Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Rabu, 15 Disember 2021

Bencana paling dahsyat berlaku di AS, 30 Tornado 'sapu bersih' enam negeri

Bencana paling dahsyat berlaku di AS, 30 Tornado 'sapu bersih' enam negeri


MAYFIELD - Puluhan tornado meranapkan harta benda di enam negeri di Amerika Syarikat (AS) dalam satu malam, menyebabkan puluhan orang terbunuh dan ramai lagi hilang, lapor CNN pada 11 Disember 2021.


Laporan pihak berkuasa merekodkan sebanyak 30 tornado 'muncul' di keenam-enam negeri berkenaan. Lebih 70 penduduk dipercayai maut di Kentucky dengan kebanyakannya merupakan pekerja di sebuah kilang lilin.


Sekurang-kurangnya 13 orang maut di beberapa negeri lain, termasuk di gudang Amazon di Illinois. Jumlah korban keseluruhan sehingga kini sebanyak 83 orang.


Sehubungan itu, Presiden AS, Joe Biden berjanji untuk memberi bantuan sewajar kepada semua pihak terjejas akibat tornado tersebut. Bencana alam yang berlaku juga menyebabkan setengah juta kediaman di beberapa negeri terputus bekalan elektrik.



"Ini merupakan tragedi besar dan sehingga kini kita tidak tahu berapa ramai yang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat tornado tersebut," kata Biden menyifatkan bencana itu sebagai yang 'terbesar dalam sejarah negara ini'.


Ketika keadaan cuaca semakin sejuk, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas, dengan harapan dapat menemukan lebih ramai mangsa yang terselamat.


Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, tornado yang melanda negeri itu disifatkan 'paling dahsyat yang pernah berlaku' dan tidak menolak kemungkinan jumlah korban mungkin lebih tinggi daripada yang dijangka.


Katanya, dianggarkan terdapat kira-kira 110 pekerja di kilang lilin tersebut ketika ribut berlaku, selain menyaksikan bumbung premis itu tercabut. Setakat ini, seramai 40 pekerja kilang itu sudah diselamatkan dan peluang untuk menemukan mangsa terselamat adalah tipis.


Sehubungan itu, Beshear mengisytiharkan darurat di negeri itu. Selain itu, pekan Mayfield di barat Kentucky dilaporkan 'ranap sepenuhnya' apabila kawasan itu paling teruk terjejas dilanda tornado.


Pihak berkuasa menggambarkan keadaan di pekan dengan kira-kira 100,000 penghuni itu seperti 'malapetaka' dengan banyak rumah menyembah bumi, batang pokok tercabut dan diterbangkan serta kenderaan terbalik.


Antara kediaman yang musnah di badai tornado di Bowling Green, Kentucky. - Foto AP.

Keadaan bumbung pusat pengedaran Amazon yang runtuh sehari selepas beberapa siri tornado melanda beberapa negeri di AS, pada 11 Disember 2021. - Foto Reuters.

Ahad, 5 Disember 2021

200 burung di Sepanyol tiba-tiba 'terjatuh' dari langit dan mati

200 burung di Sepanyol tiba-tiba 'terjatuh' dari langit dan mati


Sebanyak 200 ekor burung dilaporkan 'terjatuh' dari langit di Ferrol, barat laut Sepanyol dalam fenomena yang memeranjatkan banyak pihak di negara itu, dalam kejadian yang berlaku 26 November lalu.


Menurut laporan laman berita Spanish News Today pada 29 November 2021, burung-burung tersebut mula terjatuh sekitar pukul 9.00 pagi. Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


Media tempatan melaporkan burung yang mati itu melanggar kereta dan orang awam di luar pekarangan Hospital Juan Cardona. Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.



Presiden persatuan penduduk tempatan, Mapi Rodriguez berkata, burung-burung itu dilihat keluar dari pokok di kawasan kecemasan hospital dan terbang beberapa meter sebelum terjunam ke jalan.


"Haiwan itu sudah dikutip dan dikumpulkan. Kami masih menunggu jawapan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.


Daripada ratusan burung yang jatuh itu, dua daripadanya diambil oleh agensi alam sekitar untuk dianalisis. Majlis Perbandaran Ferrol turut menyertai siasatan itu.


Peristiwa serupa turut berlaku awal tahun ini di kawasan berhampiran di Tarragona apabila ratusan burung jatuh dari langit akibat bahan kimia toksik yang dikeluarkan oleh loji petrokimia di kawasan itu.


Burung-burung tersebut terjatuh dari atas pokok berhampiran kawasan kecemasan di hospital, beberapa meter dari laluan pejalan kaki.

Jumaat, 3 Disember 2021

Asteroid Lebih Besar Daripada Menara Eiffel Dijangka Merempuh Orbit Bumi

Asteroid Lebih Besar Daripada Menara Eiffel Dijangka Merempuh Orbit Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang memantau pergerakan sebuah asteroid yang memiliki saiz lebih besar daripada Menara Eiffel, ia sedang menuju dan dijangka merempuh orbit Bumi pada minggu depan.


Menerusi laporan akhbar Daily Star 30 November 2021, asteroid digelar 4660 Nereus itu mempunyai saiz sepanjang 330 meter dan bergerak pada kelajuan melebihi 6.4 kilometer (km) persaat.


Bagaimanapun, asteroid itu dikatakan tidak memberikan ancaman kepada Bumi kerana ia akan melintasi orbit pada 11 Disember ini pada jarak 3.8 juta km, iaitu sekitar 10 kali ganda melebihi jarak antara Bumi dengan Bulan.


Namun, NASA menganggap asteroid itu 'berpotensi menyebabkan bahaya' kerana ia memenuhi parameternya yang berukuran sekurang-kurangnya 150 meter dan dalam jarak 7.4 juta km dari orbit Bumi.


Asteroid itu kali pertama ditemui oleh seorang ahli astronomi, Eleanor F. Helin pada 28 Februari 1982 iaitu kira-kira sebulan selepas ia melewati Bumi pada jarak 4.1 juta km.


Nereus ialah asteroid yang menarik untuk misi robotik dari NASA dan JAXA (agensi angkasa Jepun), memandangkan ia agak dekat dan kerap melalui Bumi, ia adalah calon utama JAXA untuk menghantar kapal angkasa Hayabusa mereka ke Nereus sebelum beralih di asteroid lain bernama 25143 Itokawa.


Walaupun asteroid mungkin tidak menimbulkan ancaman dalam masa terdekat ini, ia tetap kelihatan berbahaya pada Bumi, sebab itu NASA telah membangunkan misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART).


Baca Juga: NASA Uji Kapal Angkasa 'Langgar Dan Letupkan Asteroid' Demi Keselamatan Bumi.


Asteroid dikenali 4660 Nereus itu bersaiz lebih besar daripada Menara Eiffel dijangka merempuh orbit Bumi. - Foto Getty Images.

Ahad, 28 November 2021

NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid, Misi Persediaan Menghadapi Ancaman Sebenar

NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid, Misi Persediaan Menghadapi Ancaman Sebenar


NASA sedang menyediakan misi untuk menghentam asteroid menggunakan kapal angkasa. Misi itu adalah satu ujian sekiranya manusia perlu menghentikan ancaman batu angkasa gergasi daripada menghapuskan kehidupan di Bumi.


Memetik laporan New York Post pada 24 November 2021, ujian Haluan Semula Asteroid Berganda (DART) itu dilancarkan di atas roket Falcon 9 milik SpaceX dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Ia mungkin kedengaran seperti bahan fiksyen sains, tetapi DART ialah eksperimen bukti konsep sebenar, yang telah berlepas dari tapak pelancaran pada 10:21 malam Waktu Pasifik pada 23 November lalu.


Sasarannya adalah untuk mengubah sedikit trajektori asteroid anak bulan Dimorphoss sekitar 525 kaki (160 meter atau sepanjang dua Patung Liberty). Ia mengelilingi asteroid yang lebih besar dipanggil Didymos (diameter 762 meter) dan kedua-duanya mengorbit matahari secara bersama.


Impak hentaman akan berlaku pada musim luruh 2022 apabila sistem asteroid binari berada pada jarak 11 juta kilometer dari Bumi, titik terdekat yang pernah direkodkan.



"Apa yang kami cuba pelajari ialah bagaimana untuk menangkis ancaman," kata saintis terkemuka NASA, Thomas Zuburchen mengenai projek AS$330 juta (RM1.4 bilion) itu.


Bagaimanapun, setakat ini Bumi tidak menerima ancaman daripada asteroid berkenaan tetapi ia tergolong dalam kelas Objek Dekat Bumi (NEO) atau asteroid dan komet yang menghampiri dalam jarak 48 juta kilometer.


Pejabat Pelarasan Pertahanan Planet NASA bagaimanapun berminat dengan objek yang lebih besar daripada 140 meter yang berpotensi untuk meratakan seluruh bandar, atau wilayah dengan kekuatan berkali ganda daripada purata bom nuklear.


Dilaporkan, terdapat 10,000 asteroid berdekatan bumi yang berukuran 140 meter yang dikenal pasti, namun tidak diketahui yang mana akan menghentam Bumi dalam masa 100 tahun akan datang. Saintis juga berpendapat masih ada 15,000 lagi objek sedemikian yang menunggu untuk dikenal pasti.


Sebuah kapal angkasa yang dilancarkan untuk menghentam asteroid dan menguji sama ada ia mampu memecahkan batu daripada laluan sekira ia mengancam bumi. - Foto AF.
Kebarangkalian Komet Bennu Langgar Dan Musnahkan Bumi Meningkat

Kebarangkalian Komet Bennu Langgar Dan Musnahkan Bumi Meningkat


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang memantau sebuah komet yang diramal mampu memberi ancaman lebih dahsyat kepada Bumi berbanding objek-objek angkasa lepas yang lain, lapor akhbar Daily Star 24 November 2021.


Menurut saintis, kebarangkalian bagi komet digelar Bennu itu untuk menghentam Bumi telah meningkat daripada 2,700 kepada sekali ganda menjadi 1,750 kepada satu kali bagi tempoh 200 tahun akan datang.


Ia merupakan salah satu daripada dua komet paling berbahaya yang dikesan dalam sistem solar serta dipantau rapat oleh kapal angkasa NASA, Osiris-Rex, yang kini dalam perjalanan pulang ke Bumi setelah mengumpul habuk angkasa.


Sementara itu, selain Bennu, terdapat berjuta-juta asteroid yang turut berpotensi menghentam Bumi, namun, kebanyakannya bersaiz kecil dan tidak dapat menembusi atmosfera planet ini.


Menurut majalah Science Focus, kebarangkalian untuk menemui asteroid bersaiz besar sehingga mampu menjadi penyebab kepada kepupusan dinosaur adalah satu dalam 100 juta tahun.


Asteroid selebar kira-kira 100 meter pula dijangka sampai ke Bumi setiap 1000 tahun, awal tahun ini seorang saintis British menemui bukti menunjukkan bahawa batu angkasa selebar 1000 meter telah terhempas ke Antartika 430,000 tahun dahulu.


Dalam pada itu, pakar berkata, beribu-ribu meteorit diramal menghentam Bumi setiap tahun, namun kebanyakannya terhempas di lautan atau kawasan darat yang tidak berpenghuni.


Selain asteroid, komet juga mampu memberi ancaman kepada Bumi. - Foto NASA.

Khamis, 18 November 2021

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid Bersaiz 190 Meter Hentam Orbit Bumi Hujung Minggu Ini


Sebelum ini, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) telah memberi amaran bahawa asteroid besar akan menghentam Bumi pada bila-bila masa. Agensi itu juga menyeru supaya kajian global tentang ancaman asteroid terhadap planet Bumi dilakukan.


Pentadbir NASA Jim Bridenstine percaya, asteroid prospek akan memusnahkan kehidupan manusia dengan menghentam Bumi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, atau dilihat sebagai adegan sains fiksyen seperti dalam filem Hollywood.


Memetik laporan akhbar Daily Star pada 16 November 2021 lalu, agensi itu baru-baru ini mendedahkan bahawa sebuah asteroid bersaiz lebih besar daripada London Eye diramal menghentam orbit Bumi pada hujung minggu ini.


Asteroid dinamakan sebagai 2016 JG12 itu pertama kali dikesan pada 3 Mei 2016. Ia kini berada pada jarak hanya 5.98 juta kilometer dari Bumi dan berdiameter kira-kira 190 meter. Bila diukur dengan jarak cahaya, asteroid itu hanya 19 saat dari Bumi.


Meskipun asteroid tersebut akan mengambil masa sedikit lama untuk tiba di orbit Bumi, ahli-ahli astronomi akan memantau rapat pergerakannya kerana jaraknya dianggap tidak begitu jauh.


Sekiranya pergerakannya kekal berada pada trajektori yang sama dan sekadar melintasi Bumi berbanding menghentam planet ini, asteroid tersebut boleh dilihat sekitar pukul 12.23 tengah malam (waktu tempatan), Sabtu ini.


Menurut the-sky.org, asteroid itu akan bergerak pada kelajuan 7 kilometer sesaat pada jarak 5.52 juta kilometer di Bumi. Bagaimanapun, saintis belum dapat mengenal pasti lokasi ia boleh dilihat.


Jika asteroid itu menghentam Bumi, mungkin kesannya sebesar ini. - Foto Getty Images.

Rabu, 17 November 2021

Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang

Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang


KAHERAH - Tiga orang terbunuh dan ratusan lagi cedera di bandar selatan Aswan, Mesir, apabila kala jengking yang memenuhi jalan dan rumah akibat dibawa ribut kencang menyengat mereka, lapor BBC News, kelmarin.


Menurut seorang pegawai kementerian kesihatan, kira-kira 450 individu cedera akibat disengat kala jengking dalam kejadian itu. Serangan itu terjadi susulan hujan batu dan ribut petir di kawasan berhampiran Sungai Nil agak teruk pada 12 November 2021 lalu.


Ia menyebabkan kala jengking dihanyutkan ke jalanan oleh hujan lebat. Susulan itu, pegawai kesihatan agensi berita Al-Ahram memaklumkan dos tambahan antivenom dibekalkan di pusat perubatan dekat kampung berhampiran pergunungan dan padang pasir.


Sementara itu, doktor tidak lagi dibenarkan memberi vaksin untuk merawat sengatan kala jengking, tambah pegawai itu. Orang ramai digesa tinggal di rumah dan mengelakkan tempat yang mempunyai banyak pokok.


Mesir adalah habitat kepada kala jengking ekor gemuk iaitu antara spesies paling berbahaya di dunia. Racun daripada ekornya boleh membunuh manusia dalam masa kurang daripada satu jam.


Gejala yang berkaitan dengan kesan racun itu adalah kesukaran bernafas, otot berkedut dan pergerakan kepala yang luar biasa.


Antivenom digunakan sebagai langkah pencegahan sebelum gejala timbul, tetapi hanya berfungsi apabila gejala mula bertambah buruk.