Selasa, 4 Januari 2022

Dunia sedang menuju kepupusan jutaan spesies haiwan, ia terbesar sejak penghujung zaman dinosaur, dakwa WWF


Pada masa ini sebanyak 142,500 haiwan diletakkan dalam Senarai Merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), lapor Daily Mail pada 31 Disember 2021.


Daripada jumlah itu, 40,000 daripadanya termasuk gajah, beruang, ikan jerung, katak dan ikan diancaman kepupusan. Ini adalah jumlah terbesar sejak senarai itu ditubuhkan pada tahun 1964.


Berdasarkan laporan Winners and Losers 2021, sekitar sejuta spesies akan pupus dalam dekad seterusnya yang bakal menjadi ancaman kepupusan terbesar sejak zaman dinosaur berakhir.


Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) memberi amaran tentang peningkatan bencana kepupusan spesies global yang memerlukan pakatan pemuliharaan global baharu.


Gajah hutan Afrika adalah antara haiwan yang paling berisiko pupus selepas bilangannya menurun sebanyak 86 peratus dalam tempoh 31 tahun, manakala spesies jerung dan ikan pari berkurang sebanyak 30 peratus.



Beruang kutub juga diancam masalah sama kerana pencairan pesat ais Lautan Artik. Menurut WWF, mereka menganggarkan ais di Artik akan mencair sepenuhnya menjelang musim panas pada tahun 2035.


Katak pokok dan kodok di Jerman turut dilanda masalah kepupusan besar-besaran, apabila separuh daripada spesies amfibia asli negara itu terancam akibat sektor pembinaan.


WWF menjelaskan ancaman kepupusan itu berpunca akibat penangkapan ikan berlebihan, kehilangan habitat dan krisis iklim global.


Di sebalik amaran keras, WWF berkata terdapat 'sinar harapan' selepas beberapa kisah kejayaan tahun ini. Bilangan badak sumbu India telah berkembang di Nepal berkat usaha pemuliharaan yang berdedikasi.


"Dengan kerjasama kerajaan, langkah perlindungan telah diperkenalkan yang menyaksikan jumlahnya meningkat sebanyak 16 peratus sejak 2015," menurut WWF.


Beruang kutub di Teluk Essen di kepulauan Franz Josef Land, Rusia.- Foto AFP.


EmoticonEmoticon