Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Disember 2021

Kapal Angkasa NASA Berjaya Rakam Bunyi 'Pelik' Dari Ganymede, Bulan Terbesar Planet Musytari

Kapal Angkasa NASA Berjaya Rakam Bunyi 'Pelik' Dari Ganymede, Bulan Terbesar Planet Musytari


Kapal Angkasa Juno milik Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) berjaya merakamkan beberapa bunyi bising yang datang dari Ganymede, bulan terbesar di planet Musytari, lapor Daily Mail pada 20 Disember 2021.


Rakaman audio 50 saat itu dijana daripada data yang dikumpul semasa penerbangan Juno di Ganymede, 7 Jun lalu. Perkara itu didedahkan oleh Makmal Pendorong Jet NASA.


Rakaman itu terdiri daripada satu siri bunyi pelik pada frekuensi berbeza dari Ganymede, yang merupakan bulan terbesar dalam sistem suria dan satu-satunya bulan dengan medan magnetnya sendiri. Ganymede mempunyai diameter 5,262 kilometer dan lebih besar dari planet Merkuri dan Pluto.


Semasa perjalanan ke-34 misi mengelilingi Musytari, kapal angkasa lepas NASA berkuasa solar itu berada dalam jarak 1,038 kilometer dari permukaan bulan, dan berjaya merakam bunyi bising tersebut.


Penyiasat Utama, Juni Scott Bolton dari Institut Penyelidikan Barat Daya di San Antonio berkata, Juno yang dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida, pada Ogos 2011 bagi mengkaji Musytari dari Orbit, tiba di Musytari pada 4 Julai 2016 selepas perjalanan selama lima tahun.


"Jika anda mendengar dengan teliti, anda boleh mendengar perubahan mendadak kepada frekuensi lebih tinggi di sekitar titik tengah rakaman yang mewakili kemasukan ke kawasan lain dalam magnetosfera Ganymede," jelasnya.


Imej Ganymede yang berjaya dirakamkan oleh kapal angkasa lepas Juno.- Foto NASA.

Ahad, 12 Disember 2021

Objek 'misteri' terdampar di pantai disangka piring terbang makhluk asing gemparkan orang ramai

Objek 'misteri' terdampar di pantai disangka piring terbang makhluk asing gemparkan orang ramai


TUMPAT - Penemuan objek besar terdampar di Pantai Geting pada pagi Isnin 6 Disember lalu telah gemparkan orang ramai. Ia turut menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk ada yang menganggapnya sebagai piring terbang serta mengaitkannya dengan makhluk asing.


Bagaimanapun sangkaan orang ramai itu melesat apabila Jabatan Laut Malaysia (JLM) menjelaskan, bahawa objek besar yang ditemui terdampar di Pantai tersebut adalah alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.


"Alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.


"Boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini," kata JLM dalam satu kenyataan Khamis lalu.



Kata JLM, satu laporan polis juga telah dibuat di Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat ekoran kejadian itu dan kerja-kerja memindahkan boya berkenaan ke Jeti Pejabat Laut Kuala Besar telah selesai dibuat pada petang Rabu.


"Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar," katanya merujuk berita tular Isnin lalu mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada menganggapnya piring terbang makhluk asing.


Berikutan itu, ramai datang ke lokasi terbabit dan merakamkan gambar kenangan, malah tidak kurang juga memanjat boya berkenaan yang jelas boleh mengundang bahaya.


Sehubungan itu, Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu membuat siasatan dan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan sekitar. JLM juga kesal dengan tindakan orang ramai yang mendekati boya terbabit termasuk memanjat alat bantuan pelayaran setinggi 5.3 meter itu.


"Boya itu diperbuat daripada bahan jenis keluli dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya kemalangan seperti terjatuh atau tergelincir disebabkan licin semasa menceroboh. Tambahan pula, alat ini aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika ada individu menceroboh atau mendekatinya," katanya.


Pelampung pandu atau boya terdampar di Pantai Geting yang tular pada Isnin lalu. - Foto NSTP.

Sabtu, 11 Disember 2021

Juruterbang rakam kelibat 12 UFO didakwa 'intip' pergerakan kapal China di Laut China Selatan

Juruterbang rakam kelibat 12 UFO didakwa 'intip' pergerakan kapal China di Laut China Selatan


Satu rakaman video dari kokpit sebuah pesawat yang memaparkan 12 objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang di sebalik awan menjadi tular di media sosial, lapor akhbar The Sun pada 7 Disember 2021.


Fenomena pelik itu dirakam dari pesawat yang berada di ruangan udara Laut China Selatan di sekitar Hong Kong. UFO itu terbang dalam formasi sebelum hilang secara tiba-tiba di sebalik awan ketika melintasi Lautan Pasifik pada ketinggian 11,887 meter dari paras laut.


Pada permulaan, kelihatan sembilan cahaya yang sedang bergerak dan kemudiannya bertambah menjadi 12 cahaya, dapat kedengaran perbualan seseorang di dalam pesawat.


"Saya tidak tahu apakah objek itu. Ia adalah suatu objek terbang dan kelihatan amat pelik" kata juruterbang dalam rakaman itu.



Tidak lama kemudian, kedengaran juruterbang berkenaan menyebut perkataan 'hilang' ketika kesemua UFO itu hilang dari pandangan.


Disebabkan tiada jawapan terhadap penampakan objek itu, Scott (penulis blog prolifik) mengisytiharkan ia sebagai piring UFO yang sedang 'mengintip' kapal China yang berada di lautan tersebut.


Klip video berkenaan dikongsikan di media sosial dengan ramai netizen berpendapat bahawa ia merupakan rakaman UFO terbaik dan hebat setakat ini. Kemunculan objek itu kebetulan berkaitan dengan konflik geopolitik di rantau ini.


Oleh sebab itu, terdapat beberapa pengguna media sosial yang menganggap, cahaya-cahaya tersebut sebagai letupan misil anti peluru berpandu yang ditembak dari pesawat perang.


Pengguna yang lain pula mengatakan bahawa objek itu kemungkinan adalah suar, sama ada disebabkan oleh kapal yang berlayar dalam formasi atau dinyalakan dari pesawat.


Seorang penulis blog prolifik, Scott C memuat naik semula rakaman video itu dalam YouTube, yang menunjukkan beberapa objek berkelip kelihatan bergerak di awan sebelum hilang dari pandangan.

Khamis, 9 Disember 2021

Wanita dakwa lihat 15 UFO bersinar cahaya oren, 2 daripada objek itu terbang rendah menghampirinya

Wanita dakwa lihat 15 UFO bersinar cahaya oren, 2 daripada objek itu terbang rendah menghampirinya


Seorang wanita di Britain mendakwa bahawa dia melihat objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dikawal oleh makhluk asing, terbang rendah pada jarak cuma 2.4 meter darinya, lapor akhbar Daily Star pada 7 Disember 2021.


Caron Ara, terlihat cahaya pelik itu di langit dan bergerak ke arahnya ketika berbasikal menyusuri jalan berpagar pada waktu petang di Wiltshire, England pada September lalu.


Kerana terpegun melihat fenomena 'luar biasa' yang berlaku di hadapan matanya, Caron mengeluarkan perantinya kemudian mula merakam kejadian itu, lapor akhbar Bristol Live.


"Saya sudah biasa melihat perkara aneh di langit. Saya tahu ia sesuatu yang pelik. Agak mengecewakan kerana saya merakam dalam keadaan menggigil. Saya melihat mereka berkumpulan, mungkin ada 15 UFO," katanya.


Caron mendakwa bahawa dua objek terbang itu datang ke arahnya. Menurutnya, kapal angkasa itu bergerak di belakang pokok dan berlegar di atas tanah, berjarak hanya kira-kira 2.4 meter dari tempatnya berdiri.


"Ia sangat kecil, mungkin hanya berketinggian 0.9 meter, berbentuk rata dan lebar, serta kelihatan ringan. Tiada bunyi kedengaran, tetapi cahaya oren yang saya rakam adalah sumber tenaga yang menggerakkan kapal angkasa itu," jelasnya.


Menurut Caron, dia terus menutup matanya apabila kapal angkasa itu mengeluarkan sejenis pancaran inframerah ke arahnya. Objek itu tidak kelihatan lagi setelah dia membuka matanya.


"Ada beberapa lagi terbang beberapa meter di atas kepala saya, dan kemudian mereka pergi, tidak pasti sama ada naik ke langit atau hilang begitu sahaja. Ia adalah pengalaman yang menakjubkan melihat teknologi ajaib seperti itu," katanya.


Cahaya oren itu adalah yang serupa dirakam beberapa penduduk di timur Bristol pada awal musim panas lalu. - Sumber Daily Star UK.


Cahaya oren yang berjaya dirakam Caron Ara didakwanya kapal makhluk asing. - Foto Bristol Post.

Sabtu, 27 November 2021

Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya

Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya


Pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) membentangkan laporan kepada Kongres yang antara lain mendedahkan penilaian pertama fenomena udara tidak dikenali (UAP) yang tidak dirahsiakan. UAP merupakan istilah digunakan dalam tentera bagi objek tidak dikenal pasti (UFO).


Disusun oleh UAPTF, laporan pada Jun lalu itu gagal menjelaskan mengenai 144 penampakan UFO dengan menyatakan 18 daripada jumlah itu menunjukkan pergerakan atau ciri penerbangan luar biasa menggunakan teknologi canggih.


Laporan itu menyimpulkan masih terdapat banyak penampakan UAP yang berkemungkinan tiada sebarang penjelasan khusus. Kemunculan UAP dikhuatiri memberi ancaman kepada keselamatan negara berkenaan.


Oleh sebab itu, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat dakwaan penemuan UFO berhampiran kawasan tentera yang sensitif.


Pengumuman itu dibuat selepas sebuah laporan penting kerajaan yang didedahkan pada Jun lalu, mendapati kekurangan maklumat yang mencukupi dalam data untuk menentukan sifat objek terbang misteri selama dua dekad lalu.


Menurut laporan Metro News pada 24 November 2021, pasukan yang dinamakan Airborne Object Identification and Management Synchronization Group akan menyiasat laporan UAP berhampiran kem tentera AS.


Pasukan itu akan diselia oleh Setiausaha Pertahanan untuk Perisikan, Pengarah Staf Bersama dan pegawai dari Pejabatan Pengarah Perisikan Negara.


Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pertahanan AS, Kathleen Hicks berkata, kehadiran UAP di kawasan tentera yang sensitif berpotensi mencetuskan risiko bahaya kepada kru pesawat udara dan kebimbangan mengenai keselamatan negara.


"Sebarang pencerobohan objek pada Ruang Udara Kegunaan Khas (SUA) boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan pesawat dan mungkin memberi cabaran kepada keselamatan negara," jelas Pentagon.


SUA merujuk kepada lingkungan ruang udara tentera terkawal, kawasan operasi ketenteraan, tempat menembak dan kawasan dihadkan untuk keselamatan negara dan kegunaan lain.


Jelas Pentagon, pasukan khas itu akan menggantikan Pasukan Petugas Fenomena Udara Tidak Dikenali (UAPTF) dibawah Tentera Laut AS.


"Pasukan baharu ini akan berusaha untuk mengesan, mengenal pasti dan mengaitkan objek serta menilai dan mengurangkan sebarang ancaman berkaitan," katanya.

Rabu, 24 November 2021

Lelaki Ubah Keadaan fizikal Dan Kerat Dua Jari Demi Menjadi 'Makhluk Asing Hitam'

Lelaki Ubah Keadaan fizikal Dan Kerat Dua Jari Demi Menjadi 'Makhluk Asing Hitam'


Seorang lelaki Perancis yang tular kerana mengubah suai keadaan fizikalnya untuk menjadi seperti 'makhluk asing hitam' dilaporkan mengerat dua batang jarinya bagi mendapatkan tangan yang kelihatan seperti bentuk cakar 'alien'.


Menerusi laporan The Sun pada 23 November 2021, Anthony Loffredo, 33, membuat pembedahan terbaharu itu pada tangan kirinya bagi melengkapkan prosedur membentuk dirinya menjadi makhluk asing berkenaan.


Sebelum ini, dia telah melakukan beberapa pengubahsuaian termasuk membuang hidung dan bahagian atas bibir, membelah lidah, mencacah tatu pada seluruh badan dan anak matanya serta membuang telinga untuk kelihatan seperti makhluk asing.


Dia juga sering berkongsi keadaan rupa fizikalnya di laman Instagram menggunakan akaun Black Alien Project dengan memaparkan imej-imej baharu setiap kali dia melakukan pembedahan.



Meskipun telah melakukan pelbagai pengubahsuaian, Loffredo berkata, semua itu sebenarnya hanya 34 peratus daripada misi keseluruhannya untuk mengubah diri menjadi makhluk asing.


"Saya berasa tenang (dengan mengubah suai rupa fizikal)," katanya pada keterangan gambar yang memaparkan keadaan tangannya selepas jarinya dikerat.


Pada 2017, Loffredo memberitahu akhbar Perancis Midi Libre, bahawa sejak usia muda, dia sememangnya mempunyai minat mendalam mengenai mutasi dan pengubahsuaian tubuh badan manusia.


"Saya gemar 'melakonkan' watak menyeramkan. Saya sering duduk di mana-mana lokasi dan menjiwai karakter tersebut terutamanya ketika waktu malam di jalan yang gelap," ujarnya. - Sumber The Sun.


Loffredo sering berkongsi gambar-gambarnya di laman Instagram terutamanya selepas dia menjalani pembedahan untuk mengubah suai keadaan fizikalnya. - Foto Black Alien Project.

Sabtu, 20 November 2021

Misi Manusia Ke Marikh Tingkatkan Peluang Makhluk Asing Ceroboh Bumi Memusnahkan Ekosistem

Misi Manusia Ke Marikh Tingkatkan Peluang Makhluk Asing Ceroboh Bumi Memusnahkan Ekosistem


Satu kajian mendapati bahawa misi manusia ke planet Marikh telah meningkatkan potensi serangan makhluk asing ke atas Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 17 November 2021.


Laporan baharu daripada seorang pakar dalam bidang ekologi dan spesies penceroboh, Profesor Anthony Ricciardi menyatakan bahawa makhluk asing dari Marikh boleh memusnahkan ekosistem di Bumi.


"Bahaya yang datang bukan daripada 'lelaki hijau' yang tiba dengan piring terbang, tetapi daripada pencemaran mikrobiologi daripada persekitaran luar Bumi.


"Bakteria dan kulat boleh melekat pada kapal angkasa dan bertahan untuk hidup ketika kenderaan angkasa pulang ke Bumi, sekali gus memberi ancaman kepada ekosistem planet ini," katanya.


Tegasnya, disebabkan kosnya yang besar kepada sektor sumber dan kesihatan manusia, pencerobohan biologi merupakan isu bio-keselamatan global yang memerlukan penyelesaian rentas sempadan yang ketat.


"Era penerokaan angkasa lepas membawa risiko baharu iaitu pencerobohan. Ia juga dikhuatiri organisma serupa dari Bumi boleh bertahan dalam perjalanan ke planet lain dan mempunyai kesan yang sama di sana," katanya.


Sementara itu, Ricciardi turut memberi amaran bahawa interaksi perumah parasit boleh menjadi ancaman, seperti yang ditulisnya dalam jurnal BioScience.


"Penyelidikan dalam sains berkaitan pencerobohan telah menghasilkan pandangan baru untuk epidemiologi, evolusi pesat, hubungan antara biodiversiti dan dinamik interaksi pemangsa dan perumah parasit.


"Protokol untuk pengesanan awal, penilaian bahaya, tindak balas pantas dan prosedur pembendungan, yang kini digunakan untuk spesies invasif di Bumi boleh disesuaikan untuk menangani bahan cemar dari angkasa lepas yang berpotensi," katanya.


Misi manusia ke marikh membuatkan makhluk asing lebih mudah menceroboh Bumi. - Foto Getty Images.