Ahad, 5 Disember 2021

200 burung di Sepanyol tiba-tiba 'terjatuh' dari langit dan mati


Sebanyak 200 ekor burung dilaporkan 'terjatuh' dari langit di Ferrol, barat laut Sepanyol dalam fenomena yang memeranjatkan banyak pihak di negara itu, dalam kejadian yang berlaku 26 November lalu.


Menurut laporan laman berita Spanish News Today pada 29 November 2021, burung-burung tersebut mula terjatuh sekitar pukul 9.00 pagi. Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


Media tempatan melaporkan burung yang mati itu melanggar kereta dan orang awam di luar pekarangan Hospital Juan Cardona. Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.



Presiden persatuan penduduk tempatan, Mapi Rodriguez berkata, burung-burung itu dilihat keluar dari pokok di kawasan kecemasan hospital dan terbang beberapa meter sebelum terjunam ke jalan.


"Haiwan itu sudah dikutip dan dikumpulkan. Kami masih menunggu jawapan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.


Daripada ratusan burung yang jatuh itu, dua daripadanya diambil oleh agensi alam sekitar untuk dianalisis. Majlis Perbandaran Ferrol turut menyertai siasatan itu.


Peristiwa serupa turut berlaku awal tahun ini di kawasan berhampiran di Tarragona apabila ratusan burung jatuh dari langit akibat bahan kimia toksik yang dikeluarkan oleh loji petrokimia di kawasan itu.


Burung-burung tersebut terjatuh dari atas pokok berhampiran kawasan kecemasan di hospital, beberapa meter dari laluan pejalan kaki.


EmoticonEmoticon