Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Isnin, 13 November 2023

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit


Seorang angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengesan sebuah lubang gunung berapi yang kelihatan seperti wajah hantu di Gurun Sahara, Afrika apabila dilihat dari angkasa, lapor laman berita Fox News, Sabtu lepas.


Lubang gunung berapi itu sedalam kira-kira 1,000 meter (3,300 kaki) dan kelihatan seperti tengkorak yang mengerikan berdasarkan gambar dikongsikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ia dirakam selepas seorang angkasawan di ISS melihat formasi ganjil itu di Pergunungan Tibesti, Republik Chad.


Gambar itu pada asalnya dirakamkan pada bulan Februari lalu tetapi kemudian dikongsi semula oleh pihak NASA.


"Lubang gunung berapi sedalam 1,000 meter dan Tasik Trou au Natron di utara Chad kelihatan seperti wajah hantu yang merenung kembali ke arah anda," kata Balai Cerap Bumi NASA dalam catatannya pada minggu lalu.



Gambar itu menunjukkan apa yang kelihatan seperti pembentukan tengkorak besar dengan dua soket mata dan hidung dikelilingi oleh bahan putih.


NASA berkata, soket mata dan hidung itu sebenarnya adalah bukit kon curam yang dibina di sekeliling lubang gunung berapi, manakala bahan putih ialah kerak mineral yang terhasil daripada garam dikenali sebagai natron.


Pergunungan Tibesti dianggap sebagai salah satu kawasan paling terpencil di dunia, yang telah menyukarkan para saintis melakukan penyelidikan di Tasik Trou au Natron pada 2015 lalu.


NASA mengatakan bahawa penyelidikan menunjukkan kawasan itu dipenuhi dengan tasik glasier kira-kira 14,000 tahun yang lalu, dan sampel alga akuatik fosil yang dikumpulkan dianggarkan bermula sejak 120,000 tahun. - Sumber Fox News.

 

Wajah mirip tengkorak di Republik Chad yang dirakam dari ISS, Februari lalu. - Foto NASA

Rabu, 8 November 2023

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012


Perayau Curiosity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) berada di Marikh selama 4,000 hari sejak ia mendarat di Kawah Gale pada 5 Ogos 2012, lapor Xinhua, semalam.


Sejak itu, perayau berkenaan terus berfungsi mengumpul data saintifik mengenai Planet Merah itu.


Baru-baru ini, ia menggerudi sampel ke-39nya kemudian menjatuhkan batu yang dihancurkan ke dalam 'perutnya' untuk dianalisis secara terperinci.


Untuk mengkaji sama ada Mars purba mempunyai persekitaran yang menyokong kehidupan mikrob, perayau itu secara beransur-ansur mendaki Gunung Sharp yang setinggi lima kilometer.


Gunung itu yang terbentuk dalam tempoh yang berbeza dalam sejarah planet itu juga boleh menunjukkan rekod tentang iklim planet itu yang berubah dari semasa ke semasa, menurut NASA.


Dilancarkan pada 26 November 2011 dan mendarat di Marikh pada Ogos 2012, Curiosity adalah perayau terbesar dan paling canggih pernah dihantar ke Marikh. - Sumber Xinhua.


Gunung Sharp. - Foto NASA.

Sabtu, 7 Oktober 2023

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk membina penginapan di permukaan Bulan menjelang tahun 2040, lapor portal berita Daily Mail pada 3 Oktober 2023.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu memberi peruntukan AS$60 juta (RM283.65 juta) kepada sebuah syarikat teknologi pembinaan, ICON untuk membina kediaman di Bulan yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam.


NASA merancang untuk melancarkan mesin pencetak gergasi tiga dimensi (3D) ke Bulan dan menggunakan konkrit Bulan yang diperbuat daripada batu, serpihan mineral dan habuk sebagai struktur penginapan itu.


Dalam pada itu, NASA turut bekerjasama dengan beberapa universiti dan syarikat swasta untuk membina pintu, jubin dan perabot yang sesuai digunakan di Bulan. 


Selain membina penginapan di Bulan, NASA juga merancang untuk membina sebuah bangunan di Marikh yang boleh didiami manusia. 


Pelan itu masih di peringkat awal dengan gambaran bangunan tersebut hanya dikeluarkan pada 2022, namun semuanya boleh berubah dalam dekad akan datang.


Syarikat ICON berpangkalan di Austin, menandatangani kontrak bersama NASA pada 2022 untuk menggunakan kepakaran percetakan 3D miliknya bagi membina penginapan mewah itu menggunakan sistem pencetakan dinamakan The Vulcan.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Semua komponen rumah seperti dinding dan bumbung akan dicetak secara berasingan dan dipasang selepas dicetak di Bulan.


ICON merancang untuk menguji mesin pencetaknya di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall pada Februari tahun depan untuk melihat cara ia beroperasi dalam persekitaran hampagas dan sinaran angkasa.


Sejak 2018, ICON telah membina lebih 100 rumah di utara Austin dengan percetakan 3D.  Rumah yang dibina dengan cara ini telah menjadi semakin popular kerana ia cepat didirikan, dengan pemaju mengatakan mereka boleh menyelesaikan krisis perumahan Amerika. - Sumber Daily Mail.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Filamen secara berkesan adalah dakwat yang keluar dari pencetak seperti reben tebal yang disusun di atas satu sama lain. - Foto Icon.

Ideanya adalah untuk menghantar pencetak 3D ke bulan, yang akan membina penginapan mewah menggunakan konkrit bulan. - Foto Icon.

Pelan itu berada di peringkat awal, gambaran bangunan ini telah dikeluarkan pada 2022 lalu, idea itu boleh berubah dalam dekad yang akan datang. - Foto Icon.

Bernilai AS$1 juta, rumah bercetak 3D ini terletak di tengah-tengah gurun Texas Barat. - Foto Icon.

Isnin, 18 September 2023

Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi

Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi


Saintis-saintis mendedahkan tarikh tepat sebuah asteroid yang diramalkan terhempas ke Bumi dan mempunyai kekuatan menyamai letupan 22 bom atom, lapor akhbar Daily Star pada 17 September 2023.


Batu angkasa dinamakan Bennu itu melintasi Bumi setiap enam tahun, namun saintis-saintis meramalkan Bumi berada di garisan selari untuk berlanggar dengan asteroid itu pada 24 September 2182.


Walaupun tarikh tersebut masih jauh, NASA sudah bekerja keras untuk mengalihkan Bennu daripada laluannya dan ia kini berada di peringkat akhir misi tersebut.


Sampel dari Bennu dijangka tiba di Bumi minggu ini, dan mendarat di kawasan gurun di Utah pada 24 September ini.


Ia dilancarkan ke arah Bumi daripada kapal angkasa OSIRIS-REx dalam sebuah kapsul bersaiz peti sejuk. Kapsul itu membawa kira-kira 250 gram bahan sampel batuan yang diambil dari permukaan Bennu pada 2020.


Asteroid itu adalah kira-kira satu pertiga batu lebar, manakala asteroid yang menyebabkan dinosaur pupus adalah kira-kira enam batu lebar, kira-kira 20 kali lebar Bennu.


Ini bermakna asteroid Bennu tidak cukup besar untuk menyebabkan kepupusan di seluruh dunia, tetapi NASA mengira jika terhempas ke Bumi, ia akan mencipta kawah berukuran kira-kira 9.6 kilometer dan menyebabkan kemusnahan kira-kira 965 kilometer di semua arah.


Nicola Fox, pentadbir bersekutu Direktorat Misi Sains NASA di Washington, berkata: "Bahan murni daripada asteroid Bennu akan membantu memberi penerangan tentang pembentukan sistem suria kita 4.5 bilion tahun lalu dan mungkin juga tentang bagaimana kehidupan di Bumi bermula." - Sumber Daily Star.


BACA: NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid.


Asteroid Bennu diramal terhempas ke Bumi pada 24 September 2182. - Foto Getty Images.

Ahad, 3 September 2023

Kapal angkasa sudah mendarat di bulan, India kini lancar misi kaji matahari pula

Kapal angkasa sudah mendarat di bulan, India kini lancar misi kaji matahari pula


Agensi angkasa lepas India pada Sabtu melancarkan kapal angkasa Aditya-L1 untuk mengkaji matahari, angin suria yang boleh menyebabkan gangguan di bumi yang biasanya dilihat sebagai aurora, lapor NDTV pada 2 September 2023.


Aditya-L1 seberat 1,480.7 kilogram akan berada kira-kira 1.5 juta kilometer dari bumi, menghala ke arah matahari, iaitu kira-kira satu peratus daripada jarak bumi-matahari, menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).


Ia berlepas menggunakan roket dari pusat pelancaran di pulau Sriharikota di luar pantai tenggara negara itu. Perkataan Aditya bermaksud matahari dalam bahasa Hindi.


"Matahari ialah sfera gas gergasi dan Aditya-L1 akan mengkaji atmosfera luar matahari," menurut agensi angkasa lepas, sambil menjelaskan bahawa kapal angkasa itu tidak akan mendarat di matahari mahupun mendekatinya dengan lebih dekat.


Misi solar pertama ISRO dilancarkan beberapa hari selepas India menjadi negara keempat yang berjaya mendaratkan kapal angkasa lepasnya di permukaan bulan selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China.


Agensi angkasa lepas menjelaskan bahawa ia akan mengkaji aktiviti suria dan kesan matahari terhadap cuaca angkasa.


Selepas mengembara selama 125 hari, kapal angkasa itu, yang membawa tujuh muatan, dijangka berada dalam orbit halo di sekitar 'titik Lagrangian L1'.


Titik itu dianggap paling hampir dengan matahari dan kapal angkasa dijangka berlegar lebih lama bagi mengimbangi daya graviti dan penggunaan bahan api.


Bercakap kepada ANI selepas kejayaan pelancaran misi solar pertama negara itu, Nigar Shaji, pengarah projek tersebut, berkata pada hari Sabtu bahawa ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan.


"Rasanya seperti mimpi menjadi kenyataan. Saya amat gembira kerana Aditya L-1 telah berjaya disuntik (ke dalam orbit yang ditetapkan) oleh PSLV," katanya. - Sumber NDTV.


Kapal angkasa Aditya-L1 dilancarkan India untuk mengkaji matahari. - Foto AFP.

Jumaat, 11 Ogos 2023

Penduduk terkejut serpihan satelit dari angkasa lepas terhempas di kampung

Penduduk terkejut serpihan satelit dari angkasa lepas terhempas di kampung


Sebuah satelit yang menjunam dari angkasa lepas dan terhempas di China telah menyebabkan letupan besar berlaku di utara negara itu, lapor akhbar Mirror UK pada 10 Ogos 2023.


Rakaman kejadian memaparkan asap tebal berkepul-kepul naik ke udara ketika penduduk tempatan melihat serpihan gergasi itu di hadapan rumah mereka.


Seorang penduduk di perkampungan Kuil Taizi memaklumkan bahawa serpihan itu terhempas sekitar pukul 6.50 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu di belakang rumah mereka namun masih belum dibersihkan.



Penduduk kampung itu telah diberi amaran bahawa serpihan tersebut akan jatuh tetapi bunyi kuat ketika ia terhempas masih mengejutkan mereka.


Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan seorang pegawai di kampung itu berkata bahawa satelit itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan.


Serpihan itu didakwa akan diambil dan dipulihkan oleh pihak berkuasa. Pegawai berkata lokasi itu telah dikawal dan kakitangan khas ditugaskan menangani situasi tersebut. - Sumber Mirror UK.


Penduduk tempatan berkumpul melihat serpihan satelit. - Foto Twitter.

Jumaat, 21 Julai 2023

NASA memuktamadkan rancangan mendarat di asteroid emas miliki 10 kali kekayaan Bumi

NASA memuktamadkan rancangan mendarat di asteroid emas miliki 10 kali kekayaan Bumi


NASA dalam proses memuktamadkan rancangan untuk mendarat di sebuah asteroid bernilai AS$10,000 kuadrilion (RM45,600 kuadrilion) hujung tahun ini, lapor akhbar Metro UK pada 19 Julai 2023.


Saintis-saintis berhasrat untuk mengkaji batuan angkasa itu yang didakwa berharga 10 kali ganda daripada ekonomi dunia.


Asteroid dinamakan 16 Psyche itu mengorbit Matahari antara Marikh dan Musytari dan terbina daripada nikel, besi dan emas.


Asteroid itu selebar kira-kira 252 kilometer. Oleh kerana saiznya yang besar menyebabkan pakar percaya asteroid itu sebenarnya tinggalan sebuah planet.


Pasukan jurutera dan juruteknik di Cape Canaveral, Florida masih melakukan persiapan pelancaran misi tersebut. Misi untuk melakukan pendaratan di asteroid 16 Psyche dijangka dilancarkan pada 5 Oktober 2023.


Menurut akhbar Metro UK, pasukan misi tersebut baru-baru ini melengkapkan ujian komprehensif perisian pesawat dan memasangnya pada kapal angkasa.


"Tumpuan kami beralih kepada menyelesaikan persiapan mekanikal terakhir dan menyediakan pasukan untuk operasi.


"Pasukan ini juga sedang menjalankan pelbagai aktiviti latihan untuk memastikan kami bersedia. Ia adalah masa yang sangat sibuk tetapi semua orang sangat teruja dan menantikan pelancaran ini," kata Pengurus Projek Psyche di Makmal Pendorong Jet Nasa California Selatan, Henry Stone. - Sumber Metro UK.


Asteroid16 Psyche dipercayai mempunyai pusat nikel, besi dan emas yang kaya dengan logam. - Foto NASA.