Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Isnin, 6 Jun 2022

Saintis sudah kenalpasti tempat tinggal 'Alien', planet yang mengorbit bintang binari berkemungkinan wujudnya hidupan

Saintis sudah kenalpasti tempat tinggal 'Alien', planet yang mengorbit bintang binari berkemungkinan wujudnya hidupan


Penyelidikan yang dijalankan di Universiti Copenhagen, mendedahkan bahawa pada masa ini planet yang mengorbit bintang binari atau bintang berganda adalah sasaran utama mereka untuk mencari kediaman makhluk asing, lapor Daily Mail pada 23 Mei 2022.


Memandangkan satu-satunya planet yang diketahui mempunyai kehidupan iaitu Bumi, yang mengorbit matahari, sistem planet mengelilingi bintang-bintang dengan saiz yang sama dengan matahari, adalah sasaran yang jelas bagi ahli astronomi yang cuba mencari makhluk luar angkasa.


Adalah diketahui bahawa bintang binari merupakan sebuah sistem bintang yang terdiri daripada dua bintang yang terikat secara graviti atau medan graviti kuat antara satu sama lain di dalam sebuah orbit mengelilingi sebuah titik pusat jisim secara bersama.


Kajian mendapati hampir separuh daripada bintang sebesar matahari adalah binari. Kajian itu juga menyatakan bahawa sistem planet di sekeliling bintang binari mungkin sangat berbeza daripada sistem di sekeliling bintang tunggal.


Ini bermakna planet-planet ini boleh menjadi sasaran baharu dalam pencarian bentuk hidupan luar angkasa, termasuk kehidupan makhluk asing.


Profesor Jes Kristian Jorgensen dari Institut Niels Bohr Universiti Copenhagen, yang mengetuai kajian itu, berkata idea mereka adalah langkah pertama. Menurutnya, dalam beberapa tahun akan datang pencarian akan menjadi lebih baik kerana kehadiran instrumen baharu yang semakin canggih.


"Ini menimbulkan kepentingan memahami bagaimana planet terbentuk di sekeliling jenis bintang yang berbeza. Keputusan ini boleh menunjukkan tempat yang sangat menarik untuk menyiasat kewujudan kehidupan.


"Ini kerana hampir separuh daripada bintang bersaiz matahari berada dalam sistem binari di mana tenaga memanjangkan kawasan yang boleh dihuni lebih jauh dan menjadikannya lebih besar," jelasnya.


Pada masa ini salah satu bintang binari yang diperhatikan oleh mereka ialah NGC 1333-IRAS2A menggunakan teleskop ALMA di Chile, yang berjarak kira-kira 1,000 tahun cahaya dari Bumi.


Menurut Edwin Bergin, Profesor dan Pengerusi Jabatan U-M Astronomi Universiti Copenghagen, berkata penyelidikan mengenai bintang binari adalah percubaan untuk memahami aspek asas objek angkasa.


"Hasil kami berkaitan dengan bagaimana sistem planet terbentuk, dan sistem bintang binari boleh mempengaruhi pembentukan planet," jelasnya.


Hasil projek itu kini diterbitkan dalam jurnal Nature. Projek itu turut melibatkan ahli astronomi dari Taiwan dan Amerika Syarikat dalam menjalankan penyiasatan. - Sumber Daily Mail.


Planet yang mengorbit bintang binari (gambar) boleh menjadi sasaran utama dalam pencarian kehidupan makhluk asing. - Foto Daily Mail.

Selasa, 31 Mei 2022

'Alien mungkin wujud tetapi bukan di galaksi Bima Sakti' dakwa Profesor Brian Cox

'Alien mungkin wujud tetapi bukan di galaksi Bima Sakti' dakwa Profesor Brian Cox


Seorang saintis percaya bahawa makhluk asing berkemungkinan wujud, namun ia tidak berada dalam galaksi Bima Sakti, lapor akhbar Daily Mail pada 23 Mei 2022.


Profesor Brian Cox berkata, tamadun seperti yang dijalani manusia adalah sesuatu yang amat jarang ditemui iaitu hanya satu dalam setiap galaksi secara purata.


"Ia merupakan satu daripada misteri terhebat sama ada perisik makhluk asing telah menemui jalan ke Bumi. Jika anda menyuruh saya meneka, saya akan berkata bahawa terdapat banyak mikrob di serata tempat, dan disebabkan itu kita mencari kehidupan di Marikh.


"Terdapat dua trilion galaksi di alam semesta, saya pasti makhluk asing berada di luar sana," ujarnya.


Cox mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Kongres Amerika Syarikat, Andre Carson yang menyatakan bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) berpotensi memberi ancaman kepada negara itu.


Sementara itu, Monica Grady, profesor sains planet dan angkasa, berkata: "Galaksi kita sangat luas, dengan begitu banyak jenis bintang yang berbeza dengan planet mengelilinginya, secara statistik mungkin kehidupan telah wujud di planet lain.


"Kita tahu bahawa tidak ada tamadun, selain kita, dalam Sistem Suria, jadi mana-mana kehidupan yang telah berkembang untuk membangunkan perjalanan antara bintang perlu menempuh berbilion kilometer.


"Ia akan mengambil masa beribu-ribu tahun, hampir pasti lebih lama daripada 200,000 tahun atau lebih sejak manusia moden berevolusi.


"Saya berharap setiap bentuk kehidupan yang telah berkembang ke peringkat sedemikian akan menyedari bahawa keselamatan, kebenaran, keadilan dan integriti akan menjadi corak tamadun yang jauh lebih baik daripada peperangan, keganasan, ketidakadilan dan kepalsuan," katanya.


Bima Sakti adalah sebuah galaksi pilin berpalang yang merupakan sebahagian galaksi Kumpulan Tempatan dan terletaknya Sistem Suria. Satah galaksi Bima Sakti dapat dilihat dari Bumi sebagai jalur cahaya di langit pada waktu malam, rupa jalur cahaya berkenaan mengilhami nama galaksi ini.


Galaksi Bima Sakti dianggarkan mengandungi 100 hingga 400 bilion butir bintang. Di pusat galaksi ini terletaknya sebuah lohong hitam supermasif dikenali dengan nama Sagittarius A*, jisimnya bernilai 4.100 (± 0.034) juta jisim suria.


Sistem Suria duduk 27,000 tahun cahaya dari pusat tersebut di pinggir dalam Lengan Orion, salah satu lengan gas dan habuk berbentuk pilin dalam galaksi ini. Cakera najam galaksi Bima Sakti mempunyai garis pusat lebih kurang 100,000 tahun cahaya dan purata ketebalannya dipercayai kira-kira 1,000 tahun cahaya. - Sumber Daily Mail.


BACA: Imej pertama lohong hitam di tengah-tengah galaksi Bima Sakti akhirnya dirakam.


Cox percaya bahawa makhluk asing berada di galaksi-galaksi selain Bima Sakti. - Foto Reuters.

Ahad, 1 Mei 2022

Misteri serpihan kapal angkasa di Marikh yang kelihatan seperti 'piring terbang buatan Alien' terbongkar

Misteri serpihan kapal angkasa di Marikh yang kelihatan seperti 'piring terbang buatan Alien' terbongkar


Serpihan di Planet Marikh yang didakwa netizen sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO) milik makhluk asing sebenarnya bangkai kapal angkasa milik NASA, lapor akhbar The Sun pada 28 April 2022.


Gambar tular itu menunjukkan bahagian belakang kapal angkasa yang telah mendarat di Marikh tahun lepas. Imej itu dirakam minggu lalu oleh helikopter Ingenuity yang dibawa kapal angkasa tersebut.


Dalam rakaman yang dihantar kembali ke Bumi itu, dapat dilihat sebuah payung terjun yang telah digunakan berada tidak jauh dari kawasan tersebut.


Pendaratan di Planet Marikh adalah prosedur kompleks kerana sesebuah kapal angkasa akan melalui detik yang digeruni selama tujuh minit.


Pada peringkat akhir pendaratan, kapal angkasa akan bergerak melalui atmosfera Marikh pada kelajuan 19,312 kilometer sejam, mengharungi suhu tinggi dan hanya mempunyai masa 400 saat untuk mengurangkan had laju kepada kurang satu meter sesaat.


Saintis turut ingin mengkaji bangkai kapal angkasa tersebut sebagai persediaan rapi untuk misi akan datang, di mana mereka berhasrat untuk membawa batu dari Marikh pulang ke Bumi.


"Kenderaan jelajah Perseverance merekodkan pendaratan di Marikh yang terbaik dalam sejarah NASA. Kamera Perseverance merakam semuanya termasuk pengaktifan payung terjun hingga ke proses pendaratan.


"Namun, imej rakaman helikopter Ingenuity menunjukkan sudut pandangan yang berbeza," kata saintis NASA, Ian Clark.


Gambar itu kemudian mendapat kritikan pengguna media sosial kerana tidak cukup dengan Bumi, NASA juga meninggalkan sampah di Marikh. - Sumber The Sun.


Gambar menunjukkan bangkai kapal angkasa milik NASA dan bukannya UFO milik makhluk asing. - Foto NASA/JPL-Caltech.

Sabtu, 30 April 2022

Saintis dedah manusia berketurunan makhluk asing berasal dari planet bertrilion kilometer jauhnya

Saintis dedah manusia berketurunan makhluk asing berasal dari planet bertrilion kilometer jauhnya


Manusia mungkin makhluk asing selepas sepasukan saintis Jepun mendakwa kehidupan di Bumi mungkin berasal dari planet bertrilion batu jauhnya, lapor akhbar The Sun pada 26 April 2022.


Kajian terbaharu itu mendapati blok binaan kimia dalam asid deoksiribonukleik (DNA) manusia telah dikesan buat kali pertama dalam asteroid, yang melanda Bumi berbilion tahun lalu.


Ini bermakna, benih kehidupan Bumi mungkin berasal dari tempat lain di alam semesta, dan manusia boleh berkembang maju di sebuah planet yang tidak diketahui lokasinya.


Sampel daripada tiga meteorit yang kaya dengan karbon dipanggil Murchison, Murray dan Tagish Lake, telah dianalisis menggunakan teknik terkini.


Profesor dari Universiti Hokkaido, Yasuhiro Oba memberitahu bahawa pasukannya menemui pelbagai jenis bahan organik, termasuk nukleobase dalam blok binaan asas kehidupan manusia.


"Ini mungkin dihantar ke Bumi melalui asteroid, meteorit, komet dan zarah debu antara planet empat bilion tahun lalu, apabila planet kita dihujani oleh serpihan dari angkasa lepas.


"Kami percaya kemasukan bahan organik ini memainkan peranan penting dalam evolusi kehidupan di Bumi. Ini adalah penemuan yang sangat menarik yang meluaskan pemahaman kita tentang bagaimana kehidupan bermula," kata Oba.


Dua jenis blok binaan kimia, atau nukleobes, diperlukan untuk membentuk DNA dan RNA - asas kehidupan di Bumi. Ini dipanggil pirimidin dan purin.


Sebelum ini, hanya purin yang dikenal pasti dalam meteorit, tetapi pasukan Prof Oba mengesan pirimidin dalam eksperimen makmal terbaru mereka. Penemuan itu diterbitkan dalam Nature Communications. - Sumber The Sun.

Ahad, 17 April 2022

'Syaitan manusia' potong telinga sendiri meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka

'Syaitan manusia' potong telinga sendiri meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka


Seorang lelaki yang digelar 'syaitan manusia' bertindak nekad memotong telinganya sebagai meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka Covid-19 di Brazil, lapor akhbar The Sun pada 13 April 2022.


Michel Faro do Prado dari Sao Paulo, Brazil, telah menjalani mengubah suai sebahagian besar badannya selama bertahun-tahun, termasuk mencacah berpuluh-puluh tatu dan tindikan serta mengubah giginya untuk melengkapkan imej seperti syaitan.


Artis tatu itu kini memotong telinganya selepas kerajaan Brazil memansuhkan sekatan pemakaian pelitup muka akibat pandemik Covid-19.


Menurut Prado, dia mengalami kesakitan melampau selepas menjalani prosedur tersebut, namun tidak berputus asa untuk menanggung rasa sakit itu bagi memiliki tubuh seperti syaitan yang diidamkan.


"Sebenarnya, bagi beberapa prosedur, ia hampir mustahil untuk dilakukan jika tanpa kesan bius. Jika saya perlu merasa sakit untuk mencapai apa yang saya mahu, pasti saya akan mengharunginya," kata Prado.


Beberapa gambarnya telah disiarkan di laman sosial Reddit yang menunjukkan wajah baharunya, tanpa telinga. Gambar-gambar tersebut telah menarik perhatian orang ramai dan mengundang banyak reaksi.


"Saya tidak faham bagaimana seseorang boleh mengubah suai badan mereka sehingga ke tahap ini. Tidak ada jalan kembali, jika anda cuba membetulkannya, anda masih akan mengalami parut dan kecacatan. Anda perlu hidup dengan penampilan ini sepanjang hayat anda," kata seorang warganet.


Prado berkata, walaupun penampilannya tidak konvensional, keluarga dan rakannya sentiasa menyokongnya: "Keluarga saya menyukainya, yang terdiri daripada isteri dan anak saya serta beberapa rakan. Tidak penting bagi saya apa orang katakan, saya hanya menuntut penghormatan." - Sumber The Sun.


Prado membuang telinganya selepas Brazil melonggarkan mandat pemakaian pelitup muka. - Foto Reddit.

Khamis, 7 April 2022

UFO besar 'bersaiz kereta' mengejar kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat

UFO besar 'bersaiz kereta' mengejar kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat


Kru di atas kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Kearsage mendakwa bahawa mereka dikejar oleh dua bola cahaya sebesar kereta yang tidak dapat dikesan oleh penguncian imej terma, dan tidak terjejas oleh serangan senjata anti dron, lapor akhbar Daily Star pada 4 April 2022.


Menurut mereka, pertembungan dengan bola cahaya yang dianggap sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO) itu berlangsung selama beberapa malam ketika USS Kearsage sedang menyertai latihan perang di luar pantai timur AS.


Pembuat filem dokumentari, Dave C. Beaty buat pertama kalinya mendedahkan penampakan yang membimbangkan pada Oktober 2021 itu. Bola cahaya itu dikatakan berada pada jarak hampir 61 meter di atas permukaan laut dan sekitar 804.7 meter di belakang kapal perang itu.


Dua bola cahaya itu mula dikesan oleh kru kapal tetapi mereka gagal 'mengunci' sasaran untuk melepaskan tembakan menggunakan senjata anti dron. Serangan senjata anti dron yang dilancarkan terhadap dua bola cahaya itu juga tidak berhasil.


Objek misteri itu didakwa melakukan gerakan layangan pantas ketika mengekori di belakang kapal berkenaan. Seorang kru kapal memberi arahan menerusi radio bahawa objek misteri itu 'bukan milik tentera AS'. Difahamkan sebuah video dikatakan telah dirakam oleh kru tetapi masih belum didedahkan kepada umum.


Dalam situasi lain, seorang pemerhati UFO telah memaklumkan detik luar biasa apabila dia mendakwa berhadapan dengan makhluk asing yang mencekik lehernya. Ryushin Malone, yang mengaku dirinya seorang penyelidik UFO mendakwa, dia 'menemui tujuannya' selepas dikunjungi oleh makhluk asing lut-sinar berkenaan.


Berikutan itu, ahli teori konspirasi dari Maine, Amerika Syarikat, mula menyelidik makhluk asing dan kejadian aneh yang tidak dapat dijelaskan dari seluruh dunia, dan kini percaya makhluk ini mengorbankan manusia dan memakannya.


Serangan senjata anti dron dari atas kapal perang USS Kearsage itu tidak berfungsi pada objek-objek berkenaan. - Foto Getty Images/Stocktrek Images.

Ahad, 20 Februari 2022

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh


Sepasukan saintis telah mengenal pasti tiga varian genetik baharu bakteria yang belum ditemui sebelum ini, di dalam sebuah kapal angkasa yang mengorbit Bumi 15 kali sehari, lapor akhbar Daily Star pada 17 Februari 2022.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan, di mana penyelidik telah cuba untuk menanam tanaman dalam keadaan sifar graviti.


"Tiga varian Methylobacteriaceae yang berbentuk batang dan mampu bergerak, tidak pernah ditemui sebelum ini," demikian menurut kajian oleh NASA yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers In Microbiology.


Para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu dapat membantu dalam misi penerokaan planet Marikh kerana ciri-ciri bakteria tersebut yang mampu membantu tumbuh-tumbuhan untuk bertumbuh.


Disebabkan kepentingan kajian tersebut, para saintis kini ingin mengembangkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menempatkan sebuah makmal biologi baharu untuk mengumpul, memproses dan menganalisis mikrob di angkasa tanpa menghantar semula ke Bumi.


Dua saintis NASA, Dr. Nitin Kumar Singh dan Dr. Kasthuri Venkateswaran berkata, adalah amat penting untuk mencari bakteria baharu yang dapat membantu tumbuhan hidup dalam keadaan sukar serta lokasi ekstrem berserta sumber terhad.


"Berbanding mengembalikan sampel ke Bumi untuk pemeriksaan, sistem pemantauan mikrob bersepadu yang mengumpul, memproses dan menganalisis sampel di lokasi iaitu angkasa, menggunakan teknologi molekul, akan mempercepatkan proses tersebut.


"Apabila kita sudah menakluki Marikh, adalah menjadi satu cabaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan, namun bakteria ini mungkin akan memudahkan semua itu," kata mereka.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan. - Foto NASA.