Indonesia yang memutuskan pertunangannya tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung, bertindak mengadakan persandingan olok-olok bersama seorang saudara perempuan bagi mengelakkan keluarganya mendapat malu besar, lapor laman berita Tribun Jateng pada 2 Disember 2022.


Lelaki tersebut, Ryan Dono mendedahkan perkara itu selepas timbul banyak salah faham di media sosial, mengenai dakwaan bekas tunangnya bahawa dia memutuskan pertunangan kerana mahu berkahwin dengan wanita lain.


Menurut Ryan, dia memutuskan pertunangan dengan wanita berkenaan, Yessy, selepas gadis itu meminta geran rumah sebagai mas kahwin pada saat-saat akhir.


Bagi menutup malu, Ryan dan keluarganya membuat keputusan meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dijadualkan dengan cara mengadakan resepsi palsu bersama seorang saudara perempuannya.


Ketika acara berlangsung, tetamu undangan tidak mengetahui bahawa 'pengantin perempuan' bukan isteri Ryan sebaliknya, dia hanya 'berlakon'.


"Ibu saya mencadangkan supaya kami meneruskan majlis yang telah dirancang demi menjaga aib keluarga. Saya juga tidak mempersoalkan rancangan itu," katanya.


Tambah Ryan, tujuan majlis itu diteruskan salah satu daripadanya adalah untuk menjaga aib pengantin perempuan namun, Yessy sendiri telah 'membuka pekung di dada' menerusi media sosial dan membuat dia kelihatan seperti pihak yang menjadi mangsa.


"Begitulah maksud saya, jangan sampai diheboh-heboh hal ini kerana akhirnya anda yang malu," kata ibu Ryan.


Tambah Ryan, meskipun berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan perkahwinan dengan Yessy, dia berusaha untuk kekal tabah.


"Saya berusaha untuk tabah dan tidak mahu ibu bapa melihat saya sedih. Saya berusaha untuk menjadi tabah di hadapan tetamu undangan tetapi di sebaliknya, saya amat sedih.


"Di hati kecil saya, saya tidak mempunyai dendam (terhadap Yessy). Walau bagaimana sekali pun dia menghina saya, saya tetap sabar dan diam," ujar Ryan.


Ryan meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dirancang dengan bantuan saudara perempuannya (dua dari kiri) yang menyamar sebagai pengantin. - Foto Tribunnewsmaker.
Tular seorang lelaki kahwini pasangan kembar serentak

Tular seorang lelaki kahwini pasangan kembar serentak


Sebuah majlis perkahwinan di daerah Solapur, India menjadi perhatian ramai apabila pengantin lelaki mengahwini sepasang adik-beradik kembar secara serentak tanpa sebarang bantahan, lapor laman berita India Today pada 4 Disember 2022.


Menurut maklumat yang diperoleh India Today, pasangan kembar tersebut yang dikenali sebagai Rinki dan Pinky, bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat (IT). Mereka mengahwini Atul, yang memiliki sebuah agensi pelancongan di Mumbai.


Majlis perkahwinan di Solapur, dalam negeri Maharashtra, pada Jumaat lalu itu turut mendapat restu kedua-dua keluarga.


Ketiga-tiga mereka dikatakan tinggal bersama dalam sebuah rumah sejak kecil di samping ibu Rinki dan Pinky selepas kematian bapa mereka.


Atul menjadi semakin akrab dengan pasangan kembar itu selepas ibu mereka jatuh sakit dan Rinki serta Pinky sering menggunakan kereta milik lelaki tersebut bagi membawa ibu mereka ke hospital.


Selepas video perkahwinan mereka tular di media sosial, ramai netizen meluahkan kebimbangan mengenai sama ada perkahwinan itu adalah sah atau tidak mengikut Akta Perkahwinan di India.


Selepas perkahwinan pelik tersebut, polis tempatan memulakan siasatan berhubung perkara itu, walaupun tiada maklum balas daripada ahli keluarga mengenai sebarang bantahan atau keputusan paksa. - Sumber India Today.


Atul tinggal bersama Rinki dan Pinky di dalam sebuah rumah sejak kecil di samping ibu mereka. - Foto India Today.

Isnin, 5 Disember 2022

Wanita dakwa wajah cantik jadi 'lesen besar' kentut di mana-mana tanpa disyaki

Wanita dakwa wajah cantik jadi 'lesen besar' kentut di mana-mana tanpa disyaki


Seorang wanita yang dikategorikan sebagai berwajah cantik menyarankan pengikutnya agar kentut tanpa rasa takut semasa sedang bersosial, kerana orang tidak akan mengesyaki gadis jelita sanggup melakukan perkara seperti itu, lapor akhbar Daily Star.


Menerusi satu video di laman TikTok, Mollies Fraser berkata, kentut di khalayak ramai tanpa disyaki orang lain adalah kelebihan yang perlu digunakan seorang wanita cantik.


"Jangan rasa takut untuk kentut dalam kelab malam kerana tiada orang akan percaya bahawa wajah secantik kita akan melakukan perkara tidak senonoh itu.


"Lagipun, bunyi muzik terlalu kuat untuk mengesan bunyi kentut itu datang daripada kamu jadi jangan tahan, jika mahu lepaskan 'angin', lepaskan sahaja," kata Fraser.


Kenyataan Fraser turut disokong oleh beberapa pengikut yang lain yang mengakui pernah melakukan perkara sama dan tidak pernah disyaki orang.


"Ini teknik yang hebat jika anda memerlukan lebih banyak masa untuk menari," kata seorang pengguna yang menyokong Fraser.


Sementara itu, seorang wanita mendakwa: "Sesetengah lelaki tunduk untuk mengambil telefonnya dan saya kentut di atas kepalanya tanpa diketahui," katanya.


Video tersebut menjadi tular dan telah diulang tonton sehingga 2.5 juta kali. - Sumber Daily Star.


Fraser menyakinkan pengikutnya bahawa orang tidak akan mengesyaki mereka kentut kerana memiliki wajah cantik. - Foto TikTok.

Ahad, 4 Disember 2022

Lapan aktivis lancar protes dalam restoran Salt Bae diheret keluar

Lapan aktivis lancar protes dalam restoran Salt Bae diheret keluar


Sekumpulan aktivis diheret keluar dari restoran stik mewah milik Salt Bae di tengah London selepas melancarkan protes di restoran berkenaan petang semalam, lapor akhbar Metro UK pada 3 Disember 2022.


Kejadian tersebut berlaku di restoran Nusr-Et, di Knightsbridge milik chef terkenal Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang tular kerana gaya istimewanya menabur garam pada stik.


Kemahirannya membawa kejayaan berbilang restoran di seluruh dunia termasuk di London. Restoran itu menarik perhatian ramai dengan menunya yang mahal termasuk stik 'tomahawk emas' yang dibalut kertas emas 24 karat.


Kumpulan Animal Rebellion menghantar lapan aktivisnya untuk mengadakan protes 'duduk' di restoran stik tersebut tanpa membuat sebarang pesanan makanan.



Aktivis berkenaan dilihat duduk di meja yang ditempah pelanggan lain sambil memegang replika 'menu olok-olok' yang menggariskan permintaan kumpulan tersebut.


Video yang disiarkan oleh kumpulan aktivis haiwan itu menunjukkan seorang ahli kumpulannya sedang dibawa keluar oleh kakitangan premis itu.


Bunyi sorakan kuat didengari di dalam restoran berkenaan ketika kakitangan mengucapkan 'selamat tinggal' kepada aktivis itu.


Polis Metropolitan dilaporkan tiba di tempat kejadian tetapi mengesahkan penunjuk perasaan sudah meninggalkan restoran berkenaan. - Sumber Metro UK.


Pekerja mengheret aktivis yang mengadakan protes keluar dari restoran. - Foto Twitter.

Isnin, 28 November 2022

Ronaldo belanja rakan-rakan sepasukan skuad Piala Dunia negaranya makan malam

Ronaldo belanja rakan-rakan sepasukan skuad Piala Dunia negaranya makan malam


Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan membawa rakan-rakan dalam skuad Piala Dunia negaranya keluar untuk makan malam di sebuah restoran di Pulau Al Maha, Qatar baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 26 November 2022.


Sebelum makan malam itu, beliau membantu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam kemenangan pembukaan ketika Portugal menang 3-2 ke atas Ghana, menerusi perlawanan pertama sejak penyingkirannya secara tidak sengaja dari kelab Manchester United di Old Trafford, England.


Ia berlaku ketika Portugal berusaha untuk memenangi Piala Dunia buat kali pertama.


Anggota-anggota pasukan Portugal telah bersatu selepas mereka bergambar semasa makan malam itu sekali gus menghabiskan masa bersama selepas ketua jurulatih skuad negara tersebut, Fernando Santos memberi mereka rehat daripada menyertai latihan.



Menurut El Espanol, Ronaldo membawa rakan sepasukannya keluar untuk makan malam di restoran Tatel de Doha yang baru dibuka di pulau tersebut dan mempunyai kaitan dengan bintang berusia 37 tahun itu.


Ini kerana Tatel de Doha adalah milik Mabel Hospitality iaitu sebuah syarikat yang menguruskan restoran-restoran di seluruh dunia, manakala bintang bola sepak tersebut merupakan salah seorang rakan perkongsiannya.


Anggota-anggota skuad bola sepak itu termasuk Ronaldo keluar sehingga jam 11.30 malam waktu tempatan sebelum pemain-pemain berkenaan menaiki bas mereka sendiri untuk pulang ke pusat penginapan mereka.


Pemergian Ronaldo dari kelab Manchester United di Old Trafford berlaku selepas temu bualnya dengan Piers Morgan.


Dalam temu bual itu, dia berkata bahawa dia berasa 'dikhianati' oleh kelab dan mendakwa bahawa dia 'tidak menghormati' Erik ten Hag kerana dia merasakan pemain Belanda itu tidak menghormatinya. - Sumber Daily Mail.


Anggota-anggota skuad bola sepak Piala Dunia Portugal makan malam di sebuah restoran di Pulau Al Maha, Qatar baru-baru ini. - Foto FPF.

Khamis, 27 Oktober 2022

Adik perempuan jadi pengantin lelaki ganti abang tidak dapat hadir majlis kahwin

Adik perempuan jadi pengantin lelaki ganti abang tidak dapat hadir majlis kahwin


Gara-gara tidak dapat menghadiri upacara perkahwinan sendiri, seorang lelaki di China digantikan oleh adik perempuannya yang menjadi pengantin lelaki bagi meneruskan majlis yang telah dirancang, lapor portal berita Wolipop pada 22 Oktober 2022.


Dalam kejadian di Suzhou, wilayah Anhui itu, calon pengantin lelaki dikatakan tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana berada di daerah yang melaksanakan perintah berkurung Covid-19.


Oleh kerana itu, ahli keluarga lelaki berkenaan membuat keputusan menggantikan tempat pengantin lelaki dengan adik perempuannya supaya majlis perkahwinan tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang.


Berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial, adik perempuan lelaki berkenaan dilihat memakai kot serta pakaian pengantin lelaki dan menyematkan sekuntum bunga pada sutnya.


Selain bersanding dengan pengantin perempuan, mereka turut melakukan upacara perkahwinan dengan niat untuk menggantikan abang wanita tersebut.


Majlis perkahwinan itu mendapat perhatian orang ramai malah penduduk di sekitar kawasan itu turut menghadirkan diri untuk melihat sendiri upacara berkenaan.


"Ini seperti dalam drama. Kami sudah berkahwin tetapi pengantinnya bukan saya," kata seorang netizen. - Sumber Wolipop.


Demi menjayakan majlis perkahwinan yang telah dirancang selama berbulan-bulan, adik perempuan kepada pengantin lelaki mengambil keputusan untuk menggantikan abangnya kerana tidak dapat hadirkan diri ke upacara hari gembiranya bersama pasangan. - Foto Weibo.