Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Januari 2022

Saintis terkejut zarah berasal dari tayar dan plastik ada di kutub

Saintis terkejut zarah berasal dari tayar dan plastik ada di kutub


Pencemaran nanoplastik telah dikesan di kawasan kutub buat kali pertama, dan situasi itu menunjukkan bahawa zarah-zarah kecil itu kini telah berada di seluruh dunia, lapor akhbar The Guardian pada 21 Januari 2022.


Analisis teras daripada kawasan ais di Greenland menunjukkan, pencemaran nanoplastik telah mencemarkan kawasan terpencil itu selama lebih 50 tahun.


Para penyelidik juga terkejut apabila mendapati, satu perempat daripada zarah itu berasal daripada tayar kenderaan. Zarah yang sangat ringan itu dikatakan bertiup ke Greenland melalui angin dari bandar-bandar di Amerika Utara dan Asia.


Nanoplastik yang ditemui pada ais di MaMurdo Sound di Antartika berkemungkinan telah dibawa oleh arus laut ke benua terpencil itu.


Plastik adalah sebahagian daripada pencemaran kimia yang melanda planet ini dan melepasi had selamat untuk manusia. Pencemaran plastik turut ditemui dari puncak Everest hingga ke lautan.


Orang ramai dikhuatiri secara tidak sengaja telah menyedut mikroplastik dan kajian mendapati, zarah tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada sel manusia.


Ketua penyelidik dari Universiti Utrech di Belanda, Dusan Materic berkata, pihaknya mengesan zarah nanoplastik di sudut paling jauh di Bumi iaitu di kedua-dua kawasan kutub selatan dan utara.


"Nanoplastik sangat aktif secara toksik berbanding mikroplastik. Kejutan bagi kami bukanlah hanya baru dapat mengesan nanoplastik di sini, tetapi kami mengesannya sehingga ke bawah teras ais," jelasnya.


Kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Penyelidikan Alam Sekitar, mendapati terdapat 13 nanoplastik bagi setiap mililiter ais cair di Greenland, empat kali lebih banyak di dalam ais Antartika.


Di Greenland, separuh daripada nanoplastik adalah polietilena (PE), digunakan dalam beg plastik sekali pakai dan pembungkusan. Satu perempat adalah zarah tayar dan satu perlima adalah polietilena tereftalat (PET), yang digunakan dalam botol minuman dan pakaian.


Zarah nanoplastik dikesan sehingga ke bawah teras ais di kawasan kutub (gambar hiasan). - Foto The Guardian.

Ahad, 23 Januari 2022

Elon Musk memberi amaran Matahari semakin berkembang, manusia akan pupus melainkan berpindah ke planet lain

Elon Musk memberi amaran Matahari semakin berkembang, manusia akan pupus melainkan berpindah ke planet lain


Elon Musk membuat kenyataan penuh kontroversi apabila mendakwa 'semua spesies di muka bumi akan pupus 100 peratus' melainkan manusia berhijrah ke planet lain, lapor Daily Star pada 16 Januari 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu sentiasa menanam cita-cita tinggi untuk menjadikan kehidupan manusia 'berbilang planet' dengan membuktikan perkara itu menerusi projek angkasa lepasnya, SpaceX.


"Wujud peluang 100 peratus semua spesies akan mengalami kepupusan akibat matahari semakin berkembang, melainkan manusia menjalani kehidupan di planet lain," ciapnya dalam Twitter.


Musk telah menjawab tweet mengenai kajian baru-baru ini yang mendakwa terdapat bukti peristiwa kepupusan besar-besaran keenam biodiversiti global, akan berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia sepenuhnya.


Musk yang diiktiraf sebagai individu paling kaya di dunia memberitahu rancangan membina kapal angkasa Starship, menerusi projek SpaceX bertujuan meneroka kehidupan baharu di planet Marikh. Starship adalah sebuah roket berteknologi tinggi dan lebih berkuasa daripada kapal angkasa sedia ada.


Kapal angkasa itu adalah paling kompleks dan canggih pernah dihasilkan, dan bertujuan membawa muatan yang lebih berat dengan kos lebih murah daripada roket konvensional sedia ada.


Apabila ditanya oleh hos podcast Lex Fridman tentang berapa lama SpaceX akan mengambil masa untuk mendaratkan manusia di Marikh, Musk akhirnya memberikan anggaran garis masa tertentu.


"Paling cepat adalah lima tahun, paling lambat boleh jadi 10 tahun," katanya semasa diwawancara oleh Lex Fridman. - Sumber Daily Star.


Musk sentiasa mempunyai cita-cita untuk menjadikan kehidupan manusia 'berbilang planet' dan menjadikan ini sebagai cita-cita utama SpaceX. - Foto Future Publishing via Getty Images.

Ahad, 16 Januari 2022

Letusan gunung berapi dasar laut kedengaran lebih 800 kilometer jauhnya cetuskan tsunami

Letusan gunung berapi dasar laut kedengaran lebih 800 kilometer jauhnya cetuskan tsunami


Letusan gunung berapi dasar laut di Pasifik Selatan pada Sabtu mencetuskan gelombang tsunami ke negara Tonga berdekatan utara Jepun, selain amaran gelombang laut berbahaya dikeluarkan sejauh pantai barat Amerika Syarikat (AS).


Menurut pegawai di Suva City, letusan terbaru gunung berapi itu terlalu kuat sehingga kedengaran seperti guruh di Fiji, lebih 800 kilometer jauhnya. Ia mula memuntahkan abu, debu dan asap sejak pagi Jumaat lalu.


Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.


Gelombang tsunami berukuran 1.2 meter berlaku di ibu negara Tonga, Nuku'alofa yang terletak 65 kilometer dari gunung berapi tersebut, menurut Biro Meteorologi Australia.



Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter mungkin melanda beberapa pulau di barat daya Jepun. Di Fiji, penduduk juga diminta supaya menutup tangki pengumpulan air sekiranya berlaku hujan berasid.


"Gelombang ombak setinggi 1.2 meter sudah sampai ke pulau terpencil di selatan Amami Oshima dan kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun dengan ombak yang lebih kecil," kata agensi itu.


Penduduk di Tonga, Mere Taufa berkata, ketika kejadian dia bersiap-siap untuk makan malam di rumahnya sebelum gunung berapi di dasar laut itu meletus sehingga menyebabkan air melimpah ke rumahnya.


"Ia sangat besar, tanah bergegar, rumah kami bergegar. Ia datang dalam gelombang. Adik saya menyangka bom meletup di kawasan berhampiran," kata Taufa kepada laman web berita Stuff.


Dia berkata, air memenuhi rumah mereka beberapa minit kemudian dan dia melihat dinding rumah jiran runtuh.


"Kami tahu ia adalah tsunami apabila air mencurah masuk ke dalam rumah kami. Kamu mendengar jeritan di mana-mana, orang menjerit supaya semua pergi ke tempat yang lebih tinggi," katanya.


Letusan gunung berapi itu berlangsung sekurang-kurangnya lapan minit dan menyebabkan kepulan gas, abu dan asap bertebaran beberapa kilometer ke udara.


Susulan itu, amaran tsunami dikeluarkan untuk Samoa Amerika, New Zealand, Fiji, Vanuatu, Chile dan Australia yang mana pihak berkuasa berkata, sebahagian kawasan pantai, termasuk di Sydney, mungkin dilanda tsunami.


Amaran tsunami juga sudah dikeluarkan untuk seluruh pantai barat AS - dari California hingga ke kepulauan Aleutian Alaska, manakala gelombang tsunami mencetuskan banjir kecil di Hawaii, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.


"Tsunami sedang berlaku. Ingat, gelombang pertama mungkin tidak begitu besar. Beralih dari pantai dan menuju ke tanah tinggi," kata Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS.


Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan gelombang ombak kira-kira 0.3 meter melimpah masuk ke pantai di Oregon.


Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, Taaniela Kula pula menggesa orang ramai tinggal di dalam rumah, memakai topeng jika mereka berada di luar dan menutup takungan air hujan dan sistem penuaian air hujan.


Kapal karam dipercayai akibat tsunami di Muroto, Kochi, Jepun. - Foto Reuters/Kyodo.

Foto tular menunjukkan tsunami di pantai Tonga. - Foto Twitter.

Rabu, 12 Januari 2022

Ais mencair semakin pantas, 32 saintis dihantar siasat pencairan 'Glasier Kiamat' di benua Antartika

Ais mencair semakin pantas, 32 saintis dihantar siasat pencairan 'Glasier Kiamat' di benua Antartika


Sekumpulan saintis 'belayar ke tempat paling sukar dikunjungi di dunia' supaya mereka dapat mengetahui dengan lebih baik, berapa banyak dan berapa cepat paras laut akan naik disebabkan pemanasan global.


Memetik lapor akhbar New York Post pada 6 Januari 2022, seramai 32 saintis itu dihantar untuk memulakan misi di atas sebuah kapal penyelidikan Amerika Syarikat (AS) selama lebih dua bulan, untuk menyiasat kawasan utama pencairan glasier Thwaites di Benua Antartika.


Pencairan pantas dilihat berlaku pada kawasan Glasier Thwaites yang menghadap Laut Amundsen dengan potensi kehilangan sejumlah besar bongkah ais, salah satu penyebabnya adalah air laut yang semakin panas.


Erin Pettit saintis dari Universiti Oregon berkata, ia mencair dari bawah kerana air laut panas, bahagian darat glasier 'kehilangan cengkaman' ke tempat ia melekat pada dasar laut menyebabkan bongkah besar boleh terkeluar ke lautan dan kemudian cair.


Glasier bersaiz menyamai negeri Florida itu digelar 'Glasier Kiamat' kerana memiliki bilangan bongkah ais yang banyak serta memberi ancaman kepada peningkatan paras laut dunia melebihi 65 sentimeter jika semuanya cair.


AS dan Britain bersama-sama menjalankan misi yang memakan belanja sekitar AS$50 juta (RM210.13 juta) untuk mengkajinya melalui jalan darat dan laut. Thwaites dilaporkan berada di bahagian barat Antartika dan menganjur ke laut.


"Thwaites adalah sebab utama kita tidak mempunyai kepastian berkenaan unjuran kenaikan paras laut pada masa depan kerana ia berada di kawasan sangat terpencil dan sukar untuk dicapai," jelas kenyataan Anna Wahlin yang merupakan ahli oseanografi dari Universiti Gothenburg di Sweden.


Temu bual itu diadakan dari Kapal Penyelidikan Nathaniel B. Palmer pada 5 Januari 2022 lalu sebelum kapal itu dijadual meninggalkan pelabuhan di Chile beberapa jam kemudian.


Thwaites menggugurkan kira-kira 50 bilion tan ais ke dalam laut dalam masa setahun. Tinjauan Antartika British mengatakan glasier menyumbang empat peratus kenaikan paras laut global, dan kini ia mencair semakin pantas.


Glasier Thwaites dilaporkan menyumbang empat peratus kepada kenaikan paras laut dunia. - Foto Rob Larter.

Selasa, 4 Januari 2022

Dunia sedang menuju kepupusan jutaan spesies haiwan, ia terbesar sejak penghujung zaman dinosaur, dakwa WWF

Dunia sedang menuju kepupusan jutaan spesies haiwan, ia terbesar sejak penghujung zaman dinosaur, dakwa WWF


Pada masa ini sebanyak 142,500 haiwan diletakkan dalam Senarai Merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021.


Daripada jumlah itu, 40,000 daripadanya termasuk gajah, beruang, ikan jerung, katak dan ikan diancaman kepupusan. Ini adalah jumlah terbesar sejak senarai itu ditubuhkan pada tahun 1964.


Berdasarkan laporan Winners and Losers 2021, sekitar sejuta spesies akan pupus dalam dekad seterusnya yang bakal menjadi ancaman kepupusan terbesar sejak zaman dinosaur berakhir.


Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) memberi amaran tentang peningkatan bencana kepupusan spesies global yang memerlukan pakatan pemuliharaan global baharu.


Gajah hutan Afrika adalah antara haiwan yang paling berisiko pupus selepas bilangannya menurun sebanyak 86 peratus dalam tempoh 31 tahun, manakala spesies jerung dan ikan pari berkurang sebanyak 30 peratus.



Beruang kutub juga diancam masalah sama kerana pencairan pesat ais Lautan Artik. Menurut WWF, mereka menganggarkan ais di Artik akan mencair sepenuhnya menjelang musim panas pada tahun 2035.


Katak pokok dan kodok di Jerman turut dilanda masalah kepupusan besar-besaran, apabila separuh daripada spesies amfibia asli negara itu terancam akibat sektor pembinaan.


WWF menjelaskan ancaman kepupusan itu berpunca akibat penangkapan ikan berlebihan, kehilangan habitat dan krisis iklim global.


Di sebalik amaran keras, WWF berkata terdapat 'sinar harapan' selepas beberapa kisah kejayaan tahun ini. Bilangan badak sumbu India telah berkembang di Nepal berkat usaha pemuliharaan yang berdedikasi.


"Dengan kerjasama kerajaan, langkah perlindungan telah diperkenalkan yang menyaksikan jumlahnya meningkat sebanyak 16 peratus sejak 2015," menurut WWF.


Beruang kutub di Teluk Essen di kepulauan Franz Josef Land, Rusia.- Foto AFP.

Rabu, 22 Disember 2021

Pakar terkejut bongkah ais 'gergasi' seluas 3,250km pecah dan mencair lebih pantas

Pakar terkejut bongkah ais 'gergasi' seluas 3,250km pecah dan mencair lebih pantas


Sekumpulan pakar glasier terkejut setelah mendapati bongkah ais Larsen B seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter di kawasan glasier Thwaites di Benua Antartika mengambil masa hanya sebulan untuk cair sepenuhnya, lapor laman berita The Guardian pada 18 Disember 2021.


Pakar-pakar tersebut memberi amaran berkenaan pencairan glasier Thwaites yang dilihat berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan, dikhuatiri menenggelamkan bandar-bandar di pesisir pantai apabila paras air laut meningkat.


"Ia mengejutkan kerana bongkah ais gergasi itu cair begitu sahaja. Ia roboh seperti tembok dan pecah seperti ratusan ribu batu bata," kata salah seorang daripada mereka.


Minggu ini, beberapa saintis mengadakan pertemuan di New Orleans dan memberi amaran bahawa sesuatu yang lebih membimbangkan sedang berlaku di lembangan ais Antartika Barat.


Penyelidikan selama bertahun-tahun oleh pasukan penyelidik Britain dan Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa retakan dan rekahan besar telah berlaku diatas dan dibawah glasier Thwaites, salah satu glasier terbesar di dunia.


Sebahagian daripada keretakan itu dikhuatiri runtuh dalam tempoh lima tahun akan datang atau kurang. Saiz Thwaites yang amat luas menjadikan Larsen B yang seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter kelihatan seperti bongkah kecil.


Glasier bersaiz kira-kira 100 kali ganda lebih besar dari negara Britain itu mengandungi isipadu air yang cukup untuk menyebabkan paras air laut dunia meningkat lebih setengah meter.


Ia menyumbang kira-kira 4 peratus kenaikan paras laut tahunan di seluruh dunia dan telah dipanggil glasier paling penting dunia, termasuk 'glasier kiamat.' Kajian satelit menunjukkan glasier itu mencair jauh lebih cepat daripada yang berlaku pada tahun 1990-an.


Glasier atau sungai air batu ialah bongkahan endapan air batu padat yang bergerak perlahan dan bersaiz besar. Asalnya terbentuk dari salji yang turun di kawasan pergunungan menimbun padat dalam suatu tempoh yang lama, lalu menurun ke kaki gunung hasil tarikan graviti melalui lurah sungai.


Gambar menunjukkan pemandangan satelit di Antartika dengan glasier Thwaites bertanda merah. - Foto UniversalImagesGroup/UIG/Getty.

Khamis, 16 Disember 2021

Ais mencair di Artik akan bebaskan virus dan bakteria purba berisiko membawa maut

Ais mencair di Artik akan bebaskan virus dan bakteria purba berisiko membawa maut


Pakar memberi amaran mengenai satu pandemik baharu yang berisiko membawa maut yang boleh tercetus akibat fenomena perubahan iklim di Lautan Artik, ais yang mencair akan menyebabkan virus dan bakteria purba yang beku selama sejuta tahun 'dibebaskan'.


Menurut akhbar Daily Star pada 14 Disember 2021 melaporkan, penyelidik kanan di Akademi Sains Rusia, Stesen Penyelidikan dan Eksperimen Timur Utara di kampung Chersky, Sergei Davydov memberi amaran bahawa permafros kini mencair dengan cepat.


"Kami telah menjalankan penyelidikan selama lebih 30 tahun iaitu sejak tahun 1990. Jumlah metana di atmosfera telah meningkat dengan ketara seperti yang kita ketahui daripada data penganalisis gas," katanya.


Davydov turut memberi amaran bahawa permafros tidak pernah cair sejak berjuta-juta tahun lalu dan virus purba yang tidak terdedah kepada udara sejak sebelum manusia moden berevolusi akan dikeluarkan.


Sementara itu, Diplomat Kanan Rusia, Nikolay Korchunov memberitahu saluran televisyen TV Zvezda bahawa kerajaan negara itu telah mencadangkan satu projek mengenai bio keselamatan kepada Majlis Artik sebagai langkah berjaga-jaga daripada bahaya yang timbul daripada permafros yang mencair.


"Terdapat risiko tentang kemunculan virus dan bakteria purba. Oleh itu, Rusia telah memulakan projek bio keselamatan dalam Majlis Artik," katanya.


Tambah beliau, projek baharu itu akan menilai pelbagai 'risiko dan bahaya' yang berpotensi membawa kepada pembebasan penyakit berjangkit pada masa hadapan.


Pandemik baharu boleh tercetus akibat ais yang mencair di Artik. - Foto Getty Images.