Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Ahad, 21 April 2024

Komet 'syaitan bertanduk' boleh dilihat di langit Australia minggu depan

Komet 'syaitan bertanduk' boleh dilihat di langit Australia minggu depan


Komet 'syaitan' berwarna hijau dan 'bertanduk' kini dapat dilihat di langit Australia dan menawarkan peluang sekali seumur hidup untuk melihatnya, lapor portal berita The Guardian pada 18 April 2024.


Seorang ahli astrofizik Universiti Nasional Australia, Brad Tucker berkata, walaupun komet itu boleh dilihat secara teknikal, ia sukar untuk dikesan, namun penampakannya akan menjadi lebih jelas pada minggu depan.


"Ia benar-benar rendah di langit tetapi berada betul-betul di sebelah Musytari," katanya.


Nama sebenar komet itu ialah 12P/Pons-Brooks tetapi mendapat gelaran komet 'syaitan' kerana letusan dari nukleusnya menyebabkan ia seolah-olah mempunyai dua tanduk.


Komet yang mempunyai diameter 34 kilometer itu melintasi Bumi sekali bagi setiap 71 tahun.


Menurut Tucker, tarikh terbaik untuk melihat komet itu adalah pada hari Khamis, 25 April ini.


"Komet itu masih cerah dan ia sedikit lebih tinggi. Jadi, 25 April sehingga ke hujung minggu depan (komet itu akan kelihatan cerah)," katanya.


Rebecca Allen, pengarah bersama Institut Teknologi dan Industri Angkasa di Universiti Teknologi Swinburne, berkata ia akan kelihatan dengan mata kasar tetapi mungkin perlu menggunakan teropong atau teleskop untuk mengesannya terlebih dahulu.


Beliau berkata komet itu telah dikesan sejak berabad-abad lalu jadi ia adalah secebis sejarah, tetapi ia juga istimewa kerana kecerahannya. - Sumber The Guardian.


BACA: 'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi.


Gambar komet 12P/Pons-Brooks yang digelar komet 'syaitan' diambil dari Sepanyol. - Foto Marcos del Mazo/LightRocket/Getty Images.

Sabtu, 20 April 2024

UFO terbang dalam kawah gunung berapi aktif, penyelidik dakwa ia portal ke dunia makhluk asing

UFO terbang dalam kawah gunung berapi aktif, penyelidik dakwa ia portal ke dunia makhluk asing


Satu imej objek terbang tidak dikenali (UFO) dirakam oleh kamera pengawasan yang dipasang berdekatan sebuah gunung berapi aktif di Mexico, lapor portal berita The Sun pada 19 April 2024.


UFO itu nampak bercahaya dan terbang ke arah Gunung Popocatepetl setinggi 5,426 meter, dekat Bandar Raya Mexico, pada petang Isnin lalu.


Ia kemudian mendekati kawah gunung berapi yang berasap sebelum masuk ke dalamnya. Penampakan UFO di Gunung Popocatepetl yang merupakan antara gunung berapi paling aktif di Mexico itu adalah bukan kali pertama.


Pakar UFO Mexico, Jaime Maussan, 70, sebelum ini berkongsi beberapa klip video kejadian serupa.


Jelasnya, tiada objek buatan manusia boleh memasuki kawah gunung berapi yang mengandungi lahar dan merekodkan suhu sekitar 1,000 darjah Celsius.


Maussan berkata: "Universiti Bergen di Norway mendapati bahawa di bawah gunung berapi terdapat ribut magnet yang diperlukan untuk dapat menjana titik-X atau kawasan resapan elektron dan digunakan untuk mencipta Portal Dimensi."


Titik-X ialah lokasi di mana medan magnet Bumi dan Matahari bertemu, membentuk laluan yang menjangkau 93 juta batu antara keduanya.


Sebab ia dipanggil titik-X kerana bentuk X terbentuk apabila daya magnet Bumi dan Matahari bergabung.


Menurut Encik Maussan, Albert Einstein mula-mula mencadangkan idea 'lubang cacing' pada tahun 1930-an.


Lubang cacing dianggap sebagai terowong antara dua titik jauh di alam semesta yang memendekkan masa perjalanan dari satu titik ke titik lain.


Di bawah keadaan yang betul, seseorang secara teorinya boleh menggunakan lubang cacing untuk memotong masa perjalanan dari satu galaksi ke galaksi lain, yang sebaliknya boleh mengambil masa berjuta-juta tahun, kepada beberapa jam atau minit sahaja. - Sumber The Sun.


UFO dirakam berada di atas Gunung Popocatepetl baru-baru ini. - Foto Video Jam Press.

Rabu, 17 April 2024

Lohong hitam terbesar dikesan berhampiran bumi, 33 kali lebih besar daripada matahari

Lohong hitam terbesar dikesan berhampiran bumi, 33 kali lebih besar daripada matahari


Ahli astronomi daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengumumkan penemuan lohong hitam terbesar di dalam Bima Sakti kita, lapor laman berita Wion News pada 17 April 2024.


Lohong hitam yang digelar BH3 itu bersaiz 33 kali ganda lebih besar berbanding matahari. Ia terletak berhampiran buruj Aquila, 2000 tahun cahaya dari bumi, bukan jarak yang sangat jauh, kata saintis.


Penemuan dilakukan oleh teleskop angkasa lepas Gaia yang dilancarkan ESA pada tahun 2013 untuk mengambil gambar berbilion bintang.


Saintis mengesan pergerakan pada bintang di dalam buruj Aquila yang memberikan petanda terdapat sebuah lohong hitam berhampiran.


Kemudian menerusi bantuan Very Large Telescope (VLT) yang terletak di Chile, kewujudan BH3 disahkan bersama dengan saiznya. Selain BH3, teleskop Gaia juga mengesan dua lagi lohong hitam di dalam Bima Sakti.


Lohong hitam BH1 ditemukan di buruj Ophiuchus yang terletak 1560 tahun cahaya daripada bumi. Sementara itu lohong hitam BH2 pula di buruj Centaurus yang terletak 3800 tahun cahaya daripada bumi.


Pada mulanya para saintis tidak menjangkakan apa-apa penemuan, minat mereka didorong oleh pergerakan luar biasa, yang mereka kaitkan dengan kesan graviti BH3 pada jasad angkasa berhampiran.


"Ini adalah jenis penemuan yang anda buat sekali dalam kehidupan penyelidikan anda," kata Pasquale Panuzzo, seorang ahli astronomi dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Observatoire de Paris.


Lohong hitam terbentuk apabila bintang mencapai penghujung hayatnya. Kebanyakan bintang ini mengembang, kehilangan jisim dan sejuk menjadi 'kerdil putih', tetapi bintang lain kehilangan jisim yang kurang dan tidak mengandungi unsur berat.


"Bintang-bintang ini dipanggil 'bintang bebas logam' dan bukannya menjadi 'kerdil putih', mereka runtuh pada diri mereka sendiri dan membentuk lohong hitam," kata saintis.


Lohong hitam atau lubang gelap ialah tumpuan jisim dengan medan graviti yang sungguh kuat hinggakan halaju lepasan berhampiran dengan lohong hitam melebihi kelajuan cahaya.


Ini membayangkan bahawa tiada sesuatu bendapun, termasuk cahaya, mampu melepasi gravitinya. Istilah 'lubang gelap' digunakan secara meluas, walaupun teori itu tidak merujuk kepada sebarang lubang dalam bentuk biasa.


Para saintis NASA percaya bahawa terdapat lebih daripada 50 lohong hitam di galaksi Bima Sakti. Terdahulu pada bulan Januari, ahli astronomi berkata mereka telah menemui lohong hitam tertua yang pernah ditemui, sejak awal alam semesta lebih 13 bilion tahun lalu.


Lohong hitam itu terletak di galaksi purba yang dipanggil GN-z11, terletak 13.4 bilion tahun cahaya jauhnya, dan telah diperhatikan menggunakan Teleskop Angkasa James Webb. - Sumber Wion News.


Ahli astronomi daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengumumkan penemuan lohong hitam terbesar di dalam Bima Sakti. - Foto Agensi.

Isnin, 8 April 2024

Disangka UFO rupanya fenomena 'cincin asap' yang jarang terjadi

Disangka UFO rupanya fenomena 'cincin asap' yang jarang terjadi


Satu fenomena 'cincin asap' di sebuah gunung berapi di Itali menarik perhatian orang ramai dan menjadi tular di platform media sosial, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia pada 7 April 2024.


Gunung Etna adalah salah sebuah gunung berapi paling aktif di Eropah terletak di Sicily, Itali, ia mengeluarkan lebih banyak asap daripada gunung berapi lain.


Ini berlaku disebabkan oleh pembebasan berterusan wap dan gas yang jarang terjadi kepada gunung berapi lain.


Seorang ahli volkanologi daripada Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali, Boris Behncke, tampil memberikan penjelasan.



"Gas berbentuk cincin sedemikian dihasilkan oleh letupan gelembung gas dalam saluran sempit (di atas ruang magma), dan meletuskan gas pada kelajuan tinggi ke arah permukaan.


"Geseran di sepanjang dinding saluran itu memperlahankan pergerakan pecutan gas, berbanding dengan bahagian tengah saluran sehingga menyebabkan terjadinya bentukan cincin berkenaan," ujarnya.


Fenomena ini membuatkan penduduk tempatan menamakan gunung berapi itu sebagai 'Lady of the Rings'.


Menerusi video dikongsi di media sosial, beberapa asap berbentuk cincin yang berada di ruang udara gunung berapi berkenaan yang terletak lebih 3,300 meter dari aras laut.


Kejadian yang jarang berlaku itu bukan kali pertama direkodkan. Ini kerana fenomena serupa turut pernah dirakam berlaku sekitar Julai tahun lalu. - Sumber CNN Indonesia.


Beberapa asap berbentuk cincin yang berada di ruang udara gunung berapi Etna yang terletak lebih 3,300 meter dari aras laut. - Foto Maria Liotta.

Selasa, 12 Mac 2024

Hotel angkasa pertama dibuka 2025, harga bilik RM257 juta

Hotel angkasa pertama dibuka 2025, harga bilik RM257 juta

 

Hotel angkasa lepas pertama di dunia dengan pemandangan luar biasa planet Bumi akan dibuka pada tahun depan, lapor akhbar The Sun UK pada 10 Mac 2024.


Syarikat angkasa lepas berpangkalan di Amerika Syarikat, Above Space menyasarkan untuk melancarkan dua stesen penginapan pelancong di angkasa lepas, setiap satu dinamakan Voyager dan Pioneer.


Pioneer digambarkan oleh syarikat berkenaan sebagai hotel atau penginapan angkasa lepas pertama di mana aktiviti perdagangan, penyelidikan dan riadah boleh beroperasi seawal tahun depan.


Stesen tersebut dikatakan versi yang lebih kecil berbanding Voyager yang dijangka dibuka pada tahun 2027. Pioneer boleh menempatkan 28 orang sahaja berbanding kapasiti Voyager seramai 400 orang.


Kedua-duanya dilaporkan menyerupai roda berputar yang mengorbit Bumi, manakala dekorasi dalaman tidak jauh berbeza dengan sebuah hotel mewah.


Above Space berkata di laman webnya bahawa tetamu kini boleh menempah percutian resort mewah di angkasa lepas di stesen Pioneer.


Perjalanan empat hingga 18 jam ke stesen itu akan menelan kos sekurang-kurangnya AS$55 juta (RM257.6 juta). - Sumber The Sun UK.


Foto: Orbital Assembly.

Foto: Orbital Assembly.
Lelaki rakam UFO keluar asap bentuk cincin di langit

Lelaki rakam UFO keluar asap bentuk cincin di langit


Seorang lelaki dan anaknya mengesan objek terbang tidak dikenali (UFO) mengeluarkan cahaya di langit Bandar Oklahama, lapor portal berita Daily Mail pada 8 Mac 2024.


Menurut Steve Aragona, dia berada di laman depan rumahnya pada pukul 7.29 malam (waktu tempatan), Isnin minggu lalu apabila objek itu menerangi langit malam.


Menerusi video yang dimuat naik di platform TikTok, seorang anak Steve didengari berkata, objek itu kelihatan seperti meteorit, namun bergerak terlalu perlahan.


Tiba-tiba, satu bulatan seperti asap keluar daripada objek tersebut semasa ia bergerak.


"Nampaknya UFO tersebut terpisah daripada dirinya sendiri," kata Steve sebelum anaknya berkata bahawa cincin itu kelihatan seperti gelombang bunyi.


Sebilangan netizen yang melihat video itu meneka bahawa ia mungkin roket Space X yang berlepas kira-kira waktu sama dari Florida.


Bagaimanapun, pelancaran roket dimaksudkan adalah lewat satu jam setengah daripada waktu video itu dirakam.


Video itu juga dirakam menghadap ke barat, manakala Florida berada di sebelah timur Oklahoma. - Sumber Daily Mail.


Steve merakam video UFO tersebut dari halaman depan rumahnya. - Foto TikTok.

Selasa, 27 Februari 2024

Batu angkasa paling 'rare' dari kepingan planet Utarid jatuh di Berlin

Batu angkasa paling 'rare' dari kepingan planet Utarid jatuh di Berlin


Saintis menemui kepingan meteorit (tahi bintang jatuh ke bumi) yang jatuh berhampiran Berlin di Jerman sejurus selepas tengah malam pada 21 Januari 2024 lalu, penemuan jarang berlaku daripada asteroid yang dikenal pasti sebelum ia memasuki atmosfera Bumi.


The New York Times melaporkan, ia adalah peristiwa jarang berlaku pada masa lalu yang membolehkan ahli astronomi mengesan asal usul batu yang masuk dalam sistem suria.


Meteorit itu adalah aubrite, kelas dengan asal usul yang tidak diketahui yang sesetengah saintis berpendapat mungkin kepingan planet Utarid. Ia sangat jarang berlaku sehingga ia hanya membentuk 80 daripada 70,000 atau lebih meteorit yang dikumpulkan di Bumi.


"Penemuan ini benar-benar menarik. Terdapat sangat-sangat sedikit aubrite," kata Sara Russell, pakar meteorit di Muzium Sejarah Alam di London.



Asteroid yang menjadi meteorit itu pada mulanya dikesan oleh Krisztián Sárneczky, seorang ahli astronomi Hungary, tiga jam sebelum ia melanda atmosfera Bumi.


Rangkaian kamera menjejaki batu yang masuk, 2024 BX1, ketika ia jatuh berhampiran Ribbeck, sebuah kampung di luar Berlin.


Anggaran mencadangkan batu itu kecil, bersaiz kurang daripada tiga kaki (0.9144 meter) tetapi ia masih menghasilkan pancaran kilat yang dapat dirakam oleh kamera di banyak bahagian Eropah.


Sebaik sahaja mendengar berita tentang kemasukan meteorit itu, Dr Peter Jenniskens, seorang ahli astronomi di SETI Institute di California, membeli tiket kapal terbang.


"Pada petang Sabtu saya mengetahui mengenainya, terus saya mengambil pesawat ke Berlin," katanya.


Ketika persinggahan selama sembilan jam di Newark, Dr Jenniskens mengira di mana kepingan meteorit itu mungkin ditemui supaya apabila dia mendarat awal pagi Isnin, dia dan hampir dua dozen pelajar dan sukarelawannya boleh mula mencari serpihan berkenaan dengan segera.


"Selama berhari-hari mereka menjejaki ladang di sekitar Ribbeck. Kami tidak dapat mencari apa-apa," katanya.


Tetapi pada Khamis, 25 Januari, pasukan pemburu meteor Poland mengumumkan bahawa ia telah menemui bahagian pertama meteorit itu.


"Mereka boleh menunjukkan kepada kami apa yang perlu dicari," kata Dr Jenniskens.


Meteorit itu bukan hitam seperti yang dijangkakan dari laluan melalui atmosfera, tetapi bercahaya seperti batu daratan.


Dengan maklumat ini, hanya dalam masa dua jam seorang ahli pasukan Dr Jenniskens, seorang pelajar di Freie Universität Berlin bernama Dominik Dieter, menemui meteorit hanya duduk di atas tanah. "Ia luar biasa. Kami menemui lebih 20 serpihan," kata Dr Jenniskens.


Penyelidik di Muzium Sejarah Alam di Berlin menganalisis mineral dalam serpihan menggunakan mikroprob elektron.


Ia mendedahkan bahawa batu-batu itu kelihatan seperti aubrite. Ia adalah kali pertama meteorit seperti itu dikumpulkan dalam kejadian meteorit jatuh yang dikesan.


Aubrite dinamakan sempena bandar Aubres di Perancis berhampiran tempat pertama kali ditemui, namun masih misteri kerana komposisi yang tidak sepadan dengan sumber meteorit lain yang diketahui dalam sistem suria.


Sesetengah penyelidikan mencadangkan ia adalah serpihan planet Utarid, tetapi tidak semua saintis menyokong kisah asalnya. Jika aubrite datang terus dari planet Utarid, 2024 BX1 sepatutnya berasal dari sistem suria dalaman.


Bagaimanapun, mengesan kembali laluannya, nampaknya orbit awal asteroid itu jauh lebih luas dan di luar orbit Bumi.


"Oleh itu objek ini tidak boleh datang kepada kami secara langsung dari planet Utarid," kata Dr Marc Fries, seorang saintis planet di Johnson Space Center Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Namun, ada kemungkinan bahawa aubrit telah dikeluarkan dari Utarid lama dahulu ke dalam rangkaian asteroid antara Marikh dan Musytari, membentuk kumpulan yang dipanggil asteroid jenis E. Orbit 2024 BX1


Dr Fries tidak menolak idea itu sepenuhnya, walaupun dia masih ragu-ragu. Walau apa pun asal usulnya, serpihan 2024 BX1 akan terbukti menarik secara saintifik.


"Saya pasti ia akan menjadi keutamaan untuk mengetahui komposisinya dan bagaimana ia dibandingkan dengan meteorit lain," kata Dr Russell pula.


Mengesan asteroid sekecil ini sebelum mencecah atmosfera Bumi juga penting untuk mempertahankan planet ini daripada asteroid.


Mengetahui trajektori lebih awal boleh memberi masa kepada orang ramai untuk mencapai keselamatan.


"Jika anda boleh menghantar amaran, tiada siapa yang akan cedera," kata Davide Farnocchia penyelidik Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi dari NASA. - Sumber The New York Times.


Peter Jenniskens, dengan meteorit di tangan, terbang ke Jerman dari Amerika Syarikat sejurus selepas berita mengenai asteroid memasuki atmosfera, menyertai pasukan mencari serpihan. - Foto Dr Peter Jenniskens/The SETI Institute.

Meteorit yang ditemukan berhampiran Berlin pada 21 Januari lalu. - Foto Dr Peter Jenniskens/The SETI Institute.