Isnin, 24 Mei 2021

Aplikasi cari jodoh di Jepun digodam, 1.7 juta pengguna terjejas


Dalam era teknologi yang semakin maju, hampir semua aktiviti manusia dapat dilakukan secara digital, termasuk dalam mencari jodoh. Cukup pasang aplikasi jodoh di telefon bimbit anda dan pilih pasangan berpotensi yang sesuai dengan kriteria anda.


Kehadiran aplikasi temu janji dalam talian nampaknya menjadi penyelamat bagi sesetengah orang yang masih bujang dan mungkin sukar mencari pasangan. Walaupun begitu, ia berisiko menyebabkan data peribadi anda mungkin terjejas seperti kes yang berlaku di Jepun baru-baru ini.


Data peribadi lebih daripada sejuta pengguna sebuah aplikasi janji temu sosial di Jepun mungkin terdedah selepas sistemnya digodam. AFP melaporkan, syarikat pengendali aplikasi berkenaan sudah memberi amaran kepada semua penggunanya.


Net Marketing, yang menguruskan operasi aplikasi Omiai, berkata pihakya telah mengesan akses tanpa kelulusan pada April lalu yang menceroboh maklumat ahli berdaftar dalam sistem pelayan.


"Kami dapati ada kemungkinan besar maklumat ahli telah dibocorkan akibat akses penceroboh itu," ujar syarikat itu dalam satu keyataan.


Imej-imej lesen memandu dan pasport yang dihantar untuk pengesahan umur bagi menggunakan aplikasi itu juga adalah antara data yang telah dikompromi, antara tarikh 20 hingga 26 April. Tambah kenyataan itu, sejumlah 1.71 juta pengguna telah terjejas, termasuk data mereka yang tidak lagi menggunakan perkhidmatan itu.


Walau bagaimanapun, maklumat kad kredit tidak terjejas kerana prosesnya adalah melalui institusi kewangan. Berita itu yang disiarkan pada Jumaat lalu, mengakibatkan saham Net Marketing menjunam 19.34 peratus pada Isnin.


Omiai, yang bermaksud 'pencari jodoh' dalam bahasa Jepun, adalah antara aplikasi janji temu paling popular di Negara Matahari Terbit itu. Menyasarkan golongan yang mahu menjalin hubungan serius, ia mempunyai sejumlah 6.89 juta ahli.


EmoticonEmoticon