Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Khamis, 10 Jun 2021

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi


Seorang lelaki berasal dari bandar Iguatemi Brazil, membuat tatu di hampir keseluruhan badannya, serta mengubah dirinya menjadi penampilan 'Orc' dengan memasang dua taring palsu gergasi yang diletakkan di barisan gigi bawah.


Dia membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang sepasang taring besar di gigi bawahnya untuk membuat dirinya kelihatan seperti Orc, makhluk yang menakutkan.


Dia mengatakan pertama kali membuat tatu pada usia 15 tahun dan sejak itu dia ingin menambah lebih banyak tatu dan mengubah bentuk tubuhnya, menjalani beberapa prosedur yang membuatnya kelihatan agak unik.


Lelaki berusia 41 tahun ini turut memiliki sepasang bola mata bertatu hitam, sekitar 80 peratus tubuhnya ditutup dengan tatu, lidah terbelah, beberapa implan subdermal dan telinga yang dihiris. Namun, pengubahsuaian di mulut inilah yang menarik perhatian kebanyakan orang.


"Saya cuba menjadi diri sendiri, ini adalah idea saya sendiri, inspirasi saya datang dari hati, saya tidak diilhamkan oleh sesiapa pun," kata lelaki orc itu.


Peminat pengubahsuaian badan dari Brazil ini mengakui bahawa dia gembira dengan penampilannya yang unik, tetapi dia mengakui bahawa dia tidak begitu disukai oleh rakan dan keluarganya.


"Ibu saya tidak menyukainya, ayah saya tidak bertolak ansur dan rakan-rakan saya merasa pelik. Namun itu sama sekali tidak mengubah minat saya," ujarnya.


Mengenai gading di barisan gigi bawah, dia tidak menyatakan apakah itu kekal atau sementara. Dia mempunyai seorang isteri yang mempunyai minat yang sama dalam tatu dan pengubahsuaian badan, sehingga mereka nampak bahagia.


Orc adalah makhluk mitologi yang muncul dalam cerita fiksyen cerita rakyat dan fantasi sebagai binatang dengan tubuh yang menyerupai manusia, kadang-kadang seperti raksasa, biasanya berwarna hijau, dengan wajah yang menyerupai babi, kera dan raksasa dengan taring panjang, sifatnya garang dan buas. Sumber: Alahna Kindred/The Sun (3/11/2020).


Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Isnin, 24 Mei 2021

Aplikasi cari jodoh di Jepun digodam, 1.7 juta pengguna terjejas

Aplikasi cari jodoh di Jepun digodam, 1.7 juta pengguna terjejas


Dalam era teknologi yang semakin maju, hampir semua aktiviti manusia dapat dilakukan secara digital, termasuk dalam mencari jodoh. Cukup pasang aplikasi jodoh di telefon bimbit anda dan pilih pasangan berpotensi yang sesuai dengan kriteria anda.


Kehadiran aplikasi temu janji dalam talian nampaknya menjadi penyelamat bagi sesetengah orang yang masih bujang dan mungkin sukar mencari pasangan. Walaupun begitu, ia berisiko menyebabkan data peribadi anda mungkin terjejas seperti kes yang berlaku di Jepun baru-baru ini.


Data peribadi lebih daripada sejuta pengguna sebuah aplikasi janji temu sosial di Jepun mungkin terdedah selepas sistemnya digodam. AFP melaporkan, syarikat pengendali aplikasi berkenaan sudah memberi amaran kepada semua penggunanya.


Net Marketing, yang menguruskan operasi aplikasi Omiai, berkata pihakya telah mengesan akses tanpa kelulusan pada April lalu yang menceroboh maklumat ahli berdaftar dalam sistem pelayan.


"Kami dapati ada kemungkinan besar maklumat ahli telah dibocorkan akibat akses penceroboh itu," ujar syarikat itu dalam satu keyataan.


Imej-imej lesen memandu dan pasport yang dihantar untuk pengesahan umur bagi menggunakan aplikasi itu juga adalah antara data yang telah dikompromi, antara tarikh 20 hingga 26 April. Tambah kenyataan itu, sejumlah 1.71 juta pengguna telah terjejas, termasuk data mereka yang tidak lagi menggunakan perkhidmatan itu.


Walau bagaimanapun, maklumat kad kredit tidak terjejas kerana prosesnya adalah melalui institusi kewangan. Berita itu yang disiarkan pada Jumaat lalu, mengakibatkan saham Net Marketing menjunam 19.34 peratus pada Isnin.


Omiai, yang bermaksud 'pencari jodoh' dalam bahasa Jepun, adalah antara aplikasi janji temu paling popular di Negara Matahari Terbit itu. Menyasarkan golongan yang mahu menjalin hubungan serius, ia mempunyai sejumlah 6.89 juta ahli.

Ahad, 23 Mei 2021

Berat badan 126 kg pun jadi pemain bola dalam kelab profesional

Berat badan 126 kg pun jadi pemain bola dalam kelab profesional


Seorang ahli perniagaan dari China sanggup membeli kelab bola sepak supaya dia dan anaknya dapat bermain mewakili kelab itu. Zibo Cuju berdepan dengan masalah kewangan, dan Shihua yang merupakan billionair muda datang melabur ke dalam kelab mereka.


Oddity Central melaporkan, disebabkan mempunyai sumber kewangan yang banyak, He Shihua, 35, merupakan usahawan dan pelabur yang berjaya, telah membeli Zibo Cuju, yang merupakan kelab di divisyen dua di China.


Shihua dilaporkan mengarahkan jurulatih untuk menurunkan anak lelakinya yang berat badan 126kg, demi merealisasikan minat anaknya terhadap sukan bola sepak walaupun tidak pernah melepasi saringan sebagai seorang pemain profesional.


Anaknya yang mempunyai berat badan berlebihan sememangnya tidak layak bermain bola sepak dan rakan sepasukan tidak boleh mengeluh mengenai skil hantarannya yang lemah sekiranya mereka mahu terus kekal berada dalam pasukan serta dibayar gaji.


Shihua turut mengarahkan jurulatih Hongyi Huang menurunkan anaknya untuk bermain dalam kesebelasan utama, dan meminta jurulatih menjadikan anak dia sebagai pelaksana semua rutin bola mati termasuk penalti, sepakan penjuru dan sepakan percuma. 


Tindakan anak beranak itu menerima kecaman daripada orang ramai kerana mendakwa dia menjatuhkan maruah sukan itu serta jurulatih dan pemain Zibo Cuju. Kelab itu berada dalam kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu mata daripada lima perlawanan.


Laporan daripada media tempatan menyatakan, pemilik kelab seorang yang mesra dengan pemain dan seringkali berlatih sekali bersama dengan pemain. Selalu mengajak pemain keluar makan dan bergurau senda. Cuma masalahnya dia salah guna kuasa memaksa jurulatih menurunkan anaknya.

Rabu, 12 Mei 2021

Lelaki mempunyai 16 isteri, 151 orang anak masih berhasrat mahu miliki 100 isteri sebelum mati

Lelaki mempunyai 16 isteri, 151 orang anak masih berhasrat mahu miliki 100 isteri sebelum mati


Seorang lelaki dari Zimbabwe, mengaku hidupnya bahagia di samping 16 isteri serta 151 orang anak. Walaupun sudah berusia 66 tahun, lelaki ini masih bercita-cita untuk memiliki 100 isteri dan 1,000 anak sebelum dia meninggal dunia.


Menurut lapor akhbar Daily Mail, semalam, Misheck Nyandoro, 66, yang tidak bekerja berkata, tugasnya adalah untuk melayani kesemua isterinya. Nyandoro yang bakal berkahwin dengan isteri ke-17 pada musim sejuk 2021 nanti, mengatakan kerjanya hanya meniduri 4 isterinya mengikut jadual sebagai kaedah menambah ahli keluarga.


"Setiap malam, saya akan tidur di bilik 4 orang isteri mengikut jadual. Begitulah rutin harian saya iaitu untuk melayan kesemua isteri, saya tiada pekerjaan lain," jelasnya.


Nyandoro juga mendakwa biarpun dia tidak bekerja, dia hidup mewah kerana sering diberikan wang dan hadiah oleh anak-anaknya. Lelaki itu mula hidup berpoligami sejak 1983 dan tidak berhasrat untuk berhenti berbuat begitu sehinggalah dia mati kelak.



Dia juga mendakwa kesemua isterinya gembira dengan cara hidup sebegitu. Keluarga besar Nyandoro hidup bergantung pada hasil pertanian dan telah diberikan tanah seluas 93 hektar berdekatan pergunungan Mvurwi untuk diusahakan.


Nyandoro berkata hidupnya bebas tekanan kerana dia tidak bekerja dan kesemua isterinya amat sayangkan dia serta akan memasak pelbagai juadah berbeza kepada Nyandoro.


"Saya juga hanya makan makanan yang enak, sekiranya masakan isteri tidak menepati selera, saya akan menghantar pulang makanan itu supaya dia belajar dan memperbaiki masakannya," jelas lelaki itu.


Enam anaknya ialah anggota tentera, dua polis dan 11 lagi bekerjaya dalam pelbagai profesion manakala 13 anak perempuannya sudah berkahwin. Dua isterinya sedang mengandung dan 23 anak lelakinya sudah berkahwin, salah satunya mengikut jejak ayahnya, dengan empat isteri.


Nyandoro kali terakhir berkahwin pada 2015 sebelum berhenti kerana situasi ekonomi yang memburuk di Zimbabwe. Dia menyatakan akan kembali merancang projek poligaminya pada tahun 2021 ini. Sumber: Daily Mail


Ahad, 28 Mac 2021

Pasangan kuat cemburu, lelaki ini bertindak 'Pacak' paku di seat belakang motornya

Pasangan kuat cemburu, lelaki ini bertindak 'Pacak' paku di seat belakang motornya


Seorang pemuda dikenali Khoirul Anam dari Magelang, Indonesia, yang pernah menjadi tular pada akhir tahun 2020, pada masa itu dia memasang sepanduk untuk mencari jodoh. Walaupun kelihatan ganjil, sepanduk tersebut berjaya menarik perhatian seorang wanita bernama Intan Shinta yang kini menjadi pasangannya.


Baru-baru ini, kedua-dua pasangan ini kembali tular, apabila lelaki tersebut mengubahsuai tempat duduk motosikalnya, kerana Intan Shinta sering menuduhnya ada membawa wanita lain menaiki motosikal berkenaan.


Kata orang, cemburu tanda sayang. Jadi normal lah jika setiap pasangan memiliki sekurangnya sedikit rasa cemburu terhadap pasangannya. Namun perasaan cemburu itu menyusahkan kembali diri wanita itu apabila Khoirul melakukan sesuatu pada motosikalnya.



Bagi meyakinkan wanita itu, Khoirul kemudiannya mengubahsuai tempat duduk motosikal miliknya dengan menambah paku berceracak pada bahagian belakang, hanya meninggalkan sedikit kawasan untuknya duduk seorang.


"Kamu selalu nuduh aku boncengin cewek lain.. kalau motorku sudah tak modif begini kamu masih mau nuduh aku Ig.. aku cowok setia deg.." tulis Khoirul Anam di status Facebooknya yang disertai dengan gambar motosikalnya yang sedang dipasang paku.


Dalam salah satu gambar tersebut, sebiji buah jambu besar dapat dilihat tertanam diatas paku yang terpacak ditempat duduk belakang. Gambar itu seolah-olah mengatakan betapa tajamnya kerusi paku itu.


Ubahsuai itu akhirnya menyusahkan Intan apabila wanita itu tidak dapat membonceng di belakang, sebaliknya terpaksa duduk di tempat letak kaki di hadapan. Kiriman Khoirul Anam di Facebook mendapat lebih 18 ribu perkongsian oleh warga maya yang terhibur melihat pasangan berkenaan.




Ahad, 21 Mac 2021

Bekas kekasih Nur Sajat selamat bernikah dengan wanita pilihan hati

Bekas kekasih Nur Sajat selamat bernikah dengan wanita pilihan hati


Seorang jurulatih kesihatan yang sebelum ini pernah didakwa menjadi kekasih usahawan kosmetik Nur Sajat, iaitu Coach Yin, 28, selamat mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya dalam sebuah majlis berlangsung di Kota Bahru, semalam.


Gambar majlis pernikahan Coach Yin atau nama sebenarnya Mohd Tishrin Mohd Adanan telah dikongsi isterinya yang dikenali sebagai Yeen Azmin di laman Instagramnya hari ini.


Menerusi perkongsian itu, majlis pernikahan pasangan tersebut telah berlangsung di sebuah kawasan di Kota Bharu, Kelantan yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.



Gambar di Instagram juga menunjukkan pasangan tersebut lengkap mengenakan busana sedondon berwarna putih. Difahamkan kisah pasangan ini mula tular sejak tahun lalu akhirnya selamat bergelar suami isteri.


Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen gembira dengan berita pernikahan pasangan tersebut dan mereka turut mengucapkan tahniah kepada Coach Yin dan isterinya. Pada masa sama, netizen turut mendoakan agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia.


Selain itu, mereka juga bersyukur kerana Coach Yin akhirnya kembali ke ‘pangkal jalan’ dan memilih wanita ‘tulen’ untuk dijadikan pasangan hidup.


Sebelum ini, Coach Yin ada berkongsi foto Azreen apabila menghadiahkan wanita itu seutas jam tangan. Malah lelaki itu juga memberi bayangan akan mengahwini Azreen.


Lelaki itu juga sebelum ini menjadi perhatian ramai kerana pernah dikatakan menjadi kekasih kepada Nur Sajat, namun hubungan mereka berakhir sekitar Januari tahun lalu.


Elizabeth Tan dah kahwin, ramai peminat 'lelaki' patah hati

Elizabeth Tan dah kahwin, ramai peminat 'lelaki' patah hati


Selepas foto perkahwinan penyanyi Elizabeth Tan tersebar di media sosial, bapa Elizabeth, David Tan Suan Chew pula memuat naik sekeping foto memperlihatkan anaknya itu berdiri di hadapan paderi yang sedang membacakan ikrar perkahwinan.


Mengiringi hantaran tersebut, David menulis keterangan memaklumkan Elizabeth yang mesra disapa Lizzy itu merupakan anak perempuan terakhirnya.


"Anak perempuan terakhir saya, Elizabeth," tulisnya.


Biarpun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai majlis perkahwinan yang berlangsung, namun wajah Elizabeth yang bahagia sambil memegang tangan lelaki dikenali Siew Jim menguatkan spekulasi pasangan itu kini sudah bergelar suami isteri.



Ruang komen akaun Instagram Elizabeth Tan dihujani ucapan tahniah daripada peminat selepas foto itu tersebar. Seorang pengguna Instagram, dipercayai rakannya, turut berkongsi imej di sekitar majlis tersebut.


Berdasarkan tinjauan pada Instagram miliknya, Elizabeth memuat naik status menyatakan dia sudah berkahwin: "Okey, Lizzy nak kongsi dari hati, sebelum kamu dengar berita ni dari media. Lizzy dah kahwin, swipe up kalau nak tengok video kahwin Lizzy."


Tidak pasti sama ada ia adalah gurauan ataupun tidak apabila Elizabeth meminta pengikut Instagramnya untuk swipe up sekiranya mereka ingin mengetahui kebenaran.


Namun, dua pautan yang diberikan itu, satu, mengarah ke video muzik lagu Beku, nyanyiannya bersama penyanyi Hazama dan satu lagi untuk Never Gonna Give You Up, dendangan Rick Astley.


Berita perkahwinannya hangat diperkatakan hari ini membuatkan netizen ingin tahu kebenaran, Elizabeth Tan akhirnya mengesahkan berita tentang majlis perkahwinannya yang tersebar hari ini adalah benar.


Rabu, 17 Mac 2021

Wanita 'kebaya merah' pamer kecekapan tunggang RXZ, dapat saman JPJ

Wanita 'kebaya merah' pamer kecekapan tunggang RXZ, dapat saman JPJ

Tangkap layar video.


Gara-gara
memuat naik video memaparkan aksi menunggang motosikal Yamaha RXZ tanpa memakai topi keledar di media sosial, seorang wanita dikompaun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.


Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, wanita terbabit yang juga dipercayai Instafamous dikompaun sebanyak RM370 atas kesalahan tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran motosikal tidak mengikut spesifikasi pada Ahad lalu.


"Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan.


"Berdasarkan video tersebut, kami telah memanggil wanita dari Dungun itu baru-baru ini dan dia mengakui kesalahannya.


"Tindakan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya walaupun video atau bukti bergambar itu dimuat naik menerusi akaun media sosial peribadi," katanya di sini hari ini.


Sebelum ini, tular video yang memaparkan Instafamous wanita yang memakai kebaya merah menunjukkan kehebatan menunggang motosikal Yamaha RXZ di jalan raya tanpa memakai topi keledar


Video berdurasi 14 saat untuk kandungan akaun media sosial wanita berkenaan dipercayai dirakam di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun di Kuala Terengganu, pada baru-baru ini.


Foto tular.

Sabtu, 13 Mac 2021

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan


Sudah dua minggu berlalu, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih belum di kesan selepas diburu oleh pihak berkuasa ekoran gagal hadir perbicaraan di mahkamah syariah.


Terbaru, memetik laporan Harian Metro, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), bagi menjejaki usahawan kosmetik berusia 36 tahun tersebut yang dipercayai sedang bersembunyi.


Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, berikutan kuasa yang terhad, Mais dan Jais memerlukan bantuan polis untuk melaksanakan perintah mahkamah termasuk waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad yang dikeluarkan pada Februari lalu.


"Sudah ada perbincangan antara Jais dan polis. Justeru, Mais menyerahkan perkara ini kepada kedua pihak berkenaan untuk pelaksanaan perintah Mahkamah. Buat masa ini, Jais masih mengesan Muhammad Sajjad dan oleh kerana bidang kuasa yang terhad, bantuan polis diperlukan.


"Bantuan polis bukan sahaja diperlukan dalam kes Muhammad Sajjad bahkan banyak kes syariah sebelum ini, kita laksanakan dengan bantuan polis terutamanya apabila membabitkan perintah Mahkamah," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terbaharu kes berkaitan usahawan itu.



Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.


Usahawan kosmetik itu dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.


Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rabu, 3 Mac 2021

Sering diejek, lelaki nekad ubah wajah dan penampilan jadi kacak

Sering diejek, lelaki nekad ubah wajah dan penampilan jadi kacak


Ada yang menghadapi masalah kerana dilahirkan dengan wajah yang kurang cantik daripada rakan mereka yang lain, sehingga raut wajah dan maruah diri selalu diejek dan dijadikan bahan jenaka, membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuklah membuat pembedahan pada wajah.


Seorang lelaki di Vietnam mendakwa terpaksa menjalani pembedahan plastik pada wajahnya selepas dia dijadikan bahan jenaka ketika meminta kerja, disebabkan paras wajah beliau yang kurang menarik.


Do Quyen yang berusia 26 tahun membuat pengakuan itu menerusi TikTok kini menjadi popular dengan penampilan terbaharunya. Bagi mendapatkan wajah yang diidamkan, dia perlu menjalani sembilan prosedur pembedahan, lapor portal Odditycentral.com.


Penampilan terbaharunya itu ternyata mengejutkan kenalan dan ahli keluarga kerana perubahan wajah yang ketara. Pembedahan itu dibuat khususnya pada muka, mata dan hidung. Lelaki itu membuat keputusan menukar wajahnya selepas dia ditertawakan penemu duga kerana wajah yang tidak kacak.



Dia kini bekerja sebagai jurusolek di Saigon memberitahu pengikut TikTok bahawa dia membelanjakan sebanyak AS$17,400 (kira-kira RM70,500), untuk mentransformasikan wajahnya supaya menjadi kacak.


Quyen sebelum ini sudah lama berdepan dengan sikap sinikal masyarakat yang sering menjadikan wajahnya sebagai bahan lawak. Namun, kini segala-galanya berubah apabila dia memiliki wajah yang jauh berbeza dengan penampilan sebelumnya.


"Saya sukar mendapatkan pekerjaan dan sering diejek setiap kali memohon kerja. Kos pembedahan ini ditanggung sepenuhnya daripada wang simpanan kerana saya bukan daripada keluarga berkemampuan," katanya.


Dalam pada itu, perubahan wajah lelaki ini menjadi bahan berita media tempatan di negaranya. Ia selepas ramai yang seakan-akan tidak percaya terhadap perubahan mendadak penampilannya pada masa kini.


Ahad, 28 Februari 2021

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur


Bintang filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, disahkan meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong, hari ini.


Kenalan rapatnya, Tenky Tin Kai Man, memaklumkan kepada media Hong Kong, mendiang meninggal dunia pada jam 5.16 petang di Hospital Union, Hong Kong di samping isteri, anak-anak dan saudara mara.


"Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.


"Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi. Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini," kata Kai Man.



Pada 2014, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap masalah jantung. Pada penghujung tahun lalu, Man Tat disahkan menghidap kanser hati dan menjalani rawatan di Macau.


Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun pada 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow, antaranya The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. Pemergiannya cukup dirasakan Chow.


Menurut Chow, meskipun sudah bersedia dari sudut mental, namun kehilangan rakan seperjuangan adalah sesuatu yang amat memedihkan.


"Walaupun sentiasa memberi perhatian kepada tahap kesihatannya, malah saya sudah membuat persediaan dari sudut mental, tetapi berita ini amat menyedihkan.


"Man Tat adalah rakan lama. Kami sudah bergandingan, sejak sekian lama. Saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya," kata Chow.


Pada 1991, mendiang dianugerahkan Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem Hong Kong menerusi karakternya dalam A Moment of Romance yang turut dibintangi pelakon Andy Lau.

Khamis, 25 Februari 2021

Viral Kolam Memancing Sediakan Wanita Seksi Menemani Pemancing

Viral Kolam Memancing Sediakan Wanita Seksi Menemani Pemancing


Memancing adalah hobi sebilangan orang untuk mengisi masa lapang. Selain melatih kekuatan otot, memancing juga dipercayai dapat meningkatkan kesabaran. Banyak lokasi dan tempat memancing akan dipenuhi oleh kaki pancing terutamanya pada hari cuti.

Seperti diketahui, bila ingin memancing, anda pasti akan datang ke tasik terdekat. Kadang-kadang diperlukan pembantu untuk membantu mengangkat ikan atau mengatur umpan. Baru-baru ini menjadi tular di media sosial, selain penyambut tetamu wanita memakai pakaian yang menjolok mata, ketika pengunjung pergi memancing ikan, ada juga wanita seksi yang bersedia menemani pemancing.

Beberapa gambar itu tular apabila dikongsi oleh akaun Facebook (FB) Fishing Hobby pada Ogos 2020 tahun lalu, namun ia kembali tular apalah akaun FB, Surijan Jan Jan, pada 24 Feb 2021 turut berkongsi beberapa gambar memaparkan wanita-wanita seksi itu berada disekitar kolam ikan.

Ketibaan wanita yang dianggap oleh netizen 'bahagian' itu disambut dengan wajah lelaki yang berseri-seri di lokasi. Malah, beberapa pemancing dilihat mengambil gambar dengan wanita itu. Namun, ada juga netizen yang merasakan bahawa muat naik tersebut menyukarkan suami mendapatkan izin memancing dari isteri mereka.

Penampilan wanita-wanita itu kelihatan sangat mencolok dan menarik perhatian. Sebuah gambar menunjukkan wanita cantik memeluk seorang lelaki yang sedang duduk di tepi kolam memancing, mereka berdua tersenyum melihat kamera, dan beberapa gambar lain menunjukkan seorang pemancing dihimpit kiri kanan dua wanita cantik.

Belum diketahui dengan pasti kebenaran maklumat mengenai memancing menggunakan pembantu wanita ini. Walaupun begitu, isteri atau ibu tidak perlu terlalu risau bila suami meminta izin keluar memancing, dari kenyataan beberapa netizen, lokasi kejadian disyaki di Thailand.

T-shirt dalam bahasa Thai dari salah seorang lelaki mungkin boleh dijadikan bukti bahawa kolam memacing ini berada di Thailand. Dibawah ini gambar-gambar tular yang dikongsi oleh, Surijan Jan Jan, di akaun FBnya, hanya 1 hari komen netizen mencecah 20K.







Isnin, 22 Februari 2021

Terkejut jumpa gelang emas RM11,000 dalam timbunan makanan

Terkejut jumpa gelang emas RM11,000 dalam timbunan makanan


Nurul Atira, 30, menarik perhatian warganet selepas berkongsi videonya memberi kejutan kepada rakan baiknya, Nurul Natrah Hidayu Ramle, 30, dengan menghadiahkan gelang tangan emas bernilai RM11,000.


"Saya pernah mengalami masalah kewangan empat tahun lalu dan ketika itu, dia yang membantu. Kini, tiba saya pula untuk balas jasa baiknya," kata ibu tiga anak Nurul Atira Mohd Saari.


Menerusi video dimuat naik di TikTok dan Instagram (IG) itu, kelihatan Nurul Natrah terkejut kerana tidak menyangka bungkusan plastik ditemui dalam timbunan makanan rupanya berisi gelang tangan emas.


Berkongsi kisah di sebalik video itu, Nurul Atira yang menetap di Batu Burok, Kuala Terengganu berkata, gelang berkenaan dihadiahkan semalam sebagai tanda ingatan buat Nurul Natrah yang baru mendirikan rumah tangga pada minggu lalu.


Nurul Atira berkata, gelang itu dibeli kelmarin iaitu sehari sebelum Nurul Natrah datang ke rumahnya untuk makan malam bersama.


"Tiada siapa tahu mengenai perancangan saya untuk membuat kejutan itu kecuali suami (Zuraidin Shahrulrizal Zainuddin, 38) dan seorang lagi rakan baik (Nurul Kamilah Abdul Ghani, 30).


"Saya pilih untuk hadiahkan gelang tangan kerana ia adalah simbolik persahabatan kami kerana ketika saya susah pada 2017, dia (Nurul Natrah) sanggup gadaikan barangan kemas untuk saya jadikan modal mulakan perniagaan.


"Pengorbanannya itu tidak mungkin saya lupakan. Saya berikan gelang itu sebagai tanda penghargaan buatnya kerana menjadi rakan yang ada bersama ketika susah dan senang," katanya ketika dihubungi.



Bercerita lanjut mengenai persahabatan mereka, Nurul Atira yang juga usahawan minuman kesihatan itu berkata, dia mula mengenali dan berkawan baik dengan Nurul Natrah ketika berusia 13 tahun.


Katanya, sepanjang 17 tahun berkawan, dia dan Nurul Natrah tidak pernah bergaduh melainkan merajuk tetapi tidak lama. Katanya lagi, dia juga rapat dengan ahli keluarganya dan dianggap seperti adik beradik sendiri.


"Diharap, hubungan persahabatan kami akan kekal dan terima kasih kepada semua yang mendoakan selepas menonton video itu. Dia juga pernah berikan saya hadiah," katanya.


Sementara itu, Nurul Natrah berkata, dia gembira dan terharu tetapi tidak sangka menerima hadiah yang mahal daripada rakan baiknya itu.


"Memang saya pernah menolongnya dulu tetapi saya tidak harapkan balasan kerana ikhlas membantu. Lagipun, kami sudah seperti adik beradik. Tiada apa yang saya harapkan melainkan hubungan kami kekal sehingga ke jannah," katanya.

Jumaat, 19 Februari 2021

Pendakwah selebriti sedia untuk dibicarakan, atas dua tuduhan seksual

Pendakwah selebriti sedia untuk dibicarakan, atas dua tuduhan seksual


Petaling Jaya: Kes pendakwah selebriti, yang didakwa atas dua tuduhan seksual membabitkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mac ini.


"Sudah tentu, saya sedia untuk dibicarakan," kata pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful selepas prosiding pendengaran kes di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.


Syed Shah Iqmal, 26, yang hadir di mahkamah pada jam 9 pagi tadi bersyukur kerana berada dalam keadaan sihat. Dia juga mengakui semakin gemuk dan berisi selepas keluar daripada tahanan reman Disember tahun lalu.


"Insya-ALLAH, kepada yang berdoa dan menyokong saya dari awal sampai ke hari ini," katanya.


Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili pendakwah selebriti itu berkata, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Jamaludin Mat menetapkan 19 Mac ini bagi sebutan semula kes.


Katanya, tarikh sama ditetapkan bagi prosiding di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol. Prosiding hari ini sepatutnya dijadualkan untuk serahan dokumen namun difahamkan fail kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.


"Ia berada di pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam. Oleh itu serahan dokumen tidak dapat dibuat," katanya.


Syed Shah Iqmal melambai kepada petugas media di
Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas prosiding
kes jenayah yang dikenakan terhadapnya hari ini.


Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan di dua mahkamah di sini.


Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.


Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabtu, 13 Februari 2021

Tiba-tiba ramai gadis akui suka makan Tembikai, bila abang 'sado' jual buah tepi jalan

Tiba-tiba ramai gadis akui suka makan Tembikai, bila abang 'sado' jual buah tepi jalan


Perkara pertama yang kita dapat rasai sebaik menjejak kaki ke negara Vietnam dan memasuki ke bandaraya Ho Chih Minh (Saigon), akan teruja dengan jutaan motosikal yang memenuhi segenap jalan di bandaraya berkenaan.


Deretan gerai tepi jalan juga bukanlah satu pemandangan yang asing di serata negara ini. Siapa yang pernah menjejakkan kaki ke sana, pasti mengakui akan perkara tersebut.


Bagaimanapun pada minggu lepas, sebuah gerai buah yang terletak di Saigon telah menjadi tarikan utama penduduk setempat, malah ia turut menjadi ‘buah mulut’ warganet di laman sosial.


Abang sado jual tembikai



Rupa-rupanya bukan keanehan gerai atau keistimewaan buah-buahan yang dijual menjadi bualan hangat orang ramai, tetapi penjual buah di gerai tersebut yang telah menarik perhatian orang ramai apabila dia dilihat memiliki badan sasa.


Dengan hanya memakai sehelai kain bercorak tradisional Vietnam dan memiliki susuk tubuh 'sado' selain berbekalkan senyuman manis yang sering diukir pada wajahnya, ramai yang 'cair' dan jatuh hati melihat pemuda berkenaan. Sejurus itu, dia terus menjadi tular di laman sosial.


Beberapa koleksi gambarnya mula tersebar di internet dan perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet. Macam biasa, warganet pun tanpa lengah menjalankan tugas mereka iaitu membongkar gerangan pemuda berkenaan. Akhirnya, tidak lama kemudian mereka berjaya menemui jawapan sebenar dan pemuda itu bukan orang biasa-biasa.


Identiti sebenar terbongkar



Pemuda 'sado' itu dikenali dengan nama Lee Won, yang juga merupakan seorang jurulatih kecergasan berbangsa Korea dan bekerja di sebuah pusat kecergasan di Saigon. Apabila ditemubual oleh media Vietnam, Lee membuka cerita mendedahkan sebuah kisah menarik disebalik penampilan unik dan tindakannya itu.


Kain yang digayakannya itu merupakan satu simbolik dalam kalangan warga Vietnam dan mempunyai kisah tersendiri. Ia berkait rapat dengan lagenda Mai An Tiem, iaitu seorang lelaki yang dipercayai merupakan individu pertama yang memperkenalkan buah tembikai di Vietnam.


Menurut lagenda tersebut, Mai An Tiem adalah seorang jejaka yang kuat dan berbakat. Dia juga percaya bahawa segala hasil titik peluhnya adalah miliknya manakala barang-barang yang diberikan oleh orang lain termasuklah yang dihadiahkan oleh raja, bersifat sementara dan tidak kekal.


Bagaimanapun, apabila mendapat tahu tentang pendirian Mai An Tiem, raja mula murka dan menyalah anggap lelaki itu sebagai seorang yang 'angkuh'. Dia kemudiannya dibuang ke sebuah pulau terbiar dan terpaksa menetap di sana.


Nak dijadikan cerita, di pulau itulah Mai An Tiem berjumpa biji benih 'aneh' dan mula membiak tanaman berkenaan sebagai sumber makanan. Hasil daripada benih itu merupakan buah tembikai yang dimakan oleh rakyat Vietnam sehingga kini.


Mengagumi tradisi Vietnam



Lee Won menyatakan bahawa dia menghormati tradisi Vietnam dan dengan memperingati lagenda Mai An Tiem, dia ingin menyampaikan mesej tentang manusia seharusnya bersikap jujur dengan diri sendiri dan pada masa yang sama bekerja keras untuk memperbaiki diri kita serta memberi impak positif kepada orang sekeliling.


Rata-rata warganet teruja dengan penampilan Lee yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa, malah ruangan komen di posting gambarnya turut dibanjiri dengan komen-komen nakal. Ada yang tiba-tiba suka tembikai, malah ada juga yang sanggup borong kesemua buah tersebut sekali dengan penjualnya.


Sumber: The Smart Local, Foto: Lee Won

Ahad, 31 Januari 2021

Akui rindu pada keluarga, Shuk mengharap doa rumah tangganya kekal bahagia

Akui rindu pada keluarga, Shuk mengharap doa rumah tangganya kekal bahagia


Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan penyampai radio, Shuk Sahar meminta pengikutnya di media sosial untuk sama membantu mendoakan rumah tangganya kekal bahagia. Shuk menerusi perkongsian di Instagram semalam, memuat naik video bertemu lagi dengan dua anak perempuannya, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, berusia setahun untuk melepas rindu.


Katanya, dia sangat merindui keluarga dan anak-anaknya. Malah, Shuk turut bercadang membawa anak-anaknya berjalan-jalan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.


"Hari ini dapat jumpa anak-anak sekali lagi. Nanti, lepas PKP kita pergi jalan-jalan tau. Sekarang ini, tak dapat nak jalan-jalan sebab PKP.


"Sebenarnya rindu sangat pada keluarga dan anak-anak saya ini. Bila dapat jumpa macam ini pun dah okay sebenarnya, harap kalian dapat doakan kebahagiaan kami dan semoga semuanya kekal hingga ke syurga," katanya.


Rata-rata warganet yang meninggalkan komen bersimpati dengan Shuk serta memintanya bersabar dan banyakkan berdoa semoga segala urusan dihadapi dipermudahkan oleh Allah SWT.


Terdahulu, tiga hari lalu Shuk juga berkongsi video di Instagram bertemu anak-anaknya dan mengaku kesilapan diri. Katanya, apa yang berlaku dalam hidup dan keluarganya ketika ini adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.


Sementara itu, tinjauan di Instagram isteri Shuk, Rossalennah Natassiah Asshaferah mendapati wanita itu sibuk membuat 'review' produk kepada pengikutnya.


Menerusi satu video dimuat naik, Rossalennah atau mesra disapa Sera turut memohon maaf kepada pengikutnya berikutan sejak kebelakangan ini dia banyak membuat 'review' produk di Instagram.


"Saya nak mohon maaf, sejak akhir-akhir ini banyak sangat saya buat 'review'. Seperti yang kalian tahu, saya kena teruskan lagi kehidupan. Saya tetap kena cari makan, cari rezeki untuk saya, untuk anak-anak dan apa semua," katanya.


Shuk bersama isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan anak mereka, Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi.

Rossalennah juga mengajak wanita-wanita yang berhadapan ujian sepertinya terus bangkit, tabah dan kuat walaupun hati rebah menyembah bumi. Baru-baru ini, pergolakan semula rumah tangga Shuk dan Rossalennah tular di media sosial berikutan pendedahan berani dibuat wanita itu yang mendakwa suaminya curang.


Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik di Instagram, Rossalennah mendedahkan Shuk masih lagi mempunyai hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.


Shuk dan Rossalennah atau Sera mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2015 di Kampung Ulu Sapi, Beluran Sandakan, Sabah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Rabu, 20 Januari 2021

JAIS sahkan Sajat sudah didakwa di mahkamah kerana berpakaian wanita

JAIS sahkan Sajat sudah didakwa di mahkamah kerana berpakaian wanita


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat sudah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, pada awal bulan ini.


Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.


Katanya, usahawan kosmetik didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah. Selanjutnya, pihak mahkamah menangguhkan kes pada jam 9 pagi, 23 Februari hadapan untuk perbicaraan.


"Tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM 3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam kumpulan A," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Mohd Shahzihan berkata, pendakwaan terbabit dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohd Zain. Muhammad Sajjad didakwa atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.


Sebelum ini tular di lama sosial, rakaman video yang memaparkan Nur Sajat menangis dalam keadaan bergari.


Nur Sajat ketika di Tanah Suci tampil berpakaian wanita dan bertelekung ketika mengerjakan ibadah umrah awal tahun 2020 lalu, tindakannya itu menimbulkan kemarahan ramai pihak serta tidak puas hati kerana perkara dilakukannya itu seakan mempersendakan agama.