Rabu, 22 Disember 2021

Pakar terkejut bongkah ais 'gergasi' seluas 3,250km pecah dan mencair lebih pantas


Sekumpulan pakar glasier terkejut setelah mendapati bongkah ais Larsen B seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter di kawasan glasier Thwaites di Benua Antartika mengambil masa hanya sebulan untuk cair sepenuhnya, lapor laman berita The Guardian pada 18 Disember 2021.


Pakar-pakar tersebut memberi amaran berkenaan pencairan glasier Thwaites yang dilihat berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan, dikhuatiri menenggelamkan bandar-bandar di pesisir pantai apabila paras air laut meningkat.


"Ia mengejutkan kerana bongkah ais gergasi itu cair begitu sahaja. Ia roboh seperti tembok dan pecah seperti ratusan ribu batu bata," kata salah seorang daripada mereka.


Minggu ini, beberapa saintis mengadakan pertemuan di New Orleans dan memberi amaran bahawa sesuatu yang lebih membimbangkan sedang berlaku di lembangan ais Antartika Barat.


Penyelidikan selama bertahun-tahun oleh pasukan penyelidik Britain dan Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa retakan dan rekahan besar telah berlaku diatas dan dibawah glasier Thwaites, salah satu glasier terbesar di dunia.


Sebahagian daripada keretakan itu dikhuatiri runtuh dalam tempoh lima tahun akan datang atau kurang. Saiz Thwaites yang amat luas menjadikan Larsen B yang seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter kelihatan seperti bongkah kecil.


Glasier bersaiz kira-kira 100 kali ganda lebih besar dari negara Britain itu mengandungi isipadu air yang cukup untuk menyebabkan paras air laut dunia meningkat lebih setengah meter.


Ia menyumbang kira-kira 4 peratus kenaikan paras laut tahunan di seluruh dunia dan telah dipanggil glasier paling penting dunia, termasuk 'glasier kiamat.' Kajian satelit menunjukkan glasier itu mencair jauh lebih cepat daripada yang berlaku pada tahun 1990-an.


Glasier atau sungai air batu ialah bongkahan endapan air batu padat yang bergerak perlahan dan bersaiz besar. Asalnya terbentuk dari salji yang turun di kawasan pergunungan menimbun padat dalam suatu tempoh yang lama, lalu menurun ke kaki gunung hasil tarikan graviti melalui lurah sungai.


Gambar menunjukkan pemandangan satelit di Antartika dengan glasier Thwaites bertanda merah. - Foto UniversalImagesGroup/UIG/Getty.


EmoticonEmoticon