Rabu, 12 Januari 2022

Ais mencair semakin pantas, 32 saintis dihantar siasat pencairan 'Glasier Kiamat' di benua Antartika


Sekumpulan saintis 'belayar ke tempat paling sukar dikunjungi di dunia' supaya mereka dapat mengetahui dengan lebih baik, berapa banyak dan berapa cepat paras laut akan naik disebabkan pemanasan global.


Memetik lapor akhbar New York Post pada 6 Januari 2022, seramai 32 saintis itu dihantar untuk memulakan misi di atas sebuah kapal penyelidikan Amerika Syarikat (AS) selama lebih dua bulan, untuk menyiasat kawasan utama pencairan glasier Thwaites di Benua Antartika.


Pencairan pantas dilihat berlaku pada kawasan Glasier Thwaites yang menghadap Laut Amundsen dengan potensi kehilangan sejumlah besar bongkah ais, salah satu penyebabnya adalah air laut yang semakin panas.


Erin Pettit saintis dari Universiti Oregon berkata, ia mencair dari bawah kerana air laut panas, bahagian darat glasier 'kehilangan cengkaman' ke tempat ia melekat pada dasar laut menyebabkan bongkah besar boleh terkeluar ke lautan dan kemudian cair.


Glasier bersaiz menyamai negeri Florida itu digelar 'Glasier Kiamat' kerana memiliki bilangan bongkah ais yang banyak serta memberi ancaman kepada peningkatan paras laut dunia melebihi 65 sentimeter jika semuanya cair.


AS dan Britain bersama-sama menjalankan misi yang memakan belanja sekitar AS$50 juta (RM210.13 juta) untuk mengkajinya melalui jalan darat dan laut. Thwaites dilaporkan berada di bahagian barat Antartika dan menganjur ke laut.


"Thwaites adalah sebab utama kita tidak mempunyai kepastian berkenaan unjuran kenaikan paras laut pada masa depan kerana ia berada di kawasan sangat terpencil dan sukar untuk dicapai," jelas kenyataan Anna Wahlin yang merupakan ahli oseanografi dari Universiti Gothenburg di Sweden.


Temu bual itu diadakan dari Kapal Penyelidikan Nathaniel B. Palmer pada 5 Januari 2022 lalu sebelum kapal itu dijadual meninggalkan pelabuhan di Chile beberapa jam kemudian.


Thwaites menggugurkan kira-kira 50 bilion tan ais ke dalam laut dalam masa setahun. Tinjauan Antartika British mengatakan glasier menyumbang empat peratus kenaikan paras laut global, dan kini ia mencair semakin pantas.


Glasier Thwaites dilaporkan menyumbang empat peratus kepada kenaikan paras laut dunia. - Foto Rob Larter.


EmoticonEmoticon